~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Monday, August 30, 2010

Novel : Kalimah Cinta Bab 9

Keheningan malam membuatkan aku rasa begitu sunyi. Aku menggagahkan diri untuk bangun, perlahan tombol pintu wadku itu kupulas, lantas aku menjerluskan diri keluar dari wad itu. Bosan sekali berada di situ seorang diri, aku tidak tahu mahu berbuat apa lagi lantas hatiku tekad mahu berjalan-jalan sekitar hospital itu. 

Badanku yang masih lemah memaksaku berpaut pada palang yang tersedia, aku melangkah dengan berhati-hati sambil memerhatikan sekeliling koridor. Aras di mana wadku berada itu kelihatan begitu eksklusif dan hanya memiliki beberapa buah bilik wad yang tertutup.

‘Pasti semua ini wad orang kaya,’ hatiku berbisik sendiri. Sampai di hadapan kaunter, aku tersenyum pada jururawat yang bertugas.

“Cik nak pergi mana ni?” salah seorang jururawat itu menyoalku. Wajahnya manis sekali, dan senyuman tak lekang dari bibirnya.

“Saya nak ambil angin sekejap, jalan-jalan kat luar, boleh tak? Bosan la duduk dalam bilik saja.” aku meminta kebenaran.

Jururawat itu mengangguk perlahan.

“Boleh, tapi hati-hati ya. Kalau rasa lemah, segera maklumkan kami segera ya.” Jururawat itu mengingatkan. Aku sekadar mengangguk faham.

Segera aku menoleh untuk meneruskan langkahku, namun langkah itu mati saat aku teringatkan satu persoalan yang mula bermain dalam benakku.

“Nurse, saya nak tanya sedikit, bayaran satu malam di wad ini berapa?” aku meluahkan kemusykilanku. Perasaan bimbang kian mencanak dalam hati.

“RM1500 semalam. Kenapa cik?” jawapan itu membuatkan mataku membulat, perasaan gundah kian menyelubungi hati.

‘Lebih separuh dari gajiku sebulan untuk semalam,’ aku begitu gusar. “Cik, cik...” panggilan dari jururawat itu segera menyedarkan aku.

“Cik tak apa-apa ke?” soalnya kembali.

Aku memandang wajahnya seraya tersenyum, tidak mahu dia menebak hatiku yang kerisauan.

“Tak ada apa-apa, saya pergi dululah ya.” Aku tak sanggup berlama di situ. Fikiranku berasa terlalu kusut.
Mengapa aku ditempatkan di wad kelas satu? Wad yang tidak pernah kubayang untuk kudiami seandainya aku perlu ditahan di hospital. Mengapa aku perlu dibebankan dengan masalah ini pula? Aku menjerit dalam hati.
Punat yang tertulis nombor di dalam lif itu segera kutekan, aku sendiri tidak pasti arah tujuku saat itu, yang pasti, aku ingin sekali menghilangkan rawan dalam hati ini.

Saat pintu lif terbuka, segera aku melangkah keluar, berjalan tanpa arah tujuan, memandang kiri dan kanan melihat sekeliling yang begitu asing. Aku hanya mengikut langkah kakiku sambil berpaut pada palang di dinding putih itu.

Dadaku terasa sesak, mataku kian kabur, terasa sekelilingku berpusing. Ya Allah, mengapa badanku begitu lemah? Aku berbicara sendiri sambil memicit kepala yang mula memusing.

“Ila, Ila...” panggilan itu tak mampu kusahut. Aku terduduk di koridor itu. Perlahan aku rasakan badanku diangkat seseorang, namun mataku terlalu lemah untuk dibuka.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

“Ya Allah...” aku berbisik perlahan saat membuka mata, keadaan sekeliling kuperhatikan. Aku sudah berada di dalam bilik wadku semula, di atas katilku. Aku cuba bangun namun kepala yang masih pening membuatkan aku kembali terbaring.

“Eh Ila, awak jangan banyak bergerak,” suara itu kedengaran semula. Segera aku mengalih pandangan pada suara itu.

Iman sedang duduk di sisiku dan merenung tepat ke arahku.

“Apa awak buat kat sini? Apa dah jadi dengan saya?” aku memulakan bicara dengan soalan demi soalan yang menebak hati.

Iman cuma tersenyum. Dia sudah tidak memakai kot putihnya, mungkin telah habis waktu bekerja, aku menelah sendiri. Dia kelihatan segak dalam kemeja berwarna merah jambu dan berseluar hitam. Dia masih persis seperti dulu, hatiku berbisik sendiri.

“Ila... awak pengsan kat koridor tadi, saya yang bawa awak ke sini,” kata-kata Iman itu membuatkan otakku ligat memikirkan kejadian tadi semula. Aku masih ingat, aku terdengar panggilan seseorang namun mataku terlalu lemah untuk dibuka, pasti Iman yang memanggilku tadi. Iman menunjukkan wajah yang gusar.

“Kenapa awak keluar dari wad ni? Awak tak sihat lagi, masih lemah, kalau terjadi sesuatu tadi macam mana? Lain kali beritahu saja saya kalau awak perlukan apa-apa,” Iman mula mengomel.

Aku cuma mengangguk perlahan, pandanganku ku alih ke tepi, untuk bersemuka dengan Iman sekali lagi pun hatiku tidak keruan, apatah lagi untuk meminta bantuannya pula.

“Ila... lain kali jangan keluar sebarangan lagi ya. saya dah beritahu jururawat supaya perhatikan awak, awak masih lemah untuk berjalan-jalan keluar dari wad.”

Aku berpaling semula padanya lantas mula bersuara. “Tapi saya...”

“Ila...” pantas Iman memotong. Suaranya begitu lembut menyebut namaku.

