~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Saturday, October 22, 2011

Cerpen : Al-Fatihah Buat Kesayanganku

Assalammualaikum Wan!
Rindu Wan sangat-sangat! Entah bila agaknya kita dapat berjumpa lagi kan? Moga kita akan bertemu kembali Wan. aku rindu...
Aku masih ingat lagi, zaman tadika aku, saat kanak-kanak seusia berada dekat dengan ibu dan ayah, aku pulak duduk bersama Wan dan Tok, bersekolah tadika di kampung, apa sebabnya aku sendiri tidak tahu. Berbanding dengan Tok, aku lebih rapat dengan Wan kerana Wan tidak pernah marah padaku.
Rutin harianku sebelum ke tadika, Wan akan melumur minyak rambut dan mengikat rambutku setiap hari, tanpa jemu. Wan juga sanggup menangkap ayam kampung setiap hari kerana itulah kegemaran aku. Mungkin kerana itu badanku berisi sampai sekarang. Hehe. Kerana kasih sayang seorang datuk, Wan sanggup turuti kemahuanku yang ingin makan nasi berlaukkan ayam setiap hari.
Wan aku gagah orangnya, setiap kali datang melawat kami di bandar, dia akan pergi sendiri menaiki bas, menggendong sekarung guni yang terisi bekalan dari kampung seperti durian dan buah-buahan lain. Durian itu akan ditarah hingga hilang durinya supaya senang dia membawa untuk perjalanan jauh.
Aku sangat sukakan Wan sampaikan bila Wan datang melawat, aku sering ingin ikut dia pulang ke kampung. Tidak kisahlah terpaksa ponteng sekolah, asalkan dapat balik ke kampung bersama Wan.
Aku ingat lagi, Wan lah yang membawa aku ke pekan untuk menebuk subang di telinga, Wan mengayuh basikal dari kampung sampai ke pekan. Wan jugalah yang bersusah payah membawa aku ke tempat pertandingan melukis. Ya aku suka melukis, dan Wan lah yang sering memberi semangat. Dan dengan dorongannya itu, aku berjaya peroleh tempat pertama untuk zon itu saat itu. Dengan rasa bangganya aku menunjukkan piala aku pada Wan dan dari senyumannya itu aku tahu dia bangga denganku.
Dalam usia tua itu, Wan tetap gagah dan kuat. Dalam usia emas itu, Wan masih boleh menyapu laman yang luas itu seorang diri, setiap kali pulang ke kampung, pasti akan ada kesan cakaran penyapu yang Wan gunakan hingga membentuk corak yang cantik di laman rumah. Rumput jangan katalah, tak sempat tumbuh, Wan dah cabut. Haha.
Kalau masa raya, Wan lah orang yang paling sibuk. Wan orang yang dihormati di kampung, adatnya di kampung itu, usai solat sunat Hari Raya, akan ada sedekah wang syiling kepada kanak-kanak dan Wan lah tukang agih wang tersebut. Berduyunlah kanak-kanak menanti di tangga surau, sambil menghulur tangan pada Wan. Sebagai cucu Wan, kamilah yang paling bangga bila tengok Wan diberi penghormatan dan kepercayaan sebegitu.
Wan sangat menjaga solatnya, dan tiap-tiap waktu, dia akan ke surau yang terletak betul-betul di depan rumah. Walau tidak sihat macam mana sekalipun, Wan tetap akan pergi walaupun dengan bertongkat.
Sejak akhir-akhir ni, kesihatan Wan makin merosot. Aku ingat lagi saat raya tahun 2010, Wan masih boleh duduk dan bersembang walau tidak sekuat dulu. Tetapi dia memang sudah tidak larat hendak menyapu laman, rumput juga jadi setinggi lalang. Halaman rumah sudah tidak sekemas dulu dengan daun-daun bertaburan di halaman.
Aku yang menyapu laman baru sehari, sudah rasa terlampau penat, bagaimanalah agaknya Wan lakukannya setiap hari?
