IRHAM
duduk berteleku di mejanya, fikirannya menerawang memikirkan perkara yang
menyesak dadanya saat itu. Mengambil Zaara bekerja di sini membuatkan Zaara
sentiasa ada dekat dengan dirinya, perkara itu bukanlah sesuatu yang buruk yang
dia ingin elakkan, tetapi membiarkan Zaara bekerja itu yang buat dia rasa
kurang senang.
Tapi
kata-kata ibu dan bapanya ada juga benarnya. Bukan dia tidak tahu, Zaara pasti
bosan duduk sendirian dengan Iman di rumah, membuat perkara yang sama setiap
hari, sampai susut badannya dek keletihan menguruskan rumahtangga, tapi
mengenali Zaara, pasti perempuan berjiwa kental sepertinya tidak akan pernah
mengadu atau tunjuk lemah di hadapan Irham. Dia tahu isterinya itu sukar sekali
hendak meluahkan ketidakpuasan hatinya.
Dahulu
bukannya dia tidak pernah menawarkan untuk ambil pembantu rumah, tapi Zaara
yang tidak mahu kerana ingin menguruskan rumahtangga sendiri tanpa mengharapkan
bantuan orang lain. Tapi sekarang, mungkin dah sampai masa untuk dia biarkan
Zaara berehat. Sekurang-kurangnya pabila Zaara bekerja di sini, bolehlah Zaara
lebih banyak masa bersamanya dan merehatkan diri kerana dia pasti tidak akan
memberi bebanan kerja yang teruk pada isterinya itu. Tapi boleh percaya ke?
Irham menyoal dirinya sendiri.
‘Haha.
Tengok sajalah nanti.’ Irham ketawa kecil.
FIZ
membawa sedulang air sebelum duduk di sisi Zaara yang sedang meriba Iman. Iman
khusyuk bermain permainan di dalam tablet yang dipegangnya. Langsung tidak
terganggu dengan kehadiran Fiz di situ.
“Apa
mimpi tiba-tiba saja kau datang rumah aku ni?” Fiz tersengih sambil merenung
sahabatnya itu. Walau sudah punya kehidupan masing-masing, dia dan Zaara masih
tetap berhubungan cuma nak bertemu selalu seperti dulu tu sudah agak susah. Zaara
menghela nafas, rambut Iman diraup dengan jemarinya perlahan.
“Iman,
pergi main dengan Adra, ya.” Zaara bersuara, mahu berbincang dari hati ke hati
dengan Fiz secara bersendirian biarpun anak kecilnya itu belum benar-benar
mengerti apa yang orang dewasa perkatakan. Iman bangun dari ribaan Zaara
sebelum duduk di tepi Adra yang sedang asyik bermain dengan permainan lego di
satu sudut rumah itu.
“EH
baguslah kalau Irham bagi kau kerja balik, yang kau macam tak suka tu kenapa?” Fiz
menyoal setelah melihat keruh di wajah Zaara.
“Aku
suka kerja balik, cuma…” mata Zaara jatuh pada wajah Iman yang sedang asyik
bermain bersama anak dara kecil Fiz itu.
Fiz
diam, matanya memerhati arah mata Zaara sebelum dia mengangguk, mengerti
perasaan sahabatnya yang serba salah dan dalam dilema.
“Aku
faham. Aku pun dulu macam kau, lepas je habis pantang, nak bekerja semula tu
memang dah tak ada hati. Fikir pasal anak je, kesian dan rasa tak sanggup nak
berpisah dengan dia.” Fiz merenung Adra pula, kembali mengimbau memori dulu.
“Itulah.
Memang susah nak berpisah.” Zaara mengiyakan kata-kata Fiz tadi.
“Aku
pun fikir panjang masa tu. Dekat dua tahun jugak la aku tak kerja lepas
berhenti dari RT Agency sebelum melahirkan Adra. Hadry memang tak kisah aku
kerja atau tak, tapi akulah yang tak nak susahkan dia nak tanggung segalanya.
Dia bukan jenis nak kejar kemewahan, kalau ikutkan senang-senang saja dia boleh
bekerja dengan Irham Holding tapi dia nak bermula dari bawah dengan usaha
sendiri. Jadi kalau aku tak kerja, macam aku pula makin menyusahkan dia
sedangkan dia dah berusaha nak majukan hidup dia.”
Zaara
mengangguk faham. Bekerja dengan Hadry dulu buatkan Zaara sudah kenal cara
Hadry bekerja dan semangat Hadry dalam melaksanakan tugasnya. Hadry seorang
yang sangat berusaha keras dan komited dalam urusan kerjanya, sebab itu tanpa
bekerja dengan syarikat milik sepupunya, Irham pun Hadry sudah mampu berjaya
sekarang.
“Lepas
Adra dah besar sikit baru aku kerja balik dekat syarikat Hadry tu. Masa tu
Hadry pun dah ambil pembantu rumah, bolehlah Kak Mah tu tolong aku uruskan
rumah sementara aku keluar bekerja. Kalau kau nak bekerja, kau ambillah
pembantu rumah dulu.”
Zaara
diam tidak berkutik, khusyuk mendengar kata-kata Fiz.
“Kalau
dulu, aku tak galakkan kau kerja balik sebab Iman kecil lagi, tapi sekarang
Iman pun dah besar, boleh masuk taska sama-sama dengan Adra. Dah tak ada apa
nak dirisaukan Zaara, waktu sekaranglah sesuai untuk Iman mula belajar.”
Zaara
mengangguk perlahan, lega sedikit hatinya apabila mendengar galakan dari Fiz
tika itu. Hatinya rasa tenang untuk membuat keputusan walaupun Irham sudah pun
memberikan keizinannya.
“Terima
kasih Fiz, sekarang lega sikit hati aku ni. Tak adalah aku rasa bersalah sangat
pda Iman.” Matanya kembali tertancap pada Iman dan Adra yang masih asyik
bermain lego dan sudah membina sebuah bangunan tinggi dari blok-blok lego
tersebut.
‘Mungkin
sudah sampai masanya,’ Zaara berbisik dalam hatinya sendiri, wajahnya mengukir
senyum.
No comments:
Post a Comment
Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!