Friday, March 9, 2012

Novel : Kalimah Cinta Bab 24


Air mata ini laju menuruni pipiku, aku tidak bisa menyekanya lagi. Berjaga sepanjang malam di sisi Safwan, bukanlah satu perkara yang kuat untuk aku lakukan, namun apabila memikirkan hanya detik ini saja yang tinggal sebelum dia pergi tinggalkan aku, aku gagahkan diri juga untuk menunggu, duduk di sisinya.

Ibu Safwan juga ada di sisi, mengusap-usap kepala Safwan dan berbisik kecil, seperti bersembang dengan anak lelakinya itu, ah betapa runtunnya hatiku ini melihat kecekalan ibunya sedangkan aku tidak mampu untuk sekuat itu.

Yasin yang sudah berkali kuulang baca, aku khatamkan sekali lagi. Kata orang, kesengsaraan orang akan pulih dengan bacaan Yasin. Aku berharap sangat yang derita Safwan akan kurang dengan lantunan ayat suci ini.

Jam sudah menginjak ke angka tiga pagi, namun mata ini tidak betah untuk tidur di saat insan yang aku kasihi bakal tidur buat selamanya. Ibu Safwan bangun tiba-tiba, lalu perlahan mendekati aku.

“Ila tidurlah dulu. Jangan paksa mata tu.” Lembut suara seorang ibu yang bakal kehilangan anaknya buat selamanya itu berbisik di telingaku. Aku sambut kata-katanya itu dengan gelengan dan senyuman tawar.

“Tak apa mak cik, saya boleh bertahan lagi ni.”

Ibu Safwan menepuk lembut bahuku, sebelum dia berlalu ke sofa, ingin melelapkan matanya barangkali. Tapi aku tahu, dia tidak akan bisa lena di saat anaknya hampir menemui ajal.

“Mak cik, saya keluar ke musolla sekejap ya, nak solat hajat.” Aku meminta diri saat bacaan Yasin yang entah ke berapa kalinya, aku habiskan.

Permintaan aku itu dibalas dengan anggukan dari mata yang kelihatan begitu letih dan sugul itu. Matanya dipejam semula di atas sofa itu, dan titisan air mata kelihatan menuruni pipi tua itu.
-----------------------------------------------------------
“Ya Allah, aku sedar, aku hamba yang tidak berhenti meminta dariMu. Maafkan hambaMu ini yang tidak jemu meminta ya Allah. Namun aku berharap agar doaku kali ini akan dimakbulkanMu ya Allah. Ya Allah ya tuhanku, andai telah Kau takdirkan ajal Safwan sudah tiba, ambillah dia kembali ke sisiMu dengan cara yang sebaiknya ya Allah. Aku redha andai dia bukanlah jodoh yang tertulis buatku di Loh Mahfuz. Janganlah seksa lagi dirinya ya Allah. hilangkan segala penderitaan Safwan, dan kembalikan ketenangan padanya ya Allah. padaMu aku meminta, dan padaMu jua tempatku memohon. Amin ya rabbal a’lamin.”

Wajahku kuraup, menyeka air mata yang sudah laju menuruni pipi kala itu. Tubuh aku terasa begitu letih sekali, mataku kupejam seketika. Cuba merehatkan mata yang sudah begitu banyak menitiskan air mata itu.

Saat aku buka mata, aku lihat seseorang berdiri di hadapanku, jauh hingga aku sukar melihatnya. Semakin lama, susuk tubuh itu semakin dekat hingga akhirnya aku dapat melihat wajah itu.

“Safwan! Wan!” aku tersenyum lalu menjerit namanya.

Safwan tersenyum, manis sekali. Wajahnya berseri, bajunya putih bersih, harum tubuhnya sukar digambarkan dengan kata-kata. Air mataku menitis kembali saat melihat insan yang kurindui itu sudah terjaga dari sakitnya.

“Wan! Ila... Ila rindukan Wan.”

Safwan senyum lagi.

“Ila, lepas ni Wan akan pergi jauh. Ila jaga diri ya.” Dia tiba-tiba bersuara.

Air mataku kian deras mengalir.

“Wan nak ke mana? Wan tak boleh pergi!”

