~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Thursday, December 17, 2015

Cerpen : DAIM



ANDAI bisa aku mencorakkan realiti hidupku, sepertimana penulis mencorakkan ceritanya di dalam novel, pasti akan kubiarkan kebahagiaan itu sentiasa bersama aku. Erk jiwang karat pulak aku malam-malam ni. Hehe.
Sebenarnya aku tengah stress ni, fikirkan kata-kata ayah. Ada ke patut, ayah suruh aku kahwin dengan anak Haji Daud, imam masjid taman perumahan ni, mentang-mentanglah Haji Daud tu member kamceng ayah, laju saja ayah booking dahulu. Aduh!
Aku tahulah anak imam tu rebutan di taman perumahan ni, almaklumlah lulusan Universiti Al-Azhar, lepas tu jadi Ustaz pulak dekat sekolah menengah dekat bandar tu. Ayah kata memang tolak tuah kalau aku tolak. Tapi, aku mana suka kena paksa macam ni, kahwin atas aturan keluarga. Aku kalau boleh nak pilih sendiri jodoh aku. Kan aku yang nak hidup dengan dia seumur hidup aku, bukannya ayah! Hesy!
Kalau cinta tu indah macam dalam novel, tak apalah jugak. Kena paksa ke, kena kahwin ikut keluarga pun, semuanya berakhir dengan bahagia. Tapi mampu ke ayah jamin aku akan bahagia kalau kahwin dengan pilihan dia? Tidak, kan? Huh!
“Ala, kenal ajelah dulu, Nisa. Tak luak pun kalau kenal dulu.” Emak baik punya dok membacking ayah. Aku mencebik, malas nak layan kata-kata emak.
“Ah biarlah dia, Dah. Yang penting hujung minggu ni Haji Daud dengan anaknya nak datang rumah, menengok orang tu.”
Gulp! Tak nak!

AKU bersiap ala kadar hujung minggu itu, mekap pun setakat bedak kompak dan lip balm secalit tidak berwarna, biar nampak tak berseri. Biar! Baju kurung kosong warna biru laut aku padankan dengan tudung akel bidang 60 bercorak, dan aku pinkan di tengah. Tak ada nak lilit-lilit, nak belit-belit. Ringkas saja, tak ada apa yang menarik. Baru puas hati aku.
Dian, adik aku yang baru masuk ke dalam bilik, laju saja menggeleng kepala. Migrain tengok kakaknya bersiap macam tak nak bersiap gamaknya. Ah rasakan, siapa suruh paksa aku!
“Akak! Kenapa pucat je muka ni? Mekaplah sikit.” Dia menyoal aku dengan dahi yang sudah berkerut.
“Tak nak tabarruj.” Aku menjawab pendek, buat muka tak berperasaan. Dian menggelengkan kepalanya lagi sebelum tiba-tiba mengoyak sengih nakal.
“Oh, mentang-mentanglah bakal bersuamikan ustaz, terus tak nak bersolek ya?” berdesing telinga aku mendengar perlian Dian.
“Pandai je adik kan? Tak ada kaitan dengan dia.” Aku mencebik lagi.
“Eleh yelah tu. Mulut je kata tak suka, tapi hati nak.” Dian sudah tersengih kembali.
“Adik kalau sehari tak mengusik akak, tak boleh ke?” aku menyoal, hati dah panas. Sudahlah hari ini mood aku sudah ke laut dek rombongan yang bakal tiba, adik aku seorang ini boleh pulak buat lawak tak sampai punchline ni.
“Yelah, adik tak kata apa dah. Adik nak bagitahu ni, mak suruh turun sebab rombongan dah ada dekat bawah.”
Mata aku membuntang, tubuhku sudah seram sejuk jadinya. Ya Allah, selamatkanlah aku. Ok jangan nak menggelabah sangat Nisa, ini baru sesi nak kenal-kenal ajelah, bukannya bertunang terus.

