~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Monday, July 18, 2011

Cerpen : Kasih Sepantun Tulisan Pinggan

“Kakak, Cikgu Rayyan kirim salam.” Ainna datang membawa pesan padaku yang sedang berada di dapur, membuatkan aku tersenyum lebar.
Ah kenapa cikgu itu membuat aku merasa yang dia memberikan aku harapan? Adakah benar aku tidak bertepuk sebelah tangan?
“Ish akak ni, orang tengah cakap dengan dia. Dia dok berangan pulak!” Ainna, adikku yang bakal menduduki SPM tahun ini menepuk bahuku membuatkan aku tersedar dari lamunan. Kerja merincis kacang panjang yang terbantut tadi, kulakukan semula.
“Err waalaikumussalam. Kenapa tiba-tiba dia kirim salam dekat akak pulak?” aku menyoal tanpa melihat wajah Ainna.
“Tadi adik tanya pasal soalan Bahasa Melayu dekat dia, lepas tu dia tanya khabar keluarga kita. Tiba-tiba dia pun suruh kirim salam pada semua.” Ainna menerangkan satu persatu.
Aku menepuk dahiku sendiri.
“La, kalau macam tu, bukan kirim salam kat akak sorang, kirim salam dekat semualah namanya tu. Adik ni, saja kan nak bagi akak tak keruan.”
Ainna tertawa sambil menutup mulutnya. Sedar dengan kesilapannya namun pada masa yang sama seronok kerana dapat mengenakan aku. Ya aku... aku yang gilakan cikgu sekolah adikku. Aduh...
Rayyan tu guru yang mengajar subjek Bahasa Melayu di sekolah adikku, tinggi lampai orangnya, berbadan tegap dan berbudi bahasa, almaklumlah guru Bahasa Melayu, kenalah bersopan santun dan mengekalkan ciri anak melayu kan. Hihi. Wajah pulak nak iras-iras pelakon korea Lee Min Ho tu, macam manalah hati aku ni tak terpaut? Haih cair...
Macam mana aku kenal Rayyan? Ya aku nak ceritalah ni. Suatu hari, burung-burung berkicauan di dada langit menandakan hari yang indah. Ok, tak perlu metafora macam tu. Serius Umairah! Ok sebenarnya aku kenal dia masa menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan adik aku, dia tersenyum manis menyambut kedatangan ibu bapa dan waris ke majlis itu. Pada masa tu jugak hati aku terpaut! Hari-hari aku tanya perihal dia pada adikku dan lama kelamaan, dari terpaut dah jadi terjatuh hati pulak. Mana tak nya, adik aku tu hari-hari balik cerita yang gurunya itu baiklah, selalu tolong dialah, hormat orang tualah, rajinlah... Cuba cakap, hati siapa yang tak tertawan?
Ah Nur Umairah dah angau sama Muhammad Rayyan la...
-------------------------------------------------
Peperiksaan SPM sudah selesai, selesailah juga tanggungjawab para pelajarku pada sekolah ini. Hari ini mereka akan tinggalkan sekolah ini dengan rasa gembira tapi kenapa? Kenapa hati aku tidak merasa sebegitu. Ada sesuatu yang kurasakan membuatkan aku sukar melepaskan salah seorang pelajarku dari pergi dari sekolah ini.
Ainna... ah aku tahu aku tak sepatutnya jatuh cinta pada dia, tapi... Aku sukar membendung perasaan ini, semakin hari cinta aku padanya semakin dalam. Dia adalah gadis yang paling sempurna bagiku. Kelembutannya, budi bahasanya, bisa mencairkan hatiku tetapi mampukah dia menerima aku? gurunya sendiri?
“Ainna, lepas ni awak dah tak ingatlah cikgu ya...” aku menegurnya saat dia sedang berjalan di koridor untuk pulang.
“Ish mana ada cikgu, mesti saya ingat cikgu punya sampai bila-bila.”
“Betul ni? Janji?”
“Janji! Tapi cikgu pun kena janji satu perkara dengan saya.”
“Apa?”
“Bila cikgu kahwin nanti, jangan lupa jemput saya, tau!”
‘Mestilah kena jemput, kalau tak, siapa yang nak jadi pengantinnya. Huhu.’
“Apa cikgu?” Ainna seakan dapat menebak kata hatiku.
“InsyaAllah. Kalau ada jodoh Ainna. Buat masa sekarang, cikgu tak ada calon lagi, tak ada sesiapa yang nakkan cikgu.”
“Ada orang yang sukakan cikgu, cuma cikgu aja yang tak sedar.” Ainna tersenyum simpul membuatkan hatiku tertanya sendiri.
“Ok cikgu, saya balik dululah ya! Assalammualaikum!” Ainna berlalu dengan senyuman masih terpamer di wajahnya, membuatkan hatiku bergetar.
‘Ada yang sukakan aku? takkanlah Ainna pun punya rasa yang sama macam aku?’ hatiku tambah tak keruan.
-------------------------------------------------------------