Sampai satu saat, Wan sudah begitu letih untuk bergerak hinggakan dia sering terkencing di dalam seluar akibat tidak sempat ke tandas yang jauh dengan tenaganya yang tinggal sedikit. Katil Wan juga berbau hancing kerana dia kerap terkencing di tilam. Akhirnya Wan kami pindahkan ke bilik belakang yang punya tandas khas.
Tapi Wan menangis, Wan merasakan yang dia terpinggir apabila berada di bilik yang terceruk itu. Kami turut sedih namun kami terpaksa demi kesenangan Wan.
Kerana kesihatan Tok yang turut terjejas, dan anak-anak yang lain sibuk bekerja, Wan dan Tok dihantar ke rumah Mak Long yang terletak jauh di dalam felda di Sungai Siput. Untuk kesenangan Wan, kami membelikannya lampin dewasa, namun sekali lagi Wan menangis. Wan tidak suka dianggap tidak berdaya. Aku faham sekali dengan perasaan Wan, namun demi kesenangannya, kami paksa juga Wan memakainya. Wan menangis namun dia terpaksa merelakannya.
Semakin lama Wan semakin lemah hingga akhirnya dia cuma terbaring di pembaringan. Wan memang ada darah tinggi dan Wan juga perokok daun yang tegar, dalam sakitnya itu, dia tetap boleh menghisap rokok. Satu lagi kesukaan Wan adalah kopi hitam yang memang pekat. Wan lebih rela minum kopi sepanjang hari, dari disuapkan air masak.
Setiap kali pulang ke rumah Mak Long, aku cuma memerhati Wan dari jauh. Aku bukan kejam, tapi aku sedih. Aku bimbang aku akan menangis apabila aku mendekatinya sendirian. Bila ada orang lain, barulah aku berani mendekati Wan. Tetapi lidah aku selalunya kelu apabila memandang Wan.
Dulu setiap kali pulang ke kampung, Wan yang akan menarik aku dan meminta aku mencium pipinya. Wan memang manja dengan cucu-cucunya, setiap cucu akan dicium penuh kasih sayang. Kini bila Wan terlantar, aku sendiri yang mencium Wan. Aku tahu dia masih mengharapkan cucu-cucunya mengucup pipi cengkung itu.
Wan kian kurus, badannya cuma tinggal kulit hinggakan tulang lututnya jadi timbul. Perutnya seolah tiada isi, kempis dan ke dalam. Mungkin kerana sakit, dia sudah kurang selera makan.
Raya 2011, aku bertemu Wan lagi. Ah cucumu ini memang bersalah, kerana cuma muncul di kala ada hari-hari tertentu seperti hari raya. Maafkan cucumu ini ya Wan, desakan hidup tidak memungkinkan aku untuk berada bersama Wan dengan lebih kerap.
Wan makin lemah, mulut Wan sudah kurang bercakap, cuma mengangguk dan menggeleng bila ditanya, kalaupun Wan bercakap, butir bicara Wan tidak lagi kami fahami, namun untuk tidak mengecilkan hati Wan, kami berlagak seolah kami faham akan kata-katanya.
Aku ingat lagi, saat itu, aku duduk di sebelah Wan, mengurut-urut kakinya. Wan meminta air kopi lantas kusuapkan ke mulutnya dengan menggunakan penyedut minuman. Wan minum dengan berselera walaupun cucumu yang culas ini sering menumpahkan air ke badan Wan yang sudah tinggal rangka itu. Aku lap tubuh Wan setiap kali air terpercik dan meminta maaf, namun Wan tidak ambil kisah, sebaliknya Wan berselera sekali untuk minum saat itu dan mengangakan mulutnya sebelum sempat aku menyuap.
Hari itu aku gembira sekali, kerana Wan begitu berselera dan aku sendiri yang menyuapkan Wan. Ya aku sangat gembira melihat Wan lebih bertenaga.
Sebelum pulang ke bandar semula, aku sempat bersalam dengan Wan dan menciumnya untuk kali terakhir sebelum pulang. Sebelum naik ke dalam kereta, aku sempat melihat ke dalam rumah, tempat katil Wan terletak, walaupun aku tidak nampak kelibat Wan kerana Wan sedang berbaring, namun hatiku rasa berat untuk meninggalkannya tika itu. Aku sayu.
