Thursday, January 14, 2016

Novel : Angin Cinta Bab 1

Bab 1
PAGI itu sibuk seperti biasa bagi seorang KK, tak ada istilah berehat bagi seorang workaholic sepertinya kerana baginya setiap masa yang berjalan adalah duit. Kalau bukan kerana usahanya bekerja, dia tidak akan bisa berada di tempatnya sekarang. Seorang usahawan berjaya yang disegani ramai pihak.
            Tak ramai usahawan yang bermula dari bawah sepertinya hingga dia berjaya sekarang. Selalunya mereka itu memang lahir-lahir saja sudah berada di dalam dulang emas, tetapi tidak KK. Sedari kecil memang impiannya mahu menjadi seorang jutawan walau dia hanya lahir dari keluarga sederhana. Kerana itu KK berusaha untuk meletakkan dirinya sama taraf dengan usahawan berjaya yang lain dengan memecah keringat dan berusaha habis-habisan demi sebuah impian dan Alhamdulillah kini KK berjaya tanpa perlu join MLM. Opps.
            Bagi KK, tidak ada satu pun kekurangan dalam kehidupannya sekarang, semua dia ada, wang, harta, kebahagian, cinta. Eh cinta? Mungkin cinta dari keluarga dan kawan-kawan, KK sudah punya apatah lagi bila dia bergelar orang ada-ada, ramai saja yang rela menghulurkan sebuah cinta tanpa dipaksa. Tapi cinta yang ikhlas dari seorang wanita? Itu KK masih belum jumpa. Entah di mana dia nak cari, dia sendiri tidak pasti. Haih!

“ADUH!” KK mengaduh kesakitan saat kepalanya terhantuk pada pintu kaca di hadapannya itu. Itulah menerawang tak ingat dunia sampaikan pintu yang tertutup rapat pun dia main serbu saja.
            Ada tawa yang kedengaran dari belakang KK membuatkan jejaka itu pantas berpaling. Beberapa orang wanita sedang berada di belakangnya, pasti mereka nampak kejadian tadi hingga tawa mereka pecah begitu. Masing-masing cuba mengawal tawa dengan menutup mulut.
“Kejap ya, Encik. Saya bukakan pintu.” Seorang gadis mampir ke depan dan menalakan kad pekerjanya ke arah alat scan sebelum dia menolak daun pintu dan mempersilakan KK masuk.
“Silakan, Encik.” Gadis itu tersenyum, Masya-Allah KK terkesima. Entah kenapa dia terasa jantungnya bagai berhenti berdetak, senyuman gadis itu terasa manis sekali di matanya. KK bagai dipukau.
“Te... terima kasih...” tergagap KK bersuara sebelum dia menerobos masuk ke dalam pejabat itu, mahu bertemu dengan Johan, pemilik syarikat tersebut yang juga merupakan sahabat baiknya yang banyak memberi nasihat dan dorongan kepadanya selama ini.

“KAU ni dah kenapa? Terjenguk-jenguk dekat luar tu?” Johan menyoal saat melihat mata KK masih mengintai ke luar. KK tersengih sebelum mengambil duduk di hadapan Johan.
            “Tak ada, aku tengok keadaan pejabat kau ni. Selama kita berkawan, ni pertama kali aku datang sini kan? Itu yang excited sikit.” KK memberi alasan padahal matanya mencari kelibat gadis tadi.
            “Yelah, aku ajak datang sini bincang projek kita, kau asyik busy saja.”
            “Sorrylah, kau pun tahu banyak benda aku kena handle dekat syarikat tu. Akulah CEO, aku jugaklah kuli. Tapi kalau aku tahu cantiknya office kau ni, dah lama dah aku datang.” KK tersenyum penuh makna membuatkan kening Johan terangkat, tidak mengerti.
            “Maksud kau?”
            “Eh tak ada apalah, Johan.” KK segera mengalihkan perhatian Johan, risau dia terlepas cakap perkara yang tidak sepatutnya. Datang pejabat orang bukannya nak bincang projek, tapi dok ushar awek. Malu KK kalau Johan tahu. KK the Great ni takkan senang-senang tunjuk kelemahan diri dialah, apatah lagi kalau berkaitan dengan perempuan. Bab tu KK tak pernah kalah lagi ok.