“Allah telah takdirkan, jodoh kita cuma setakat ni Ila. Ila jangan pernah sesali apa yang berlaku. Tolong doakan Wan selalu ya. Ingat Wan sampai bila-bila tapi jangan lupa untuk cari kebahagiaan untuk diri Ila juga. Janji ya Ila.”

Aku mengangguk biarpun air mata sudah mengaburi pemandanganku.

“Ila janji...” aku bersuara perlahan, hampir tidak kedengaran.

“Assalammualaikum Ila...” lembut dia member salam dan tersenyum kembali, sebelum perlahan dia berjalan menjauhiku.

“Wan...” aku memanggil namun dia langsung tidak berpaling.

“Wan!!!” aku menjerit sekuat hati, hingga akhirnya aku tersedar.

“Astaghfirullah hal azim...” aku beristighfar sebaik melihat diriku yang masih berada di dalam musolla, masih bertelekung, di atas tikar sejadah.

Aku raup wajah yang sudah basah dengan peluh dan air mata yang berlinang tak henti, mengemas tempat solatku sebelum pantas keluar dari musolla itu. Aku harus cepat pergi pada Safwan!
--------------------------------------------------------
Sebaik tiba semula di dalam bilik, aku lihat doktor dan beberapa orang jururawat sedang mengerumuni katil Safwan. Apa yang telah terjadi?

“Dada Safwan berombak kencang tadi Ila, mak cik takut, sebab tu mak cik cepat-cepat panggil doktor.” Ibu Safwan bersuara tanpa ditanya, sebaik melihat aku terpinga-pinga di situ.

Katil Safwan pantas aku dekati.

“Safwan! Wan!!!” aku memanggil Safwan dengan bersungguh.

“Ila, sabar Ila. Kami tengah berusaha untuk selamatkan dia.” Iman yang sejak tadi ada di situ, pantas menenangkan aku.

Bunyi mesin hayat yang berdetak laju dan tidak sekata, tambah menakutkan aku. Desahan nafas Safwan turun naik saat doktor memeriksanya. Aku beristighfar di dalam hati, cuba menenangkan hati yang gundah.

Dada yang berombak itu perlahan-lahan mula surut, lalu tiba-tiba berhenti. Aku mengetap bibir, air mata mula berjuraian. Tak mungkin!

Aku terduduk di lantai hospital, tergamam. 

“Innalillah....” hanya ucapan itu mampu kuungkap sebaik Iman memandang wajahku dengan gelengan perlahan.

Suara esakan ibu Safwan dan ahli keluarganya, tidak kuendahkan. Aku terdiam, hati ini ingin meraung semahunya, namun entah mengapa jiwaku memberontak, menyuruh aku kuat dan tabah. Hanya linangan air mata yang mengiringi pemergian Safwan awal pagi itu.

Safwan, Ila janji akan ingati Wan sampai bila-bila...

9 comments:

  1. aduhai...sedihlah pulak.huhuhu..nak sambungannya lagi AK

    ReplyDelete
  2. sedihnya...... cinta suci safwan hingga ke hujung nyawa..... dicintai oleh org yg mencintai diri kita memang sgt membahagiakan.... bukan mudah utk melupakan kehadirannya... sekurangnya berbaloi penantian safwan selama ini agar ila dpt menerima kehadiran dirinya dan juga cintainya... dia pergi setelah ila dpt menerimanya dan mula mencintainya....

    ReplyDelete
    Replies
    1. tulis novel ni xsedih sgt, bila baca komen aida, baru rasa sedih. waaa. T___T

      Delete
  3. sedihnya...bila kita kehilangan insan yang dicintai..w/pun kebahagian hanya sepintas lalu ianya mengasyikan ye tak... bila nak continue ni..

    ReplyDelete
  4. hurmmm... bca nie, buat air mtaku mengalir lgii... buat saya mnangisss.... :'(
    faham ngan perasaan Ila... miss himm... :(

    ReplyDelete
  5. saya org pertama yg akan beli novel ni bila keluar... dh lama tgu sambungan tp masih belum ada....

    ReplyDelete
  6. sedihnya..
    airmata tak henti mengalir..
    mungkin jodoh buka milik safwan dan ila..
    alangkah payahnya merelakan orang yang kita sayang pergi buat selamanya..

    ReplyDelete
  7. betul kata aida sherry..."bukan mudah untuk kita melupakannya"...hanya doa2 mengiringi setiap ingatan....

    ReplyDelete

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!