Wednesday, December 17, 2014

Novel Miss You Mr. Arrogant - Teaser 3

Assalammualaikum.

Sebab saya happy ramai datang beli MYMA dan jumpa saya dekat Ekspo Buku Malaysia hari tu, jadi saya letak teaser ni. Ini teaser panjang sebab 1 bab saya letak, dari bab mana kena semak novel MYMA nanti ya.

Enjoy!

*********************



“ZAARA. Masuk bilik saya sekarang.” Suara yang kedengaran dari interkom buatkan Zaara lekas bangun menuju ke bilik Irham. Setelah lebih sebulan bekerja, dia sudah mula arif dengan cara Irham bekerja dan dia sedar Irham tidak suka menunggu. Kalau tidak mahu mendengar suaminya itu membebel selama setengah jam, baiklah dia lekas melapor diri sebaik dipanggil.
“Ada apa, awak?” Irham angkat kepala sebaik mendengar suara Zaara.
“Awak?” Keningnya terangkat saat menyoal Zaara.
“Oh maaf, maksud saya, ada apa Encik Irham?” Zaara kembali membetulkan salahnya.
“Ini, fail ni semua saya nakkan salinan fotokopi untuk mesyuarat dengan klien nanti. Saya nak awak fotostat semua ni sekarang. Pukul sepuluh nanti saya nak ada atas meja saya.” Irham bersuara sambil menghulurkan tiga buah fail pada Zaara. Zaara terkulat-kulat menyambut fail yang tebal-tebal itu dengan wajah tidak percaya. Gila nak fotostat semua ni!
“Semua ni?”
“Iyelah. Tak dengar ke apa saya cakap?”
Zaara mengangguk faham.
“Iyelah Encik Irham. Saya buat sekarang.” Zaara memeluk erat fail-fail tersebut sebelum ingin berlalu keluar.
“Err… Encik Irham.” Zaara bersuara kembali, buatkan Irham pantas mendongak. Zaara tersengih di hadapan pintu bilik itu sambil mulutnya mengunjuk pada tombol pintu yang tidak dapat dicapainya dek kerana tangannya memegang fail. Irham menghela nafasnya panjang sebelum bingkas bangun dari kerusinya.
“Mengada.” Irham sempat bersuara sebelum Zaara membolos keluar dengan berhati-hati.
“Terima kasih, Encik Irham.” balasnya pendek ketika pintu hampir ditutup.

“HUH! Dia cakap aku mengada? Dia yang mengada terlebih. Gila ke apa nak suruh aku fotostat semua ni. Tak pernah dibuat orang fotostat sampai banyak macam ni sekali.” Zaara mengomel panjang saat dia berdiri di hadapan mesin fotostat.
“Kenapa Zaara? Ada yang tak kena ke?” Hani yang muncul tiba-tiba mula menyoal sebaik dia melihat Zaara bercakap sendirian di hadapan mesin tidak bernyawa itu.
“Err tak ada apalah, Kak Hani.” Zaara tersengih sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Malu bila setiausaha Irham itu melihatnya dalam keadaan sebegitu. Dah macam orang yang tak betul saja lagaknya, bercakap seorang diri sebegitu.
“Zaara nak buat apa ni?” Hani masih menyoal, prihatin. Fail-fail yang dipegang Zaara segera dibelek.
“Ni, Encik Irham suruh saya fotostat semua ni balik. Katanya nak guna untuk mesyuarat nanti.”
Mata Hani terbeliak, fail-fail itu dibelek semula dengan lebih teliti.
“Fail-fail ni?” soalnya kembali. Zaara mengangguk laju.
“Aah, Encik Irham suruh fotostat fail-fail ni la.” Zaara menerangkan semula pada Hani.
“Fail-fail ini tiga tahun lepas punya. Dah tak digunakan dah. Kalau betul Encik Irham nak guna pun, akak ada softcopynya. Tak payah susah-susah nak fotostat. Print saja dari komputer.” Hani menerangkan setelah yakin matanya tidak salah menelek fail tersebut.
Mata Zaara membuntang. Fail-fail itu dibeleknya pula namun dia tidak memahami sangat butiran di dalam fail tersebut.
“Tapi, Encik Irham suruh saya fotostat kak.”
“Pelik. Selama ni tak pernah pulak Encik Irham suruh akak fotostat fail-fail ni.” Hani pula menggaru kepalanya, pelik dengan situasi tersebut.
“Hmm. Tak apalah macam tu. Saya tanya Encik Irham balik ajelah kak.” Zaara membuat keputusan setelah lama berjeda. Dia seolah dapat menghidu sesuatu yang tidak kena.
‘Ishhh geramnya!!!’ hatinya menjerit sendiri.

