ZAARA merenung jam dinding di dalam biliknya itu, sudah menghampiri jam lima petang. Telekung yang tersarung ditubuhnya saat itu, pantas dibuka dan disimpan di tepi katil setelah selesai dia menunaikan solat Asar. Tubuhnya dihempas perlahan ke atas katil, matanya terasa terlalu berat setelah seharian menguruskan rumah.
Wajah
Iman yang sedang nyenyak tidur, diusap perlahan dan dikucup lembut, tidak mahu
mengejutkan anak kecil itu. Pejam celik pejam celik, sudah lebih lima tahun
perkahwinannya dengan Irham dan sudah empat tahun Allah kurniakan anak kecil
itu pada mereka. Zaara rasa begitu bersyukur kerana dia punya sebuah keluarga
yang lengkap walau pelbagai dugaan melanda sebelum ini.
Siapa
sangka perkahwinan tanpa cinta dan kerana terpaksa boleh memberikannya sebegitu
banyak bahagia yang tidak pernah dia impikan selama ini? Ya, walaupun Irham
masih seperti Irham yang dikenalinya lima tahun lalu, masih berlagak, masih tak
nak kalah, masih sedingin ais, masih mengekalkan trademark ‘Mr. Arrogant’nya,
namun Zaara tahu Irham sayangkan dia.
Kalau
tak sayang, tak adalah Irham pernah cuba membuang perangai arrogantnya itu, tapi Zaara sendiri yang meminta dia berhenti
kerana nampak palsu sangat. Sungguh Zaara sudah tidak kisah, dia sudah terbiasa
dengan Irham yang ini jadi dia tidak perlukan Irham yang sebegitu. Irham yang
sekarang sudah cukup sempurna bagi seorang Zaara.
IRHAM
menjenguk sebelum melangkah perlahan, memasuki ruang kamar tidurnya itu, tidak
mahu mengejutkan dua insan kesayangannya yang sedang lena tidur. Jam di
tangannya dikerling, sudah menghampiri jam enam setengah petang.
Dia
pantas menghampiri Iman sebelum mengucup pipi anak kecil itu. Wajah Zaara yang
terlena dipandang seketika kemudian, jelas terpancar keletihan pada wajah
isterinya itu. Irham mencempung Iman dengan berhati-hati sebelum dibawa ke
katil kanak-kanak yang tersedia di sebelah katil bersaiz king itu, meletakkan anaknya dengan berhati-hati sebelum dia
kembali ke katil.
Irham
melonggarkan ikatan tali lehernya sebelum melabuhkan punggungnya di atas katil
itu, mengengsot mendekati Zaara sebelum baring di sebelahnya, mengiring
menghadap wajah mulus isterinya itu. Wajahnya didekatkan dengan wajah Zaara
hingga desahan lembut isterinya itu bisa didengar dengan jelas. Tangannya
didepang, mendakap Zaara sebelum matanya turut dipejam. Terasa semua keletihan
dunia hilang begitu saja saat kehangatan tubuh Zaara meresapi dirinya.
ZAARA
terjaga ketika dia merasakan bahunya kian memberat, dihempap sesuatu. Matanya
dibuka sebelum dia terpana melihat Irham sedang berbaring di sebelah dengan satu
tangan mendakap dirinya. Tangan Irham dialih dengan berhati-hati sebelum dia perlahan
bangun duduk, meraup wajahnya dan mengikat kembali rambutnya yang sudah kusut.
Jam pada dinding dipandang seketika kemudian, matanya membulat.
“Awak!
Bangun awak!!!” Zaara memanggil Irham sekuat hati, buatkan Irham yang baru saja
terlelap, bangun terkulat-kulat.
“Ada
apa ni?” matanya digosok perlahan. Kantuknya masih belum hilang.
“Dah
pukul tujuh, awak! Cepatlah bangun solat Subuh. Dah lambat ni, karang lambat
awak pergi kerja pulak. Saya pun belum solat lagi ni, Astaghfirullah hal azim!
Macam mana boleh terlajak tidur ni.” Zaara kelam-kabut menerangkan sambil
pantas turun dari katil.
Belum
sempat Zaara membawa langkah ke bilik air, Irham memegang tangan Zaara erat,
menghalangnya dari melangkah.
“Ish
kenapa ni awak? Dah lambat dah ni.” Zaara kegelisahan. Irham menjeling tajam.
“Sekarang
pukul berapa?”
Zaara
memandang jam di dinding semula, memastikan yang dia tidak tersilap melihat.
“Betullah
dah pukul tujuh.” Zaara yakin.
“Memanglah.
Tapi pagi ke petang?” Irham menyoal lagi. Zaara menggaru-garu kepalanya yang
tidak gatal.