“Kami sebenarnya datang ada hajat...” ketua rombongan memulakan bicara membuatkan aku yang sedang menghendap dari dalam bilik jadi tertanya-tanya. Rombongan apa pula yang datang secara tiba-tiba membawa segala tepak sirih dan hantaran ini? Takkanlah rombongan meminang? Ish ni dah macam kes Bang Bang Boom dah ni.
“Akak!” Ainna yang berada di dapur sebentar tadi segera berlari mendapatkan aku, dia tersengih sampai ke telinga. Entah apa yang menggembirakan hatinya aku sendiri tak pasti.
“Kenapa kecoh-kecoh kat luar tu dik?” aku menyoal sambil meneruskan aktiviti menghendap tanpa rasa bersalah.
“Kak! Cikgu datang meminang! Cikgu datang meminang!” terkocoh-kocoh Ainna datang memberitahu dengan penuh rasa teruja.
“Cikgu? cikgu mana pulak?” aku masih kebuntuan.
“Cikgu Rayyan la! Yang akak gila-gilakan tu...” Ainna tersenyum sinis. Aku terkedu, mulutku kutekup untuk menutup mulutku yang terlopong, rasa tidak percaya.
“Akhirnya impian akak jadi kenyataan. Kan? Faham jugak Cikgu Rayyan dengan kiasan adik.” Ainna bercekak pinggang seolah merasa bangga dengan sesuatu yang aku kurang mengerti.
“Apa maksud adik?”
“Hari tu adik beritahu cikgu yang ada orang sukakan dia. Mungkin dia dapat tangkap yang orang tu kakak. Hehe. Pandai tak adik?”
“Pandaaiiii!” Aku tersenyum gembira.
Secara tiba-tiba ibu muncul dengan wajah sugul, entah mengapa aku sendiri kurang periksa kerana asyik memberi tumpuan pada bicara Ainna hingga terlepas untuk memasang telinga mendengar perbualan di luar.
“Masalah ni. Macam mana ibu nak buat ni?” ibu kelihatan gelisah sekali sambil tak henti memandang kami berdua.
“Kenapa bu?” Ainna menyoal.
“Itu kat luar tu, ada rombongan nak meminang. Masalah betul!” ibu memicit-micit kepalanya yang mula pusing.
“Masalah apa lagi ibu, kan ke orang tu dah setuju, terima ajelah pinangan tu...” Ainna menyindir sambil menjeling ke arahku membuatkan aku tersipu-sipu malu.
Ibu menunjukkan rasa terkejut namun matanya tak beralih dari memandang Ainna.
“Kamu sanggup ke Ainna? Kamu tu baru tujuh belas tahun, baru lepas SPM. Takkan kamu dah nak kahwin? Ibu tak izinkan!” ibu bernada tegas, namun bukan itu yang mengejutkan aku, tapi isi percakapannya yang membuatkan hatiku seolah ditusuk sembilu.
“Aaa... apa maksud ibu ni?” aku menyoal minta kepastian, dan berharap agar apa yang kufikirkan tidak sama dengan kenyataan yang terjadi.
“Ni cikgu sekolah Ainna ni, ada ke patut dia nak meminang si Ainna ni. Ish... budak kecik ni nak dibuat bini. Tak sesuai langsung!”
“Hah! Cikgu Rayyan pinang Ainna? Bukan pinang akak Umai?” Ainna juga kelihatan terkejut dan ada riak simpati di wajahnya padaku. Aku cuma mampu terdiam, air mata mula bertakung namun kutahan dari menitis di hadapan ibuku. Biarlah aku dan Ainna saja yang tahu tentang isi hatiku ini.
“Dia datang pinang Ainna la. Kan bagus kalau dia datang pinang Umai ni aje. Kan lebih molek.” Ibu mengomel sendiri.
“Kalau Ainna nak, Ainna terima ajela pinangan tu. bukannya senang nak dapat lelaki macam tu.” aku bersuara walaupun kurasakan nada suaraku sudah bergetar dek menahan sebak.
“Tak nak! Ainna tak nak la. Ainna tak pernah sukakan cikgu Rayyan pun! Kan akak yang...”
“Shhh...” Aku segera membuat isyarat diam, membuatkan Ainna terhenti menyambung ayatnya.
“Kamu sanggup terima cikgu kamu tu Ainna?”
“Tak naklah bu. Ainna nak sambung belajar lagi. lagipun memang Ainna tak ada perasaan langsung kat dia. Peliklah kalau berkahwin dengan cikgu sendiri. Eii!”
“Kalau macam tu...” ibu berjeda sendiri, membuatkan aku dan Ainna tertanya-tanya apa yang direncana ibu saat itu.
Duhai hati, kau terluka lagi. Redha sajalah andai dia bukan jodohmu... haish...
---------------------------------------------------------------
Aku tergamam, lain yang ku pinta lain pula yang ditawar. Ainna masih belum sedia untuk mendirikan rumah tangga, itu alasan yang diberi kedua ibu bapanya. Aku tidak pasti itu luahan yang hadir dari mulut Ainna sendiri atau kedua ibu bapanya yang memandai mengatur ayat itu. Ah aku tidak puas hati! Sudahnya, ditawarkan pula untuk aku menikah dengan kakaknya, Umairah yang tidak pernah kukenali itu.
