Makan roti dengan sekaya,
Bila masa pulak aku nak culik dia?
“HAJAR! Hajar!” aku menggoncang tubuh Hajar yang masih berselimut
di atas katilnya. Perlahan Hajar membuka matanya dan memandang aku.
“Aku demamlah, Fatih. Semalam aku dah makan panadol tapi deman ni
tak nak kebah. Aku tak pergi kerja kot hari ini, kejap lagi aku pergi klinik
ambik MC.” Hajar bersuara dengan nada yang serak berselang-seli dengan batuk. Aku
meletakkan belakang tanganku pada dahi Hajar untuk merasa kepanasannya,
ternyata memang Hajar masih demam.
“Tak apalah Hajar. Kau rehatlah, tapi tak apa ke aku tinggalkan kau
seorang dekat rumah?” aku gusar.
“Tak apa. Kau janganlah bimbang. Kalau ada apa-apa, aku mintak
tolong Mak Ngah Ana je.” Aku mengangguk tanda mengerti sebaik mendengar
kata-kata Hajar.
“Macam tu tak apalah. Kau rehat ok. Kalau ada apa-apa, call aku
tau. Lepas kerja aku terus balik rumah.”
“Ok beb, terima kasih. Sorry risaukan kau.”
“No hal.” Aku senyum sebelum bingkas keluar dari bilik Hajar menuju
ke luar rumah, aku sudah bersiap dari tadi untuk ke tempat kerja cuma bila
Hajar tak keluar-keluar dari bilik yang buat aku tertanya dan menjenguk ke
dalam.
“Kamu tanya saja orang-orang dekat situ. Mesti dia orang tahu macam
mana nak beli tiket.” Suara Mak Ngah Ana kedengaran saat aku membuka pintu
rumah. Aku memandang ke rumah sebelah dan terlihat Mak Ngah Ana dan Fahmi
sedang berada di hadapan pintu rumah mereka.
“Hmm. Yelah Mak Ngah.” suara Fahmi pula kedengaran sebelum terdengar
Mak Ngah Ana menutup pintu rumah. Mungkin tidak sedar aku berada di luar, kalau
tidak, sudah tentu dia menegur aku.
“Selamat pagi, Husna.”
Ok yang ini tentu-tentulah dia sedar aku ada dekat luar. Hergh!
“Selamat pagi.” aku menjawab acuh tak acuh sebelum laju membawa
langkah. Malas nak layan dia pagi-pagi begini, bikin rosak mood saja nanti.
AKU masuk ke dalam kereta yang aku parkir sebelum terlihat Fahmi
berjalan sendiri menuju ke luar kawasan perumahan ini. Dia nak kemana jalan
kaki sorang-sorang begitu? Motor dia mana?
Allah! aku menepuk
dahiku sendiri. Belum apa-apa dah lupa pasal hal semalam. Banyak termakan semut
agaknya aku ni. Aku memandu keretaku dengan laju, cuba mengejar Fahmi yang
kelihatan hendak melintas jalan ke stesen LRT bersebelahan.
“Fahmi tunggu!”
Aku memanggil sebaik terhenti di hadapan dia yang berhenti di lintasan zebra
kerana lampu isyarat pejalan kaki masih berwarna merah.
“Eh Husna.” Dia
memandang aku dengan wajah hairan.
“Naik kereta saya
cepat.” Aku mendesak sebaik lock pintu
aku buka. Iyelah, masih lampu hijau ni, karang tak pasal orang belakang aku hon
pulak. Tanpa banyak soal, dia masuk ke dalam keretaku dengan segera.
Diam. Aku fokus
memandu dan masih tidak memandang dia di sisi, sebaik dia masuk ke dalam keretaku.
“Kenapa Husna
culik abang?” mataku mencerlung sebaik mendengar kata-katanya secara tiba-tiba
itu. Ya Allah, nak pengsan dengar pertanyaan dia tu. Tak kuasa aku nak culik
orang macam dia. Tak ada faedahnya pun.
“Culik apanya?
Buat apa saya nak culik awak?” Aku menyoalnya dengan geram.
“Manalah abang
tahu. Tiba-tiba saja paksa abang naik kereta Husna.” Dia menyeringai.
“Kan motor awak
ada dekat tempat kerja. Saya yang suruh awak tinggalkan kat situ jadi sayalah
yang sepatutnya kena bertanggungjawab hantar awak hari ini.”
“Oh begitu ke?
Abang tak kisah pun. Semalam Husna dah tolong abang, abang tak sanggup nak
susahkan Husna hari ini pulak.”
“Tak ada susahnya.
Kita kan kerja dekat bangunan yang sama jugak. Tak payah nak mengada buat ayat
sadis macam tu. Sekarang duduk diam-diam.” aku mendengus, banyak cekadak betul
mamat ni. Tolong salah tak tolong pun salah. Haih!
“Abang baru je
ingat nak try naik LRT. Orang cakap best naik LRT.” Dia ketawa.
Aku menjeling ke
arah jam di dashboard dan beralih ke arahnya seketika kemudian.
“Kalau nak naik
LRT patutnya awal kena keluar, bukannya waktu macam sekarang.” Aku mengomel
sendiri, Fahmi diam kembali, tak tahu nak balas apalah tu. Huh!
