~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Friday, March 4, 2016

Novel : Mamat Muka Selenga Bab 2


Bab 2
MINUM kopi o tanpa gula,
Baru jumpa sekali dah meluat gila-gila.
“Batu sayang kau tak boleh berkata... semuanya kau lihat walau kau tak bermata...” bait-bait lagu itu sayup-sayup kedengaran dari rumah sebelah, malam itu. Telinga Hajar sudah melekap di dinding bilikku, cuba mendengar dengan jelas.
“Kau dengar tak, Fatih?” Muka Hajar jelas serius menyoal sambil telinganya masih melekap pada dinding.
“Dengar. Kalau tak lekat telinga dekat dinding tu pun, dah boleh dengar dengan jelas.” aku menjawab acuh tak acuh sambil mataku masih fokus pada novel di tangan. Suara macam katak, ada hati nak menyanyi. Huh!
“Sedap jugak suara dia, kan?” Hajar tersengih sebelum bingkas duduk semula di sisiku.
“Sedap?” mataku membuntang memandang Hajar, novel yang kubaca sedari tadi, automatik ditutup.
“Aah la. Sedap apa. Unik suara dia, ala-ala Ramli Sarip.”
“Itu bukan macam suara Ramli Sarip, itu dah macam Sarip Dol Kampung Dusun.”
“Ish, kau ni tak puas hati apa dengan budak tu? Bagi aku, suara dia boleh tahan apa.”
“Boleh tahan kata kau? Aku yang tak tahan ok. Hilang konsentrasi aku nak membaca, terganggu!” aku sudah tarik muncung panjang. Baru je sampai Maghrib tadi, dah pandai melalak malam-malam begini. Mengacau sungguh!
“Ish kau ni kenapa? Sejak jejaka sebelah rumah ni muncul, terus kau hangin semacam.” Hajar seolah dapat membaca keruh di wajahku.
“Mana ada hangin. Aku cuma rasa terganggu je.” Suaraku kembali datar. Tidak mahu Hajar syak yang bukan-bukan. Padahal sebenarnya, sejak tengok mamat muka selenga dekat sebelah ni, terus aku jadi hilang mood. Entahlah kenapa, kali pertama tengok pun dah rasa menyampah. Bahaya ni!
Tapi memang ada pun kes sebegini kan? Ada orang yang pertama kali kita tengok pun dah jatuh suka, ada pula yang pertama kali kita tengok pun dah menyampah gila-gila. Kira aku ni jatuh kes yang kedua la. Bukan salah aku pun kan.
“Buatlah muka menyampah macam tu, nanti lama-lama jatuh hati dekat jejaka sebelah rumah ni, baru padan muka kau!” suara Hajar mengejek buatkan mataku membuntang memandangnya. Nak kena sungguh minah sorang ni kan. Tak habis-habis nak kenenkan aku dengan jejaka sebelah ni.
“Gila! Doakan aku yang bukan-bukan tu kenapa?” aku mencubit lengan Hajar, membuatkan Hajar menjerit. Serentak itu, alunan suara dari rumah sebelah, hilang dari pendengaran.
Aku dan Hajar saling berpandangan, Hajar menyoal aku dengan isyarat mata, namun aku hanya angkat bahu tanda tidak tahu. Mungkin dia dah masuk tidur kot, tapi lagu tu macam terhenti tiba-tiba je. Ah buat apa aku fikir sangat pasal hal mamat tu kan. Abaikan ajelah.
            “Assalammualaikum! Assalammualaikum!” suara seseorang menjengah gegendang telinga. Siapa pula datang malam-malam ni? Baru je nak fokus membaca novel semula, dah ada yang menganggu konsentrasiku. Takkanlah Jais buat serbuan pula. Eh apa aku merepek ni?
Aku garu kepala sambil lekas mencari tudung yang tersidai di tepi katil manakala Hajar menonong masuk ke dalam biliknya. Hajar yang ratu tidur itu, mesti tak nak tinggalkan katilnya sebaik kepalanya mendarat di bantal. Jadi siapa lagi boleh membuka pintu, kalau bukan aku.
“Waa... lai... kumuss... salam...” aku menjawab perlahan-lahan saat pintu itu juga dibuka perlahan. Mataku membulat sebaik satu lembaga berdiri tinggi di hadapanku sambil menyeringai menampakkan gigi taringnya.
“Arghhhh!” aku menjerit sekuat hati sebelum pandanganku kelam tiba-tiba.