“AWAK ni dah kenapa?” Zaara membentak saat fail-fail itu diletakkan semula di atas meja Irham sebaik dia menyerbu masuk ke dalam bilik itu.
Irham yang sedang berbicara di telefon, pantas memutuskan talian dan memandang ke arah Zaara.
“Dah siap ke?” soalnya dingin. Jam dikerling di dinding pejabatnya, baru pukul sembilan suku pagi. Pantas!
“Siap apa? Fail-fail tiga tahun lepas ni?” Zaara memeluk tubuhnya, sebal.
“Fail-fail nilah, yang mana lagi.”
“Awak sengaja kan?” Zaara merenung Irham tajam.
“Sengaja apa?”
“Awak sengaja nak kenakan saya kan?”
Irham buat muka blur, seolah tidak mengerti.
“Apa masalah awak ni? Tak puas hati tengok saya buat kerja dengan aman ke?” Zaara menyoal dengan nada bengang.
Irham bangun, menuju ke arah Zaara sebelum duduk di atas mejanya, menghadap isterinya itu. Lama dia memandang Zaara tanpa sebarang bicara. Wajah Zaara yang mencuka dipandang tanpa berkedip.
“Saya nak biar awak exercise sikit depan mesin fotostat tu.” Selamba Irham bersuara setelah lama dia mendiamkan diri sambil memeluk tubuhnya.
“Awak ni gilalah! Membazir kertas saja. Awak tak boleh tengok saya senang ke?”
“Alah, bergurau sikit pun nak mengamuk sampai macam ni.”
“Eiii geramnya!” Zaara menggenggam tangannya erat dan menggawangkannya di udara. Melepaskan rasa geram yang terbuku. Dia keluar dari bilik Irham tanpa berkata apa lagi.
“Lurus betul!” tawa Irham pecah sebaik Zaara hilang dari pandangannya. Seronok sungguh hatinya dapat mengenakan Zaara sebegini setelah lama tidak membuli isterinya itu.
“Gila! Tak ada kerja. CEO senget!” Zaara mengomel panjang saat dia duduk kembali di tempatnya. Sakit hatinya Tuhan saja yang tahu.
“Zaara.” Suara di interkom berbunyi lagi, Zaara mendengus. Hendak apa pula kali ini? Soalnya sendiri di dalam hati. Walau hatinya sebal, interkom itu tetap dijawabnya.
“Nak apa?” Zaara menyoal dengan nada mendatar.
“Buatkan kopi.” Suara itu meminta. Zaara menghela nafasnya setelah berjeda seketika.
“Baik, Encik Irham.” balasnya pendek sebelum bingkas bangun menuju ke pantri.