Irham
bingkas bangun dari katil tanpa menunggu Zaara membalas. Tuala yang tersidai di
penyangkut segera diambil sebelum dia memandang Zaara semula.
“Lain
kali jangan tidur lepas Asar, kan dah jadi gila.” Irham mencuit hidung Zaara
sebelum membawa langkahnya ke dalam bilik air.
Zaara
terpinga-pinga. Jam pada telefon bimbitnya pula dikerling. Subhanallah, tujuh petang
rupanya! Zaara mengetuk dahinya sendiri.
“KEPALA
dah ok?” Irham menyoal saat mereka usai bersolat Maghrib berjemaah malam itu.
Zaara menarik muncung, tidak suka diusik Irham sebegitu.
“Kalau
tak ok lagi, saya nak hantar hospital sakit jiwa, boleh kawan dengan Faisal.”
Irham ketawa mengekek.
“Awak!
Tak baik tau cakap macam tu,” Zaara geram. Kenapa soal Faisal pula yang
diungkit, dia tak bersalah pun dalam soal ini.
Irham
ketawa mengekek, terasa lucu sekali saat mengingati kejadian tadi. Macam
manalah tujuh petang boleh disangka tujuh pagi? Ini benar-benar lawak! Muncung
Zaara kian panjang saat mendengar bunyi tawa Irham yang tidak surut dari tadi.
Hatinya benar-benar rasa sebal.
“Saya
gurau ajelah.” Irham bersuara tidak lama kemudian, setelah tawanya hilang,
enggan memanjangkan lagi usikannya. Dia bangun melipat sejadahnya sebelum
memandang Zaara semula.
“Ok,
saya minta maaf. Tak payahlah nak muncung macam tu sekali, saya sangkut sejadah
dekat bibir awak tu baru tahu.”
Zaara
mendengus geram sebelum ikut bangun membuka telekung yang tersarung di
kepalanya. Langsung tidak membalas kata-kata Irham. Bukan boleh dilayan usikan
suaminya itu, karang makin galak dia mengusik.
“Jom,
teman saya makan.” Irham menggenggam tangan Zaara erat sebaik isterinya itu
selesai menyangkut telekung dan sejadahnya, ingin menariknya keluar bilik dan cuba
memujuk isterinya yang masih mencuka.
“Makanlah
sorang-sorang.” Zaara langsung tidak memandang ke arah Irham.
“Janganlah
macam tu. Tak kesian dekat saya ke? Dari tadi saya tak makan apa-apa tau.”
Irham cuba memancing dengan ayat meminta simpati. Perutnya ditekan tanda dia
kelaparan. Zaara cuma diam memerhati, tidak memberi sebarang reaksi.
“Jomlah!”
Irham tersengih lalu menarik tangan Zaara membuatkan Zaara tidak punya pilihan
lagi. Irham tahu panas di hati Zaara sudah surut sebaik melihat wajah cemberut
isterinya itu sudah kembali normal walau senyuman belum bisa terukir.
“Awak
ni jahat kan!” Zaara bersuara seketika kemudian sebelum bahu Irham ditampar
sepantas kilat. Dia kemudiannya membawa langkah untuk turun ke dapur, ingin
memanaskan semula lauk-pauk yang dimasaknya hari ini, meninggalkan Irham
terpinga-pinga, menggosok bahunya yang pedih.
“IMAN
buat apa dekat rumah hari ni?” Irham sibuk melayan anak kecilnya itu di hadapan
televisyen. Zaara sibuk di dapur, mengemas selepas selesai mereka makan malam
tadi.
“Main
game.” Iman mendongak memandang
bapanya yang sedang meribanya saat itu.
“Game apa?”
“Game lari-lari dekat keretapi. Game penyek semut. Game Pou.” Petah anak kecil itu menerangkan, membuatkan bibir Irham
automatik mengukir senyum.
“Iman
main game je hari ni?” Irham mengucup
ubun-ubun Iman sebelum mengusap lembut rambutnya. Iman menggeleng.
“Mama
bawak pergi supermarket. Beli ikan.”
Mulut itu masih laju berceloteh dalam pelatnya yang pekat. Irham mengangguk
sebelum berpaling mencari kelibat Zaara yang masih tidak kelihatan. Dari jauh
Irham dapat melihat Zaara sedang asyik membasuh pinggan-mangkuk. Hatinya jadi
jatuh kasihan melihat isterinya itu masih sibuk di dapur saat itu, satu keluhan
keluar dari bibirnya. Anak kecilnya itu dibiarkan menonton sendirian sementara
dia melangkah masuk ke dapur, menghampiri Zaara.
“Sudahlah,
sambung esok pulak.” Irham bersuara di tepi telinga Zaara.
“Oit
mak terkejut!” Zaara melatah membuatkan dia terhempas pinggan ke dalam sinki.
Dia berpaling melihat Irham dengan wajah geram.