“FATIH... Fatih... bangunlah!” suara Hajar yang kedengaran buatkan aku cuba membuka mata walau dalam kepayahan.
“Apa dah jadi ni? Apa awak buat pada Fatihah?” suara Hajar kedengaran, sedang menyoal seseorang.
“Eh saya tak buat apa pun. Dia yang tiba-tiba pengsan tengok saya.”
“Fatih, Fatih! Kenapa dengan kau ni? Bangunlah Fatih!” terasa pipiku ditepuk-tepuk  membuatkan aku memandang Hajar yang sudah merangkulku saat itu.
“Hajar, tadi aku nampak hantu,” aku bersuara dengan wajah yang pucat, sebaik aku yakin yang orang di hadapanku ketika ini adalah Hajar.
“Hantu?” dahi Hajar berkerut. Matanya sempat dijeling ke arah lembaga yang masih samar-samar pada pandanganku.
“Ini ‘hantu’ kau?” Hajar menuding ke arah lembaga itu. Lembaga itu tersengih seraya mengangkat jari telunjuk dan jari hantu, menjadi simbol peace sebaik aku mendongak memandang dia.
“Arghhh! Hantu! Hantu!” aku menekup muka pada lengan Hajar yang sedang merangkulku sebaik melihat wajah lembaga itu yang putih dan gigi taringnya yang menyeringai memandangku.
“Ish kau ni Fatihah, itu kan jiran sebelah rumah kita ni.” Kata-kata Hajar itu buatkan aku takut-takut melihat ke arah lembaga itu semula. Ya Allah, betullah mamat muka selenga cuma mukanya dah bertepek bedak sejuk. Mujur aku tak ada lemah jantung, kalau tidak, tak pasal hilang nyawa hari ni.
“Awak?!?” aku menuding jari ke arah Fahmi dengan wajah bengis. Perasaan takut ini sudah bertukar menjadi perasaan marah. Sudahlah aku memang dah jatuh meluat dengan mamat ni, sekali dia terkejutkan aku sampai macam ini sekali. Geramku membuak-buak.
“Awak buat apa depan rumah kami malam-malam buta begini, hah?” lekas aku menyoal setelah aku bingkas duduk.
“Kan baru pukul sepuluh, mana ada malam buta lagi...”
“Ah jangan nak buat lawak pulak. Tak lakulah lawak awak tu kat sini.”
Mamat itu menggaru-garukan kepalanya, memang dia bersalahlah tu. Entah-entah nak menghendap kami tadi. Hesy mintak simpang la.
 “Ala, relakslah Fatih. Janganlah marah-marah, cuba tanya elok-elok.” Hajar cuba menenangkan aku yang memang dah bad mood bila menghadap mamat selenga ni.
“Yang awak ni pun satu.” Hajar bersuara pada lembaga itu pula. “Kalau ia pun nak pakai bedak sejuk, tak payahlah sampai putih serupa tepung gomak macam ni sekali.”
Dia terkulat-kulat. Pipinya disapu dengan tangan sebelum dahinya diketuk.
“Oh sorry kak. Saya tak sengaja nak terkejutkan kawan akak ni. Saya terlupa. ” Dia menyengih.
“Ish apa berakak pulak dia. Kami berdua muda lagilah!” Hajar menukas membuatkan mamat di hadapan kami itu menggaru kepala sambil menyengih macam kerang busuk.
“Oh maaf, adik. Eh cik, saya tak tahu nak panggil apa. Sebab tu saya panggil akak je, sebagai rasa hormat.” Dia tersengih-sengih lagi.
 “Fahmi!” laungan dari rumah sebelah membuatkan kami bertiga mengalih pandang ke arah yang sama. Mak Ngah Ana terjongol di muka pintu rumahnya.