“NAH!” Zaara menghulur tanpa memandang Irham ketika dia membolos bilik itu semula. Irham mendongak memandang isterinya yang masih cemberut itu.
“Terima kasih.” Irham mengambil mug dari tangan Zaara sebelum menghirup air kopi itu perlahan. ‘Sedap seperti selalu,’ Irham tersenyum sendiri.
“Puihhh! Awak nak bagi saya kena kencing manis ke?” tiba-tiba Irham bersuara, berkerut mukanya menelan air itu. Mata Zaara terbeliak.
“Manis? Saya buat macam biasa je awak.” Zaara menegakkan dirinya. Selama ini tidak pernah pula Irham mengadu begitu apabila dia membancuh air di rumah.
“Buat balik. Saya tak boleh minum manis-manis macam ni.” Irham memberi arahan sambil menolak mug itu kembali pada Zaara. Zaara tergamam seketika, air di dalam mug itu dihirupnya pula perlahan. Biasa saja, tak manis sangat pun.
“Saya rasa ok je ni awak.”
“Saya suruh buat lain, buat ajelah.”
“Tapi…”
“Siapa bos sekarang ni?” Irham memeluk tubuh, memandang Zaara dengan renungan tajam. Zaara menghela nafasnya buat kesekian kalinya.
“Awak.” Zaara membalas pendek sebelum berlalu keluar, menuju ke pantri semula.
Irham ketawa berdekah-dekah sebaik Zaara keluar. Hatinya macam digeletek bulu ayam saat itu. Lucu sekali dia melihat Zaara. Tidak sangka keputusannya membenarkan Zaara bekerja di situ, buatkan dia punya hiburan baharu. Barulah dia dapat hilangkan stress di pejabat. Irham ketawa lagi.
“Nah. Saya dah kurangkan gula.” Zaara masuk dan menghulurkan mug berisi kopi yang baharu pada Irham semula. Irham menghirup tanpa sebarang kata.
“Puihhh! Tawar sangat.” Irham mengomel lagi buatkan Zaara kehilangan kata. Hatinya panas tidak mampu dibendung lagi.
“Pergi buat yang lain, saya tak boleh minum tawar-tawar. Awak ni reti buat air ke tidak?” Irham bersuara lagi sambil memandang Zaara di hadapan. Zaara diam tidak berkutik.
“Tunggu apa lagi. Pergilah.” Irham memberi arahan. Zaara masih diam.
“Awak nak melawan cakap bos ya?” Irham menyoal kembali sambil bercekak pinggang.
“Awak!!!” Zaara menjerit sekuat hati, melepaskan rasa geram yang terbuku. Irham yang terkejut lekas bangun dari duduknya lalu menutup mulut Zaara.
“Awak ni dah kenapa? Gila? Meroyan?”
Zaara meronta sambil menumbuk dada Irham bertubi-tubi. Geramnya masih boleh hilang. Biar semua orang dengar, dia tidak peduli.
“Aduh! Sakitlah. Suka betul pukul orang.” Irham melepaskan mulut Zaara dan pantas menggosok dadanya yang pedih.
“Awak kejam!!!” Zaara menjerit lagi semahunya. Irham tersentak, tangannya automatik menutup mulut Zaara kembali.
“Hesy diamlah. Karang orang ingat saya buat apa dekat awak.” Irham kaget. Zaara masih ligat menumbuk dada Irham, dia tidak peduli pandangan orang lain, biar sampai hilang sakit di hatinya saat itu baru dia puas hati.
“Syhhh. Sorry, sorry! Saya minta maaf. Saya gurau je.” Irham akhirnya mengalah, dia pantas memeluk erat tubuh Zaara, enggan membiarkan isterinya itu menumbuk dirinya lagi, sudah tidak tahan diserang Zaara bertubi-tubi seperti itu walaupun dengan kekuatan Zaara yang tidak seberapa, tidaklah sakit mana penangannya.
“Awak suka buli saya kan?” Zaara sudah sebak. Tidak suka diusik sampai sebegitu rupa. Wajahnya disembam pada dada Irham, cuba menghilangkan rasa sakit hatinya.
“Ala cengeng sungguh isteri saya ni. Kena buli sikit dah menangis.” Irham ketawa kecil.
“Jahat!” Zaara memukul bahu Irham namun kekuatannya sudah hilang sebaik Irham memeluknya tadi.
“Usik sikit pun tak boleh.” Irham ketawa lagi sepuas hatinya namun pelukannya pada Zaara makin kejab.
“Dah hilang sakit hati?” Irham menyoal ketika pelukannya pada Zaara dilepaskan. Zaara diam memandang Irham dengan renungan tajam.
“Dah bisu ye. Nak kena cium pulak ke baru nak hilang sakit hati?” Irham merapatkan wajahnya dengan wajah Zaara buatkan Zaara lekas menepis wajah Irham itu.
“Ish apa ni awak? Tak tahu malu ke?” Zaara malu, wajahnya sudah merona merah. Mujur cuma mereka berdua di dalam bilik itu, kalau tidak, tak pasal buat free show.
“Dah, duduk. Teman saya minum. Dah sejuk dah kopi ni.” Irham menarik Zaara duduk di atas kerusi berhadapan mejanya. Zaara cuma diam mengikut.
“Eii tawar!” Zaara menjerit kecil saat dia menghirup kopi kedua yang dibuatnya tadi.
“Hah tahu pun. Kan saya dah cakap.” Irham cuba menegakkan dirinya kembali.
“Eleh, tadi saya dah buat elok dah, awak yang suruh kurangkan gula lagi. Bukan salah saya la.” Irham ketawa kecil tanpa membalas apa. Kopi di dalam mugnya dihirup kembali. Sedap macam selalu!

4 comments:

  1. Alieshakirana teaser watak Maewan nakhaei

    ReplyDelete
  2. mana sambungannya? sampai 16 je ke?

    ReplyDelete
  3. Kaka.. upload full dong ka... aku dr indonesia suka sma ceritanya jd kebayang zara zya sma azlee khairi ..cara dpt novelnya gmna ka untuk dluar malaysia

    ReplyDelete

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!