Burung merpati terbang melayang,
Marah itu tanda sayang?
AKU meletakkan bungkusan moi sup di atas meja malam itu, sebaik aku
pulang dari kerja. Kelibat Hajar tidak aku temui di ruang tamu membuatkan aku
lekas mencarinya di dalam bilik, risau kalau-kalau sakitnya semakin melarat.
Sebaik membuka
pintu, aku lihat Hajar sedang bergayut di telefon sambil ketawa riang. Ini tak
ada lain, bergayut dengan Faizlah tu. Dari gaya gelaknya tu, nampak macam dah
sihat sikit jadi tak perlulah aku risau sangat. Aku kembali menutup pintu
biliknya dan berlalu ke meja makan.
Perut dah berkeroncong dari tadi tapi apa nak buat, kerja bertimbun
di pejabat membuatkan aku tersangkut sampai pukul lapan malam di sana. Lepas
solat Maghrib, terus aku pecut ke kedai makan dan balik rumah. Badan dah letih
tahap tak tahu nak cakap, lepas makan dan solat Isyak ni memang sahlah aku
hanyut atas katil. Penat yang amat!
“Baru balik, Fatih?” Hajar menyoal sambil mengikat rambutnya yang
sudah berseronyeh. Aku menggangguk lemah, tanda penat sambil buat muka kesian.
“Encik Aydan tu kerah betul tenaga aku sampai bagi macam-macam
kerja. Yang dia tu seronok je balik awal sambil berkepit dengan perempuan.” Aku
mengomel sambil mulutku sudah menyuap moi sup ke mulut.
“Amboi marah dengan buah hati nampak?” Hajar tersenyum simpul
sambil mengambil duduk di sebelahku. Aku tersengih mendengar perkataan buah
hati itu, sejuk pulak hati ini. Haha.
“Mana ada marah. Geram je. Eh kau tu dah ok ke? Sorry beb, aku
lambat balik. Hari ni jugak kerja aku nak banyak macam ni.” Aku rasa bersalah,
sepatutnya masa Hajar demam begini, aku kena balik awal.
“Tak apa, aku dah rasa sihat sikit dah. Lepas makan ubat klinik tu,
suhu aku dah turun. Serasi pulak aku dengan ubat klinik.” Hajar bersuara dengan
wajahnya yang ceria. Lega hatiku tengok dia kembali bertenaga macam selalu.
“Yelah. Kenalah serasi, kena cepat baik. Orang nak kahwin ni tak
boleh sakit lama-lama. Nanti masa kahwin tak berseri.”
“Eh ye ke macam tu?”
“Lebih kuranglah.” Aku ketawa membuatkan Hajar ikut ketawa.
“Eh kau cakap tadi, bos kau tu berkepit dengan perempuan kan?
Playboy ke dia tu?” Hajar tiba-tiba menyoal setelah ketawanya terlerai. Aku
jadi terkedu mendengarkan soalan yang terpacul dari mulut Hajar itu.
“Ya. Lebih kuranglah Hajar, kejap dengan perempuan ni, kejap dengan
yang itu. Wajah kacak dan kaya ni, wajib jadi playboy ke? Sekali pakej ke apa?
Menyampah aku.”
“Sebab tulah jangan memilih sangat, Fatih. Yang kacak handsome
bergaya tu tak semestinya baik. Aku dari saat kau tunjuk hari tu pun aku dah
rasa tak suka.”
“Aik kau pun dah terjangkit dengan aku? Tengok kali pertama pun dah
meluat gila-gila?” Hajar ketawa, tahu apa yang aku maksudkan. Sama kes aku
dengan Fahmi walaupun aku tak tahu apa salah Fahmi pada aku waktu tu. Mungkin
cuma sebab dia tak berapa nak handsome, muka dia selenga. Haha.
“Aah lebih kurang kes kaulah. Tapi aku ni tak suka pun ada alibi
yang kukuh. Aku nampak dia tak pergi solat Jumaat dan sekarang kau sendiri
cakap dia tu playboy. Lagilah aku menyampah dengan orang macam ni. Harap muka
saja handsome. Fahmi tu lain, aku tengok dia serba serbi ok saja. Tapi kau
tu menyampah tahap dia buat dosa besar
je dekat kau. Kesian dia tau.”
“Hesy sudah, makan moi sup ni, aku beli dekat kau tadi. Tak payah
cakap pasal mamat muka selenga tu lagi boleh tak? Hilang selera makan aku.” aku
mengomel saat menghulurkan bungkusan moi sup itu kepada Hajar. Hajar hanya
tersenyum sebelum berlalu ke dapur, nak ambil mangkuk barangkali.
OH teratai bunga indah...
Engkaulah pujaan hatiku
Telah lama aku rindukan
Wahai teratai bunga indah...
Mataku baru saja nak terpejam ketika suara nyaring tapi garau itu
memecah kesunyian alam. Aku menekan butang unlock telefon sebelum melihat waktu
yang tertera. Sudah pukul sepuluh malam namun ada orang yang buta waktu
nampaknya. Haih!
Aku bingkas bangun walau mata sudah terasa berat, kalau dibiarkan
memang aku tidak dapat tidur lena dengan segera. Tidakkah dia faham yang aku
letih gila hari ni? Hergh!
Sebaik tudung sudah kusarung ke kepala, aku bergegas keluar dengan
muka cemberut. Tahu tak, bila kita mengantuk, mood kita pun ke laut? Tahu tak?