 Haish masalah! Dan masalahnya sekarang, abah dan umi menyuruh aku menerima tawaran itu kerana begitu menghormati keluarga Ainna, keluarga Haji Ibrahim, bekas guru besar sekolah tempat aku mengajar sekarang ini dan orang berpengaruh di kawasan taman ini. Apa yang harus kulakukan? Diluah mati emak, ditelan mati bapak.
-----------------------------------------------------------------------
“Aku terima nikahnya Nur Umairah binti Haji Ibrahim dengan mas kahwinnya dua ratus ringgit tunai.” Dengan sekali lafaz, Muhammad Rayyan sah menjadi suamiku.
Mungkin sepatutnya aku berasa bahagia kerana dia adalah insan yang sangat aku cintai selama ini, namun apabila aku mengetahui yang dia mencintai adikku sendiri, perasaan bahagia itu kini telah bertukar menjadi nanah dalam hatiku yang sukar disembuh.
Aku tidak cemburukan Ainna, kerana adikku itu memang bisa menawan hati sesiapa saja. Tetapi sesiapa saja yang duduk ditempatku pasti akan merasa rendah diri dan malu. Ikutkan hati, aku memang sudah redha dan tidak kisah dia tidak menjadi jodohku, namun Allah mengatur yang sebaliknya bila akhirnya jodoh aku tetap dengan dia, namun dalam keadaan yang kurang menyenangkan, di saat aku tahu yang dia mencintai adikku dan bukannya aku.
Ainna yang beria menyuruh aku menerima cadangan ibu. Ibu pantas meminta aku yang menggantikan Ainna kerana tidak mahu keluarga Cikgu Rayyan mendapat malu. Ah sekarang aku yang tersepit. Bukan aku tidak cinta, tapi aku tahu bukan aku yang dicinta. Seksanya perasaan ini Ya Allah!
“Assalammualaikum.” Kedengaran Rayyan memberi salam, namun aku tidak berani mendongakkan wajah. Aku sekadar menjawab salam itu di dalam hati dan merasa ruang katil disebelahku sedikit tenggelam bila Rayyan melabuhkan punggungnya disitu.
“Hah!” kedengaran keluhan dari bibirnya membuatkan aku segera berpaling. Ah bila dia dilihat dari tepi pun sudah bisa menggugat imanku, raut wajahnya yang jernih, matanya yang bundar, tapi... aku sedar bukan aku yang dicintainya! Bukan aku!
“Awak tahu kan. Kita sama-sama terpaksa. Awak tak cintakan saya. Saya tak cintakan awak.”
‘Salah! Saya cintakan awak!’ aku menjerit di dalam hatiku sendiri.
“Ya, awak cintakan adik saya.” Kenyataan itu pula yang keluar lancar dari bibirku.
Rayyan kelihatan tersentak, segera dia berpaling menghadapku.
“Jadi awak tahulah kebenarannya?”
“Saya belum pekak dan buta.”
Rayyan tergelak kecil sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Jadi sekarang tak perlulah saya jelaskan semuanya kan. Tapi saya nak awak tahu yang saya bukanlah suami yang tidak bertanggungjawab, jadi saya masih akan tunaikan segala tanggungjawab saya sebagai suami. Cuma satu saja, tolong jangan minta saya cintai awak selagi saya belum bersedia. Boleh?”
Aku cuma diam mendengar syarat Rayyan. Syarat yang kelihatan diskriminasi dan langsung tidak berpihak padaku. Aku terpaksa merelakan dia sebagai suamiku namun dia tidak seikhlasnya menerima aku sebagai isterinya. Ah hukuman apakah ini?
Tapi... kerana cintaku ini, tanpa dipaksa aku mengangguk. Rayyan tersenyum senang sebelum menghampiri aku.
----------------------------------------------
Aku terselisih dengan Ainna sewaktu keluar dari bilik, pagi itu. Ainna cuma tersenyum seolah tidak merasa terkesan dengan pernikahan aku bersama kakaknya. Ah tidakkah dia merasa terkilan dan kecewa?
“Cikgu nak sarapan?” Ainna mempelawa saat aku duduk di meja makan. Mee goreng sudah tersedia di dalam pinggan besar. Aroma kopi menerobos masuk ke dalam hidungku.
“Boleh jugak. Eh tapi Ainna, janganlah panggil saya cikgu. kan saya dah jadi abang ipar awak. panggil abang ajelah.”
Ainna tersengih sambil menyedok mee goreng itu ke dalam pinggan lantas meletakkannya di hadapanku.
“Sori cikgu, eh abang. Dah terbiasa panggil macam tu.” Ainna bercakap malu-malu, manis sekali. Ah! Jangan Rayyan! Berdosa kalau kau masih menyimpan hati padanya!
“Eh akak, duduklah. Adik ambilkan cawan untuk akak dan abang ya.” Ainna segera mempelawa Umairah yang datang tiba-tiba. Ah kacau daun...
-------------------------------------------------
