Aku
tunduk saja memandang lantai, langsung tidak memandang ke atas. Tadi di dalam
kereta pun aku diam saja, ayah di sebelah Hadif juga diam seperti kebiasaannya,
cuma emak dan Ameena yang banyak berceloteh bertanya Hadif itu dan ini. Jantung
aku berdebar-debar tak mahu surut. Di sebelah aku, Hadif duduk selang dua
kerusi dari aku, dan di depan, pintu bilik tok kadi. Arghh!
Pejabat
kadi itu lengang saja hari ini, cuma ada dua tiga pasangan yang menanti giliran
untuk berjumpa tok kadi bagi meminta tandatangan pengesahan, tapi apa yang
paling menakutkan aku, pastilah soalan-soalan dari tok kadi yang berkisar perihal
fardu ain. Ahh! Bukan aku tak reti fardu ain, emak dan ayah sudah memberi
didikan agama yang secukupnya pada aku, cuma aku ni darah gemuruh. Haish. Kalau
aku tahu jawapan pun, bila ditanya secara tiba-tiba, hilang terus jawapan aku.
Adeh.
“Tak
perlu takut, abang pasti Deeba boleh jawab semua soalan tok kadi.” Suara itu
tiba-tiba berbisik kecil, membuatkan aku tergamam, tahu saja dia apa yang
sedang merungsingkan aku saat ini. Aku pandang ke tepi. Hadif sedang senyum
pada aku. Aku membalas senyumannya tawar, sebelum kembali menunduk. Tidak mahu
menambah debaran di dada aku dengan merenung wajahnya lama.
Jantung
aku terasa memecut laju saat giliranku kian hampir, apabila hampir kesemua
pasangan selesai berurusan dengan tok kadi. Mulutku terkumat-kamit membaca
zikir, bagi menenangkan hatiku sebelum aku melangkah masuk ke dalam bilik tok
kadi mengekori ayah yang terlebih dahulu melangkah.
“Macam
mana kak? Senang tak soalan tok kadi tadi?” Ameena terus menyoal, teruja sebaik
aku keluar dari bilik tok kadi, sepuluh minit kemudian.
Aku
geleng kepala.
“Kenapa
cepat sangat keluar?” giliran emak pula menyoal ingin tahu. Aku tersenyum
memandang emak.
“Tok
kadi tak soal apapun, dia terus tandatangan borang. Lepas tu sembang
sikit-sikit, lepas tu habis.”
“Wah
senangnya macam tu, kak.” Ameena tersengih.
Aku
senyum makin lebar, lega bila segala urusanku dipermudahkan Allah. Hadif turut
tersenyum padaku saat aku terpandangkannya, membuatkan debaran dadaku kembali
semula. Adoii! Baru je nak rasa lega, Encik Hadif ni buat jantung aku berlari
balik. Penat la jantung aku nanti.
“Kan
abang dah cakap, Deeba mesti boleh punya.” Hadif tiba-tiba berbisik padaku saat
kami sedang bergerak menuju ke keretanya usai segala urusan di pejabat tok
kadi.
Aku
cuma diam, segan hendak berkata-kata. Wajahnya cuma kujeling sekilas.
“Lagi
sebulan, Deeba bakal menjadi suri di hati abang. Abang berdoa semoga segala
urusan kita akan berjalan lancar, dan tidak akan ada halangan yang akan
merencatkan perjalanan abang untuk memiliki Deeba. Amin...” dia sekali lagi
berbisik sebelum mencepatkan langkahnya dan membuka pintu kereta untuk kami
semua. Aku gumam. Dia seolah begitu tidak sabar untuk menempuh alam perkahwinan
ini, sedangkan aku? Aku masih tidak bisa percaya yang lelaki seperti Hadif
dengan rela hatinya bisa menerima aku. Seakan ada satu perasaan yang masih
meragui keikhlasan hati Hadif. Adakah patut kuusir rasa curiga ini jauh-jauh
atau biarkan saja ia di situ, agar bisa aku berhati-hati selepas ini?
Sepanjang
perjalanan, aku asyik terngiang kata-kata Hadif, ligat menimbang keikhlasan
dari kata-kata itu tadi. Apapun lagi sebulan aku akan menjadi milik dia. Arghh!
Sebulan kemudian, majlis perkahwinan aku dan Hadif
berlangsung. Dengan sekali lafaz, aku sudah sah menjadi milik Hadif Harith bin
Hambali. Alangkah syahdunya rasa hati ini sebaik tok kadi dan saksi mengesahkan
lafaz akad dari Hadif, dan aku sudah selamat menjadi isterinya. Hadif yang
segak mengenakan baju melayu putih bersulam warna merah jambu, kelihatan begitu
segak sekali, dan sedondon dengan aku yang berbusana nikah rona serupa. Dia
menjeling aku saat kami menadah tangan untuk berdoa. Aku cuba tidak menunjukkan
sebarang riak walaupun perasaanku brcampur baur, ada suka ada duka.
Sebaik selesai berdoa, aku pantas memeluk emak yang sedang
duduk di sisiku, air mata yang aku halang dari berjuraian, tumpah jua sebaik
kehangatan tubuh emak meresap dalam jiwa aku. Aku rasa cukup tersentuh, akhirnya
sudah selesai tanggungjawab emak dan ayah padaku dan aku kini atas tanggungan
suamiku semata-mata. Ah betapa cepatnya masa berlalu.
