Ramadhan 1432 Hijrah
Hawa spontan menutup hidungnya sebaik terbaukan sesuatu yang menusuk apabila seseorang masuk ke dalam pejabat milik Sakina Holding itu. Bau itu tidaklah tengik seperti bau pekerja warga asing yang baru pulang dari kerjanya di kilang, tetapi Hawa arif sangat tentang bau yang satu ini. Bau rokok!
Hawa memanjangkan leher, cuba meninjau gerangan insan yang baru menerobos ke dalam pejabat petang itu.
‘Ah Adam rupanya...’ Hawa mendengus.
Adam segera menghampiri meja Hawa dan tersengih ke arahnya. Adam, jejaka yang beraut kacak, namun agak selekeh dengan jambang yang tidak dicukur.
“Hai Hawaku, dah makan?” Adam bersandar di sebelah penghadang di tepi meja Hawa sambil memeluk tubuhnya.
“Apa makan-makan? Kan sekarang bulan puasa!” Hawa membentak, malas hendak melayan Adam yang sering mengusiknya tidak berhenti. Pandangannya langsung tidak dikalih ke arah Adam, kerana tahu makin dilayan jejaka itu, makin liat dia hendak beredar ke tempatnya. Mentang-mentanglah bos outstation, memanjang aja dia mengular di tempat orang lain.
Adam tersengih macam kerang busuk.
“Ala, tahulah. Manalah tahu, kot-kot orang tu cuti hari ni.”
Hawa terhenti dari menaip sesuatu di komputernya, pandangannya segera dilempar ke arah Adam, tajam.
“Encik Adam, kalaupun saya cuti, saya cuti sebab Allah bagi, bukan senang-senang suka hati bercuti tanpa ada sebab yang munasabah.”
“Amboi garangnya... tapi makin garang, makin lawa pulak aku tengok.”
“Dah-dah. Syuh-syuh, bau rokok la! Busuk!” Hawa mengibas-ngibaskan tangannya seolah sedang menghalau, tidak tahan lagi dengan bau rokok yang makin menyengat hidungnya.
Adam berdiri tegak sambil memandang kiri dan kanannya.
“Bau rokok datang dari mana pulak? Siapa yang tak puasa ni hah?” sengaja dia bersuara dengan kuat supaya dapat didengari orang lain.
‘Bikin hangin betul mamat ni. Kura-kura dalam perahu, pura-pura tak tahu pulak!’ Hawa mencebik.
“Awak tak payah tanya orang lainlah, kan awak yang tak puasa!” Hawa tidak puas hati, baik dia sound direct je mamat ni.
“Eh, tak baik tuduh Hawa, aku puasalah. Sampai hati kata aku tak puasa. Kecik hati perut aku.” Adam mengusap perutnya dengan wajah sedih.
“Memanglah awak puasa makan, tapi rokok, awak tak puasa...”
Adam cuma tersengih lagi, sebelum berlalu ke tempatnya, tidak tahu membalas apa kerana itu memang kebenarannya.
----------------------------------------------
Pelik! Memang pelik dunia ni. Ah bukan dunia yang pelik, tapi kaum lelaki. Kenapa susah sangat nak puasa? Apa hebatnya rokok sebatang tu, sampai sanggup tinggalkan suruhan Allah semata-mata kerana tak sanggup nak tinggalkan rokok nan sebatang itu? ah dunia.. dunia..
Hawa menggeleng-geleng kepalanya apabila teringatkan perlakuan Adam dan juga beberapa orang lagi rakan sepejabatnya yang berjantina lelaki. Sampai sekarang Hawa tidak mengerti, kenapa susah sangat nak puasa?
“Hah! Termenung apa Hawa?” Anim yang datang entah dari mana, menyergah membuatkan Hawa terkejut, pantas dia mengurut dadanya.
“Kus semangat kau ni Anim. Kalau mati terkejut aku tadi, tak sempat nak raya tau!”
Hanim tergelak kecil.
“Tak sempat nak raya tak apa lagi. tak sempat nak buka puasa? Haru nanti.” Anim menyambung tawanya.
“Tapi...” Hawa tiba-tiba bertukar nada.
“Kalau mati bulan puasa pun, selamatlah dari seksa kubur kan?”