Aku melihat pandangan matanya yang memandang Ainna dengan pandangan yang lain benar dengan pandangan matanya terhadapku. Ya aku sedar pandangan itu ialah pandangan cinta, ah aku tidak bisa melihat atau menghalangnya kerana memang Rayyan mencintai Ainna selama ini, bukannya aku!
Ya Allah kuatkanlah hatiku. Lindungilah aku dari amarah dan hasutan syaitan yang menyesatkan.
Aku menuangkan kopi ke dalam cawan yang dibawa Ainna lantas menyuakannya pada Rayyan. Rayyan yang sudah mengelamun entah ke mana, segera tersedar lantas mengangguk padaku. Pandangan matanya kosong, menyorot mataku tanpa sebarang rasa yang bisa kulihat.
---------------------------------------------------------------------
Ainna akan pergi tinggalkan aku! Aah kenapa aku harus menyaksikan semua ini? Selama empat tahun atau lebih, Ainna akan meninggalkan Malaysia. Mampukah aku hidup tanpa bayangannya di sisiku? Astaghfirullah hal azim! Kenapa adik ipar aku itu juga yang aku fikirkan!
“Belajar elok-elok kat sana ya!” aku berpesan padanya saat kami sekeluarga berada di balai berlepas, mengiringi pemergiannya ke India untuk menuntut ilmu kedoktoran. Ya Ainna, sangat bijak orangnya, itu juga salah satu faktor kenapa aku tertawan padanya. Ah jangan diungkit lagi Rayyan!
“Terima kasih cikgu! eh abang... hehe. InsyaAllah. Doakan Ainna!” seperti biasa, Ainna kelihatan ceria walaupun seluruh ahli keluarga kelihatan muram seperti sedang berkabung. Umairah di sisiku cuma diam, sambil sesekali menyeka air matanya yang hampir tumpah. Ah sayu pula rasanya.
“Jaga diri, jangan lupa solat. Belajar elok-elok. Kakak sayang adik!” Umairah memeluk Ainna dengan erat dan air matanya terhambur tanpa ingin diseka lagi. Kedengaran esak tangis keduanya kedengaran.
“Adik pun sayang akak.” Ainna menyeka air matanya.
Mungkin inilah yang terbaik buat semua. Ainna akan bisa menyambung pengajian ke peringkat tinggi dan mengejar cita-citanya sebagai doktor dan aku dapat menjarakkan diri dari dia, dan melupakan semua perasaanku ini padanya. Ya itu yang sebaiknya berlaku.
-----------------------------------------------------------------------
Sudah tiga bulan Ainna pergi melanjutkan pelajarannya, namun Rayyan masih hambar. Pada matanya tidak pernah terlihat sinar cinta buatku.
Ah aku harus bersabar. Dia adalah insan yang aku cintai dari dulu, jadi aku harus bersyukur kerana Allah kurniakan dia padaku. Ainna pun sudah pergi jauh, jadi sekurang-kurangnya aku dah tak makan hati melihat mereka bersama.
“Ya Allah, terima kasih kerana mengurniakan aku seorang suami yang baik, yang aku cintai selama ini Ya Allah. Aku bersyukur padaMu walaupun dia masih belum mampu mencintaiku. Setiap segala sesuatu pasti ada hikmah di sebaliknya, aku redha jika Kau mengujiku dengan menjodohkan aku dengan insan yang mencintai adikku sendiri Ya Allah dan aku bersyukur kerana memang itulah yang aku harapkan selama ini Ya Allah. Namun luputkanlah perasaannya pada Ainna dan bukakanlah hatinya untuk menerimaku seadanya Ya Allah. PadaMu lah tempat aku meminta Ya Allah. Amin...”
Aku meraup wajahku selesai berdoa, Al Quran di atas rak segera ku gapai. Aku harus mencari sesuatu yang bisa menenangkan hatiku dan tiada ubat penenang yang paling mujarab selain kitab Allah ini.
--------------------------------------------------------------------
Aku memerhati Umairah yang duduk berteleku di atas sejadah sambil suaranya mendayu mengalunkan bait-bait suci Al-Quran yang terletak di atas rehal di hadapannya. Suaranya begitu lunak hinggakan aku berasa syahdu.
Wajah itu kuamati, Umairah memang tidak kalah dengan adiknya, Ainna. Dia juga punya kelembutan dan budi pekerti yang tinggi dan mempunyai ciri seorang wanita solehah. Cuma aku, aku saja yang masih gagal membuka pintu hatiku untuk menerima dia seadanya.
Ah bagaimana hendak kukata. Cuba letakkan diri kalian di tempatku, mampukah kalian mengalih cinta kalian dari adik kepada kakak. Bukankah pelik bunyinya, tapi walaupun pelik, aku terpaksa memupuk cinta ini. Aku tidak mahu jadi suami yang tidak menghargai isteri dan tidak mensyukuri nikmat yang Allah berikan padaku ini. Nikmat alam rumahtangga yang tidak semua mampu kecapi.