“Apa yang bising-bising tu?” Mak Ngah Ana menyoal dari muka pintu sebelum langkahnya diatur menghampiri kami.
Aku hanya menggeleng sambil bingkas bangun untuk berdiri, enggan memanjangkan cerita.
“Kamu berdua tak apa-apa ke? Apa kamu dah buat pada budak berdua ni, Fahmi?” Mak Ngah Ana kelihatan gusar sebaik melihat aku. Nampak sangat ke wajah aku ni pucat lesi lepas terlihat lembaga bertepung gomak tadi?
“Fahmi cuma...” mamat itu memandang Mak Ngah Ana dengan pandangan minta simpati. Macam la aku tak paham kan?
“Tadi si Fahmi ni cakap, dia dengar kamu menjerit, sebab tu dia datang tengokkan keadaan kamu. Fatihah, kamu ok ke? Pucat semacam Mak Ngah tengok.” Mak Ngah Ana menerangkan sambil memegang bahuku, buatkan aku lekas menggeleng. Aduh takkan la jeritan Hajar tadi sampai ke rumah sebelah? Oh iyalah, rumah flat kan, jiran sebelah bersin pun kami dengar.
“Tak ada apalah, Mak Ngah. Kami ok je. Tadi terperanjat je bila hantu tepung gomak berdiri depan pintu.” Aku menarik senyum manis pada Mak Ngah Ana. Walaupun meluat pada tetamunya ni, air muka kenalah jaga. Kena hormat orang tua.
“La... Fahmi! Kenapa sampai putih macam ni sekali muka kamu tu?” Mak Ngah Ana pecah tawanya sebaik terperasan akan wajah mamat itu yang penuh bertempek bedak.
“Kenapa Mak Ngah tak tegur Fahmi, masa Fahmi keluar tadi?” mulut Fahmi sudah panjang muncungnya.
“Mak Ngah tak pakai spek tadi, Mak Ngah tak perasan.” Mak Ngah bersuara dengan tawa yang masih bersisa.
“Saja tau, nak bagi Fahmi malu...” nada suara Fahmi sudah berubah, sengaja dia merengek-rengek. Gedik, menyampah aku rasa. Dah besar panjang pun manja mengada-ngada. Huh!
“Fatihah, Hajar, jangan dilayan sangat budak ni. Dia memang macam ni, suka sibuk-sibuk hal orang lain. Dah-dah, jom masuk Fahmi. Janganlah kamu nak ganggu anak dara dua orang ni. Karang tak pasal-pasal marah buah hati dia orang.” Mak Ngah sudah menarik tangan lelaki itu ke arah rumah mereka. Mamat tinggi lampai itu hanya mengikut, namun sempat dia menoleh ke arah kami dan melambai sebelum mengenyitkan matanya.
“Ish menyampah.” aku bersuara selepas membalas kenyitan mata tadi dengan jelingan menyampah tahap petala langit ke lapan. Rumah kami segera aku bolosi, rasa mengantuk terus setelah hampir diserang histeria tadi. Aku menoleh ke belakang sebaik merasa ada yang mengekori. Hajar masih tersengih saat aku memandangnya yang sedang berdiri di belakangku.
“Kau ni kenapa? Kena sampuk hantu tepung gomak pulak?” aku menyoal, sebal. Geram tengok mamat tadi, geram pulak tengok Hajar dok tersengih serupa ini. Itu adalah tu nak menyakat aku.
“Ehem, ada orang tu dah ada orang yang berkenan...” Hajar tersengih-sengih.
“Siapa?” aku bertanya sambil lewa ketika kembali meneruskan jalan ke bilikku sebelum melabuhkan punggung di atas katil.
