Indah sungguh Tasik Chini,
Kenapa mesti dia muncul saat ini?
AKU menarik nafas lega sebaik keluar dari bilik Encik Aydan.
Mujurlah dia tidak bertanya soal perbalahan macam budak-budak di antara aku dan
Sally tadi, cuma hal kerja saja yang dibincangkan sewaktu aku masuk ke dalam
biliknya. Penat aku berdebar macam orang gila.
“Fatihah, ada
orang cari.” Shima memberitahu saat bontotku baru saja mencecah ke atas kerusi.
“Siapa?” aku
menyoal. Shima mengangkat bahunya sambil matanya terarah ke hadapan pintu
pejabat.
Erk! Apahal mamat
ni datang lagi? Tak boleh tengok orang senang betul!
Aku bingkas bangun
dari duduk dan berjalan perlahan menuju ke pintu depan.
“Nak apa?” soalku
datar. Tidak suka dia kemari. Kalau orang pejabat aku nampak macam mana? Tak
pasal-pasal timbul gosip tanpa perlu Sally bersuara.
“Abang tertinggal
beg sandang abang dalam kereta Husna.” Dia menggaru kepalanya seraya tersengih
kepadaku.
“La, macam mana
boleh tertinggal? Kenapa tak ambil siap-siap tadi?” aku mengomel panjang. Tidak
puas hati, beg dia sendiri pun dia boleh lupa. Ini betul ke sengaja nak cari
alasan jumpa aku? Haih!
“Tadi lepas tengok
kawan Husna datang, abang terus mintak diri sampai abang terlupa pasal beg tu sebab
fikir tak nak kacau Husna. Sorry tak sengaja!”
“Hesy! Tunggu
sini. Saya pergi ambil kunci kereta.” Aku berpesan sebelum terus berlalu ke
tempatku, mengambil kunci kereta dari dalam beg tangan dan kembali ke depan
pintu. Menghulurkan kunci itu kepadanya.
“Eh Husna tak nak
turun, bukakan kereta untuk abang?” matanya membulat saat bertanya.
“Pergilah buka
sendiri. Malaslah nak turun, sekarang ni waktu pejabat tahu tak?”
“Husna percaya ke
dekat abang? Karang abang ambil apa-apa dari dalam kereta, tak pun bawa lari
saja kereta Husna macam mana?” Dia menyoal dengan bersungguh-sungguh sampai
berkerut mukanya.
“Tak ada benda
berharga pun dalam kereta tu. Kalau awak bawa lari kereta tu, saya report Mak
Ngah awak. Siaplah awak! Mesti emak awak tak nak mengaku awak sebagai anak dia
lagi. Lepas tu jangan haraplah awak dapat balik kampung. Masa tu baru awak
kenal erti penyesalan. Anak manja emak!” Aku mendengus.
Dia ketawa
semahunya sebaik aku menghabiskan kata-kataku. Entah apa yang lawaknya entah,
aku cakap serius je aku rasa.
“Ok abang tanya
saja. Tak ada niat macam tu pun. Terima kasih. Kejap lagi abang pulangkan
kunci.” Dia mengangkat kunci keretaku dan menghayunkannya di hadapanku sebelum
berlalu dengan senyuman yang terukir di bibir.
AKU mengerling ke arah jam yang tersarung di tangan. Sekejap lagi
sudah masuk waktu rehat tetapi Fahmi masih juga belum muncul menghantar kunci
keretaku. Karang macam mana aku nak keluar rehat kalau dia orang ajak aku makan
dekat tempat yang jauh sikit dari pejabat?
Ok cool Fatih! Cool! Sally kan ada kereta, naik kereta dia sajalah.
Tapi mana mamat ni? Takkanlah dia betul-betul larikan kereta aku?
Hesy Nauzubillah! Aku pun satu, baru beberapa bulan mamat tu dekat sini aku dah
berani percayakan dia macam ni. Hesy! Janganlah jadi apa-apa.
“Fatihah!” seseorang melaung dari tempat berdekatan pintu. Shima
yang mejanya paling hampir dengan pintu, memanggil aku membuatkan aku lekas
memandangnya. Dia menunjuk ke arah Fahmi yang sekali lagi berdiri di depan
pintu, sama seperti awal-awal tadi. Fahmi menghayun-hayun kunci keretaku tanda
itu tujuannya ke mari. Aku segera mendekatinya dengan hati yang sedikit panas.