“NAMA saya Da...” jejaka berbaju melayu warna ungu lembut itu memulakan bicara saat keluarga aku dan dia berkumpul petang itu. Boleh tahan juga orangnya, muka bersih janggut sejemput. Dia anak tunggal Haji Daud dan Hajah Rosiah, patutlah nampak macam anak emak saja, dari tadi tak berenggang dari ibunya.
Tapi anak tunggal macam dia ni, sepatutnya ibu bapanya carilah calon yang terbaik, yang lebih layak untuk dia kan? Kenapa mesti pilih aku? Penganggur terhormat yang masih belum bekerja lepas habis pengajian di universiti enam bulan lepas. Kenapa? Nak jadikan aku suri hidup dia dan tak bagi aku bekerja terus? Oh no!
“Danial?” aku menyoal pantas membuatkan jelingan maut aku terima dari ayah. Aku tersengih sambil menggaru kepala yang tidak gatal. Alah, nak tanya sikit pun salah.
“Bukan.” Dia berdeham. Wajahnya nampak resah. Lucu pula aku tengok, macam dia pula pihak perempuan.
“Danish?”
“Aina Annisa!” ayah sudah menguatkan volume suaranya membuatkan aku kembali terdiam. Yelah, baru saja nak memberontak sikit, nak buat perangai sikit, dah kena. Ok behave Nisa.
“Maaflah Haji. Anak saya ni memang straight-forward sikit. Tak ada segan-segan, apa yang ada dalam kepalanya dia tanya je.” Ayah menerangkan walaupun aku tahu dia tahu yang aku sengaja buat-buat tak malu supaya pihak sana tak rasa nak bermenantukan aku ni.
“Tak apa, Haji Man. Jenis tanya teruslah senang, nanti tak puas hati apa, dia tanya saja. Tak ada pendam-pendam sampai makan hati.” Mereka semua ketawa mendengarkan kata-kata Haji Daud itu.
“Nama saya Daim.” Jejaka itu menyambung bicaranya.
“Hah, Daim? Macam coklat Daim tu?” mataku membulat.
“Nisa!” suara emak pulak naik seoktaf.
“Ya. Daim. Macam coklat Daim.” Dia menjelaskan kembali. Ceh ingatkan nama macam hero-hero novel tu rupanya Daim je. Aku menjeling dia, dia masih kelihatan gugup namun wajahnya kelihatan redup, setenang air di kali. Eh apa aku ni? Sudah Nisa, wake up! Jangan nak tergoda dengan wajah polos tu.

“MACAM mana?” emak menyoal sebaik sahaja kereta keluarga Daim keluar dari perkarangan rumahku. Aku memandang wajah emak dengan muka toya.
“Kalau tak nak, boleh tak?”
“Hesy, mana boleh macam tu. Ayah kamu dah semangat dah tu nak berbesan dengan Haji Daud tu. Kamu jangan nak malukan keluarga kita pulak.”
“Kalau ayah beria sangat, suruh ayah ajelah kahwin.”
“Amboi mulut...” emak mengomel. Aku tarik sengih, sekadar bergurau.
“Emak dengan ayah ni beria sangat nak bermenantukan ustaz tu, macamlah ustaz tu nak perempuan kasar macam Nisa ni, emak. Ramai lagi perempuan yang baik-baik untuk dia tu, suruh la cari orang lain.”
“Dah, kamu tak payah nak tolak tuah. Ustaz tu nak aja dekat kamu, ni cincin tanda pun dia orang dah bagi ni.” Emak menghulur satu kotak yang tertera lambang Habib Jewel di atasnya. Erk! Biar betul.
Aku mengambil kotak itu lambat-lambat sebelum isinya kubuka. Sebentuk cincin belah rotan elok terletak di dalamnya, aku terkesima seketika sebelum kembali menutup kotak itu.
“Ish tak naklah, emak. Pulangkan ajelah. Nisa tak sedia lagilah, emak.” Aku mencipta alasan padahal aku tak suka dijodohkan begini, kalau boleh aku mahu mencari sendiri jodoh aku. Kenal dulu baru kahwin, ini entah orangnya macam mana pun aku tidak tahu. Walaupun ustaz, belum tentu perangai dia macam ustaz. Ustaz sekolah mana boleh nak samakan dengan ustaz yang beri ceramah. Zaman sekarang ni ramai dah manusia hipokrit.
“Tak payah mengada, Nisa. Kalau kamu nak tolak, kamu cakap sendiri dengan ayah kamu. Emak tak nak masuk campur.” Emak berlalu tanpa mengambil kotak yang kuhulurkan. Aku menggigit bibir menahan rasa.