“Kaulah...” Hajar bersuara saat punggungnya juga mencecah katilku.
“Apa kau merepek ni?” datar suaraku menyoal sambil berbaring, novel yang aku sudah tutup tadi, kubuka semula di tempat yang sudah kutanda dengan penanda buku. Saja hendak jamu mata sebelum benar-benar terlena. Itulah tabiatku, baca novel sampai rasa mengantuk hingga kadang-kadang aku terlena sambil memegang novel.
“Aku nampak la...” Hajar mengangkat-angkat keningnya.
“Nampak apa?”
“Nampak la yang orang tu kenyit mata dekat orang ni...” aku pandang wajah Hajar semula. Memang nak kena sungguhlah minah ni sorang.
“Mana ada! Dia kenyit mata dekat kau, bukan aku.”
“Eleh tak nak mengaku. Aku nampak la dia pandang kau seorang je tadi.” Hajar tersengih-sengih lagi.
“Gila! Tak nak aku!”
“Tapi orang tu nak...” Hajar sudah kembali mengusik.
“Pandai-pandai je kau kan. Baru kenal seminit dua, dah boleh baca fikiran dia eh?”
“Aku kan bomoh cinta.”
“Wekkk! Tak glamour langsung gelaran bomoh cinta.” aku mencebik.
“Untunglah kau, dah ada yang suka.”
“Ish! Cukup-cukuplah merepek tu, Hajar! Dah-dah, aku nak tidur, lagi dilayan kau ni, lagi naik tocang kan? Tak habis-habis nak usik aku.” Hajar ketawa kecil sebelum bingkas bangun dari katilku.
“Aku cuma nak doakan yang baik-baik untuk kau.” Aku buat muka toya. Tak rasa pun doa itu doa yang baik untuk aku.
“Dari kau buat cubaan untuk doakan aku dengan mamat muka selenga tu, baik kau doakan aku dengan jejaka kacak berwajah Korea di luar sana.” Aku berbicara sambil menarik selimut menutupi kaki.
“Hesy, high taste betul kawan aku ni. Jangan memilih sangat, Fatih. Kang tak pasal-pasal jadi terbalik. Yang kau nak tak dapat, yang kau tak suka yang kau akan dapat.”
Aku yang baru hendak menyambung pembacaan, memandang Hajar semula dengan mata membuntang. Novel yang berada di tangan, aku tutup semula. Sudah hilang selera hendak membaca lepas mendengar usikan Hajar yang tak boleh diterima akal macam ni.
“Kau ni kenapa? Janganlah mintak yang bukan-bukan dekat aku! Mintak simpang laaa...”
“Simpang kiri, simpang kanan?”
“Simpang tiga.”
Hajar ketawa bersungguh-sungguh macam aku ni buat lawak tahap Maharaja Lawak Mega.
“Oklah, selamat malam. Moga mimpikan mamat rumah sebelah tu! Apa namanya tadi? oh Fahmi.” Hajar ketawa sambil berlalu keluar dari  bilikku.

“Cis, kurang asam jawa punya kawan! Grrr!” aku mengetap bibir sebelum menarik selimut menutupi wajahku dan memejam mata erat-erat, mahu melupakan segala kejadian tadi dan bayangan wajah mamat muka selenga yang bertempek bedak sejuk tadi. Tak mahu dapat mimpi ngeri malam ni, tak mahu!

Suka? =)

2 comments:

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!

Goodreads!

Aliesha Kirana's books on Goodreads
Love You Mr. Arrogant Love You Mr. Arrogant
reviews: 4
ratings: 15 (avg rating 3.80)

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!

Lintas Lansung dari Penulisan2u