Bab 6
IRIKA memandang dirinya di dalam cermin sambil
membetulkan selendangnya. Dress pemberian KK elok tersarung di tubuhnya saat
itu. Memang pandai KK pilih baju yang sesuai untuk Irika, Irika senyum puas
hati sebelum dia menarik nafas panjang sebaik merasakan yang dia sudah bersedia
untuk pergi.
OK, relaks Irika. Ini dinner saja, tak
payahlah nak nervous satu badan!
Irika menarik nafas lagi dalam-dalam.
Tapi jarang KK ajak dinner macam ni, macam ada
sesuatu saja siap hantarkan dress segala.
Hesy! Redah sajalah! Lets go!
Irika
mengambil beg tangannya di atas meja dan disangkut ke bahu sebelum dia berjalan
ke arah pintu. Namun langkahnya terhenti di hadapan satu bingkai gambar.
Seorang kanak-kanak sedang tersenyum di sisi seorang lelaki yang berpakaian
ala-ala hippies. Irika senyum.
Dia mengangkat bingkai tersebut sebelum
menciumnya dengan penuh kasih sayang, senyuman terukir di bibirnya semula saat
dia meletakkan bingkai itu kembali dan keluar dari biliknya dengan doa yang
tidak putus, cuba menenangkan hatinya sendiri yang rasa berdebar sedari tadi.
KK menanti di dalam keretanya yang diparkir di
luar rumah Irika, menanti gadis itu bersiap sebelum mereka keluar malam itu. KK
sudah siap dengan baju kemejanya yang kemas terletak di tubuh KK. Dia
membetul-betulkan bajunya sendiri dan memeriksa kotak cincin yang dia simpan di
dalam kocek seluarnya, mahu memastikan malam itu sempurna buat dia dan Irika.
KK menarik nafasnya dalam-dalam untuk kesekian
kali sebelum menghembuskannya. Hari ini hari yang penting dalam hidupnya. Ya
hidupnya yang sikit lagi nak perfect. Macam-macam KK dah rasa dalam hidupnya
selama ini.
Kereta mewah sudah, rumah besar sudah,
business yang baik pun dah. Apatah lagi baju-baju dan kasut yang mahal?
Mestilah sudah. Semuanya sudah kecuali satu perkara sahaja. Kahwin. Ya Kahwin!
Bagi KK, lelaki sepertinya bukan boleh kahwin
dengan orang yang sebarangan. Perempuan itu kena cantik, bijak, pandai
berdikari, tahu jaga diri, tahu agama dan menjaga dirinya. Dan Irika ada semua
ciri itu. Sebab itu KK tak sanggup nak kehilangan Irika yang bagaikan permata
itu.
Tetapi sebab paling utama yang memberi mata
bonus buat Irika adalah kerana Irika sayang KK kerana diri KK, bukan kerana
duit KK mahupun populariti KK, apatah lagi pasal status KK yang bergelar usahawan
berjaya yang disegani itu. Sebab tu Irika istimewa.
KK membuka kotak cincin itu semula untuk
memastikan cincin berlian itu masih ada di dalam. KK simpan semula kotak cincin
itu di dalam koceknya sebelum dia menggigit bibir bawah, terasa gementar
menanti kehadiran Irika.
Satu susuk tubuh yang baru keluar dari
rumahnya dan sedang berjalan menghampiri KK dari kejauhan membuatkan KK
terkesima. KK seolah terpukau melihat kecantikan gadis itu malam itu. Irika
kelihatan menawan sekali hingga membuatkan KK terpesona.
Irika tersenyum, manis sekali saat dia berdiri
di tepi kereta KK membuatkan KK ikut tersenyum, membalas senyuman Irika. Kerana
ini juga buat KK memilih Irika. Kerana senyumannya saja sudah bisa
menghilangkan segala resah di hati KK. KK rasa bertuah.
KK
bingkas keluar dari keretanya, tidak mahu Irika menunggu lama sebelum dia
membukakan pintu untuk gadis kesayangannya itu dan mempersilakan Irika masuk.
KK segera menutup pintu sebaik Irika duduk dan kembali ke tempatnya.
“Assalammualaikum.”
Irika bersuara, manis sekali kedengaran di telinga KK.
“Waalaikumussalam,
sayang. Are you ready?” KK menyoal.
