Bab 2
MEGAT Talhah mendengus nafasnya
untuk kesekian kali. Wajah Melissa di hadapannya itu direnung tajam. Model
hijabista yang berbulu mata lentik dan bermata galak itu masih tersenyum
memandangnya.
“You tahu kan, I sayangkan you.”
Ucap gadis itu, cuba memegang tangan Megat Talhah namun laju sahaja lelaki itu
menariknya.
“Sayang you tu tak cukup,
Melissa.”
Megat Talhah membuang pandang ke
arah chandelier di dalam restoran mewah itu, serabut memikirkan masalah yang
tidak selesai-selesai.
“Apa lagi yang you nak I buat untuk
buktikan I memang sayangkan you?” Melissa menyoal dengan dahinya yang
sudah berkerut.
“Kahwin dengan I! Berapa kali I nak
cakap?” Megat Talhah membentak.
Melissa tergamam mendengar kata-kata
Megat Talhah. Perlahan dia menunduk merenung makanannya yang masih tidak luak
sedari tadi. Spageti Aglio Olio itu dikuis-kuis dengan garfu, cuba mencari ayat
yang sesuai untuk memujuk kekasih hatinya itu.
“Tal, you kan tahu I tak boleh.
Bukan I tak nak, tapi... keadaan tak mengizinkan.”
“I dah tiga puluh tujuh tahun, Mel. Sampai
bila lagi I kena bersabar? Kalau you memang tak boleh kahwin dengan I,
jangan buang masa kita berdua. Tinggalkan saja I ni, jangan bagi harapan dah.”
“Tal... I memang nak kahwin dengan you,
tapi you know kan, my family tak restu hubungan kita. Berapa kali
I nak terangkan?”
“Family you tak restu
atau you sendiri yang tak sanggup hidup dengan I disebabkan Qisya?”
Melissa mengetap bibir. Lama dia
diam sebelum dia mendengus kasar.
“Ikut suka hati youlah nak
fikir apa. I malas nak bertekak lagi. I balik office dulu.” Melissa
bingkas bangun meninggalkan Megat Talhah yang masih serabut, memikirkan rawan
hatinya.
MEGAT Talhah meraup wajahnya
beberapa kali sebelum melepaskan keluhan yang berat mencengkam jiwanya saat
itu. Kejadian tadi kembali menerjah kepalanya, tak pasal-pasal seharian dia bad
mood hari ini sampaikan budak yang nak mohon jadi vendor tadi pun dah kena sedas
dengan dia. Istighfar Tal, jangan ikutkan perasaan sangat.
Megat Talhah bingkas keluar dari
bilik pejabatnya sebelum membelek pelbagai jenis pakaian yang bergantungan di
rak-rak yang tersusun kemas dan elok teratur di dalam butik eksklusif itu. Dia
yang memang teliti di dalam kerjanya, mahu memastikan tidak ada sebarang cacat
cela terhadap produk yang dipamerkan di butiknya itu. Stok pakaian dari jenama
terkenal atas talian yang baru tiba dan sedang disusun oleh pekerjanya saat
itu, diperhatikan dengan cermat sebelum dia beralih pula kepada sudut lain di
dalam butiknya itu.
“Encik
Megat!” suara seseorang memanggil membuatkan Megat Talhah memanjangkan
lehernya, mencari arah suara itu. Ati yang sedang berada di kaunter,
melambai-lambai ke arah Megat Talhah.
Megat
Talhah melangkah dengan teratur menghampiri kaunter sebelum memandang ibu muda
beranak dua itu dengan rasa ingin tahu. Beria benar Ati memanggilnya tadi.
“Ada apa, Ati?”
Ketua pembantu butik merangkap
pembantu peribadinya itu tersengih. Tangannya menggapai sesuatu dari bawah
kaunter sebelum menghulurkannya kepada Megat Talhah.
“Ini Encik Megat, Encik Megat tak
nak rasa ke? Sedap gila!”
Megat Talhah memandang kotak pavlova
yang dihulurkan sebelum matanya beralih ke arah Ati semula.
“Ati, awak tahu kan saya tak suka
benda manis?”
“Ya tahu sangat dah, Encik Megat.
Tapi yang ini lain, just nice. Cubalah rasa dulu.” Ati begitu
bersemangat menghulurkan pavlova itu kepada Megat Talhah membuatkan lelaki itu mengambil
kotak itu lambat-lambat walau wajahnya jelas skeptikal.
“Yelah, nanti saya rasa. Itu saja
sebabnya awak panggil saya?” Megat Talhah mengangkat kening dengan rasa tidak
percaya.
“Errr ya Encik Megat. Sorry!”
Ati tersengih.
Megat Talhah menggelengkan kepalanya
sebelum bingkas mengatur langkah ke biliknya semula. Ati memandang bosnya itu
berlalu pergi dengan senyuman yang masih tidak lekang.
MEGAT Talhah membuka kotak yang
diberi Ati tadi sebelum memerhati tiga biji mini pavlova di dalamnya lama. Apa
bezanya pavlova ini dengan yang ada di pasaran? Megat Talhah lihat sama saja
bentuknya dengan pavlova lain. Nampak rangup teksturnya tapi gebu di dalam,
dihiasi strawberi, anggur dan kiwi di atasnya.