“ALHAMDULILLAH!” aku mengucap syukur sebaik saja talian di sebelah sana terputus. Panggilan dari Pejabat Pendidikan Daerah itu memang sudah lama aku nanti. Akhirnya ada juga rezeki aku untuk bekerja, walaupun sekadar menjadi cikgu ganti. Bolehlah dari tak ada kan?
Dapat juga aku menampung hidup dari asyik harapkan emak dan ayah menanggung segala benda. Inipun aku jadi cikgu untuk tiga bulan saja sebab gantikan cikgu yang baru melahirkan anak. Harap-harap ramailah cikgu yang bersalin nanti, bolehlah aku ganti lagi dan panjang lagi tempoh untuk aku menjadi cikgu ganti. Haha.
            “Apa yang seronok sangat tu?” ayah menyoal dari belakang membuatkan aku pantas berpaling menghadap ayah.
            “Panggilan masuk kerja.” Aku senyum, bangga.
            “Iya ke? Jadi apa? Dekat mana?” ayah pula kelihatan teruja. Mungkin dah lama menanti anak dara dia ni bekerja.
            “Ala jadi cikgu ganti je, ayah. Ayah ingat tak hari tu ayah hantar Nisa pergi interview dekat PPD. Ni ada kekosongan, Nisa dipanggil untuk gantikan cikgu yang bersalin.”
            “Alhamdulillah. Baguslah macam tu.” Ayah mengusap kepala aku, seolah terasa bangga. Terharu aku dibuatnya.
            “Errr, ayah. Nisa sebenarnya ada satu permintaan.” Alang-alang mood ayah tengah baik ni, baik aku terjah dulu.
            “Apa?”
            “Kalau Nisa tak nak bertunang dulu boleh tak? Nisa belum sedialah, ayah.” Ayah diam, namun kerutan di dahinya sudah mula kelihatan saat mendengar kata-kataku itu.
            “Nisa nak fokus pada kerjaya dulu. Nak cari kerja betul-betul untuk tolong ayah dan emak. Nak simpan duit banyak-banyak dulu. Lepas dua tiga tahun nanti, barulah Nisa fikir pasal kahwin.” Aku menyambung kataku.
            “Nisa nak ayah tolak lamaran Haji Daud? Mana ayah nak letak muka nanti, Nisa? Padahal dulu ayah yang sibuk-sibuk tanya pasal anak dia tu.”
            “Alah, ayah cakap ajelah yang Nisa tak sedia lagi. Nisa tak kisah.” Aku sengih, cuba melembutkan hati ayah. Ayah menghela nafasnya sebelum akhirnya mengangguk perlahan.
            “Yelah. Nanti ayah bincang elok-elok dengan Haji Daud. Ayah pun salah sebab paksa Nisa sebelum faham perasaan Nisa. Dah, Nisa jangan bimbang. Ayah takkan paksa lagi kalau Nisa tak suka.” Senyuman mula terukir di bibirku saat mendengar kata-kata ayah. Laju saja tangan ayah aku gapai dan salam.
            “Terima kasih, ayah. Nisa sayang ayah!”

