Bab 5
Harum mekar
bunga kemboja
Kenapa setiap
masa mesti ada dia?
“ENCIK Aydan tu memang segak kan. Macam wajah artis Korea pun ada.
Siapa entah nama artis tu?” Sally masih tak jemu berbicara tentang topik ini
walaupun aku sudah cuba mengelak dari berbicara tentang Encik Aydan. Tak mahu
orang lain juga memberi tumpuan kepada jejaka idaman malaya seorang itu. Hesy!
Kenapalah jejaka kacak sering jadi rebutan? Tak bolehkah aku seorang saja yang
mahu gilakan Encik Aydan itu?
“Lee Min Ho.” Aku
menjawab datar walaupun rasa malas benar nak melayan keterujaan Sally waktu
itu. Nasi putih berlaukkan ikan cencaru sumbat dan kuah asam pedas itu aku
sekadar gaul-gaul dengan tangan sedangkan fikiranku menerawang ke arah lain.
Asyik terbayang-bayang wajah si kacak Encik Aydan.
“Assalammualaikum...”
“Waalaikumussalam.
Ya ada apa?” terdengar suara Sally menyahut salam seseorang tapi aku terasa
malas benar nak ambil tahu dan memandang ke arah mereka.
“Husna!” mataku
membulat saat mendengar nama itu. Walaupun nama itu adalah sebahagian dari nama
aku, tapi terasa alergik benar apabila ia disebut-sebut apatah lagi dari mulut
seseorang yang suaranya nyaring bak petir itu.
Aku angkat wajah
dan memandang Sally di sebelahku sebelum mataku jatuh kepada wajah seseorang
yang amat aku kenal walaupun baru beberapa hari wajah itu mengisi ruang
hidupku. Macam mana tak kenal, kalau wajah selenga itu menyeringai memandang
aku sampai menampakkan gigi taringnya yang mengalahkan Dracula itu.
“Awak! Buat apa
kat sini?”
“Nak makan la.
Takkan nak main takraw pulak.” Dia tersengih untuk kesekian kalinya. Hergh!
“Tak payah nak
buat lawaklah.” Aku mendengus kasar. Geram sungguh, tahap tak tahu nak cakap.
“Boleh join sekali?” dia menyoal dengan tidak
malunya sambil meletakkan air teh o panas dan pinggan nasinya di hadapan aku.
Aduh memang tak makan samanlah mamat ni. Kenapalah dalam banyak-banyak
perempuan dalam dunia ni, aku juga dia nak kacau?
“Saya tak cakap
boleh pun lagi.” Aku bersuara dengan rasa jengkel.
“Alah tak apa,
meja ni bukan Husna yang punya. Makcik kedai ni yang punya.” Dia bersuara lagi
tanpa memandang aku, matanya sudah terarah ke arah nasinya sebelum dia menyuap
nasi ke dalam mulut dengan lahap. Hesy hilang selera aku tengok dia mentekedarah macam tu. Macam dah sebulan
tak jumpa nasi saja. Aku pandang sekeliling kedai itu, masih banyak saja lagi
meja yang kosong. Ini tak lain tak bukan, sengaja mamat ni mengada-ngada nak
makan dekat meja aku.
Sally menguis
lenganku membuatkan tumpuanku teralih ke arah Sally pula. Gadis yang hampir
sebaya dengan aku itu mengangkat keningnya sambil mata menunjuk ke arah Fahmi
di hadapan kami, mahu tahu siapakah gerangan lelaki itu. Aku sekadar
menggelengkan kepala sambil menghela nafasku, susah nak terangkan kepada Sally
di saat mamat kebuluran itu ada di hadapan kami.
“Errr awak ni
siapa?” soalan Sally kepada Fahmi membuatkan aku cepat-cepat menepuk tangan
Sally. Ingatkan minah ni faham, rupanya dia tak faham isyarat aku tadi. Hadei!
“Oh, maaf lupa nak
kenalkan. Saya Fahmi, kawan Husna.” Fahmi tersengih walaupun mulut penuh dengan
nasi.
“Husna?” Sally
pandang aku dengan wajah tidak percaya sebelum ketawa terkekek-kekek.
“Diamlah, Sally.
Nak ejek akulah tu.” Aku tarik muncung sedepa.
“Tak sangka pulak
Husna ada kawan lelaki. Tak pernah pulak dia cerita dekat saya.” Sally sengaja
membahasakan diriku dengan nama Husna. Nak mengusiklah tu.
“Kami baru je
berkawan. Tapi dah rapatlah.”
“Oh rapat ya...” kening
Sally terangkat-angkat sambil memandang ke arah aku. Riak wajahnya macam nak
mengatakan sesuatu.
“Selama ni tak
pernah nampak pun kat area sini?”
Sally menyoal lagi. Dah macam polis soal siasat penjenayah je minah seorang ni.