Bantulah aku Ya Allah.. Bukakanlah pintu hatiku buat satu-satunya isteriku itu.
“Awak nak makan? Kejap saya panaskan makanan ya.” Teguran Umairah itu segera menyedarkan aku ke alam nyata. Dia sudah usai membaca Al Quran dan sedang memandangku dengan dirinya masih berbalut telekung solat.
“Tak apa, nantilah. Saya nak solat dulu ni,” aku segera membawa diri ke bilik air, tidak sanggup memandang wajah Umairah lagi, bimbang dia menyedari yang aku sedang memerhatikannya sedari tadi.
----------------------------------------------------------------
“Buat apa tu?” Rayyan menegur tiba-tiba, membuatkan aku tersentak. Segera aku berpaling dari menghadap skrin komputer lantas melihat dia yang sedang berdiri di depan pintu dengan lengkap berteluk belanga, berkain pelekat dan berkopiah. Baru pulang dari masjid barangkali.
“Err...” aku tergamam. “Baca cerpen.” Aku menyambung.
“Kasih Sepantun Tulisan Pinggan?” wajah Rayyan berkerut melihat tajuk cerpen itu di skrin komputerku itu.
“Awak tahu ke maksudnya apa?” Rayyan cuba menduga sambil melabuhkan punggungnya di atas katil, berhampiran meja komputerku itu.
“Entah. Saya main baca je.”
Rayyan tersenyum dengan nada mengejek.
“Maksudnya kasih yang abadi.”
“Oh.. jarang dengar peribahasa tu.” aku mengangguk-angguk.
“Yelah, orang sekarang dah jarang gunakan peribahasa, sampaikan banyak peribahasa yang orang dah tak tahu. Sekarang ni famous bahasa SMS je, takpun bahasa W.”
“Bahasa W?”
“Aah. Yang setiap perkataan ditambah w dibelakang tu. macam Sayew sukeww awak jeww.. auwww..” Rayyan selamba berbicara membuatkan aku tergelak. Namun segera kumatikan gelak itu saat melihat dia seperti serius.
“Haha. Macam-macam kan sekarang ni.” Rayyan pula tertawa kecil.
“Aah. Macam-macam.” Aku kembali fokus pada cerpen itu. Ah sedihlah pulak cerpen ni, control-control. Jangan bagi Rayyan nampak aku menangis lagi!
“Sedih sangat ke?” Rayyan tiba-tiba menyoal setelah diam seketika.
“Hah?” aku menyoalnya, namun terkedu saat melihatnya menghulurkan tisu.
“Nak nangis, nangis ajelah. Jangan tahan-tahan. Nanti sakit dada.” Rayyan mengangkat keningnya.
“Te.. terima kasih...” aku menyambut tisu itu seraya menyeka mataku yang mula berair.
“Sedih sangat ke ceritanya, meh sini saya baca.” Rayyan bangun dari katil lantas memberi isyarat untuk aku bangun. Dia lantas duduk di atas kerusiku dan mula khusyuk membaca.
Tiba-tiba dia tawanya pecah, kemudian dia khusyuk kembali, kemudian dia ketawa sampailah akhirnya dia berpaling padaku.
“Lawaklah cerita ni, mana ada sedih?”
“Ada la, part sedih tu. Awak ni tak feeling kot.”
“Ish awak yang pelik kot. Cerita lawak boleh menangis pulak. Cengeng!”
“Cengeng?”
“Kuat menangislah sayang!” Rayyan ketawa lagi sambil meneruskan pembacaannya tanpa menyedari ayatnya sebentar tadi membuatkan aku tersentak, ada rasa bahagia yang menyelinap dalam hatiku.
Andai benar ada bahagia buat diriku, benarkanlah ia membalut jiwaku sekarang Ya Allah...
Mataku bergenang semula, ah memang dasar perempuan cengeng!
------------------------------------------------------
Malam itu, kepalaku terasa berat sekali, migrainku kembali menyerang menyebabkan aku terbaring di katil menahan sakit yang mencengkam kepala.
“Awak, kenapa ni?” Umairah yang tidur di sisiku, terjaga dan kelihatan gelisah memandangku.
“Migrain... tolong, tolong ambilkan ubat saya.” Aku segera menunjuk ke arah laci meja. Umairah terkocoh-kocoh ke situ, mencari ubatku lantas membuka plastik ubat itu, mengambil satu tablet lantas disuakan padaku. Air yang tersedia di meja sisi dihulurkan padaku.
Aku menelan walaupun terasa perit, kepalaku terlampau sakit hingga aku tidak mampu untuk bangun sekalipun. Kepalaku kupegang dan kuurut perlahan, cuba mengurangkan kesakitan itu.
Tiba-tiba jemari halus Umairah menyentuh ubun-ubunku lantas dipicit perlahan kepalaku, terasa begitu menenangkan sekali.
“Tak apa saya picitkan.” Umairah menawarkan diri seraya tersenyum padaku. Aku membalas senyumannya sebelum menutup mataku, cuba menghalau kesakitan ini pergi.