18 Oktober 2011, tiba-tiba saja pakcik aku menghantar mesej, memaklumkan yang kesihatan Wan semakin buruk, menurut kata Mak Long yang menelefon pakcik, Wan nampak lain sangat, tidak mahu makan dan tidak ingin mandi. Nampak tak larat sangat.
Emak jadi risau dan rasa ingin pulang ke kampung dengan segera.
Seketika kemudian, kami dikejutkan dengan satu mesej kepada emak dari anak Mak Long, sepupu aku.
‘Salam. Keadaan Wan tak berapa elok. Kaki, tangan tak gerak dah. Kita panggil pun dok pejam ja. Hari ni langsung tak boleh makan. Kami titik air masuk mulut Wan.’
Betapa sayunya hati aku apabila membaca mesej itu, emak juga nekad untuk pulang ke kampung malam itu juga. Anak mana yang tidak risau apabila dikejutkan dengan berita itu. Aku juga jadi tak tentu arah, dalam hati asyik berdoa agar segalanya akan pulih seperti sedia kala.
Emak sedang bersiap saat sekali lagi mesej masuk.
‘Nafas Wan tiba-tiba berhenti. Kami tengah cari orang nak pastikan.’
Saat aku membaca mesej ini, aku terus meraung. Hati aku mengharapkan yang ini semua tidak benar, aku takkan kehilangan Wan! Namun firasatku kuat mengatakan Wan sudah tiada.
Malam itu semua saudara maraku nekad meredah kepekatan malam untuk pulang malam tu juga. Di dalam kereta, barulah keyakinanku dapat dipastikan, Wan memang sudah pergi. Aku tidak sanggup bercakap apa lagi, sepanjang malam itu aku diam. Air mata yang ingin mengalir, aku seka sendiri.
Hampir pukul dua pagi, barulah kami sampai di rumah Mak Long. Saat itu hati berdebar, entah apa reaksi yang perlu aku pamerkan. Aku tidak biasa.
Sebaik melangkah masuk ke dalam rumah, satu tirai sudah dipasang dan sebaik diselak, sekujur tubuh Wan yang kaku menjamu mata kami. Aku tergamam, raunganku kian kuat. Mereka yang lain juga turut menangis. Hatiku perit sekali. Aku tidak sanggup melihat wajah Wan lagi saat itu walaupun mereka sudah menyelak kain yang menutupi wajah Wan untuk ditatap. Aku gumam.
Seketika kemudian barulah aku berani melihat wajah Wan, namun jasad itu sudah tidak bernyawa, kaku, sejuk dan keras. Aku terlalu hiba, tiada lagi kehangatan tubuh Wan. Dahi Wan aku kucup namun hanya kesejukan tubuhnya dapat kurasai. Aku sayu. Berulang kali surah Yasin aku bacakan namun seringkali aku terhenti dek kerana sendu yang mengganggu bacaanku. Aku gagahi juga kerana aku ingin menyenangkan perjalanannya ke alam sana, aku ingin sedekahkan pahala itu pada Wan.
Malam itu aku memang tidak boleh tidur, asyik terbayangkan Wan, tidur juga berdekatan tempat jasad Wan berbaring. Aku menangis semahunya, namun aku mengawal suaraku agar tidak dapat didengar orang lain. Aku mahu nampak kuat, agar orang lain tidak menjadi lemah. Aku ingin menjadi cucu Wan yang kuat dan gagah seperti Wan. Dalam sendu yang bersisa, aku terlena malam itu.
Pagi-pagi lagi aku bangun, dan usai solat Subuh, aku terus menemani Wan, membaca surah Yasin. Kemudian bersarapan ala kadar, nasi yang kutelan terasa seolah menelan pasir, kesat dan berserdak.
Seketika kemudian, aku kembali menemani Wan dan membacakan tahlil. Orang ramai sudah kian berkumpul namun aku tetap di sebelah Wan. Usai bertahlil, aku selak kain tudung yang menyelimuti wajah Wan. Aku dipagut sayu, wajah Wan berlain benar, kulitnya tampak lebih putih dari kebiasaan, mungkin kerana darah yang sudah tidak lagi berada di wajahnya. Aku mencium wajah Wan sekali lagi dan kukucup pipi cengkungnya untuk kesekian kali.