“Saya tahu awak bosan duduk sendirian di sini, tapi ini semua demi kebaikan awak juga, awak patut berehat saja di atas katil sehingga kesihatan awak pulih. Buat masa ni, suhu badan awak masih tinggi, awak masih lemah.”

Mataku membulat memandangnya. Sudah tiada modal untuk membalas kata-kata Iman. Perlahan nafas kuhela seraya mengangguk, akur dengan kata-kata Iman. Iman pula hanya memandang wajahku hingga membuatkan aku berasa sangat segan. Perlahan aku berpaling dari Iman.

Hanya sepi menemani kami saat keduanya kematian kata. Aku tidak berani untuk memandang wajah Iman lagi, Iman pula diam seribu bahasa. Lama kubiarkan sepi itu sebelum kembali berpaling pada Iman, hairan mengapa dia tidak bersuara, hanya desahan nafasnya saja yang kedengaran.

Aku terkesima saat terpandang Iman, dia sudah terlena dalam keadaan duduk di atas kerusi itu. Mungkin hari ini begitu memenatkan baginya, melayan karenah para pesakitnya, ditambah pula melayan aku di sini. Diam-diam aku memerhatikan dirinya.

Iman masih seperti dulu, wajah itu tidak sedikitpun berubah, kalaupun berubah hanyalah wajahnya lebih matang. Rambutnya separas bahu dan disisir kemas, kulitnya sudah lebih putih, mungkin kerana sudah jarang melibatkan diri dalam aktiviti sukan seperti zaman kolej dulu.

“Cik, masa untuk makan ubat.”

Aku segera tersedar dari lamunan, seorang jururawat sedang berdiri di hadapanku sambil memegang satu dulang yang berisi ubat dan air putih. Aku jadi malu sendiri pada jururawat itu kerana pastinya tadi dia melihat aku asyik memandang wajah Iman yang terlelap di sisiku. 


“Terima kasih.” Aku bersuara perlahan saat mengembalikan bekas ubat dan gelas yang sudah kosong itu sambil memandang wajah jururawat itu sekilas, kemudian kembali menunduk, malu untuk memandang wajah jururawat itu lama-lama dek kerana malu yang kian menebal.

“Doktor Iman terlelap di sini lagi?” jururawat itu bersuara, wajahnya kehairanan.

Aku cuma tersenyum seraya mengangguk. Jururawat itu ketawa kecil sambil menutup mulutnya, apa yang lucunya aku sendiri tidak pasti.

“Cik dah lama ke kenal doktor Iman?” jururawat itu bersuara kembali.

Aku terdiam mendengar persoalan itu. Aku harus menipu lagi, hatiku merintih.

Aku menggeleng perlahan. “Baru saja, kenapa nurse?”

Jururawat itu turut menggeleng. “Tak ada apa-apalah.”

“Saya keluar dululah ya, ada apa-apa panggil saya,” pantas jururawat itu meminta diri.

“Err, nurse, doktor ni macam mana?” aku tidak tahu harus berbuat apa.

Jururawat itu tertawa kecil kembali.

“Doktor dah habis kerja, biar sajalah dia di situ. Saya tak boleh buat apa-apa.” Jururawat itu keluar dari bilik sambil tersengih hingga ke telinga.

‘Aku yang terseksa, dia boleh pula tersenyum begitu,’ hatiku membentak. ‘Iman pun satu, boleh pula dia tertidur di sini,’ aku memandang wajah Iman semula.

Wajah polos itu begitu tenang tidurnya tanpa rasa terganggu walaupun saat kehadiran jururawat tadi. ‘Tapi kesian juga, mesti dia penat sangat, sampai tertidur di sini.’ Hatiku terasa sayu saat melihat Iman.

Mata Iman perlahan terbuka, menyebabkan aku cepat-cepat berpaling dari melihatnya.

“Ya Allah, aku tertidur kat sini lagi...” Iman mengeluh perlahan, berbisik pada dirinya sendiri. Dia menggeliat kecil serta mengusap wajahnya. Perlahan dia memandang wajahku.

“Maafkan saya, saya terlelap kat sini pulak,” Iman bersuara sambil mengelus rambutnya. “Entah kenapa, setiap kali saya datang bilik ni, saya rasa selesa sangat, sampai nak terlena.” Iman berkata lagi sebelum tertawa kecil.

“Pukul berapa sekarang Ila?” soalnya tatkala mataku bertaut dengan matanya. Aku segera melihat jam di dinding bilik itu, takut untuk lama menatap sepasang mata itu.

“Pukul sembilan malam.”

Iman kelihatan terkejut, matanya membulat memandangku. “Ya Allah, saya dah terlambat nak balik dah ni.”
Iman bergegas bangun dari kerusi, mengambil beg bimbit yang dijinjing bersamanya tadi lantas segera membuka pintu.

“Esok InsyaAllah saya datang lagi ya. Assalammualaikum.” Ujarnya seraya keluar dari bilik itu. Aku hanya memandang sekujur tubuh itu lenyap dari pandangan, tidak mampu membalas kata-katanya.
Mengapa aku perlu berhadapan dengannya lagi Ya Allah? Hatiku merintih lagi.

Suka? =)

7 comments:

  1. tapi cite ni cite betul ke?
    kamu bt tentang diri sendiri kan?

    ReplyDelete
  2. hamzah : thanks heehee..

    amni @ anon : cerita ni rekaan je, tp ade la kisah benar skit dlm 10% jer.. kenape?

    ReplyDelete
  3. saya sangat suka! menarik! bila nak sambung? =)

    ReplyDelete
  4. heheh..mekasih..dlm progress..InsyaAllah bakal disambung secepat mungkin.. sllunya AK update seminggu sekali... heheeh... nantikan ya..hehe~

    ReplyDelete

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!