Aku terjaga pagi itu dengan kepalanya yang sudah terasa ringan. Aku merasakan jemari Umairah masih melekat di kepalaku, urutannya masih terasa walaupun tidak sekuat awalnya. Jam dinding kukerling, sudah pukul enam pagi dan aku mengalami migrain tadi semasa lebih kurang pukul tiga. Jadi adakah...
“Awak tak tidur ke tadi?” aku menyoal dengan perasaan terkejut. Umairah yang masih asyik memicit cuma tersenyum. Tidak mahu menjawab soalan itu.
“Umairah, saya... saya minta maaf sebab menyusahkan awak.” Aku rasa sangat bersalah.
Umairah terhenti dari memicit lantas memandang wajahku dengan penuh kelembutan.
“Tak apa, saya yang nak picitkan. Saya risau tengok awak mengerang kesakitan macam tadi. Tak sanggup saya nak biarkan awak terseksa.”
Aku gumam. Wajah itu kurenung dalam-dalam, keikhlasan hati wanita itu terserlah pada matanya.
Ya Allah, adakah aku telah mensia-siakan wanita sebaik ini Ya Allah? Kejamnya aku!
Tangan Umairah kugapai lantas kukucup perlahan, rasa terharu menyelinap dalam hati ini.
“Terima kasih Umairah, terima kasih...”
------------------------------------------------------------
 “Tahniah Puan, Puan mengandung.” Kata-kata doktor itu membuatkan aku terkejut, tidak menjangkakan segala ini. Sejak dua menjak ini aku asyik pening dan mual, jadi aku segera berjumpa doktor. Tidak sangka pula perkhabaran ini yang kuterima. Ah terima kasih Ya Allah!
Tapi... adakah Rayyan juga akan segembira aku? apakah anak ini akan lahir dengan mengetahui tiada rasa cinta antara ibu dan ayahnya, eh bukan! Tiada rasa cinta ayahnya pada ibunya sebab aku memang ada rasa cinta untuknya. Kesian sungguh anakku.
Aku memegang perutku, ada nyawa di situ, yang akan kusayangi sepenuh hatiku...
--------------------------------------------------------
Aku duduk sendirian di dalam kelas itu, saat sesi persekolahan sudah lama tamat. Meja tempat Ainna duduk dulu kurenung dari mejaku. Masih terbayang lagi kegigihan dan kesungguhannya belajar dan tidak henti menyoal apabila tidak mengerti. Aku tersenyum sendiri.
Ya kenangan itu indah, namun...
Tanganku kutekap di dada, sudah tiada. Debaran yang kuat setiap kali mengingati Ainna sudah tiada, yang ada cumalah detakan jantung yang berskala normal. Ah aku bebas! Ya akhirnya aku boleh mengakui yang aku sudah boleh lepaskan perasaan cintaku ini!
Terima kasih Ainna, sebab pernah memberi kenangan manis untuk hidup saya. Namun cinta saya bukan lagi untuk awak, tapi untuk kakak awak.
Aku bangun dengan senyuman terukir di bibir, tidak sabar hendak menemui Umairah dan mencintainya setulus hatiku.
------------------------------------------------
“Hello Puan Umairah ya,” kedengaran suara seseorang dari hujung talian membuatkan hatiku tertanya, siapa pula yang menggunakan telefon Rayyan saat itu kerana nombor Rayyan yang tertera di skrin.
“Saya ada di Jalan Lintang sekarang ni, suami puan... suami puan...” suara lelaki di hujung talian itu kedengaran cemas.
“Ya kenapa dengan suami saya?”
“Suami puan terbabit dengan kemalangan.”
“Hah!” aku tergamam, air mata terus berjuraian di pipi tanpa aku sedari.
Ya Allah, selamatkanlah suamiku!
---------------------------------------------------
Aku membuka mataku perlahan, bau ubat mula menerobos ke dalam hidungku, segera aku memandang sekeliling, segalanya kelihatan asing sekali. Bunyi mesin berdetak, memberikan sedikit nada dalam kesunyian yang bertamu.
“Eh Encik Rayyan dah sedar ya.” seorang gadis berpakaian serba putih menegur, di tangannya ada fail yang dikelek.
“Saya kat mana ni?” aku masih belum dapat menangkap, apa yang telah terjadi.
“Encik kat hospital sekarang, encik terbabit dengan kemalangan tadi. Tapi jangan risau, keadaan encik dah kembali pulih.”
Aku memandang tubuhku sendiri, meneliti kesan luka yang terzahir di badan. Kepalaku sudah berbalut dan lenganku dianduh, mungkin patah.
“Tadi encik kehilangan banyak darah, dan stok darah jenis O negatif macam encik ni memang sangat kekurangan di hospital ini. Mujur ada orang yang sudi mendermakan darahnya. Malangnya, dia pula yang sakit sekarang ni.” Jururawat itu berkata lagi sambil matanya menulis sesuatu di atas fail yang dibawanya sedari tadi.
“Derma darah? Siapa nurse?”
----------------------------------------------------------