“Ish kenapa kau cakap macam tu? orang baik, alim bagaikan ustazah macma kau ni pun fikir pasal seksa kubur? Lainlah macam aku yang perangai entah apa-apa ni...”
“Ish tak baik kau cakap macam tu Anim. Baik buruk kita kan Allah saja yang tahu, kau bukannya tahu berapa banyak pahala aku, berapa banyak dosa. Yang penting kita kena usaha untuk perbaiki diri kita. Kalau kita rasa kita banyak dosa, kita taubat, dan cuba menjadi hambaNya yang terbaik.”
Anim menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Alamak, keluar dah ceramah dari ustazah. Baik aku lari dulu.” Anim bergegas duduk ke tempatnya semula, panas telinga mendengar kata-kata Hawa.
“Anda buat, anda dapat!” Hawa sempat berpesan kepada Anim sebelum tersenyum sendiri.
-------------------------------------------------
“Hawa, jom!” Adam tiba-tiba muncul sekali lagi petang itu, saat Hawa sedang berkemas untuk pulang. Wajah Adam dipandang dengan penuh tanda tanya.
“Pergi mana?”
“Bazar Ramadhan la. Dengar cerita dekat Seberang Jaya banyak jual ikan bakar. Pergh! Menceceh air liur! Mantopp!” Adam menunjukkan tanda bagus.
“Eleh, puasa pun tak, sibuk nak pergi bazar Ramadhan.” Hawa menjuihkan bibirnya.
“Ala, esok aku puasa la Hawa. Hari ni aku terlupa niat...” Adam menerangkan tanpa rasa bersalah.
“Kalau terlupa niat, memang kira tak sah puasa. Tapi tak boleh makan dan minum jugak, macam orang berpuasa.”
“Eh aku mana makan dan minum, aku hisap rokok sebatang je. Buat syarat tak puasa.”
“Ah! Sudahlah Adam. Stress saya cakap dengan awak ni, ikut mazhab mana pun saya tak tahu. Dahlah, saya nak balik. Assalammualaikum.”
“Eh Hawa, Hawa. Tunggulah aku!” Adam memanggil Hawa yang sudah berlalu setelah menggapai beg tangannya.
--------------------------------------------------------------------
“Mari beli kak! Mari beli adik manis...” suara peniaga bersahut-sahutan memanggil pengunjung untuk singgah ke gerai mereka di bazar Ramadhan itu. Keadaan tika itu sangat padat dengan pengunjung memandangkan jam sudah menunjukkan ke angka enam setengah petang.
Hawa berjalan sendirian, mencari gerai nasi kerabu yang diidamkannya hari ini. Saat terpandang saja solok lada yang kelihatan di atas meja salah satu gerai di situ, Hawa jadi kecur liur, tahu bahawa gerai itu pasti menjual nasi kerabu yang dicarinya sedari tadi.
“Kak, nasi kerabu satu, letak ayam bakar, solok lada, bawang putih jeruk, dan telur masin ye.” Hawa bersuara girang, gembira kerana hajatnya tercapai. Asyik makan nasi putih je hari-hari, sekali sekala best jugak bila pekena nasi kerabu!
“Jual...” wanita lewat tiga puluhan yang berniaga di gerai nasi kerabu itu segera berkata sebaik bungkusan nasi kerabu itu bertukar tangan, sambil Hawa menghulurkan wang.
“Aduh..” Hawa mengaduh sebaik bahunya berlanggar dengan seseorang saat dia ingin berlalu dari gerai itu.
“Eh Hawa, tak sangka jumpa lagi kat sini. Ada jodoh sungguh kan?” Adam tersengih-sengih, tangannya sedang menjinjing beberapa beg plastik yang berisi pelbagai jenis juadah.
“Kata nak pergi bazar Ramadhan Seberang Jaya. Kenapa datang sini?” Hawa menyoal, bukan kerana seronok dengan pertemuan tidak disangka ini, tetapi kerana geram sebab dia dah berusaha untuk mengelak dari bertemu dengan Adam, dengan singgah ke bazar Ramadhan lain dari bazar Ramadhan Seberang Jaya yang asyik dicanang-canangkan Adam sedari tadi.
“Oh, tak sempat, kat sini dekat lagi. tadi sibuk buat kerja, sampai terlambat.” Adam menggaru-garu kepalanya.