AKU melambai pada ayah sebaik kereta ayah berlalu dari depan pintu pagar sekolah tempat aku akan mengajar pagi itu. Aku segera berlalu ke pondok pengawal saat kereta ayah hilang dari pandangan.
“Saya cikgu ganti. Nak melapor diri.” Aku memberitahu kepada pengawal keselamatan yang bertugas saat itu.
“Oh cikgu boleh terus ke pejabat ya. Blok A, sebelah kanan sana.”
“Ok terima kasih!” aku bersuara ceria berserta senyuman sebelum mahu melangkah masuk.
“Nisa.” Suara seseorang di dalam kereta Honda City yang berada di tepiku kedengaran, seolah memanggil nama aku. Tapi betul ke? Siapa pulak yang kenal aku dekat sini?
“Selamat pagi, Ustaz Daim!” pengawal keselamatan yang menunjuk arah pada aku tadi tiba-tiba menyapa. Erkkk! Aku rasa macam darah menyerbu ke kepala.
“Assalammualaikum, Pak Akob.” Aku mendengar dia bersuara lagi namun wajahku berat nak menoleh ke tepi. Rasa tak sanggup nak lihat muka dia. Aduh! Kenapalah dalam ramai-ramai umat manusia atas muka bumi ni, dengan dia jugak aku nak terjumpa. Kenapalah aku tak siasat dulu dia mengajar sekolah mana sebelum setuju untuk jadi cikgu ganti dekat sekolah ni. Aduh!
“Nisa nak ke mana? Biar saya hantar.” Pelawanya lagi walaupun aku tidak memandang.
“Tak apa. Saya boleh jalan kaki.” Aku mempercepatkan langkah tanpa langsung memandang ke arah dia. Harap-harap janganlah aku berselisih dengan dia lagi nanti. Haih, macam mustahil je harapan tu.

FUH! Nasib baik aku ni jadi cikgu ganti untuk subjek Matematik, jadi tak adalah aku sebilik dengan Daim di Jabatan Pengajian Am tu. Jabatan Matematik ni nampak tenang dan aman je tanpa kelibat Daim. Haha.
“Amboi bahagia nampak. Tak ada kelas lagi ke?” Mataku membulat saat mendengar suara itu lagi. Aduh! Kenapalah suara ni tak henti menghantui hidup aku hari ini? Aku angkat kepala, mencari kelibat manusia di dalam bilik itu dan terpandang Daim sedang tersenyum di depan pintu bilik.
Dia pantas menghampiri aku saat melihat aku memandangnya. Hesy, apa nak buat ni? Wajah dah rasa macam pakai pemerah pipi dah ni.
“Errr. Saya nak masuk kelaslah ni.” Aku bingkas bangun, padahal kelas aku hanya bermula jam sembilan nanti. Tak sanggup nak pandang muka Daim lama-lama.
“Tak baik menipu, Nisa. Jadual kelas Nisa ada tertampal dekat sini. Pukul sembilan nanti baru ada kelas kan?” aku berpaling, terkejut apabila melihat dia sedang membelek jadual di atas meja aku.
“Hesy, apa curi-curi tengok ni?” aku membentak. Biarlah hari pertama pun, ada aku kisah. Selamba je dia nak skodeng jadual aku kan? Dahlah tiba-tiba saja masuk kat sini, karang tak pasal orang nampak kami berdua-duaan pulak. Hesy!
“Ustaz.” Satu suara manja kedengaran berbunyi dari arah pintu, membuatkan aku dan dia pantas berpaling. Seorang cikgu perempuan yang  aku rasa hampir sebaya aku, pantas masuk ke dalam bilik itu. Cikgu yang berkurung moden dan bertudung satin itu memandang aku atas bawah sebelum kembali memandang Daim dan tersenyum.
“Ustaz buat apa dekat sini?” soalnya sebelum duduk di sebelah aku. Jiran sebilik rupanya.
“Saja jenguk kawan.” Daim berbicara. Oh kawan ya, hmm ok boleh diterima. Sekarang sila pergi masuk jabatan sendiri.
“Oh ini kawan Ustaz ke? Saya Suhaila.” Dia memperkenalkan diri sambil menghulurkan salam pada aku, aku menyambutnya dengan senyuman terukir di bibir.
“Aina.” Aku membalas pendek.
“Nanti kita jumpa lagi ya.” Daim kelihatan terkocoh-kocoh keluar dari bilik itu. Mungkin waktu kelasnya sudah hendak bermula, entahlah aku pun tak tahu. Siapa suruh dia kacau aku dekat sini?
“Dah lama kenal Ustaz?” soalan Suhaila buatkan aku kembali tersedar wujudnya insan lain di dalam bilik itu.
“Hah?”
“Dah lama kenal ke?” Suhaila mengangkat keningnya.
“Taklah. Saya tak kenal dia sangat pun. Dia anak kawan baik ayah saya.”
“Oh ye ke. Tapi nampak rapat je.”
“Mana ada.”
“Baguslah, kalau macam tu. Ingatkan saya dah tak ada chance dah tadi.” Suhaila tersenyum kembali. Tergaru kepalaku memikirkan maksudnya sebelum aku dapat menangkap sesuatu. Mata aku membulat memandang ke arah Suhaila.
“Baru je saya lega lepas tahu ustaz tak jadi bertunang. Risau pulak kot dia dah ada calon lain.” Suhaila bersuara walaupun matanya sudah memandang buku latihan pelajar di atas mejanya. Aku terkedu, tak sangka berita begitupun sudah tersebar sampai ke sekolah ini.