Hmmm.
Dah Ati cakap sedap, mungkin betul gamaknya. Ati itu tentu tahu aku tak suka
manis sangat. Megat Talhah mengambil pavlova itu dan disuakan ke mulut tanpa
berfikir dua kali.
Mata
Megat Talhah sedikit membulat saat deria rasanya memberi signal cetusan
gabungan rasa manis gebu berkrim dan masam-masam buah itu.
Sedap! Puji Megat Talhah sendiri. Tak
pernah dia rasa pavlova yang sebegini. Selalu kalau dia makan pavlova, itupun
setelah dipaksa Melissa untuk merasa, mesti dia rasa tak kena dengan seleranya.
Kadang manis sangat, kadang masam sangat tapi pavlova ini cukup sempurna baginya.
Rasa masam dan manisnya sekata, salah satu darinya tidak dominan membuatkan
ianya saling melengkapi.
Memang layak masuk peti makanan
butik Talqisya yang mementingkan kualiti ini. Tapi lepas kena sound setepek
dengan aku tadi, belum tentu dia berani datang sini lagi esok. Megat Talhah memikir
sendiri sambil mengurut janggutnya yang sejemput.
Ah kalau dia datang esok kira rezeki
dialah, kalau tak datang anggap saja tak ada rezeki. Senang cerita! Megat
Talhah menyua sebahagian lagi pavlova itu ke mulutnya. Ah sedap!
MELISSA menghenyak punggungnya ke
kerusi dengan rasa sebal sebaik dia kembali ke Mellia, butik pakaian miliknya
berdekatan butik Talqisya. Tak habis-habis dengan masalah, entah bila semua
masalah ini akan selesai dia sendiri pun tidak tahu. Keluhan berat keluar dari
bibirnya yang bercalit lipstik berwarna merah jambu itu.
“Amboi,
balik dari jumpa kekasih hati pun mengeluh sampai macam tu sekali?” Julia menyoal
sebaik dia menghampiri Melissa di tempatnya.
Melissa
berpaling memandang Julia sebelum sekali lagi dia mengeluh.
“Macam
mana tak mengeluh kalau asal jumpa saja bergaduh. Pening dah kepala aku ni.”
Melissa mendengus, geram bila teringatkan kembali pertemuannya dengan Megat
Talhah yang hanya berakhir dengan rasa sebal di hati.
“Apa
pulak masalahnya kali ni?” Julia menyoal, prihatin.
Melissa
berpaling memandang sahabat baik merangkap rakan kongsinya itu sebelum
mengangkat bahu.
“Entahlah, Tal tu emo semacam.
Mengalahkan perempuan PMS!”
“Dia ajak kau kahwin lagi ke?” Julia
melipat lengannya rapat ke dada.
“Macam biasalah, beb. Tak
habis-habis.”
Julia berjeda lama sebelum memandang
ke arah Melissa semula.
“Habis tu, kau memang tak nak kahwin
ke dengan dia? Aku rasa kau orang dah lama kawan kan?”
“Ya, dah dua tahun, beb. Tapi dia
kena faham, aku tak boleh nak kahwin dengan dia sekarang ni. Banyak benda aku
kena fikir, mummy dengan daddy aku memang confirm tak
restu punyalah.”
“Sebab anak saudara dia yang lumpuh
tu kan?” Julia pantas menebak.
Melissa terdiam, sedar Julia tahu
segalanya tentang dia dan Megat Talhah. Perlahan dia mengangguk.
“Tal memang jaga anak buah dia tu,
kalau aku kahwin dengan dia, confirmlah aku kena duduk dengan anak buah
dia sekali. Maksudnya lepas ni aku pun kena jaga dia sama. Kau pun fahamkan,
mak ayah mana yang sanggup tengok anaknya kena jadi penjaga orang sakit lepas
kahwin.”
“Mana kau tahu kau kena jaga anak
saudara dia tu? Kan anak saudara dia dah besar panjang, baya-baya kita je. Dari
cerita kau sebelum ni pun, aku rasa dia jenis berdikari je tak ada nak susahkan
pak cik dia, dia siap drive sendiri kan. Kalau kau kahwin dengan Tal tu,
tak adanya kau kena jaga dia.”
Melissa menghela nafasnya, tubuhnya
disandarkan pada kerusi.
“Cakap senanglah, beb. Tapi nak
meyakinkan keluarga aku dan nak sediakan diri aku dari segi mental dan fizikal
tu payah okay.”
“Macam-macamlah kau ni. Kalau kau
rasa tak sanggup, baik kau putuskan saja hubungan kau dengan dia. Buat apa kau
teruskan kalau hubungan ni tak ada hala tuju.”
Melissa menelan liur, terasa berat
menerima kata-kata Julia itu.
“Tapi aku sayangkan dia, Julia.”
Melissa mengetap bibir bawah, menahan rasa yang berbaur.
Julia sekadar menggelengkan kepalanya, susah
bercakap dengan orang yang degil begini. Sayang tapi tak sanggup berkorban,
suruh tinggalkan tak rela pulak. Hesy!
Terbaik 👍🏼 👍🏼
ReplyDeletecite sweet as tajuk dia.
ReplyDeletepelik
ReplyDeleteSaya suka...
ReplyDeletelove from indonesia :)
ReplyDelete