Dia ingat aku suka ke Fahmi berlama-lama dekat sini? biarlah mamat ni
cepat-cepat makan dan cepat-cepat blah dari meja kita ni wahai Cik Saleha Haji
Deraman oi!
“Oh saya baru
datang interview tadi, dekat Firma Nurul Iman. Alhamdulillah dah dapat, esok
saya dah boleh start kerja.”
“Firma Nurul Iman?
Eh firma tu atas office kami sajalah.
Kami kerja dekat Laman Murni Construction.” Sally bersuara teruja. Adoi
kenapalah dia ni bocorkan habis rahsia dalam satu sesi saja? Tunggulah lain
masa.
“Eh ye ke?
Bolehlah saya lawat Husna selalu.”
“Boleh je.
Datanglah, tapi jangan lupa bawak apa-apa.” Sally yang memang pandai mengayat
sempat lagi memberikan pesanan penajanya.
“Haha.
Insya-Allah.”
“Eh ok, sambunglah
makan. Kesian awak, mesti lapar.” Fahmi sekadar mengangguk dan menyambung
makannya yang tertangguh. Haih! Hilang terus selera aku nak makan bila jadi
macam ni. Sudahlah Fahmi datang dekat meja ni, mengaku sebagai kawan aku, lepas
tu Sally pergi bagitahu mamat ni pasal office
pulak. Adei apalah malang nasibku ini.
“OK Husna, kerja elok-elok ya. Abang balik dulu! Jumpa kat rumah!”
Fahmi melambai saat dia meminta diri dari aku dan Sally membuatkan mataku
membuntang mendengarkan kata-katanya itu.
“Yelah, yelah!
Pergi balik!” aku bersuara cepat-cepat, tidak mahu Fahmi berlama lagi di situ.
Saat Fahmi hilang dari pandangan, aku kembali berkalih ke meja, mahu
menghabiskan nasiku yang masih belum banyak yang luak.
“Rumah? Dia
tinggal dekat rumah kau ke?”
Uhuk! soalan Sally itu buatkan aku tersedak dan hampir saja
tercekik tulang ikan cencaru ni. Haih! Memang nak kena sungguh minah ni.
“Kau gila ke apa? Ingat aku tak tahu halal haram ke?” aku
membentak.
“Eh manalah tahu, kot dia tu sepupu kau ke, anak saudara ke,
bau-bau bacang ke, tumpang rumah kau kejap.”
“Tak kuasa aku nak tumpangkan lelaki dekat rumah sewa aku tu. Kau
gila ke apa? Nak aku kena serbu pejabat agama?”
“Habis tu kenapa dia cakap jumpa kat rumah? Hah jawab-jawab.” Aku
diam seketika, susah betul nak puaskan hati Sally ni. Selagi tak dapat jawapan,
selagi tulah dia mendesak.
“Dia anak saudara jiran sebelah rumah akulah. Baru datang KL,
tumpang rumah mak saudara dia tu.”
“Oh ini kes bercinta dengan jiranlah ye. Macam dalam novel je kau
ni.” Sally ketawa.
“Kau jangan nak merepek ya. Tak ingin langsung aku nak bercinta
dengan mamat muka selenga macam tu.”
“Ish tak baik kau ni, Fatih. Dah orang nak tu, kau terima sajalah.
Janganlah nak tolak rezeki, esok-esok tak sampai jodoh dah baru padan muka
kau.”
“Amboi sedapnya mulut kau. Kau tu pun belum ada calon, bising pasal
aku pulak.” Aku mengomel, sungguh tak puas hati.
“Eh siapa cakap aku tak ada calon? Tu bos baru kita, Encik Aydan tu
calon akulah. Wajah segak macam tu haruslah dipadankan dengan insan semanis
aku.” Sally bersuara tanpa teragak-agak sebelum ketawa.
“Eii perasanlah kau ni, Sally. Malas aku nak layan kau.” Aku
kembali fokus kepada juadahku di hadapan mata. Bercakap dengan Sally, sampai
habis waktu pejabat pun belum tentu aku habis makan.
“Tapi tak sangka, dalam masa beberapa minit ni macam-macam rahsia
kau aku dapat tahu. Tak sangka kau dah ada boyfriend
ya. Apa kau panggil dia? Mamat muka selenga?” Sally ketawa lagi membuatkan
hatiku terasa sebal.
“Diamlah, Sally. Kau jangan sesekali nak sebarkan benda tak betul
tu dekat office eh? Kalau aku tahu
kau sebarkan fitnah ni siap kau!” aku memberi amaran keras. Geram dengan
perangai Sally yang asyik ketawakan aku dari tadi. Kalau nak sebarkan gosip
pasal aku dengan Encik Aydan tak apalah juga. Ini dengan mamat muka selenga tu?
Hesy nauzubillah!
No comments:
Post a Comment
Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!