AKU sedang menutup pintu kereta saat seseorang menepuk bahuku dari
belakang. Sally sedang berdiri memandang aku dengan senyuman penuh makna dan
kening yang terangkat-angkat.
“Eh Sally.” aku
yang terkejut dengan kehadirannya pantas menyapa. Dia cuma diam dan riak
wajahnya masih tidak berubah.
“Ehem... datang
berdua hari ni ya.” Sally menyoal sambil matanya beralih ke arah tepiku, buatkan
aku ikut melihat arah matanya dan terhenti di wajah mamat muka selenga yang
tersengih memandang kami. Patutlah Sally tersenyum-senyum sedari tadi, rupanya
nak mengusik aku dengan Fahmi.
“Ish kau ni!” aku
mencubit lengan Sally membuatkan gadis itu mengaduh. Sengaja hendak memberi
amaran supaya Sally tidak meneruskan usikannya itu di hadapan Fahmi lagi.
“Hai, Fahmi kan?
Jiran Fatihah? Eh maksud saya, Husna.” Sally menyoal tanpa mempedulikan amaranku
tadi.
“Ya...” Fahmi
menjawab tanpa segan, langsung tidak terkesan dengan usikan Sally tadi.
“Selamat bekerja!
Jangan risau, saya boleh tengokkan Husna ni untuk awak.” Sally menyengih macam
kerang busuk. Dah tersampuk sengihan mamat ni jugak ke? Parah!
“Errr abang naik
dululah ya. Terima kasih Husna.” Fahmi meminta diri, mungkin terasa kekok dengan
usikan Sally itu. Sebaik Fahmi hilang dari pandangan, aku kembali memandang
Sally yang masih memandang aku dengan senyum simpul.
“Kau ni kan,
selamba betul!” aku mendengus, geram.
“Apa salah aku?”
Sally buat muka tak bersalah sambil berjalan beriringan dengan aku yang sudah
mengorak langkah menuju ke Menara Awan.
“Kaulah tadi, suka
hati saja usik aku dengan mamat tu.” Aku menghela nafas, beg tangan yang sudah
melorot ke lengan, aku angkat semula dan sangkut ke bahu.
“Yelah, aku tengok
bukan main mesra lagi kau orang, siap datang kerja sekali. Nak kata jiran
semata, takkan sampai datang kerja berdua. Kau dah bercinta dengan mamat tu eh?”
“Ish gila kau!
Mana ada!”
“Habis tu yang aku
nampak ni apa kes? Baik kau ngaku jelah.”
“Kau ni pun nak
jadi macam kawan serumah aku, si Hajar tu kan. Tak habis-habis nak mengusik dan
kenenkan aku dengan si Fahmi tu. Mana ada aku bercinta dengan dia!”
“Alah aku tanya je,
manalah tahu boleh makan nasik minyak.”
“Hesy tak kuasalah
aku. Aku tolong hantar dia je hari ni sebab motor dia tinggal dekat sini.
Semalam kan hujan lebat, motor dia tak boleh hidup.” aku akhirnya menceritakan
duduk hal yang sebenar. Kalau tak jelaskan karang, adalah gosip liar yang
timbul dekat pejabat tu.
Sally ni bukan aku tak kenal, ratu gosip nombor satu. Apa saja hal,
sekejap saja sampai ke telinga orang termasuk budak pejabat lain. Matilah kalau
budak pejabat Fahmi terdengar pasal ni, karang mana aku nak letak muka, sebab
bercinta dengan mamat muka selenga? Kalau Encik Aydan tahu lagi haru! Tak pasal
saham aku jatuh di mata dia, silap-silap kena potong dari senarai calon. Ok jauh
betul pemikiran aku ni pergi.
“Oh macam tu ke? Tapi kalau kau bercinta dengan dia betul-betul pun
ok apa, Fatihah. Aku tengok dia tu not bad jugak. Sesuailah dengan kau.” Sally
ketawa.
“Eiii kau kata sesuai aku dengan dia? Tolong sikit ye. Aku ni
kurang-kurang kenalah dapat orang macam Encik Aydan tu ke.”
“Eh Encik Aydan tu aku punya ok.”
“Hesy sibuklah kau! Aku punya!” Aku masih tak nak beralah dengan
Sally yang sengaja buat provokasi.
“You punya apa?” soalan seseorang dari belakang kami yang sedang
menunggu pintu lif terbuka membuatkan aku dan Sally sama-sama terdiam. Perlahan
kami berpaling dan melihat Encik Aydan sedang berdiri di belakang kami. Aduh!
Bila masa pulak dia muncul? Dia dengar ke?
“Err tak ada apa-apa, Encik Aydan.” Aku berdalih dan sekadar
mengukir senyum tipis kepadanya sebelum memandang ke depan semula, risau kantoi
dengan perbalahan kami yang berebutkan dia tadi.
“Fatihah nanti sampai office,
masuk bilik I.” Tegas Encik Aydan bersuara dan serentak dengan itu juga pintu
lif terbuka. Aku dan Sally segera masuk namun mulut kami terkunci terus dari
bersuara kerana Encik Aydan turut berada di dalam lif itu bersama kami.
No comments:
Post a Comment
Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!