“Hmm. Oklah, babai.. Assalammualaikum.” Hawa cepat-cepat berlalu, enggan berlama dengan Adam lagi. Kang orang ingat mereka suami isteri pulak, haih mintak simpang la.
-----------------------------------------
Adam masuk ke dalam pejabat dalam keadaan tertinjau-tinjau, memerhati jika ada sesiapa di laluan koridor. Hawa yang terperasankan gelagat pelik Adam itu cepat-cepat menyorok di sebalik penghadang dan memerhati Adam senyap-senyap.
Adam pantas berjalan menuju ke arah pantry sebaik dirasakan laluan itu selamat. Beg sandangnya dibawa bersama hingga ke dalam pantry.
Hawa mula syak sesuatu, setelah beberapa minit Adam di dalam pantry, barulah Hawa menyusul. Sengaja mahu mengkantoikan jejaka itu.
“Hah! Tak puasa lagi!” Hawa menyergah sambil bercekak pinggang membuatkan Adam yang baru hendak menyuap tosai ke dalam mulutnya, tersedak.
“Ish kau ni Hawa, nak tercekik aku ni.”
“Padan muka..” Hawa mencebik.
“Apa pulak alasan awak kali ni?”
“Aku terlepas sahur la Hawa. Aku ni ada gastrik, kang aku masuk hospital, siapa yang susah? Kau jugak.”
“Ah sudahlah Adam. Saya dah malas nak dengar alasan awak. Entah-entah esok awak cakap awak datang bulan pulak. Huh!”
“Mungkin.” Adam tersengih.
“Dah lah, saya tak mahu bersubahat, tak pasal-pasal saya tanggung dosa sama. Kalau pejabat agama cari, saya terus terang je awak tak puasa.”
“Eh janganlah macam tu Hawa.”
Hawa menjeling sebelum keluar dari pantry, tak sanggup melihat perlakuan sumbang Adam di bulan Ramadhan nan mulia itu.
---------------------------------------------------------------
“Haish, garang sungguh. Tapi I like!” Adam tersenyum sendiri, teringatkan Hawa yang sejak dulu bertakhta dalam hatinya. Cuma gadis itu saja yang jual mahal.
“Kalau kau nak tenung Hawa sampai tembus penghadang meja dia tu, baik tak payah.” Anim yang memerhati Adam sedari tadi pantas menegur.
“Ish, kau ni, sibuk jelah.”
“Kau tu mana layak dengan dia, Adam. Dia tu stok-stok alim, calon menantu idaman pak aji, mak hajah nun. Bukannya macam kau, haprak.”
“Wei, cakap baik sikit eh. Aku cepuk karang.” Adam menggawangkan penumbuknya seolah mahu menumbuk.
“Hah! Berani buatlah. Reject terus Hawa kalau nampak kau buli perempuan yang lemah macam aku ni.”
“Ceh, lemah konon, gaya dah lebih dari lelaki je aku tengok.” Adam memerhati Anim atas bawah yang berpakaian sebijik macam gaya Adam berpakaian, rambutnya jugak dipotong pendek ala tentera.
“Aku ni luaran je kasar, hati perempuan jugak.”
“Tau pun perempuan. Jadi pakailah macam perempuan, baru orang suka. Pakai tudung semua elok-elok. Macam Hawa.”
“Aku ni pakai macam ni pun, tak pakai tudung ke hape ke, aku puasa jugak, bukan macam kau. Harap muka je handsome, tapi tak puasa. Lagi teruk!”
“Kau puasa sebab apa?”
“Sebab Allah suruh la.”
“Habis, Allah tak suruh pakai tutup aurat ke? Ada kan? Kenapa kau tak tutup?”
“Ah bisinglah kau, jangan berlagak alim boleh tak. Diri sendiri tak betul, nak perbetulkan aku pulak.”
“Hmm, kan elok kalau sama-sama perbetulkan diri masing-masing.” Hawa yang tiba-tiba muncul, membantutkan perbalahan keduanya.
Hawa tersenyum sinis. Dari tadi dia mendengar kekecohan yang berlaku antara Adam dan Anim hingga hilang konsentrasinya untuk bekerja.
“Ada ilmu tapi tak amal, tak guna jugak, macam pohon rendang tak berbuah.” Hawa lembut berbicara sebelum kembali ke tempatnya semula. Anim dan Adam saling berpandangan dan menyalahkan antara satu sama lain dengan bahasa isyarat.
