~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Sunday, March 19, 2017

Novel Pak Cik Kerek Semanis Pavlova Bab 2


Bab 2
MEGAT Talhah mendengus nafasnya untuk kesekian kali. Wajah Melissa di hadapannya itu direnung tajam. Model hijabista yang berbulu mata lentik dan bermata galak itu masih tersenyum memandangnya.
You tahu kan, I sayangkan you.” Ucap gadis itu, cuba memegang tangan Megat Talhah namun laju sahaja lelaki itu menariknya.
“Sayang you tu tak cukup, Melissa.”
Megat Talhah membuang pandang ke arah chandelier di dalam restoran mewah itu, serabut memikirkan masalah yang tidak selesai-selesai.
“Apa lagi yang you nak I buat untuk buktikan I memang sayangkan you?” Melissa menyoal dengan dahinya yang sudah berkerut.
“Kahwin dengan I! Berapa kali I nak cakap?” Megat Talhah membentak.
Melissa tergamam mendengar kata-kata Megat Talhah. Perlahan dia menunduk merenung makanannya yang masih tidak luak sedari tadi. Spageti Aglio Olio itu dikuis-kuis dengan garfu, cuba mencari ayat yang sesuai untuk memujuk kekasih hatinya itu.
“Tal, you kan tahu I tak boleh. Bukan I tak nak, tapi... keadaan tak mengizinkan.”
“I dah tiga puluh tujuh tahun, Mel. Sampai bila lagi I kena bersabar? Kalau you memang tak boleh kahwin dengan I, jangan buang masa kita berdua. Tinggalkan saja I ni, jangan bagi harapan dah.”
“Tal... I memang nak kahwin dengan you, tapi you know kan, my family tak restu hubungan kita. Berapa kali I nak terangkan?”
Family you tak restu atau you sendiri yang tak sanggup hidup dengan I disebabkan Qisya?”
Melissa mengetap bibir. Lama dia diam sebelum dia mendengus kasar.
“Ikut suka hati youlah nak fikir apa. I malas nak bertekak lagi. I balik office dulu.” Melissa bingkas bangun meninggalkan Megat Talhah yang masih serabut, memikirkan rawan hatinya.

MEGAT Talhah meraup wajahnya beberapa kali sebelum melepaskan keluhan yang berat mencengkam jiwanya saat itu. Kejadian tadi kembali menerjah kepalanya, tak pasal-pasal seharian dia bad mood hari ini sampaikan budak yang nak mohon jadi vendor tadi pun dah kena sedas dengan dia. Istighfar Tal, jangan ikutkan perasaan sangat.
Megat Talhah bingkas keluar dari bilik pejabatnya sebelum membelek pelbagai jenis pakaian yang bergantungan di rak-rak yang tersusun kemas dan elok teratur di dalam butik eksklusif itu. Dia yang memang teliti di dalam kerjanya, mahu memastikan tidak ada sebarang cacat cela terhadap produk yang dipamerkan di butiknya itu. Stok pakaian dari jenama terkenal atas talian yang baru tiba dan sedang disusun oleh pekerjanya saat itu, diperhatikan dengan cermat sebelum dia beralih pula kepada sudut lain di dalam butiknya itu.
            “Encik Megat!” suara seseorang memanggil membuatkan Megat Talhah memanjangkan lehernya, mencari arah suara itu. Ati yang sedang berada di kaunter, melambai-lambai ke arah Megat Talhah.
            Megat Talhah melangkah dengan teratur menghampiri kaunter sebelum memandang ibu muda beranak dua itu dengan rasa ingin tahu. Beria benar Ati memanggilnya tadi.
“Ada apa, Ati?”
Ketua pembantu butik merangkap pembantu peribadinya itu tersengih. Tangannya menggapai sesuatu dari bawah kaunter sebelum menghulurkannya kepada Megat Talhah.
“Ini Encik Megat, Encik Megat tak nak rasa ke? Sedap gila!”
Megat Talhah memandang kotak pavlova yang dihulurkan sebelum matanya beralih ke arah Ati semula.
“Ati, awak tahu kan saya tak suka benda manis?”
“Ya tahu sangat dah, Encik Megat. Tapi yang ini lain, just nice. Cubalah rasa dulu.” Ati begitu bersemangat menghulurkan pavlova itu kepada Megat Talhah membuatkan lelaki itu mengambil kotak itu lambat-lambat walau wajahnya jelas skeptikal.
“Yelah, nanti saya rasa. Itu saja sebabnya awak panggil saya?” Megat Talhah mengangkat kening dengan rasa tidak percaya.
“Errr ya Encik Megat. Sorry!” Ati tersengih.
Megat Talhah menggelengkan kepalanya sebelum bingkas mengatur langkah ke biliknya semula. Ati memandang bosnya itu berlalu pergi dengan senyuman yang masih tidak lekang.