“Dah-dah, jangan menangis, nanti cair maskara.” Emak sempat
berseloroh, sambil tangannya menyeka pipiku dengan tisu di tangannya. Pandai
emak memberi nasihat, padahal dia sendiri terlebih dahulu berhujan air mata.
Emak emak...
Aku bangun bersolat sunat, setelah selesai bersalam dengan
saudara mara. Dari awal lagi, aku sudah mengambil wuduk, sebelum dimekapkan.
Hadif juga sudah terlebih dahulu mengerjakan solat. Saat dahi mencecah sejadah
pada rakaat terakhir, aku berdoa semoga perkahwinan ini akan diberkati Allah
dan kebahagiaan akan menjadi milik aku sampai syurga. Aku mengusap wajah, usai
memberi salam, lalu pantas memandang ke depan. Hadif berpaling memandangku,
usai dia berdoa. Mata kami bertautan dan bibirnya lekas menguntum senyum. Aku
terkesima.
Aku diam, saat Hadif duduk menghadapku, bagi upacara
membatalkan air sembahyang. Wajahnya yang kacak lebih kelihatan segak dengan
songkok tersarung kemas di kepala. Aku jadi segan untuk memandangnya lama,
walaupun dia sudah halal untuk aku.
Aku dapat rasakan, tanganku sedingin ais saat itu, jantungku
bagaikan sudah bercelaru rentaknya sebaik mataku memandang Hadif. Hadif apatah
lagi, langsung tidak mengalih pandang memandang aku. Haish!
“Ok, jangan dok renung dia saja. Salam suami tu, cepat.”
Arahan dari jurugambar yang diupah pihak kami itu, menyedarkan aku. Wajahku
merona merah, sengaja betul jurugambar itu mengkantoikan aku. Hadif yang
mendengar kata itu, turut ketawa kecil, membuatkan wajahku terasa hangat
sekali.
Aku hulur tanganku lambat-lambat, Hadif menyambut tanganku
dengan pantas. Kehangatan tangannya sedikit meredakan kedinginan tanganku yang
seperti sudah berada di Kutub Utara. Aku cium tangannya itu, lama hingga aku
rasakan sudah tidak ada cahaya dari kamera yang berkelip sebelum mengangkat
wajahku semula. Hadif mengukir senyum, sebelum mula mendekatkan dirinya padaku.
Dahi aku dikucup lembut, dan lama, hinggakan aku terasa seolah wajahku sudah
kebas, menahan rasa malu.
Aku berdiri di depan dewan di mana majlis perkahwinanku
berlangsung. Rombongan pengantin yang tiba diarak dengan bunga manggar dan
paluan kompang. Dadaku rasa sangat berdebar, asyik memikirkan beratus orang
yang ada di dalam dewan, bagaimana agaknya rasa mereka apabila melihat aku dan
Hadif? pasti ada kata-kata yang tidak sedap didengar nanti.
Sejak dari majlis pertunangan aku dulu lagi pun orang sudah
berkata macam-macam sampaikan perihal aku dan Hadif menjadi buah mulut orang di
kawasan perumahan kami termasuklah anak-anak dara yang begitu cemburukan aku
kerana mendapat lelaki sekacak Hadif. Mereka semua tidak berpuas hati hinggakan
ada yang menuduh emak mengamalkan ilmu sesat supaya aku mendapat jodoh yang
hampir sempurna seperti Hadif. Nauzubillah!
Aku sebenarnya malu, malu hendak bergambar dengan Hadif, malu
hendak makan berhidang, malu hendak duduk di pelamin namun aku cuba
menyembunyikan perasaan aku ini dengan menebalkan muka walaupun entah semerah
mana wajahku saat ini, aku sendiri tidak pasti.
“Deeba nampak cantik sangat hari ini,” kata-kata yang Hadif
bisikkan padaku, membuatkan aku tersedar dari memikirkan pelbagai perkara yang
tak henti menganggu ketenangan aku saat ini. Wajah Hadif di sisi, aku pandang,
lama. Hadif seperti biasa mengukir senyum.
“Dah sedia?” Hadif menyoal, namun aku tidak sempat membalas,
apabila dia tiba-tiba saja menggenggam jemariku, erat. Dengan langkah yang
berat, aku mengikut langkah Hadif, berjalan beriringan dengannya untuk masuk ke
dalam dewan.
Ah pedulikan saja renungan mata mereka yang macam nak
membunuh aku tu. Bismillah...
kesian deeba, dgn persoalan2, eh ikhlas ke si hadif tu? crita ni lain sikit. tak dpt nak pastikan apa akan jadi hmmmmm i tunggu nxt n3 ya
ReplyDeletesabar lah Deeba.. jodoh tk mgenal rupa paras. perempuan cantik pun rmai yg kahwin degn lelaki tak brape nak handsome. diorang mgumpat tu sbb jeles lah . sibuk je.. perempuan yg lebih cantik drp selena gomez pun, kalau mulut tempayang bt apa...
ReplyDeletesya pon gemuk....sbar ea deeba
ReplyDeletesya gmok jgak kta gang erkk deeba
ReplyDeletebest citer ni..sy dh ikuti sumer tulisan awak..
ReplyDeletekita same size la deeba !!
ReplyDelete