~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Friday, March 13, 2015

Novel : Miss You Mr. Arrogant Bab 11



“MACAM mana? Seronok kerja?” Fiz menyoal saat Zaara datang mengambil Iman di taska yang sama dengan Adra, petang itu. Sudah seminggu Zaara mula bekerja namun pada hari ini baru mereka berdua berselisih di taska itu.
“Bolehlah, Fiz. Penat.” Zaara menghela nafasnya. Pandangannya dihala ke arah Adra dan Iman yang sedang asyik bermain di taman permainan berhadapan taska itu. Zaara dan Fiz mengambil kesempatan untuk berbual di bangku batu yang tersedia di situ.
“Aik baru mula kerja dah rasa penat? Kau dah lama sangat tak kerja ni. Itu yang cepat penat tu.” Fiz mengomel.
“Ish mana ada. Aku penat bukan sebab apa. Aku penat sebab asyik kena buli.”
“Buli? Officemate kau buli kau ke?” Fiz mengangkat keningnya. Zaara menggeleng perlahan.
“Bukanlah. Bukan dia orang.”
“Habis tu?”
Zaara senyum tawar.
“Mamat arrogant tulah. Siapa lagi.” Zaara mencebik. Fiz mengerutkan dahinya sebelum ketawa tiba-tiba setelah dapat menangkap siapakah gerangan yang dimaksudkan Zaara.
“Suami kau tu ke? Irham?”
Zaara mengangguk laju.
“Siapa lagi.”
“Aik dekat rumah dah buli, dekat office pun sama?” Fiz menyoal pelik. Zaara bersandar pada bangku itu sebelum memeluk tubuhnya.
“Biasalah dia. Dekat mana-mana pun nak membuli aku je kerjanya.”
Fiz ketawa lagi.
“Padanlah dengan muka kau. Kahwin lagi dengan pembuli.”
“Kau ni bukan nak kasihankan aku, aci gelakkan aku pulak.” Zaara menjuihkan bibirnya, sebal.
“Eleh, dah kau yang nak dulu kan, terima ajelah. Mr. Arrogant tu jugak yang kau tergilakan dulu kan?”
“Bukan aku yang nak, tapi dia yang paksa.” Zaara teringat kisah lamanya, ketika dia dipaksa untuk mengahwini Irham kerana jejaka itu tidak mahu berkahwin dengan pilihan mamanya. Tak pasal-pasal dia terperangkap dengan mamat berlagak gila itu.
“Dia paksa kahwin, tapi kau yang rela cintakan dia. Kan?” Fiz mengusik buatkan Zaara kematian kata.
“Yelah. Kau menanglah, Fiz.” Zaara menyerah kalah akhirnya. Nak buat macam mana, memang itu hakikatnya. Memang aku gila, sebab cintakan kau yang berlagak gila, tapi apa lagi nak dikata kalau hati dah cinta.
“Tapi tak sangka kan, kita berdua dah kahwin dah ada anak dah pun.” Fiz pula mengalih pandang ke arah taman permainan. Adra dan Iman sedang asyik bermain jongkang-jongket.
“Itulah, tak sangka cepat betul masa berlalu.” Zaara menghela nafasnya.
“Tapi perangai sengal kau tetap tak berubah kan?” Fiz menyengih.
“Ish apa aku pulak. Kaulah! Sengal!” Zaara dan Fiz saling menuduh sebelum masing-masing hanyut dalam ketawa saat mereka mengimbau kenangan silam.
“Ehem. Saya menganggu ke?” suara seseorang yang menerjah buatkan Zaara dan Fiz masing-masing mendongak. Hadry sedang berdiri di hadapan mereka dengan senyuman yang manis.
“Eh abang datang sini buat apa?” Fiz menyoal tika melihat suaminya di hadapan mata. Fiz bingkas bangun menghampiri suaminya lantas bersalam dan mencium tangan suaminya itu.