“NISA! Mari saya hantarkan, kita kan satu taman.” Daim memanggil saat aku sedang menanti ayah di atas bangku berdekatan pintu pagar. Dia memarkir keretanya betul-betul di hadapan tempat aku menunggu itu. Aku menggeleng laju sebelum tersenyum tawar.
            “Tak apa, terima kasih. Ayah saya dah keluar dah tu, kejap lagi sampailah. Lagipun tak elok pulak orang tengok awak hantar saya, berdua saja dalam kereta. Awak kan ustaz, takkan tak tahu...” aku baik punya memerli dia. Daim sekadar diam, namun keretanya masih tidak berganjak dari situ.
            “Awak baliklah. Tunggu apa lagi?” aku menyoal setelah lama dia berjeda di situ.
            “Kejap lagi saya baliklah. Saya temankan Nisa dulu sampai ayah Nisa sampai, ya.”
            “Tak perlulah, Daim.” Suaraku sudah datar. Tidak suka Daim memperlakukan aku sebegitu seolah aku tidak mampu menjaga diri sendiri.
            “Takkanlah Nisa benci saya sampai macam ni sekali? Sudahlah pinangan tak diterima, kawan pun tak boleh ya?” aku tergamam mendengarkan kata-katanya.
            “Jangan ungkit benda tu boleh tak?”
            “Tak apalah, saya sedar diri. Tak layak untuk Nisa, tapi takkan kita tak boleh berkawan?” aku menghela nafas.
            “Bukan saya benci awak, cuma saya tak selesa. Saya segan dengan awak sebab tolak pinangan awak dulu.” Aku berterus terang.
            “Nisa tak perlu segan dengan saya. Saya ok je, kita kawan ya?” pintanya. Aku menghela nafasku lagi sebelum cuba melorek senyum kepadanya.
            “Yelah. Dah pergi balik.” Aku meminta lagi. Dia senyum sebelum menghidupkan enjin keretanya semula.
            “Dah nak balik ke?” kelibat ayah yang mampir ke arah Daim, buatkan aku terkejut. Daim yang sudah mahu berangkat, tiba-tiba saja keluar dari kereta sebaik melihat ayah. Dia bersalaman dengan ayah sebelum bertanya khabar.
            “Pakcik baru teringat yang kamu pun kerja dekat sini. Lepas ni bolehlah tolong tengokkan anak pakcik ni.”
            “Insya-Allah, pakcik. Pakcik janganlah risau, saya boleh saja tengokkan Nisa. Saya balik dululah ya, dah lambat ni.” Daim tersenyum pada ayah.
“Hmm yelah. Bawa kereta elok-elok.” Ayah sempat berpesan saat Daim menerobos masuk semula ke dalam keretanya. Seronoklah ayah, jumpa menantu tak jadi dia tu.
            “Kenapa ayah tak beritahu yang Daim pun mengajar dekat sekolah tu? Ayah saja nak pekena Nisa ya?” aku menyoal saat kami berdua berada di dalam kereta yang meluncur laju di jalan raya.
            “Hesy, ada pulak. Ayah tak ingatlah yang Daim tu mengajar dekat situ. Kalau ayah ingat pun bukan kamu boleh buat apa. Kamu kan kata nak kerja dulu, kumpul duit banyak-banyak. Takkan kamu nak tolak pulak peluang ni.” Aku terdiam, mengakui kebenaran kata-kata ayah itu. Tapi aku terseksa ni, faham tak?
           
