Friday, April 15, 2016

Novel : Mamat Muka Selenga bab 14



Indah sungguh Tasik Chini,
Kenapa mesti dia muncul saat ini?
AKU menarik nafas lega sebaik keluar dari bilik Encik Aydan. Mujurlah dia tidak bertanya soal perbalahan macam budak-budak di antara aku dan Sally tadi, cuma hal kerja saja yang dibincangkan sewaktu aku masuk ke dalam biliknya. Penat aku berdebar macam orang gila.
            “Fatihah, ada orang cari.” Shima memberitahu saat bontotku baru saja mencecah ke atas kerusi.
            “Siapa?” aku menyoal. Shima mengangkat bahunya sambil matanya terarah ke hadapan pintu pejabat.
            Erk! Apahal mamat ni datang lagi? Tak boleh tengok orang senang betul!
            Aku bingkas bangun dari duduk dan berjalan perlahan menuju ke pintu depan.
            “Nak apa?” soalku datar. Tidak suka dia kemari. Kalau orang pejabat aku nampak macam mana? Tak pasal-pasal timbul gosip tanpa perlu Sally bersuara.
            “Abang tertinggal beg sandang abang dalam kereta Husna.” Dia menggaru kepalanya seraya tersengih kepadaku.
            “La, macam mana boleh tertinggal? Kenapa tak ambil siap-siap tadi?” aku mengomel panjang. Tidak puas hati, beg dia sendiri pun dia boleh lupa. Ini betul ke sengaja nak cari alasan jumpa aku? Haih!
            “Tadi lepas tengok kawan Husna datang, abang terus mintak diri sampai abang terlupa pasal beg tu sebab fikir tak nak kacau Husna. Sorry tak sengaja!”
            “Hesy! Tunggu sini. Saya pergi ambil kunci kereta.” Aku berpesan sebelum terus berlalu ke tempatku, mengambil kunci kereta dari dalam beg tangan dan kembali ke depan pintu. Menghulurkan kunci itu kepadanya.
            “Eh Husna tak nak turun, bukakan kereta untuk abang?” matanya membulat saat bertanya.
            “Pergilah buka sendiri. Malaslah nak turun, sekarang ni waktu pejabat tahu tak?”
            “Husna percaya ke dekat abang? Karang abang ambil apa-apa dari dalam kereta, tak pun bawa lari saja kereta Husna macam mana?” Dia menyoal dengan bersungguh-sungguh sampai berkerut mukanya.
            “Tak ada benda berharga pun dalam kereta tu. Kalau awak bawa lari kereta tu, saya report Mak Ngah awak. Siaplah awak! Mesti emak awak tak nak mengaku awak sebagai anak dia lagi. Lepas tu jangan haraplah awak dapat balik kampung. Masa tu baru awak kenal erti penyesalan. Anak manja emak!” Aku mendengus.
            Dia ketawa semahunya sebaik aku menghabiskan kata-kataku. Entah apa yang lawaknya entah, aku cakap serius je aku rasa.
            “Ok abang tanya saja. Tak ada niat macam tu pun. Terima kasih. Kejap lagi abang pulangkan kunci.” Dia mengangkat kunci keretaku dan menghayunkannya di hadapanku sebelum berlalu dengan senyuman yang terukir di bibir.