“Abang tunggu dekat rumah, anak isteri abang tak balik-balik lagi, itu yang abang singgah dekat sini. Tak sangka pulak ada Zaara sekali. Apa khabar Zaara?” Hadry menyoal setelah pandangannya dihala ke arah Zaara.
“Alhamdulillah. Saya sihat je, Hadry.” Zaara mengukir senyuman.
“Allah, sorry abang. Iza lupa nak bagitahu abang, Iza nak sembang dengan Zaara kejap. Iza tak sedar langsung yang dah lama kami bersembang. Sorry sangat-sangat. Ampun!” Fiz menarik tangan suaminya itu lalu disalaminya sekali lagi.
“Eh tak ada apalah. Abang cuma bimbang saja, abang tak marah pun.” Hadry bersuara saat menggosok kepala isterinya itu. Pandangannya dihala pula ke arah Iman dan Adra yang masih tidak jemu berulang alik menaiki tangga sebelum melusuri papan gelongsor itu. Fiz mengangguk namun dari wajahnya masih jelas terpamer rasa bersalahnya.
“Tak apalah, sayang sembanglah dulu. Abang tengokkan budak-budak tu ya.” Hadry bersuara kembali sebelum berlalu ke arah papan gelongsor di hadapan mereka.
Zaara memandang ke arah Fiz semula setelah Hadry meninggalkan mereka, lama dia merenung sahabatnya itu tanpa berkata apa, hanya senyuman terpamer di bibirnya.
“Apa?” Fiz menyoal waktu dia menyedari pandangan pelik Zaara terhadap dirinya itu.
“Untunglah orang tu.” Zaara bersuara datar.
“Untung apa?” Fiz masih tidak mengerti.
“Untunglah dapat suami romantik macam Hadry tu.”
“Ish biasa je pun, mana ada romantik.”
“Eleh, kau tak rasa la. Tapi dua biji mata aku yang melihat ni hampir menangis tau tengok kau orang punya keromantikan terlampau.”
“Merepek ajelah kau ni. Mana ada romantik, tapi mungkin sebab Irham kau tu tak romantik langsung, sebab tu kau tengok Hadry, kau dah rasa macam dia tu romantik tahap petala langit ketujuh.”
“Ish mana ada.” Zaara mencebik, enggan mengakui.
“Dulu kau jugak yang nak dekat mamat arrogant tu, sekarang terimalah.”
Zaara ketawa kecil. Ya memang dia yang sukakan Irham sebegitu. Sebelum kahwin, memang dia alergi dengan lelaki-lelaki romantis, sebab itu jugalah cinta Faisal ditolaknya dulu sampai lelaki itu jadi psiko. Nauzubillah!
Tapi sekarang… bila dia melihatkan kemesraan Fiz dan Hadry, serba sedikit hatinya terusik.
“Termenung apa pulak tu, minah?” Fiz menepuk bahu Zaara buatkan Zaara hampir melatah.
“Ish kau ni!” Zaara menampar bahu Fiz kembali.
“Dahlah wei, aku nak balik ni. Kesian laki aku.” Fiz meminta dirinya.
“Hmm yelah, hari pun dah lewat ni. Kang membebel pulak tuan besar dekat rumah tu.”
“Tau takpe.” Fiz ketawa sebelum menggawangkan tangannya memanggil Hadry, Adra, dan Iman untuk pulang.
“Dah puas?” Hadry menyoal sambil mendukung Adra.
“Tak.” Fiz mencebikkan bibirnya.
“Macam tu sembanglah lagi.”
“Hesy, awak jangan dengar cakap Fiz tu, Hadry. Mengada je dia tu. Lain kali sajalah kami sembang lagi, dah lewat dah ni.”
Hadry ketawa kecil.
“Hmm yelah. Lain kali nak sembang, call abang bagitahu dulu ya.” Hadry memicit lembut hidung isterinya buatkan Fiz mendengus kecil.