“Kenapa lambat sangat?” aku mendengus saat kunci keretaku kembali
aku ambil dari tangannya. Dia sekali lagi menggaru kepalanya, buat muka tak
bersalah.
“Bos abang suruh hantar dokumen urgent,
sebab tu lepas ambil beg abang, abang terus pergi hantar dokumen tu. Abang
ingat lepas hantar tu abang nak datang sinilah bagi balik kunci Husna. Sekali
abang sangkut pulak dekat office yang abang pergi tu. Dokumen tu nak kena
tunggu bos dia orang sign, bos dia orang pulak belum masuk pejabat lagi masa
tu. Terpaksalah abang tercongok dekat sana sampai bos dia orang sampai.” Fahmi
menerangkan panjang lebar dan aku hanya mendengar walaupun hati dah geram tadi.
“Husna marah ke? Sorry! Abang tak ada nombor telefon Husna, kalau
tidak abang dah boleh call dah bagitahu.” Dia tersengih-sengih. Ceh umpan nak
minta nombor telefonlah tu. Jangan harap aku terpedaya.
“Dah, tak apalah. Saya ingatkan awak ke manalah tadi.” aku
mencebik.
“Husna takut abang larikan kereta Husna ya? Jangan bimbang, abang
walaupun tak ada apa tapi abang takkan ambil benda yang bukan hak abang.” Aku
memandang dia dengan rasa tak percaya. Serius pulak kata-kata dia ni, selalu
tak pernahnya nak serius.
“Ya saya tahu. Saya tak fikir macam tu pun.” Padahal hampirlah
jugak nak percaya yang dia bawa lari kereta aku. Haha. Kejam kau Fatih!
“Terima kasih dan sorry!” Dia menyengih untuk kesekian kalinya. Aku
sekadar mengangguk kecil.
“Fatihah.” Suara dari belakang buatkan aku terkedu. Macam kenal
suara ni. Alamak!
“Ya Encik Aydan.” Aku bersuara saat aku menoleh ke belakang. Sudah
dapat agak suaranya sebab dah tersemat dalam hati ini. Cewah!
“Siapa ni?” dia menyoal sambil matanya memandang ke arah mamat muka
selenga. Alamak! Sudah...
“Saya Fahmi. Kawan Husna, kerja dekat atas, Firma Nurul Iman.”
Fahmi laju menjawab sebelum sempat aku merangka jawapan.
“Oh Firma Nurul Iman.” Encik Aydan mengangguk-angguk.
“Dia jiran saya, Encik Aydan.” aku pula menjawab, tidak mahu Encik
Aydan berfikir yang bukan-bukan dengan status ‘kawan’ yang Fahmi sebut tadi.
“Oh ok, carry on. Dah waktu rehat ni, pergilah rehat.” Encik Aydan
bersuara datar seolah tidak peduli langsung dengan peneranganku tadi. Dia
berlalu ke pintu lif tanpa mempedulikan aku dan Fahmi lagi. Aku menghela nafas
panjang. Sah dia ingat aku dengan Fahmi ada apa-apa. Oh why? Kenapa dunia ini
kejam? Why?
“Kalau macam tu, jomlah.” Suara Fahmi yang mencecah gegendang
telinga buatkan aku kembali berpaling ke arahnya.
“Jom apanya?”
“Rehatlah. Kan
Encik Syahdan Husna tu cakap suruh pergi rehat.”
“Aydanlah! Aydan
Danial!” Aku sedikit membentak. Selamba je nama Encik Aydan yang sedap tu dia
sebut macam tu.
“Apa-apa jelah.
Jom Husna, kita rehat sekali jom.” Dia menyengih, langsung tak ada rasa
bersalah sebab panggil Encik Aydan begitu dan yang paling utama, muncul dekat
depan pejabat aku ni waktu Encik Aydan nak keluar. Tak pasal-pasal Encik Aydan
akan fikir aku dengan mamat muka selenga ni ada apa-apa. Aiyoo tidakk!!!
“Husna?”
“Dah pergi balik.
Saya nak rehat dengan kawan-kawan sayalah. Pergi!” aku menggawang-gawangkan
tandaku tanda menghalaunya pergi. Lantaklah dia nak terasa pun, aku ni terasa
dia tak fikir pulak. Huh!
“Ok, selamat
rehat, Husna!” dia menyengih sebelum berlalu ke hadapan pintu lif. Aku
melepaskan keluhan berat saat pintu lif tertutup, membawa bersama mamat itu
jauh dari pandangan mata.
Suka? =)
No comments:
Post a Comment
Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!