-------------------------------------------------------------
“Hah! Ada orang datang merisik Hawa?” Adam tidak tentu arah saat Anim, musuh merangkap teman baiknya itu memberitahu. Hatinya dirundung pilu, insan pujaannya mahu dikebas orang.
“Aah, dia beritahu aku tadi, hari Ahad lepas ada orang datang merisik. Itulah, aku dah cakap dah. Dia tu menantu idaman, dia cakap dia nak dijodohkan dengan anak imam besar masjid taman perumahan dia tu. Lulusan Universiti Al-Azhar lagi.”
Adam mengetap bibirnya.
“Kalau banding dengan kau yang puasa pun tidak ni, memang macam langit dengan bumilah. Kau dah kalah sebelum bertanding lagi.”
“Tidak!! Hawa!! Hawa hanya untuk Adam! Bukan untuk orang lain!” Adam terjerit kecil membuatkan seisi pejabat merenungnya. Mujur Hawa tiada kerana ke tandas saat itu, kalau tak mesti Adam dah kantoi.
Anim di sebelah, ketawa mengekek. Lucu sekali dengan situasi itu. ‘Padan muka kau!’
-----------------------------------------------
“Betul ke ada orang datang merisik kau?” Adam menyoal saat dia menuruti langkah Hawa yang ingin pulang. Pintu lif tertutup saat keduanya membolosi perut lif itu.
Hawa tergamam sebelum mengangguk perlahan.
“Habis kau setuju ke?”
“Belum ada kata putus lagi. Tengah fikir.” Hawa membalas pendek.
“Tolak saja lamaran tu...” pinta Adam, membuatkan Hawa tersentak.
“Kenapa pulak?”
“Sebab kau dah ada aku.” Adam membalas pantas.
“Hah?” Hawa jadi kurang mengerti.
“Hawa, kau benci aku ke?”
Hawa terkedu dengan soalan yang secara tiba-tiba. ‘Dia ingat pop kuiz ke apa ni?’
Hawa pantas menggeleng.
“Saya tak benci awak, saya benci perlakuan awak. saya benci dosa yang awak sedang lakukan ni.”
“Kalau aku berubah, kau takkan benci aku? kau akan terima aku?”
“Kan saya cakap saya tak bencikan awak.”
“Habis, kau bolehlah terima cinta aku kan?”
“Hah! Cinta?” dahi Hawa berkerut mendengar perkataan itu.
“Ya Hawa, aku cintakan kau. Walaupun kau garang dengan aku, tapi aku tak boleh nak halang cinta aku ni. Jadi aku nak tanya lagi sekali, kalau aku berubah, kau sudi ke terima cinta aku?”
Hawa menelan liur, perit sekali menjawab soalan itu.
“Berubahlah dengan hati yang ikhlas Adam. Bukan sebab saya. Kalau awak berubah dan saya tak terima awak jugak, apa awak nak buat? Kembali ke tabiat asal awak? itu bukan ikhlas namanya Adam.”
Adam tergamam.
“Kita bertuah kerana dilahirkan terus berada di dalam nikmat Islam ini, kita tak perlu susah payah mencari kebenaran kerana kebenaran dah ada di depan mata kita. Tapi malangnya, bila perkara ini terjadi, kita jadi alpa. Kita menjadi Islam yang sekadar pada nama dan tidak menghargai langsung nikmat Allah pada kita ini. Jadi Adam, tolonglah, berubah kerana awak ikhlas. Berubah kerana Allah, bukan kerana saya. Bila awak dah jumpa keikhlasan tu, tanpa disoal, saya boleh menjawab persoalan awak tadi. Assalammualaikum.”
Hawa terus keluar sebaik pintu lif terbuka. Adam masih kaku, kata-kata Hawa asyik terngiang-ngiang di telinganya.
-------------------------------------------------
Adam berteleku, duduk di atas bangku bermeja bulat di tepi laman rumahnya. Setiap butir bicara yang terbit dari mulut Hawa masih diingatinya sampai sekarang. Dia tahu banyak perkara, dididik dengan ilmu agama yang mencukupi, tapi benar kata Hawa. Dia alpa, dia tidak menghargai nikmat Islam yang dimilikinya.