KK keluar dari bilik Johan ditemani sahabatnya itu, sambil itu mata KK masih memerhati sekeliling, mencari meja kerja gadis tadi. Mata KK tiba-tiba tertancap pada satu meja di hujung sana yang diduduki gadis itu, hatinya tiba-tiba rasa berbunga riang. Pantas saja dia mendekati satu meja yang paling hampir dengannya.
            “Kak...” panggilnya pada seorang wanita yang kelihatan lebih berusia dari dia.
            “Ya...” Kak Mona menjawab saat matanya memandang KK. KK tersengih sebelum bersuara.
            “Saya nak mintak kertas dengan pen boleh?”
            Kak Mona terpinga-pinga sebelum dia mencapai sticky note berwarna kuning dan pennya sebelum di hulur kepada KK. KK mencapai pen dan kertas itu sebelum mencatit sesuatu dan menghulurkan kembali keduanya kepada Kak Mona.
            “Err akak nanti tolong pass dekat perempuan hujung tu ya. Terima kasih!” KK menunjuk ke arah gadis yang menangkap pandangan matanya tadi.
            “Oh Irika ke? Ok nanti akak bagi.”
            Irika? Cantiknya nama dia, secantik orangnya!
“Terima kasih ya kak.” KK tersengih sendiri sambil matanya mengerling ke arah gadis bernama Irika itu semula sebelum dia berlalu mengikut Johan yang sudah laju melangkah.

“IRIKA, mamat dari Kay Kay Holding tadi ada tinggalkan nota dekat kau.” Kak Mona menghulur sekeping nota berwarna kuning yang dilipat dua. Dia membuka nota tersebut dengan hati yang tertanya-tanya, apa pula urusan lelaki tadi sampaikan bernota segala dengannya?
Mata Irika membulat saat melihat hanya nombor yang tertera di atas kertas nota tersebut bersama dua perkataan, KK. Cepat-cepat dia merenyukkan kertas tersebut sebelum dibuang ke dalam tong sampah.
“Nota apa tu, Irika?” Kak Mona masih belum berganjak dari meja Irika. Irika tersenyum sebelum menggeleng.
“Tak ada apa kak. Tak penting pun.”
“Dia nak mengorat kamu ya, Irika?” Kak Mona tersengih-sengih membuatkan mata Irika membuntang memandang kak Mona.
“Ish mana ada, kak!” laju saja Irika menafikan walau sudah jelas mamat tadi nak bagi nombor telefonnya pada Irika. Cis tak malu betul! Ingat aku ni wanita murahan? Huh! Irika mendengus sendiri.
“Eh ok apa mamat tadi, smart saja gaya dia, hidung terletak lagi.” Kak Mona ketawa kecil.
“Eh tak naklah saya kak.” Irika cepat-cepat menolak. Bukan prinsip dia untuk menerima cinta dengan mudahnya. Irika takkan senang-senang melayan lelaki tanpa sebab.
“Akak tengok tadi dia asyik pandang kamu saja, Irika. Apa yang kamu dah jampi dekat dia eh? Tapi akak tak salahkan dia, memang ramai berkenan dekat kamu cuma kamu saja yang asyik menolak. Lelaki jenis mana entah yang kamu nak? Jangan memilih sangat Irika, yang ini pun akak tengok elok saja orangnya. Macam ada gaya korporat.”

“Gaya korporat? Macam bangla adalah saya tengok.Tak hinginlah saya, Kak Mona oi!” Lancar saja mulut Irika bersuara tanpa sedar ada mata yang memerhatinya saat itu.

No comments:

Post a Comment

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!