Sebelum itu...
“Darah O negatif? Saya jenis darah O negatif!” aku segera memberitahu jururawat bertugas, sebaik dikhabarkan perihal keadaan suamiku yang kehilangan banyak darah.
“Kami kena buat pemeriksaan dulu ke atas puan. Puan sedang mengandung ke?”
“Mengandung?”
“Aah, kalau mengandung pun tak digalakkan menderma darah. Kami takkan benarkan perempuan mengandung menderma.” Jururawat itu tegas memberitahu.
Aku memegang perutku yang terselindung di sebalik tudung dan bajuku, menyedari ada janin di situ yang belum diketahui sesiapa.
“Tak, saya tak mengandung. Saya boleh menderma kan nurse?” aku nekad memberitahu.
“Kita akan buat pemeriksaan darah dulu. Sila ikut saya ke Unit Tabung Darah.”
Aku segera mengekori langkah jururawat itu dengan hati berdebar.
----------------------------------------------------------------
“Ya Allah! Umairah! Kenapa boleh jadi macam ni?” aku tak mampu menahan kesedihan sebaik melihat isteriku itu terbaring lesu di atas katil di dalam wad itu, dia masih tidak sedarkan diri sedari tadi.
Tangan Umairah yang sejuk kugenggam erat dengan tangan kananku yang tidak patah, enggan melepaskan dia lagi.
“Dia mengaku yang dia tak mengandung, bila kami dah jalani pendermaan darah, dia pengsan tak lama kemudian. Setelah diperiksa, rupanya isteri encik sedang mengandung dan telah mengalami anemia akibat pemindahan darah tadi. Kami minta maaf kerana tidak memeriksa keadaan beliau terlebih dahulu.” Doktor berbangsa sikh itu memberitahu aku dengan nada kesal dan bersalah. Namun aku sudah tidak punya keinginan sekalipun untuk marah. Yang penting sekarang ialah keselamatan Umairah dan... anak aku!
“Umairah, saya minta maaf! Saya minta maaf!” air mataku aku biarkan berjuraian di pipi. Biarlah orang mengata aku lembik, aku tidak peduli, yang pasti aku terlalu ingin melihat ke anak mata Umairah kembali. Merenung dia tanpa dia sedari...
--------------------------------------------------------
Aku tersedar apabila mendengar suara tangisan di sebelahku, tanganku kurasakan sejuk dan basah. Segera aku memandang tanganku dan melihat Rayyan sedang menggenggam tanganku erat dan ada titis jernih pada matanya.
“Rayyan...” aku memanggil sedaya upayaku walaupun badanku terasa begitu lemah.
“Umai! Umai dah sedar? Alhamdulillah! Syukur Ya Allah!” Rayyan kelihatan begitu gembira, tidak pernah aku melihatnya segembira begini semenjak aku menikahinya.
“Awak dah ok?” itu saja yang ku ingin tanyakan padanya sedari tadi. Tubuhnya yang sudah berbalut di kepala, dan dianduh tangannya membuatkan hatiku rasa sedikit hiba. Mujur dia terselamat dalam kemalangan jalan raya itu, kalaulah dia tiada, aku pun tidak pasti bagimana kehidupanku selepas ini.
Rayyan menyeka air matanya sebelum menghampiri wajahku.
“Saya sihat, tak perlu khuatir pasal saya lagi. awak yang tak sihat, kenapa awak tak beritahu yang awak mengandung?”
Aku tersenyum tipis, cuba mencari kekuatan untuk menjelaskan padanya.
“Saya baru dapat tahu hari ini, manalah saya tahu, saat saya nak berikan khabar gembira, ada orang lain bawa perkhabaran buruk tentang awak.”
Rayyan mengusap dahiku, pandangan matanya pelik. Redup sekali hinggakan aku berasa begitu tenang.
“Kalaupun saya kemalangan, awak tak perlu susah payah menderma untuk saya. Awak tahu kan yang awak sedang mengandung.”
Aku mengangguk tanda faham.
“Tapi saya tak sanggup kehilangan awak. Baby ni pun mesti akan setuju dengan tindakan saya.”
Rayyan tak henti merenung mataku, membuatkan wajahku terasa hangat.
“Kalau saya kehilangan awak, saya takkan maafkan diri saya sebab biar awak berkorban untuk saya.”
Aku tersenyum.
“Saya ikhlas sebab saya cintakan awak.” Entah bagaimana perkataan itu meluncur laju dari mulutku.
“Maksud awak?”
“Saya dah cintakan awak sejak dulu Rayyan, semasa Ainna masih belajar di sekolah itu. Cuma awak yang tak tahu.”
“Umairah...” Rayyan kelihatan tergamam, matanya digenangi air.
“Maafkan saya sebab tak hargai saya selama ini. Maafkan saya Umairah!” Rayyan menangis di hadapanku, membuatkan aku terkedu. Tidak pernah dia berkelakuan sebegini sebelum ini.