OK! Aku fikirkan cuma Suhaila seorang saja yang ada hati pada Daim, tapi rupa-rupanya aku silap besar! Kebanyakan cikgu yang belum berkahwin di dalam sekolah ini semua gilakan dia dan cikgu-cikgu yang sudah berkahwin dan ada anak dara pula sibuk nak jodohkan anak mereka dengan dia. Kegilaan apakah ini?
            “Saya pun tak faham kenapa orang yang ustaz pinang tu boleh tolak pinangan dia. Gila ke apa? Ustaz tu sikit punya baik, handsome, alim, pakej lengkap tu. Ada juga manusia kurang bijak yang sanggup tolak lelaki macam dia tu.” Suhaila mengomel pagi tu. Terasa sungguh aku, menyentap ke tangkai jantung saat itu.
            “Mungkin ini namanya takdir. Barulah awak boleh masuk line.” Aku cuba menyejukkan hati sendiri dan Suhaila.
            “Hmm betul jugak cakap awak. Tapi Ustaz tu macam tak ada perasaan, penat saya buat macam-macam, dia buat tak tahu jugak. Padahal mesti dia tahu saya sukakan dia, sampai pelajar pun sedar hal ni. Mesti gadis tu bertuah sangat sebab ustaz sukakan dia.” Keluhan dari mulut Suhaila kedengaran di telingaku.
            “Hesy mana ada. Dia tu dijodohkan je.” Opps! Dengan pantas aku menutup mulut sendiri. Hadei mulut, kenapa gatal sangat nak cakap pasal hal ni? Kalau kantoi macam mana?
            “Dijodohkan?”
            “Eh tak ada apa-apalah. Abaikan aja.”
            “Oh betullah, ayah awak dengan ayah dia kawan rapat kan? Mestilah awak tahu pasal hal ni.”
            “Tak adalah. Saya tak tahu apa-apa pun.” Aku berdalih.
            “Haih, kalau saya ni tak tahu malu, dah lama saya masuk meminang dia tau.” Suhaila menopang dagunya dan seolah hanyut dalam anganannya sendiri. Aku terdiam, merenung Suhaila dengan seribu satu tanda tanya yang tak mampu aku luah.

“MACAM mana dekat sekolah? Ok tak?” emak menyoal malam itu, saat aku sedang melayan drama di televisyen.
            “Bolehlah.” Aku sekadar berbasa-basi, malas hendak bercerita secara terperinci pasal sekolah kerana tidak ada apa yang menarik pun.
            “Amboi macam tak seronok saja. Ada Daim dekat sana pun tak seronok?” mataku terjegil saat mendengar usikan emak. Ini mesti ayah yang beritahu pasal hal Daim ni. Hesy ayah ni!
            “Emakkk! Apa sebut nama dia pulak ni?” aku mendengus. Emak tersengih macam kerang busuk.
            “Sekarang macam mana? Dah terbuka hati untuk Daim tu?” emak menyoal lagi membuatkan mataku kembali membuntang, dah macam nak terkeluar bola mata ni dari soketnya.
            “Emak! Nisa tak sukalah emak tanya macam tu. Keputusan Nisa dah nekad emak. Sekali Nisa tak nak, Nisa tak tarik balik dah. Takkan emak tak kenal Nisa ni?”
            “Yelah. Emak kenal sangat perangai Nisa, tapi manalah tahu Ustaz Daim berjaya melembutkan hati anak emak yang keras ni.”
            “Tak. Dia tak berjaya. Dah, emak janganlah tanya benda pelik-pelik lagi. Kalau nak tengok sangat anak emak sorang ni kahwin pun, tunggulah dua tiga tahun lagi.” Aku mengomel panjang sebelum kembali fokus pada skrin televisyen. Emak senyap tidak berkata apa lagi. Sebal dengan akulah tu.