AKU mengerling ke arah jam yang tersarung di tangan. Sekejap lagi sudah masuk waktu rehat tetapi Fahmi masih juga belum muncul menghantar kunci keretaku. Karang macam mana aku nak keluar rehat kalau dia orang ajak aku makan dekat tempat yang jauh sikit dari pejabat?
Ok cool Fatih! Cool! Sally kan ada kereta, naik kereta dia sajalah.
Tapi mana mamat ni? Takkanlah dia betul-betul larikan kereta aku? Hesy Nauzubillah! Aku pun satu, baru beberapa bulan mamat tu dekat sini aku dah berani percayakan dia macam ni. Hesy! Janganlah jadi apa-apa.
“Fatihah!” seseorang melaung dari tempat berdekatan pintu. Shima yang mejanya paling hampir dengan pintu, memanggil aku membuatkan aku lekas memandangnya. Dia menunjuk ke arah Fahmi yang sekali lagi berdiri di depan pintu, sama seperti awal-awal tadi. Fahmi menghayun-hayun kunci keretaku tanda itu tujuannya ke mari. Aku segera mendekatinya dengan hati yang sedikit panas.
“Kenapa lambat sangat?” aku mendengus saat kunci keretaku kembali aku ambil dari tangannya. Dia sekali lagi menggaru kepalanya, buat muka tak bersalah.
“Bos abang suruh hantar dokumen urgent, sebab tu lepas ambil beg abang, abang terus pergi hantar dokumen tu. Abang ingat lepas hantar tu abang nak datang sinilah bagi balik kunci Husna. Sekali abang sangkut pulak dekat office yang abang pergi tu. Dokumen tu nak kena tunggu bos dia orang sign, bos dia orang pulak belum masuk pejabat lagi masa tu. Terpaksalah abang tercongok dekat sana sampai bos dia orang sampai.” Fahmi menerangkan panjang lebar dan aku hanya mendengar walaupun hati dah geram tadi.
“Husna marah ke? Sorry! Abang tak ada nombor telefon Husna, kalau tidak abang dah boleh call dah bagitahu.” Dia tersengih-sengih. Ceh umpan nak minta nombor telefonlah tu. Jangan harap aku terpedaya.
“Dah, tak apalah. Saya ingatkan awak ke manalah tadi.” aku mencebik.
“Husna takut abang larikan kereta Husna ya? Jangan bimbang, abang walaupun tak ada apa tapi abang takkan ambil benda yang bukan hak abang.” Aku memandang dia dengan rasa tak percaya. Serius pulak kata-kata dia ni, selalu tak pernahnya nak serius.
“Ya saya tahu. Saya tak fikir macam tu pun.” Padahal hampirlah jugak nak percaya yang dia bawa lari kereta aku. Haha. Kejam kau Fatih!
“Terima kasih dan sorry!” Dia menyengih untuk kesekian kalinya. Aku sekadar mengangguk kecil.
“Fatihah.” Suara dari belakang buatkan aku terkedu. Macam kenal suara ni. Alamak!
“Ya Encik Aydan.” Aku bersuara saat aku menoleh ke belakang. Sudah dapat agak suaranya sebab dah tersemat dalam hati ini. Cewah!
“Siapa ni?” dia menyoal sambil matanya memandang ke arah mamat muka selenga. Alamak! Sudah...
“Saya Fahmi. Kawan Husna, kerja dekat atas, Firma Nurul Iman.” Fahmi laju menjawab sebelum sempat aku merangka jawapan.
“Oh Firma Nurul Iman.” Encik Aydan mengangguk-angguk.
“Dia jiran saya, Encik Aydan.” aku pula menjawab, tidak mahu Encik Aydan berfikir yang bukan-bukan dengan status ‘kawan’ yang Fahmi sebut tadi.
“Oh ok, carry on. Dah waktu rehat ni, pergilah rehat.” Encik Aydan bersuara datar seolah tidak peduli langsung dengan peneranganku tadi. Dia berlalu ke pintu lif tanpa mempedulikan aku dan Fahmi lagi. Aku menghela nafas panjang. Sah dia ingat aku dengan Fahmi ada apa-apa. Oh why? Kenapa dunia ini kejam? Why?
“Kalau macam tu, jomlah.” Suara Fahmi yang mencecah gegendang telinga buatkan aku kembali berpaling ke arahnya.
            “Jom apanya?”
            “Rehatlah. Kan Encik Syahdan Husna tu cakap suruh pergi rehat.”
            “Aydanlah! Aydan Danial!” Aku sedikit membentak. Selamba je nama Encik Aydan yang sedap tu dia sebut macam tu.
            “Apa-apa jelah. Jom Husna, kita rehat sekali jom.” Dia menyengih, langsung tak ada rasa bersalah sebab panggil Encik Aydan begitu dan yang paling utama, muncul dekat depan pejabat aku ni waktu Encik Aydan nak keluar. Tak pasal-pasal Encik Aydan akan fikir aku dengan mamat muka selenga ni ada apa-apa. Aiyoo tidakk!!!
            “Husna?”
            “Dah pergi balik. Saya nak rehat dengan kawan-kawan sayalah. Pergi!” aku menggawang-gawangkan tandaku tanda menghalaunya pergi. Lantaklah dia nak terasa pun, aku ni terasa dia tak fikir pulak. Huh!

            “Ok, selamat rehat, Husna!” dia menyengih sebelum berlalu ke hadapan pintu lif. Aku melepaskan keluhan berat saat pintu lif tertutup, membawa bersama mamat itu jauh dari pandangan mata.

No comments:

Post a Comment

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!