“Eh teratai... Opps maksud abang, Husna.” dia tersengih saat
melihat aku mencekak pinggang memandangnya dari depan pintu rumahku.
“Awak tahu tak sekarang pukul berapa?” aku mendengus.
“Baru pukul sepuluh. Relaks la, Husna. Malam masih muda. Meh
temankan abang nyanyi.” dia menepuk bangku di sebelahnya yang masih punya ruang
membuatkan hatiku bertambah sebal.
“Tak inginlah nak temankan awak main gitar buruk tu.” aku memeluk
tubuhku sendiri. Desiran angin malam ni boleh tahan sejuknya.
“Ala cakap sikit pun nak marah.” Dia menyengih sambil kembali fokus
memetik gitarnya namun suaranya tidak kedengaran.
“Saya dah nak tidur tahu tak? Boleh tak kalau main gitar tu esok
je? Tak aman ke jiwa awak kalau tak main gitar dengan menyanyi tu sehari?”
“Bila abang main gitar pagi-pagi Husna marah, abang main malam pun
Husna marah. Bila entah yang Husna tak marah?” dia memandang aku dengan wajah
minta simpati.
“Bila masa saya marah?” aku julingkan mata ke atas tanda tidak puas
hati.
“Tu bukan marah?” Fahmi menyoal sebelum menghela nafasnya.
“Kenapa Husna suka marah abang saja? Tu anjing rumah Uncle Ah Hong
tu pun suka buat bising, anak Kak Leha yang kecik sekali tu pun suka menangis
kuat-kuat, rumah Haji Yahya bawah rumah ni pun bising dok renovate, dengan abang jugak Husna nak marah kan?” dia menambah
lagi membuatkan aku terdiam.
“Memanglah saya marah kalau
awak main gitar, melalak tak kena waktu. Awak kena tengok keadaan juga. Hari ni
saya nak tidur awal sebab tadi penat sangat. Pukul lapan baru saya balik kerja
awak tahu tak? Masa yang saya guna untuk bertekak dengan awak ni patutnya masa
saya dah lena dibuai mimpi.” aku menjelaskan panjang lebar, minta dia mengerti.
“Oh maknanya abang kena tengok keadaan Husnalah ya. Baiklah lepas
ni abang nak main gitar abang tanya Husna dulu ya.” Dia terhenti membelek
gitarnya dan bingkas bangun dari bangku.
“Bukan itu maksud saya!” aku menjerit kecil. Geram pulak bila dia
faham benda yang salah, bukan macam tu yang aku nak.
“Habis tu apa maksud, Husna?”
“Maksud saya, hari ni saja jangan main gitar dan menyanyi masa ni,
saya nak rehat. Saya nak tidur awal jadi saya harap awak faham.”
“Kalau macam tu, boleh kan minta elok-elok? Bukan marah-marah abang
macam tadi. Kecik hati abang.” Dia mengulum senyum membuatkan aku terkedu.
“Hmm yelah. Minta tolong jangan melalak ye malam ni, saya nak tidur
awal. Terima kasih.” aku bersuara dalam keadaan canggung, sentap dengan
kenyataan Fahmi tetapi benar juga kata-katanya. Aku ini belum apa-apa terus
marah dia tanpa rasa was-was.
Aku berpaling membelakanginya dan membolos masuk ke dalam rumahku
dengan segera. Tidak mahu berlama menghadap dia, wajah aku dah panas menahan
rasa malu.
“Husna!” Belum sempat aku menutup pintu, aku terdengar dia
memanggil.
“Apa?”
“Orang tua-tua cakap, marah tu tandanya sayang. Goodnite.” Mamat muka selenga mengenyit
mata seraya tersengih sebelum berlalu meninggalkan bangku tempat dia selalu
buat show percuma itu dan membolos
masuk ke rumahnya, membiarkan aku terkedu dengan kenyataan berani mati dari
dia. Herghhh!!!
---------------
Terima kasih kerana sudi membaca novel ini.
Ini adalah bab terakhir yang saya masukkan di sini. Untuk membaca novel ini versi penuh, boleh dapatkan novel Mamat Muka Selenga di pasaran. Paling awal boleh dapatkan di PBAKL2016 Maeps pada 29 April hingga 9 Mei nanti, dan dijangka ada di kedai2 buku dan secara online di website dan apps KARYASENI pada pertengahan bulan Mei 2016 nanti.
Terima kasih sekali lagi. 😄😄😄😍😍😍😘😘😘
Serious dekah baca novel akak Aleesya ni !! Lawaknya menjadi hahahahahah Bagi saya ni novel first yang saya baca ada unsur komedi real .So , kipidap kak ! Semoga Allah murahkan rezeki akak 💕
ReplyDeleteBest! ��
ReplyDeletehi saya datang singgah sini sambil follow :)
ReplyDeletebest novel ni..saya berminat nak cuba menulis..boleh saya dapatkan bantuan dlm bidang penulisan ni? contoh nya cara hantar manuskrip dan sbgainya.. sbb sy baru ingin menceburi bidang ini.
ReplyDeletesaya pun tak pandai nak ajar orang tapi untuk bantu sikit2 insyaAllah boleh. nanti PM saya di fb atau insta, atau emel saya ya. alieshakirana@gmail.com
Delete