PAGI itu aku melihat Daim sedang berbicara dengan Suhaila di dalam kantin sekolah, berdua sahaja. Ok maksud aku bersama pembantu-pembantu kantin di situ, bukan sekadar mereka berdua saja. Serius saja kulihat wajah mereka dari jauh, entah apa yang mereka bincangkan sampai berkerut dahi. Takkanlah Suhaila luahkan perasaan dan hasrat hatinya nak bersuamikan Daim? Ok kalau betul pun, kenapa aku harus kalut begini dan rasa ingin tahu? Kepochi betul!
“Eh Aina. Marilah makan sekali.” Suhaila bersuara saat melihat aku di situ, Daim pantas angkat kepala namun aku pura-pura tidak perasankan dia dan hanya senyum tawar kepada Suhaila sebelum membawa langkahku ke meja itu.
“Nisa tak ada kelas dah ke?” Daim menyoal, membuatkan aku sekadar mengangguk.
“Nisa?” soalan Suhaila kedengaran di telingaku. “Bukan nama awak, Aina ke?”
“Nama dia Aina Annisa.” Daim pantas menjawab sebelum aku sempat membalas apa-apa. Sibuk ajelah!
“Aah. Dekat rumah orang panggil saya, Nisa. Kalau dekat luar saya lagi selesa bahasakan diri saya, Aina.”
“Oh jadi Ustaz mesti rapat dengan Aina sampai boleh bahasakan dia Nisa.” Suhaila menjeling ke arah aku.
“Eh mana ada.”
“Ya, memanglah.”
Kami menjawab serentak namun jawapan aku dan Daim tidak selari langsung. Mataku terjegil sebaik mendengar jawapan Daim yang mengakui kami rapat. Sejak bila?
“Tak apalah, saya ada kelas ni. Saya masuk dululah ya.” Suhaila bingkas bangun dari kerusi dan meninggalkan kami sendiri di situ. Wajahnya kelihatan cemberut saja. Mungkin cemburu dengan pernyataan Daim itu.
“Kenapa awak mengaku macam tu?” aku menyoal pantas, saat kelibat Suhaila sudah hilang dari pandangan.
“Saja. Kan kita memang rapat.”
“Tak baik menipu, mempermainkan perasaan perempuan macam tu. Ayah awak dengan ayah saya yang rapat, bukan kita.” Aku menyambung lagi, tidak berpuas hati dengan kata-kata Daim tadi.
“Yelah, saya faham. Siapalah saya.” Sekali lagi Daim buat-buat sayu begitu. Mahu saja aku backhand dia saat itu. Hesy menyampah!
“Tadi awak bincang apa dengan Cikgu Suhaila?”
“Oh Nisa skodeng saya eh?” dia sengih menampakkan giginya yang tersusun cantik. Aduh susah betul orang perasan ni. Aku tanya sikit pun nak fikir lain.
“Jangan perasan boleh tak? Saya cuma ternampak je, nampak macam serius sampai saya tak berani nak tegur.”
“Tak ada apalah. Bincang pasal hari sukan nanti saja. Kami kan satu rumah sukan. Kenapa? Nisa cemburu ke?”
“Eii tolong jangan perasan boleh tak, Ustaz Daim?”Aku bangun dari kerusi setelah selesai berbicara.
“Eh nak ke mana?”
“Nak tengok lauklah. Sibuk aja!” aku mengomel membuatkan Daim tersengih. Beberapa orang guru juga sudah mulai masuk ke dalam kantin dan mencedok nasi serta lauk pauk sebelum duduk di meja khas untuk para guru.
Saat selesai mengambil nasi dan lauk, aku lekas-lekas duduk di hadapan Cikgu Jamilah, cikgu Sejarah yang baru saja duduk. Enggan duduk berhadapan dengan Daim yang sedang bersendirian di hujung sebelah sana. Tak nak aku, orang pandang serong lihat kami makan berdua-duaan begitu. Sempat aku menjeling ke arah Daim dan dia sekadar memandang aku dengan wajah sayunya. Ah tak tergoda pun.
“Minggu depan saya tak ada tau, seminggu. Ada kursus dekat Langkawi.” Daim bersuara saat dia tiba-tiba saja ikut jalan beriringan denganku di koridor usai keluar dari kantin.
            “Tak tanya pun.” Aku menjuihkan bibir.
            “Sajalah bagitahu. Takut Nisa rindu.” Dia ketawa sebelum membawa langkahnya ke arah yang bertentangan denganku. Aku sekadar menggelengkan kepala saat meneruskan langkah ke bilik guru.