“Ish
awak ni!!! Tak terkejutkan saya tak sah ke?” hatinya sebal, mujur pinggan itu
tidak pecah. Pinggan itu dikutip semula sebelum dibilas kembali.
“Macam
tu pun nak terkejut. Teruk sangat latah awak ni. Dah macam Mak Enon saya
tengok.”
“Mana
ada!”
“Hah!
Tengok. Muka pun dah sama.”
“Ish
awak!” Zaara geram, lengan Irham dicubit buatkan Irham mengaduh.
“Sakitlah!
Tangan macam ketam!”
“Siapa
suruh cakap macam tu?”
“Itu
pun nak marah, betul apa saya cakap.”
“Eiii
geramnya. Dah pergi la depan, yang kacau saya dekat dapur ni kenapa?”
Irham
diam. Air paip yang masih laju mengalir segera ditutupnya.
“Dah
pergi tidurkan Iman lepas tu tidur. Sambung esok je kerja ni semua.”
“Eh
mana boleh tinggal kerja sekerat jalan macam ni. Tak baiklah awak. Kejap la,
lagi sikit nak siap dah.” Zaara ingin membuka paip air semula namun segera
dihalang Irham.
“Saya
cakap tak payah, tak payahlah. Dah, pergi tidurkan Iman.”
Zaara
mengeluh. Memang tak mampu dia nak lawan arahan tuan besar dia yang seorang ni.
“Yelah.
Saya pergilah ni.” Zaara ingin melangkah sebelum dia teringatkan sesuatu.
Langkahnya mati kembali. Wajah Irham dipandang semula.
“Eh
awak, minggu ni saya nak balik kampung ya. Dah lama tak jenguk ibu dengan ayah.
Awak ikut sekali ya.”
“Tak
boleh. Sibuk.” Pendek Irham membalas membuatkan Zaara mencebik.
“Alah
ambillah cuti.”
“Kan
saya dah cakap tak boleh. Banyak kerja dekat office tu, tak faham ke?” jawapan Irham itu membuatkan bibir Zaara
menarik muncung panjang.
“Yelah.
Saya dengan Iman balik sendiri, awak pergilah kerja tu.”
“Esok
saya hantar awak balik kampung. Nanti hari Ahad saya datang ambil.” Irham
menerangkan rancangannya pada Zaara. Zaara buat tidak dengar sahaja, dia segera
melangkah keluar dari dapur dengan wajah mencuka. Irham tersenyum sendiri
sebelum matanya jatuh pada pinggan mangkuk di dalam sinki. Lengan baju melayu
yang dipakainya disingsing sebelum dia kembali membuka paip air, menghabiskan
baki pinggan mangkuk yang masih belum dibilas di dalam sinki itu.
“KAMU
tak tidur sini ke Irham?” Haji Zaidi menyoal saat Irham bersalaman dengannya
ketika dia meminta diri untuk pulang petang itu, usai menghantar Zaara dan Iman
ke kampung.
“Orang
tu sibuk kerja, ayah. Mana ada masa.” Zaara memerli dari belakang.
‘Ish
bukannya nak cover aku!’ Irham
membeliakkan matanya memandang Zaara dengan rasa tidak puas hati.
“Janganlah
kerja teruk sangat sampai tak ada masa untuk berehat, Irham. Sekali sekala
tidurlah sini, rehatkan fikiran.”
“Hari
ni memang tak boleh, ayah. InsyaAllah nanti Irham datang balik.” Irham
memaniskan mukanya, enggan membuatkan bapa mertuanya itu terasa.
“Yelah.
Ayah faham, jaga diri kamu.” Haji Zaidi menepuk bahu menantunya itu, cuba
mengurangkan rasa bersalah di hati Irham.
“Saya
balik dulu.” Irham menghulur tangan pula pada Zaara. Zaara sambut tangan Irham
tanpa memandang wajah suaminya itu. Hatinya masih terasa pada Irham namun dia
tidak mahu menjadi isteri yang nusyuz dengan tidak melayan Irham.
“Bawa
kereta elok-elok.” Datar dia bersuara dan dibalas dengan anggukan Irham.
“Awak
pun jaga diri.” Irham sempat berpesan sambil mengusap kepala Zaara sebelum
bingkas memasuki perut keretanya.
Sambungannya mana? ? Bahasa. Bersahaja.. Ngam sangat I like it. Tak perlu pening degan naratif
ReplyDeleteSuke sangat laa.. cik aliesha.. saye org indonesia.. macam mane nak beli novel LYMA & MYMA ni?? Tulong balas ye cik
ReplyDeleteBoleh emel ke karyaseni ya. Mereka bisa pos ke indonesia 😊
DeleteBoleh emel ke karyaseni ya. Mereka bisa pos ke indonesia 😊
Delete