Bab 6
Cantik sungguh Kuala Kedah,
Aku dah jumpa calon dah!
AKU sedang berjalan menuju ke rumahku saat aku terlihat Mak Ngah
Ana sedang sibuk menyiram pokok bunga di dalam pasu-pasu yang tersusun di
hadapan rumahnya petang itu.
“Mak Ngah...” aku menegurnya, tanda hormat. Mak Ngah Ana angkat
wajahnya dan pantas tersenyum kepadaku.
“Eh dah balik, Fatihah?” soalnya ceria. Aktiviti menyiramnya
terhenti, sebaliknya dia menghampiri aku yang sedang membuka mangga grill
rumahku saat itu.
“Ya, Mak Ngah. Hari ini tak ada apa, bolehlah balik awal.”
“Nasib Fatihah balik cepat, kalau tak mesti dah tersangkut jammed.” Mak Ngah Ana bersuara, aku
sekadar mengangguk namun Mak Ngah Ana masih berdiri tegak di hadapanku
seolah-olah masih ada perkara yang ingin dia katakan.
“Kenapa ni, Mak Ngah? Mak Ngah ada benda nak cakap ke?” aku pantas
menyoal setelah kembali berpaling untuk menghadap Mak Ngah Ana saat itu.
“Tak adalah. Sebenarnya Mak Ngah nak ucap terima kasih pasal
semalam. Terima kasih bekalkan Fahmi tu nasi ayam. Mak Ngah kalut sampai tak
sempat nak siapkan apa-apa. Mak Ngah ingat dia makan kat kedai je, rupanya dia beritahu
kamu bagi nasi ayam tu dekat dia. Terima kasih Fatihah.” Aku tersenyum tipis
memandang Mak Ngah Ana usai wanita lewat lima puluhan itu bersuara.
“Tak ada apalah, Mak Ngah. Perkara kecik saja, semalam kebetulan
Fatihah masak lebih nasi ayam tu, Hajar pun tak ada kat rumah jadi kira rezeki
anak saudara Mak Ngah la kan.”
“Terima kasih, Fatihah.” Mak Ngah Ana mengusap tanganku, seolah
begitu terhutang budi padahal terlalu kecil ehsanku kepada Fahmi semalam.
“Ish, berapa kali Mak Ngah nak ucap terima kasih ni? Tak ada
apalah, Mak Ngah!” aku memeluk bahu wanita di hadapanku itu sambil tersenyum,
mahu merungkai rasa terhutang budinya itu. Wanita yang sudah kuanggap macam
ibuku sendiri sepanjang aku merantau mencari rezeki di negeri ini tersenyum
namun wajahnya masih ada kerisauan. Entah kenapa aku sendiri tidak mengerti.
“Kenapa ni Mak Ngah? Ada perkara lain lagi ke yang Mak Ngah nak
cakap?” Aku cuba menebak hati kecilnya. Mak Ngah tersenyum namun terdengar
keluhan dari bibirnya.
“Sebenarnya Fatihah...” dia memandang aku dengan renungan sayu.
“Mak Ngah nak minta maaf, kalau-kalau Fahmi tu menganggu kamu.”
Akhirnya terlerai juga kata-kata itu dari mulut Mak Ngah Ana setelah lama dia
diam di hadapanku. Aku tergamam. Menganggu?
“Eh ganggu? Mana ada dia ganggu Fatihah, Mak Ngah.” Aku sengih
walaupun minda dah terbayang wajah mamat itu tersengih. Meluat!
“Mak Ngah minta maaf pasal dia ketuk pintu rumah Fatihah
malam-malam tu sampai Fatihah pengsan. Dia tu memang jenis main serbu bila rasa
ada yang tak kena.” Mak Ngah Ana menggaru kepalanya yang aku pasti tidak gatal.
“Oh pasal tu ke, tak apalah, Mak Ngah. Saya tak marah dia pun, cuma
terkejut sajalah. Ingatkan hantu mana malam tu.” Aku ketawa kecil membuatkan
wajah Mak Ngah sudah menguntum senyum.
“Mak Ngah minta maaf jugak sebab dia suka menyanyi, main gitar tak
kira waktu. Dulu dia tu kerja kampung je, bila bosan itulah hiburan dia. Jadi
dia dah terbiasa buat gitu. Mak Ngah harap Fatihah tak terganggu ya. Kalau
Fatihah rasa bising, Fatihah marah saja dia, Mak Ngah tak kisah.” Aku menelan
liur sebaik mendengar kata-kata Mak Ngah Ana, seolah dia tahu aku marahkan
Fahmi pagi semalam. Kantoi!
“Err, Mak Ngah. Mak Ngah tak payahlah minta maaf apa lagi. Fatihah
sikit pun tak kisahlah. Maaf sebab pagi semalam mood Fatihah kurang elok sikit,
sebab tu termarah dia.” Aku pula menggaru kepalaku yang tidak gatal.
“Tak apa. Kalau dia bising, Fatihah marah saja. Mak Ngah tak kisah.”
“Fatihah pun tak kisah sebenarnya kalau dia nak menyanyi, cuma kena
ikut masa yang sesuai sajalah.”
“Ya, Mak Ngah faham. Fatihah jangan risau ya, dia menumpang kejap
je dekat rumah Mak Ngah. Nanti dia dah dapat rumah sewa baru, dia pindahlah.”
Aku terdiam. Hmm pindah ya. Nampaknya aku kena bersabar sikit saja
lagi sebelum mamat tu lenyap dari depan mata. Haha!
“Fatihah...”
“Ya, Mak Ngah.” Aku bersuara sebaik tersedar yang Mak Ngah Ana
masih di situ.
“Kalau dia ada buat bising atau mengganggu kamu, kamu bagitahu Mak
Ngah. Nanti Mak Ngah marah dia.”
Aku ketawa kecil.
“Ya, baik... Nanti kalau budak nakal tu kacau Fatihah, Fatihah
bagitahu Mak Ngah.” Aku buat muka geram membuatkan Mak Ngah Ana turut tergelak.
“LAMA sembang dengan bakal mak saudara mertua.” Hajar bersuara
sebaik aku masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu dari dalam.
“Mak saudara mertua?
Apakah itu?” aku buat-buat blur, adalah tu nak mengenakan aku.
“Eceh buat tak
tahu pulak. Sudah geharu cendana pula, sendiri dah tahu, malu nak mengaku
pula.” Hajar selamba berpantun buatkan aku tergelak.
“Ada-ada ajelah
kau ni, Hajar. Tak ada kerja lainlah tu. Tak habis nak kenenkan aku dengan
mamat tu. Sudahlah cik Hajar, tak payah sibuk nak carikan jodoh aku. Pandailah
aku cari sendiri.” Aku angkat kening.
“Amboi, lain macam
aja kau ni. Dah jumpa calon ke?” Hajar bangun dari sofa dan pantas mendapatkan
aku. Teruja la tu.
“Adalah...” aku
mencuit hidung Hajar dan berlalu masuk ke dalam bilik. Enggan membiarkan Hajar
menyoal siasat aku lagi.
Aku dah jumpa
calon yang lagi sesuai untuk aku, cik Hajar oi. Lagi kacak, lagi bergaya. Jauh
beza la dengan mamat selekeh tu. Haha!
No comments:
Post a Comment
Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!