Apabila majlis tahlil selesai, mereka mengangkat tubuh Wan untuk dimandikan. Ah pasti Wan ringan sahaja. Tubuhnya hanya bersalut kulit, tidak ada isi lagi. Kesian Wan, Wan terlalu kurus. Kalaulah aku boleh berikan sedikit isi aku, aku pasti sanggup.
Ahli keluarga Wan juga sudah tiba, sebaik terpandangkan abang Wan yang memang seiras wajahnya, aku jadi terlalu sebak. Aku rasa sedih sangat. Aku menangis hiba.
Aku menanti hingga tubuh itu dikafankan. Semua mata melihat Wan dikafan, namun aku tidak sanggup. Bila aku ingin lihat saja, hatiku rasa sakit, air mata berhamburan dan sebak mengisi dada. Aku terduduk di lantai, merawat rawanku sendiri.
Saat Wan siap dikafan, barulah aku bangun melihatnya. Wan sudah dibalut kain putih itu, hanya wajahnya saja kelihatan. Seorang demi seorang anak Wan dipanggil untuk mencium Wan untuk kali terakhir dan mencalitkan minyak atar dan menabur kapur barus.
Saat cucu-cucu Wan dipanggil, aku orang pertama yang ke depan, biarlah aku nampak gelojoh, namun demi Wan, aku rela ketepikan rasa malu aku. Aku taburkan kapur barus disekeliling kafan Wan sebelum mencium dahi, kedua belah pipinya dan memeluknya erat sebelum sebakku kian menggila. Aku lari kebelakang semula.
Usai segalanya, tubuh Wan diangkat masuk ke dalam van jenazah untuk disolatkan di surau, aku tidak turut serta, cuma memerhati sekujur tubuh itu pergi dengan linangan air mata.
Tidak lama kemudian, aku ke kubur untuk melihat Wan untuk kali terakhir, namun saat aku tiba, tubuh Wan sudah ditanam, dan proses mengkambus sedang dijalankan. Aku ralat kerana tidak sempat melihat Wan diletakkan di liang lahad.
Sebaik talkin dibacakan, aku jadi sebak sebaik imam membacakan nama Wan, hatiku dipagut sayu teramat. Usai bacaan talkin, semua bertolak pulang, kami sanak saudara Wan, menyirami kubur itu dan menaburkan daun pandan di atas kubur Wan.
Sebelum pergi aku menoleh ke arah Wan, berfikir bagaimanakah dia saat itu. Adakah malaikat Mungkar dan Nangkir sudah datang? Aku harap Wan mampu menjawab setiap pertanyaan mereka.
Aku mengucapkan selamat tinggal pada Wan dengan linangan air mata. Aku redha dengan takdir Allah ini, kerana sekurang-kurangnya Wan sudah tidak menanggung derita.
Ya Allah,
Tempatkanlah Wan di kalangan para solihin,
Tempatkanlah Wan bersama orang yang beriman,
Lindungilah dia dari seksa kubur,
Terangilah kuburnya dengan cahaya,
Luaskanlah kuburnya dengan seluasnya,
Jauhilah dia dari seksa api neraka,
Masukkanlah dia ke syurga
Ya Allah..
Aku berharap aku akan bertemu dia kembali
Di akhirat nanti...
Wan kesayanganku..
Yang sangat kucintai
Dan kini aku rindui...
Tenanglah Wan di sana,
Semoga roh Wan dicucuri rahmat.
Amin...
Al-Fatihah buat Ibrahim bin Haji Abdullah, Wan kesayanganku.
04 April 1935 – 18 Oktober 2011
-Penamat yang belum pasti tapi mati itu pasti-
p/s : cerita ini adalah 99% benar. Bukan bertujuan meminta simpati, sekadar berkongsi kisah antara aku dan Wan yang sangat aku cintai. Hidupnya Wan tidak dikenali, biarlah matinya orang ketahui, betapa insan yang kurindui ini begitu banyak berbakti. Hidupnya tidak akan kembali, namun kenangannya kan tetap bersemadi dalam hati. Moga dapat disedekahkan Al-Fatihah buat arwah. Terima kasih. Al-Fatihah.