MEGAT Talhah membuka kotak yang diberi Ati tadi sebelum memerhati tiga biji mini pavlova di dalamnya lama. Apa bezanya pavlova ini dengan yang ada di pasaran? Megat Talhah lihat sama saja bentuknya dengan pavlova lain. Nampak rangup teksturnya tapi gebu di dalam, dihiasi strawberi, anggur dan kiwi di atasnya.
            Hmmm. Dah Ati cakap sedap, mungkin betul gamaknya. Ati itu tentu tahu aku tak suka manis sangat. Megat Talhah mengambil pavlova itu dan disuakan ke mulut tanpa berfikir dua kali.
            Mata Megat Talhah sedikit membulat saat deria rasanya memberi signal cetusan gabungan rasa manis gebu berkrim dan masam-masam buah itu.
Sedap! Puji Megat Talhah sendiri. Tak pernah dia rasa pavlova yang sebegini. Selalu kalau dia makan pavlova, itupun setelah dipaksa Melissa untuk merasa, mesti dia rasa tak kena dengan seleranya. Kadang manis sangat, kadang masam sangat tapi pavlova ini cukup sempurna baginya. Rasa masam dan manisnya sekata, salah satu darinya tidak dominan membuatkan ianya saling melengkapi.
Memang layak masuk peti makanan butik Talqisya yang mementingkan kualiti ini. Tapi lepas kena sound setepek dengan aku tadi, belum tentu dia berani datang sini lagi esok. Megat Talhah memikir sendiri sambil mengurut janggutnya yang sejemput.
Ah kalau dia datang esok kira rezeki dialah, kalau tak datang anggap saja tak ada rezeki. Senang cerita! Megat Talhah menyua sebahagian lagi pavlova itu ke mulutnya. Ah sedap!

MELISSA menghenyak punggungnya ke kerusi dengan rasa sebal sebaik dia kembali ke Mellia, butik pakaian miliknya berdekatan butik Talqisya. Tak habis-habis dengan masalah, entah bila semua masalah ini akan selesai dia sendiri pun tidak tahu. Keluhan berat keluar dari bibirnya yang bercalit lipstik berwarna merah jambu itu.
            “Amboi, balik dari jumpa kekasih hati pun mengeluh sampai macam tu sekali?” Julia menyoal sebaik dia menghampiri Melissa di tempatnya.
            Melissa berpaling memandang Julia sebelum sekali lagi dia mengeluh.
            “Macam mana tak mengeluh kalau asal jumpa saja bergaduh. Pening dah kepala aku ni.” Melissa mendengus, geram bila teringatkan kembali pertemuannya dengan Megat Talhah yang hanya berakhir dengan rasa sebal di hati.
            “Apa pulak masalahnya kali ni?” Julia menyoal, prihatin.
            Melissa berpaling memandang sahabat baik merangkap rakan kongsinya itu sebelum mengangkat bahu.
“Entahlah, Tal tu emo semacam. Mengalahkan perempuan PMS!”
“Dia ajak kau kahwin lagi ke?” Julia melipat lengannya rapat ke dada.
“Macam biasalah, beb. Tak habis-habis.”
Julia berjeda lama sebelum memandang ke arah Melissa semula.
“Habis tu, kau memang tak nak kahwin ke dengan dia? Aku rasa kau orang dah lama kawan kan?”
“Ya, dah dua tahun, beb. Tapi dia kena faham, aku tak boleh nak kahwin dengan dia sekarang ni. Banyak benda aku kena fikir, mummy dengan daddy aku memang confirm tak restu punyalah.”
“Sebab anak saudara dia yang lumpuh tu kan?” Julia pantas menebak.
Melissa terdiam, sedar Julia tahu segalanya tentang dia dan Megat Talhah. Perlahan dia mengangguk.
“Tal memang jaga anak buah dia tu, kalau aku kahwin dengan dia, confirmlah aku kena duduk dengan anak buah dia sekali. Maksudnya lepas ni aku pun kena jaga dia sama. Kau pun fahamkan, mak ayah mana yang sanggup tengok anaknya kena jadi penjaga orang sakit lepas kahwin.”
“Mana kau tahu kau kena jaga anak saudara dia tu? Kan anak saudara dia dah besar panjang, baya-baya kita je. Dari cerita kau sebelum ni pun, aku rasa dia jenis berdikari je tak ada nak susahkan pak cik dia, dia siap drive sendiri kan. Kalau kau kahwin dengan Tal tu, tak adanya kau kena jaga dia.”
Melissa menghela nafasnya, tubuhnya disandarkan pada kerusi.
“Cakap senanglah, beb. Tapi nak meyakinkan keluarga aku dan nak sediakan diri aku dari segi mental dan fizikal tu payah okay.”
“Macam-macamlah kau ni. Kalau kau rasa tak sanggup, baik kau putuskan saja hubungan kau dengan dia. Buat apa kau teruskan kalau hubungan ni tak ada hala tuju.”
Melissa menelan liur, terasa berat menerima kata-kata Julia itu.
“Tapi aku sayangkan dia, Julia.” Melissa mengetap bibir bawah, menahan rasa yang berbaur.
Julia sekadar menggelengkan kepalanya, susah bercakap dengan orang yang degil begini. Sayang tapi tak sanggup berkorban, suruh tinggalkan tak rela pulak. Hesy!

Suka? =)

3 comments:

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!

Lintas Lansung dari Penulisan2u