Kotak rokok jenama terkenal itu digapai dan dibelek-belek. Gambar kaki yang bernanah dan kudung itu langsung tidak menakutkan hatinya lagi, bahkan perokok tegar yang lain pun sudah lali dengan gambar yang ditampal di atas kotak-kotak rokok mereka sebagai peringatan.
Adam tahu rokok itu sudah difatwa haram oleh beberapa orang mufti, tetapi dia tidak pernah terasa untuk berhenti kerana kawan-kawannya yang lain juga begitu. Menganggap fatwa itu sekadar untuk menghentikan tabiat mereka, memandang enteng akan kewibawaan para mufti tersebut.
‘Sudahlah aku merokok, merokok di bulan puasa pula tu. Sebabkan kau aku tak puasa!’
Pantas Adam menggenggam kotak rokok itu kuat-kuat hingga berkeronyok. Kotak rokok itu lantas dilempar semula di atas meja.
“Ah bukan salah rokok, tapi salah aku! aku yang tak kuat iman. ampunkan aku Ya Allah...” air mata jantannya menitik tanpa mampu dibendung. Penyesalan mula mengulit dirinya, kata-kata Hawa masih berlegar dalam fikirannya.
“Ilmu tanpa amal ibarat pohon rendang tak berbuah.”
Adam bersuara sebelum bingkas masuk ke dalam rumah. Menuju ke bilik air untuk berwuduk dan kemudiannya membentangkan tikar sejadah.
“Ya Allah, sudah lama aku tidak sujud kepadaMu. Aku hamba yang bongkak Ya Allah. Ampunkan aku...”
---------------------------------------------
Hawa terkesima saat melihat Adam masuk ke pejabat pagi itu. Wajahnya kelihatan berseri, jambangnya sudah dicukur kemas. Dia langsung tidak memandang Hawa sebaliknya terus berlalu ke tempatnya.
“Wah, kau puasa hari ni? Biar betul beb!” Anim ketawa berdekah-dekah, tidak percaya dengan kenyataan yang dikeluarkan dari mulut Adam.
“Aku seriuslah, aku dah taubat. Aku sedar sekarang, banyak sangat dosa aku. Aku sombong dengan Allah. Aku tak menjalankan tanggungjawab aku sebagai hambaNya.”
“Hamboi, cakap pun macam stok-stok ustaz la pulak. Nak tawan hati Hawa ke apa ni?”
Adam menggeleng.
“Bukanlah. Aku redha kalau dia bukan jodoh aku, tapi dia yang sedarkan aku yang dah jauh sangat aku terpesong dari landasan Allah. Dah lah aku tak solat, bulan puasa pun aku tak puasa.”
Anim terpempan. Terasa dengan kata-kata Adam kerana dia pun adakalanya cuai dalam melaksanakan tugasnya sebagai hamba Allah.
------------------------------------------------
“Kau percaya ke cakap dia?” Hawa menyoal Anim yang laju menyampaikan berita tentang Adam. Posmen tak bertauliah, itulah Anim. Kalau tak dicanang satu ofis, memang bukan Anim namanya.
“Entah, nampak macam betul, tapi kau tu tahu jelah perangai Adam tu. Cakap putar belit, pandai berlakon. Kadang-kadang nampak macam dah ok, tapi sebenarnya... hampeh.”
“Tau takpe.” Hawa tergelak kecil sambil matanya menjeling ke arah Adam yang diam tidak berkutik dari tadi. Tidak seperti kebiasaannya yang suka mengganggu semua orang, hari ini Adam cuma duduk di tempatnya dan tidak langsung menjejakkan kaki ke tempat Hawa.
‘Entah-entah berlakon saja tu. Nak memenangi hati aku. huh!’ Hawa cuba serkap jarang. Tidak mempercayai keikhlasan jejaka itu.
-------------------------------------------------
Hawa memerhati Adam dari kejauhan. Perangai Adam pelik benar hari tu, waktu tengah hari itu Adam asyik menelek jam tangannya seolah menanti sesuatu.
‘Tunggu apa dia tu? penghantar pizza ke?’ Hawa meneka.
Sebaik waktu rehat bermula, Adam bingkas bangun dari tempatnya dan menuju ke luar pejabat, tidak seperti kebiasaannya, dia akan ke pantry, menyedut asap rokok.