Suka? =)

11 comments:

  1. Ak! farah nangis taw baca nie... huhuhuhu... farah turut rasakan apa yg Ak rasa skrg... Moga kite sama2 tabah!...
    AL-Fatihah tuk arwah Wan, yea.. Moga arwah ditempatkan dikalangan org2 yg beriman... Amin...

    ReplyDelete
  2. Salam takziah buat AK dan keluarga.
    semoga rohnya ditempatkan dalam golongan orang yang beriman. Amin. Banyak kan bersabar ye.

    ReplyDelete
  3. indeed a very touching real life story...
    can't stop my tears from dropping.
    sure he's always b remembered.

    ReplyDelete
  4. takziah wt ak skluarga .. sdih .. nngesh sb ttba igt kt arwah tokwan .. lbih kurang cm tokwan ak jgk .. al fatihah ..

    ReplyDelete
  5. sedeynya......harap AK sekeluarga tabah menghadapi pemergian Wan..setiap yg hidup pasti akn mati.yg pasti doa adalah penghubung org yg hidup dgn org yg da meninggal.....

    ReplyDelete
  6. HUHU...SEDIH SUNGGUH...AKAK PUN DH RASA MCM AK ALAMI..MS ARUAH MAK AKAK D BW PERGI..MMG SEBAK YG AMAT SANGAT...

    ReplyDelete
  7. al-fatihah
    sabar ya kak, insyaallah arwah ditempatkan bersama orang-orang yang beriman..amin~

    ReplyDelete
  8. sedih.bila bc cite ni teringat arwah toki ibrahim bin yusof yg meninggal 16 julai 2013..

    ReplyDelete
  9. Menitis2 air mata tatkala membaca entri ini. Same experience when my father passed away on 11 July 2007... cuma waktu tu baru melahirkan baby ketiga dalam 16 hari... perjalanan dari Kajang ke Pekan rasa amat jauh dan kalau boleh nak digulung2 jalanraya tu biar jadi pendek. Sepanjang perjalanan hanya mampu sedekahkan alfatihah dalam hati berulang kali.. Ralat tak dapat solat jenazah untuk arwah n x boleh ikut ke kubur kerana dalam nifas... Until now sangat2 rindukan arwah... semoga mereka di tempatkan di kalangan para solihin... amin

    ReplyDelete
  10. Sama macam cerita wan saya. Sy cucu sulung dan plg rapat dgn arwah. Masa kecik pun skolah kt kampung. Yg air kopi n urut kaki tu sama sgt. Tp sy tak smpat tgk wajah arwah kali trakhir sbb kat plkn. Teresak2 sy baca cerpen ni. Dah 3 tahun wan pergi. Al fatihah

    ReplyDelete

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!