“Ya,
tapi kenapa tiba-tiba saja hantar hadiah ni?” Irika bertanya pula sambil
menunjuk ke arah dress hitam putih dan selendang merah yang tersarung di tubuhnya.
“Sajalah.
Sekali-sekala.” KK tersengih-sengih sebelum menghidupkan enjin keretanya.
“Terima
kasih.”
“Alah, tak payahlah ucap terima kasih. Untuk
awak, apapun saya sanggup tau.”
Irika sekadar tersenyum dan diam memerhati KK
tanpa menyoal arah tuju mereka malam itu kepada KK yang mula memecut keretanya.
“KOS hidup dah semakin tinggi. Silap silap,
dalam beberapa tahun ni siapa yang gaji empat ribu ringgit ke bawah boleh
berada pada tahap miskin, awak tahu.” Khusyuk KK membincangkan isu semasa saat
mereka berada di dalam kereta, sekadar mahu mengisi kesunyian di dalam kereta
dan melambatkan masa supaya dia punya kekuatan yang cukup untuk melamar Irika
sementara menanti mereka sampai ke destinasi yang mahu KK tuju itu.
Irika menggangguk laju.
“Itu lah. Macam kawan baik saya, Amira. Awak
kenal Amira kan?”
“Amira...” KK mengerut dahi.
“Owhh! Yang laki dia manager dekat Puspel tu?”
KK meneka.
“Ha! Dia sendiri pun sekarang dah mengadu
pendapatan suami dia tak cukup, dengan anak anak makin membesar nak masuk
sekolah semua. Sampai dia sekarang terpaksa tolong, buat bisnes online tau
awak. Kesian dia.” Irika bercerita dengan serius, bersimpati dengan nasib
kawannya itu.
“Tu normallah. Memang sekarang ni nak senang
tu tak senang awak. Lagi-lagi kalau nak jadi orang yang berjaya macam saya ni,
kena ada disiplin, kena kerja keras. Hati pun kena keras.”
Irika pandang KK dan senyum. Nak berlagak la
tu.
“Tapi kan awak, kiranya saya ni bernasib baik
jugak lah.” Irika tersenyum penuh makna, seolah memahami maksud KK itu sebelum
dia kembali menyoal.
“Kenapa?”
“Yelah, sebab saya dah sampai ke tahap ni.
Ramai orang umur macam saya cuma boleh mimpi je untuk sampai ke tahap ni, tapi
masih struggle untuk berjaya.”
“Ye ke? Saya rasa ramai je yang berjaya macam
awak.”
“Ramai, tapi tak semua bermula macam saya,
yang ramai tu kebanyakannya sebab turun temurun keluarga dia orang memang
kaya.”
Irika tersenyum sinis, seolah mengejek.
“So, pointnya dekat sini, kiranya awak nak
cakap yang awak ni hebatlah?”
“Irika, come on! Saya bukan nak cakap saya ni
hebat tapi saya memang hebat, nak buat macam mana?” KK mengangkat-angkat
keningnya.
Irika sekadar ketawa. Dia tahu sangat perangai
KK yang suka perasan tu.
“Perasan!”
“Sayang, awak ingat dulu saya tak belajar
susah ke? Saya sendiri mula dari bawah tau, tapi sebab saya kejar betul-betul
apa yang saya nak, sebab tu saya dapat. Macam saya nakkan awak, awak ingat
senang ke saya nak dapat awak?”
Irika ketawa mengusik.
“Susah ke nak dapat saya dulu?”
“Susah, awak tanya? Hmmphh! Jenuh saya guna
macam-macam cara nak dapatkan awak tau. Dahlah ramai nakkan awak termasuklah...
Siapa nama owner Alamar Corp tu? Zaini?” KK berkerut dahi, cuba mengingati
kisah dulu.
“Zainal.” Irika menjawab datar.
“Yess!! Zainal.”
KK terdiam sekejap, saat menyedari sesuatu.
“Eh, awak ingat dekat dia lagi? Jangan awak,
saya jealous ni.” KK menjuihkan bibirnya tanda protes.
Irika sekadar ketawa tanpa menjawab persoalan
KK itu.
“Awak, cepatlah sambung.” Irika memujuk.
KK berjeda, cuba mengingati kisah lalu antara
dia dan Irika.
Uik tetiba dah suka si erika ngn kk ni?
ReplyDelete