Monday, March 9, 2015

Novel : Miss You Mr. Arrogant Bab 7



“COMELNYA cucu nenek hari ni!” Puan Sri Maryam memeluk Iman erat usai mencubit pipi bulat cucunya itu. Zaara hanya tersenyum memerhati ibu mertuanya melayan Iman dengan penuh kasih sayang, sekurang-kurangnya ibu mertuanya itu boleh juga merendahkan egonya bila bersama dengan cucu sendiri.
“Lama kamu tak singgah rumah mama. Rindu mama pada cucu mama sorang ni.” Puan Sri Maryam mengomel pada Irham yang duduk di sebelah Zaara.
Sorrylah mama, Irham banyak kerja dekat pejabat, tak ada masa nak singgah. Ini pun balik dari kampung Zaara baru kami sempat singgah ke sini.”
“Hmm yelah. Itulah alasan kamu, Irham.” Puan Sri Maryam mengerling, tidak puas hati.
“Kalau besan mama tak kirimkan buah rambutan ni, entah-entah batang hidung kamu pun tak nampak ya, Irham.” Puan Sri Maryam bersuara lagi sebelum kembali melayan cucunya, menyuap Iman buah rambutan yang dibawa Irham saat bertandang ke rumah ini tadi.
“Ish mana ada macam tu, mama.”
“Kamu jangan nak sibuk sangat sampai abaikan anak isteri kamu, Irham. Papa suruh kamu uruskan syarikat sebab percaya pada kebolehan kamu. Tapi kalau urusan syarikat buatkan kamu lupa anak isteri, itu papa tak gemar.” Tan Sri Zahir yang diam sedari tadi, mula bersuara.
Irham menggaru kepalanya yang tidak gatal sebelum mengerling pandang pada Zaara di sebelah, meminta sokongan Zaara.
“Tak adalah sampai macam tu, papa. Irham tak pernah abaikan kami pun. Kalau dia tak pedulikan kami, tak adalah dia ikut kami balik kampung, papa.” Zaara yang mengerti, segera mempertahankan Irham.
“Kamu tu jangan nak bagi muka sangat pada Irham, Zaara. Lelaki ni bukan boleh terlepas dari pandangan sikit, mulalah dia nak buat perangai.” Puan Sri Maryam sengaja memprovokasi.
“Takkan mama nak cakap, Irham main kayu tiga dekat pejabat pula?” Irham kembali menggaru kepalanya, tidak mengerti pemikiran awakm wanita. Sekejap sahaja sudah boleh membuat andaian yang bukan-bukan.
“Manalah tahu.” Puan Sri Maryam serius berbicara. Zaara pandang wajah Irham, meminta kepastian. Irham membeliakkan matanya, tidak menyangka Zaara boleh terpengaruh dengan andaian mama yang tidak releven itu.
“Ish mana ada. Awak jangan nak terpengaruh dengan cakap mama, ya!” Irham memberi amaran dengan mata membuntang buatkan Zaara ketawa kecil. Tidak menyangka Irham mengambil serius hal itu sedangkan dia cuma bergurau. Walaupun Irham itu berhati kering tapi dia tahu Irham takkan pernah menduakannya. Sekurang-kurangnya, hingga detik ini.
“Kalau kamu risau sangat, apa kata kamu kerja saja dengan Irham, Zaara.” Tan Sri Zahir tiba-tiba sahaja memberikan pandangannya buatkan tiga pasang mata memandangnya serentak.
“Kerja?” Zaara menyoal. Sejak berhenti kerja dan memberi tumpuan untuk menjaga Iman dan menguruskan rumahtangga, Zaara sudah tidak lagi memikirkan hasrat untuk bekerja semula, sungguh tidak ada. Dia sudah cukup gembira dengan kehidupannya sekarang walau adakalanya dia bosan melsayakan rutin yang sama setiap hari, tapi Zaara sedar menjadi surirumah itu besar pahalanya dan sekurang-kurangnya dia dapat melihat Iman membesar di depan matanya. Itu sudah cukup memberikannya satu kepuasan dalam hidup.
“          Iyelah Zaara. Apa kata kamu kerja saja dengan Irham. Iman pun dah besar, elok sangatlah kalau kamu bekerja semula.” Puan Sri Maryam menambah.
“Ish tak payahlah mama, papa. Irham lagi suka Zaara duduk di rumah saja, uruskan rumahtangga.” Irham menolak mentah-mentah cadangan itu.
“Awak tak bagi saya kerja dengan awak sebab awak ada perempuan lain ya?” Zaara menebak buatkan Irham lekas menafikannya.
“Ish mana ada. Jangan merepek boleh tak?”
Zaara ketawa mengekek melihat wajah Irham yang sudah merah padam menahan marah. Dada Irham digosok perlahan, cuba menenangkannya dan memberi tanda yang dia cuma bercanda.
“Mama pernah berada di tempat Zaara, tak bekerja duduk di rumah sahaja. Nak buat apa dekat rumah ni pun, ada orang gaji buatkan. Memang bosan, Irham.” Puan Sri Maryam menghela nafasnya. Kenangan silam mula menggamit mindanya. Mata Irham merenung wajah mamanya tajam, mendengar khusyuk tanpa membalas.
“Sebab itu dulu papa suruh mama kamu kerja dengan papa. Sekurang-kurangnya dia tak bosan dan dia sentiasa dekat dengan papa.” Tan Sri Zahir menambah pula.
“Bila dah tua ni, barulah mama berehat di rumah, itupun kadang-kadang mama rasa rindu juga nak bekerja macam dulu, tapi mama dah tua, dah tak larat macam dulu, asyik sakit sana sini.” Zaara mengangguk. Mengerti perasaan mertuanya itu.
“Sebab itu alang-alang Zaara masih muda, biarlah dia bekerja, Irham. Iman pun dah besar, kalau tak ada siapa nak tengokkan, mama boleh tengokkan Iman. Pembantu rumah pun ada untuk tengokkan Iman.” Puan Sri Maryam memberi cadangan.
“Biar Irham fikirkan dulu pasal hal ni ya, mama.” Irham bersuara setelah lama berjeda. Zaara diam memerhati, tidak berani masuk campur walau hal dia yang sedang diperkatakan ketika itu.

“AWAK nak bekerja semula ke?” Irham menyoal Zaara malam itu, setelah pulang dari banglo milik keluarga Irham. Zaara yang baru sahaja membuka tudungnya, tergamam seketika, tidak menyangka soalan itu diaju Irham secara tiba-tiba.
“Saya… Saya tak kisah. Kerja pun tak apa, tak kerja pun saya tak kisah.” Zaara membalas lambat-lambat.
“Cuba ada pendirian sikit, asyik tak kisah je.” Irham membentak.
Zaara terkelu lidah hendak membalas, dia kehilangan kata. Yang pasti memang itu rasanya saat itu. Walau hatinya kadang meronta untuk bekerja semula, tetapi dia tidak mahu jadi isteri yang mementingkan diri sendiri hingga mengabaikan anak dan suaminya kerana mengikut kehendak diri sendiri.
“Betul saya tak kisah. Apapun keputusan awak, saya ikut.” Zaara menyatakan pendiriannya kembali. Irham berjeda seketika, membiarkan hening mengisi ruang.

“Nanti tanya Fiz, dekat taska mana dia hantar Adra.” Itu saja kata-kata yang diungkapkan Irham sebelum dia keluar dari bilik. Zaara terpempan, cuba menafsir maksud kata-kata itu semula. 

No comments:

Post a Comment

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!