Tidak jadi Hawa hendak melelapkan matanya sekejap apabila melihat tingkah Adam itu, hatinya meronta ingin tahu.
Perlahan Hawa mengekori Adam senyap-senyap dan berhati-hati, tidak mahu Adam menyedari kehadirannya.
Adam turun ke lobi sebelum menuju ke arah sayap kanan bangunan. Menuju ke arah yang setiap hari Hawa tujui itu. Hawa semakin pelik.
‘Surau?’ Hawa terkedu sebaik melihat papan tanda yang terpamer di hadapan pintu bilik yang tertutup itu. Adam sudah lenyap di dalam bilik di bahagian lelaki, membuatkan Hawa pantas menyelinap ke bahagian perempuan.
Hawa telek jam tangannya. Belum pun masuk waktu Zuhur, buat apa Adam ke sini? Kalaupun sudah masuk waktu solat, sepanjang dia mengenali Adam, tidak pernah sekalipun dia melihat Adam menjejakkan kaki ke surau itu.
“Bismillah...” kedengaran sayup-sayup bacaan Al-Quran dari sebelah tabir tempat solat lelaki, hati Hawa rasa tersentuh. Hawa tahu itu suara Adam kerana dia sangat mengenali suara jejaka yang setiap hari mengusiknya itu.
Ah dia cuma berlakon, nak memenangi hati kau...
Takkanlah dia berlakon. Dia bukan tahu aku ekori dia!
“Syukur Alhamdulillah!” Hawa menadah tangan dan meraup wajahnya. Syukur sekali dan yakin dengan keikhlasan Adam untuk berubah kerana Allah. Bukan untuk dirinya.
---------------------------------------------------
Lagi beberapa hari, Syawal akan menjelang. Hawa perhatikan dari sehari ke sehari, perangai Adam juga kian berubah, lebih pendiam dan wajahnya kian berseri dengan nur yang Hawa sendiri tidak dapat gambarkan. Sejuk sekali matanya memandang.
“Dah nak balik?” Hawa terkesima saat Adam menegurnya ketika dia sedang membuka pintu kereta di tempat parkir, pertama kali selepas perubahan dalam diri Adam.
“Err, aah. saya mula cuti hari ni. Sampai hari ketiga Syawal.”
“Adam tahu. Sebab tu Adam datang jumpa Hawa.” Hawa terkedu mendengar bait kata Adam yang lebih tertib dari kebiasaan.
“Ada apa ye Adam?”
“Adam sebenarnya nak minta maaf, kalau-kalau Adam ada menyakitkan hati Hawa, dan maafkan juga semua perlakuan sumbang yang Adam lakukan selama ni. Adam khilaf.”
“Saya tak berdendam apa-apa dengan awak pun Adam. Pasal kelakuan awak dulu, itu antara awak dan Allah. Saya tak berhak nak adili awak.”
“Adam tahu. Adam dah bertaubat Hawa. Tapi...” air mata Adam tiba-tiba bergenang.
“Adam terlalu banyak dosa. Entah Allah akan ampunkan atau tidak.”
Hawa terkedu. Pertama kali dia melihat Adam dan pertama kali juga dalam hidupnya, dia melihat insan bernama lelaki mengalirkan air matanya.
“InsyaAllah Adam. Pintu taubat sentiasa terbuka untuk orang yang ikhlas bertaubat.”
“Amin.. Adam harap pun macam tu juga. tolong doakan Adam ya.”
“InsyaAllah.” Hawa tersenyum.
“Bila kenduri Hawa?” soalan itu tiba-tiba terpacul dari mulut Adam. Hawa terpempan.
“Kenduri?”
“Yelah. Kenduri pertunangan dengan anak imam besar tu? bila langsung?” Adam bertanya seolah tidak kisah dengan semua itu.
“Kalau saya terima peminangan tu, awak dah tak kisah ke?”
Perlahan Adam mengangguk.
“Awak dah tak sukakan sayalah ye.” Hawa tersenyum kelat, ada ralat dalam hatinya.
“Bukan macam tu. Adam masih cintakan Hawa, tapi Adam redha andai Hawa bukan jodoh Adam. Adam dan Hawa pada saat ini bukanlah sama kisahnya dengan Nabi Adam dan Hawa yang punya jodoh yang kuat walaupun jauh terpisah.”