“Eh awak jangan macam ni. Saya tak apa-apalah. Saya tak kisah pun.” Aku pantas memegang tangannya dan kuelus lembut.
“Saya janji saya akan cintai awak sepenuh hati saya Umairah. Saya takkan abaikan awak dan zuriat kita ini. Saya janji! Saya cintakan awak Umairah!” Rayyan bersuara dengan nada yang sebak. Tubuhku dirangkul dalam pelukannya seolah tidak ingin dilepaskannya lagi.
Mataku turut terasa digenangi air walaupun mulutku tersenyum. Air mata kegembiraaan kubiarkan mengalir di pipi.
Terima kasih Ya Allah! Begitu kecil pengorbananku jika hendak dibanding dengan nikmatMu ini...
---------------------------------------------------------
“Ainna nak balik minggu depan,” Umairah bersuara dengan nada sedikit sinikal.
“Jadi?” aku buat-buat tak faham. Air teh di dalam cawan, kuhirup perlahan sambil mataku tidak beralih dari buku Mastika di tanganku saat itu.
“Kalau abang masih cintakan dia, Umairah rela mengundur diri. Nak izinkan abang bermadu pun, kami adik beradik bang...” Tanpa kusangka-sangka ucapan itu keluar dari mulut Umairah yang sedang duduk di sisiku di meja di halaman rumah kami itu.
“Ish kenapa Umai nak ungkit lagi semua tu? Umai nak bagi abang rasa bersalah ya! Kan abang dah tak ada walau satu peratus pun perasaan cinta pada dia dah. Yang ada cuma cinta untuk Umairah...”
Umairah cuma diam, masih tidak yakin dengan kata-kataku. Dari wajahnya, aku tahu ada kebimbangan di dalam hatinya.
Aku bingkas bangun menghampiri Umairah lantas isteriku itu kupeluk dari belakang.
“Dengar sini sayang. Cinta abang hanya untuk Umairah, tak ada orang lain dah. Mungkin dulu abang pernah cintakan Ainna, tapi itu sebelum abang mengenali isteri abang yang seorang ni. Sebelum ini abang tak hargai Umairah, abang bodoh! Maafkan abang ya sayang. Tolong jangan mengungkit lagi. Abang takkan sanggup kehilangan Umairah lagi. Abang cintakan Umairah!” aku mengeratkan lagi pelukanku hingga Umairah tersenyum lebar.
“Ok-ok Umairah dah tak ungkit. Sekarang lepaskan Umairah! Tercekik ni!” Umairah meronta sambil menarik-narik tanganku hingga membuatkan tawaku pecah. Perlahan aku lepaskan pelukanku dan ubun-ubunnya kucium penuh rasa cinta.
-------------------------------------------------------------
“Kasih abang buat Umairah ibarat kasih sepantun tulisan pinggan...” dia berbisik ke telingaku.
“Eh apa maksudnya eh? Umai dah lupa.” Aku menggaru-garu kepalaku yang tidak gatal.
“Ish ni abang nak marah ni. Kan abang dah bagitau, maksudnya kasih yang abadi.” Rayyan bercekak pinggang.
“Haha. Sorilah cikgu Bahasa Melayu. Lepas ni Umai tak lupa dah! Sebab cinta Umai pun bak kasih sepantun tulisan pinggan!”
Rayyan tersenyum seraya mendakapku erat.
“Mama, mama...” rengekan anak kecil berusia tiga tahun itu, segera membuatkan Rayyan melepaskan pelukannya. Nur Insyirah, tanda kasih kami itu menggosok-gosok matanya, baru bangun dari tidur sambil mengelek teddy bear di tangannya.
Aku lantas bangun dan memeluk Insyirah erat, cuba menenangkan hatinya, pipinya kukucup bertalu-talu. Rayyan juga ikut bangun dan memeluk kami berdua dengan perasaan bahagia.
Ah indahnya perasaan ini. Terima kasih Ya Allah! Semoga kebahagiaan ini akan kekal selamanya. Amin..

Suka? =)

11 comments:

  1. rasanya kalau ending dia buat aina bawak balik laki mata biru mesti best. hehe..*sesuka hati jee nak menambah*
    anyway, sweet sangat bila umairah derma darah tu. =D

    ReplyDelete
    Replies
    1. orang india bermata biru ker cik nurafiqah airil? (^_^)

      Delete
  2. best sangat2 . thumbs up untuk writer . hihi~

    ReplyDelete
  3. pngorbanan yg suci..
    best2.. keep it up AK! =)
    p/s : bila nk post LYMA? heheheh

    ReplyDelete
  4. Awk mmg suka nama insyirah yek? Hehe. Sory tegur. Yela, sy terperasan pun sbb sy dok abis bc cerpen awk hari ni.. Anyway, citer ni mmg best ar..

    ReplyDelete
  5. bestttt..teruskan menulis ya ;)

    ReplyDelete
  6. best sgt teruskan kak AK

    ReplyDelete
  7. best sgt teruskan kak AK

    ReplyDelete
  8. best..tp lagi best kot kalau aina ade masa ending tu

    ReplyDelete

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!