SUDAH seminggu Daim tidak ada di sekolah, terasa aman sedikit duniaku kerana tidak ada siapa yang mengganggu. Namun sejujurnya sepi jugak aku rasa bila dia tak ada, sebab dekat sekolah ni aku bukan rapat dengan sesiapa pun. Semua tak nak berkawan dengan aku sangat sebab tahu aku ni guru ganti saja, jadi cikgu pun sekadar untuk tiga bulan. Iyalah taraf aku ni mana sama dengan mereka yang sudah tetap dan arif dalam bidang pendidikan.
            Aku melangkah ke dalam bilik guru pagi itu seperti hari kebiasaannya namun mataku tertancap pada sesuatu yang sedang elok berada di atas mejaku. Aku pantas menghampiri mejaku dan mengangkat satu plastik besar berwarna merah dan berbentuk seperti bungkusan roti itu.
            D-A-I-M.
            Mataku membulat melihatkan bungkusan coklat Daim itu. Siapa pulak yang letak di sini? Dan untuk siapa? Akukah? Aku menggaru kepala sendiri. Sekeping nota yang dikepil bersama bungkusan coklat itu menangkap mataku. Pantas saja aku membaca nota kecil berwarna kuning itu.
            Hai! Nama saya Daim.
            Aku garu kepala. Itu saja yang ditulis di atas nota itu. Apa maksudnya? Memanglah ini Daim, bukannya Hersheys. Eh sekejap, Daim? Macam nama Daim tu? Ok kenapalah aku ni lembab sangat? Sah-sahlah ustaz seorang tu pergi kursus dekat Langkawi kan. Adeh Nisa, macam manalah kau boleh jadi cikgu matematik sementara dengan tahap kelembapan macam ni?
            Bunyi Whatsapp masuk membuatkan mataku beralih arah ke skrin telefonku pula. Satu nombor telefon yang asing tertera.

bersambung....

==========
Kalau nak tahu kesudahan kisah ini, sila dapatkan Melodi Cinta 2 terbitan Karyaseni di pasaran sekarang! 

Suka? =)

6 comments:

  1. Alaa novel ke cerpen ni....sobsob..ada smbngan pulak..btw,best..

    ReplyDelete
  2. Hi aliesha,boleh tak nak minta awak comment novel saya.tapi baru satu bab je.nak tau apa yang perlu dibaiki.maklumlah baru nak menulis.please

    ReplyDelete
    Replies
    1. nak komen pn tak bagi link adik oi ekekeke

      Delete
  3. Amboi2.... Apsal dah makin best Cik Aliesha kite ni menulis? Teruja nak sambung baca. Tapi masalahnya nak beli kompilasi ni yang tak best...sebab tak tahu cerita penulis lain tu seseronok macam ni tak masa membacanya. Tahnaih dan teruskan menulis... Saya nak ulang baca cinta XXL ;p -Atiq

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahaha senget. alah semua cerpen dlm kompilasi tu insyaAllah best walaupun saya sendiri tak baca lagi. kekeke. tapi kalau tak best, tak adalah smpai keluar versi cetak kan. tak gitu. hehe

      Delete

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!

Goodreads!

Aliesha Kirana's books on Goodreads
Love You Mr. Arrogant Love You Mr. Arrogant
reviews: 4
ratings: 15 (avg rating 3.80)

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!

Lintas Lansung dari Penulisan2u