“Siapa kata? Macam mana kalau saya kata Adam dan Hawa yang ini juga punya jodoh?”
“Aaa.. apa maksud Hawa?”
“Saya pernah cakap, bila awak jumpa keikhlasan dalam diri awak tu, saya akan jawab soalan awak dulu tanpa perlu awak soal lagi. Hari ni saya akan jawab, saya terima awak, Muhammad Adam Muhaimin.”
“Apa?” Adam berasa tidak percaya.
“Saya terima cinta awak, tapi dengan syarat, terus masuk meminang saya. Tak ada cinta-cinta sebelum kahwin.” Hawa memberi amaran.
“Habis rombongan merisik yang dulu tu?”
“Awal-awal lagi saya dah tolak.” Hawa tersengih.
“Syukur Alhamdulillah. Terima kasih Ya Allah!” air mata Adam bercucuran kembali.
----------------------------------------------
Ramadhan 1433 Hijrah
“Hawa tahu, kata-kata Hawa dulu sentiasa terngiang-ngiang di telinga abang seolah-olah satu petunjuk dan hidayah dari Allah supaya berubah. Abang pun tak tahu macam mana abang boleh dapat kekuatan untuk terus berhenti merokok dalam sehari saja!”
Adam bersuara saat dia berada di beranda bersama isterinya yang tercinta, Hawa usai mereka pulang dari menunaikan solat Tarawikh di masjid berhampiran rumah malam itu.
“Kekuatan itu datang dari Allah bang. Mungkin keberkatan bulan Ramadhan tambah membawa rahmat dan hidayah pada abang.”
“Alhamdulillah. Abang bersyukur sangat. Inilah rezeki langit Ramadhan untuk abang, dapat hidayah dan dapat Hawa sekali. Hawa untuk seorang Adam.”
“Adam untuk seorang Hawa.” Hawa tersenyum simpul. Adam memeluk Hawa erat, mengharapkan Hawa akan sentiasa dekat dihatinya seperti itu. Bersyukur atas rezeki yang dilimpahkan padanya biarpun begitu banyak dosa yang telah dilakukannya sebelum ini.
“Abang pasti akan merindui Ramadhan setiap kali Ramadhan berlalu kerana terlalu banyak kasih yang Allah curahkan pada abang pada bulan Ramadhan ini. Abang takkan lupa sampai bila-bila.” Adam mendongak ke langit malam yang pekat itu.
“Itulah rezeki dari Allah, abang. Dan hari ni Allah memberi kita satu lagi rezeki.”
“Apa sayang?” dahi Adam berkerut, tidak mengerti kata isterinya itu.
Hawa tersenyum sebelum menarik jemari suaminya lantas ditekap ke perutnya.
“Rezeki langit Ramadhan.” Hawa berbisik.
Adam tersenyum penuh bahagia sebelum memeluk isterinya kembali, erat dan kejap.
Terima kasih Ya Allah!
-Tamat-
---------------------------------------
p/s : Buat dengan ikhlas, pasti akan dibalas! Cewah tagline Ustazah Siti Nor Bahyah habis AK kebas. Heheeh. Salam Ramadhan buat semua! Dan selamat Hari Raya Aidilfitri! Maaf zahir batin...
Suka? =)
comel.. comel...
ReplyDeleteBest !
ReplyDeletewah..best!!! suka bace cerita org yg mula2 terpesong kmudian mndpt hidayah dr Allah..cerita mcm ni semua byk menyedarkn kita.. >.< Thubs up AK n SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI..nnt time raye bleh buat cerpen lain lak..heheh
ReplyDeletesalam...huargh tersentuhnya...suka la cite ni...alangkah indahnya jika ada lelaki seperti adam...huhu dah merepek pulak dia...tankiu 4 ur story..
ReplyDeleteAK, best !! :D Islamik ~ =)
ReplyDeletegood job AK! setiap cerpen AK mesti berbeza.. best2~
ReplyDeletetahniah...
ReplyDeletecite nie best... :)
suka sangat cerita ni!
ReplyDeleteberpengajaran dan sweet sangat..
Tahniah AK! :)
Tahniah AK.. best!
ReplyDeletebaiknya isteri mcm tu...jujur btul
ReplyDeletebest! :)
ReplyDeletekeep it up writer...btw muhammad adam muhaimin mcm name ank sedare sya..hehe
ReplyDelete