“Dah jom. Kami balik dulu ya, Zaara.” Hadry meminta diri sambil menggenggam erat tangan isterinya. Zaara mengangguk laju sambil memerhati langkah mereka. Hadry membuka pintu untuk Fiz sebelum meletakkan Adra di sebelah tempat duduk pemandu, bersalaman dengan Fiz sebelum dia menutup pintu kereta Fiz dan kembali ke keretanya di belakang kereta Fiz. Saat dua kereta itu bergerak meninggalkan tempat itu, barulah Zaara membawa langkahnya sambil memegang tangan Iman.

ZAARA mengucup Iman lembut setelah anaknya itu lena didodoikannya. Wajah tenang anaknya itu dipandang tanpa jemu. Terasa hilang segala resah dalam hati sebaik melihat seraut wajah itu.
“Maafkan mama, sebab tak dapat bersama Iman macam dulu.” Zaara mengusap wajah Iman dengan penuh kasih sayang sebelum wajah Iman dikucup kembali. Lampu yang terpasang segera dimatikan sebelum Zaara keluar dari bilik Iman dengan langkah berhati-hati, tidak mahu mengejutkan anaknya itu.
Sebaik melintasi ruang keluarga, Zaara melihat Irham sedang asyik menonton televisyen. Suaminya itu pantas didekati.
“Awak tengok apa?” Zaara menyoal sebaik dia duduk di sebelah Irham.
“Tengok tvlah. Takkan tengok awak pulak.” Irham menjawab tanpa memandang Zaara. Zaara mencebik, bantal yang ada di sebelahnya diambil lalu dipeluk erat. Drama dalam slot Zehra sedang bersiaran di TV3.
“Awak ikut ke cerita ni? Tak pernah tengok pun selama ni. Awak bukan suka sangat drama-drama melayu kan?” Zaara menyoal.
“Ikut suka sayalah nak tengok ke tidak.” Nada Irham masih datar.
“Awak ni kenapa?”
“Kenapa apa?” Irham masih tidak memandang ke arah Zaara. Zaara menghela nafasnya, hatinya dipagut sayu tiba-tiba. Mulalah dia terbayang aksi romantik antara Hadry dan Fiz tadi yang tidak pernah dia rasai saat bersama Irham. Selama lima tahun berkahwin, tak pernah sekalipun Irham memegang tangannya ketika berjalan. Zaara sebak.
“Awak masih sayang saya ke tidak?” soalan yang terpacul tiba-tiba dari mulut Zaara setelah lama isterinya itu berjeda, buatkan Irham gumam. Butang mute segera ditekan sebelum dia memandang Zaara yang hanya menunduk memandang lantai.
“Kenapa tiba-tiba bagi soalan maut macam ni?” Irham menyoal. Baru saja dia hendak bersenang-lenang menonton televisyen, tiba-tiba saja datang soalan tahap membunuh begini. Takkanlah Zaara tak tahu apa yang ada di dalam isi hatinya dan bukannya isterinya tidak tahu yang dia tidak gemar berbicara soal hati.
“Cakaplah. Awak masih sayang ke tidak?”
Irham dapat melihat mata Zaara yang berkaca. Isterinya itu memang perempuan cengeng tahap tak ingat. Nampak saja brutal tapi air mata tu murah sangat macam boleh jual dekat pasar lambak. Haish!
“Jangan tanya soalan pelik malam-malam begini boleh tak?” Irham buat-buat tidak nampak wajah Zaara yang sudah muram.
Zaara diam, wajahnya menunduk. Asyik-asyik jawapan sedingin ais beku juga yang diterimanya. Hatinya jadi terasa kerana Irham asyik bersikap dingin tidak kira tempat. Entah apa salahnya dia pun tidak tahu. Walaupun sudah lali dengan kedinginan Irham setelah lima tahun hidup bersama, namun adakalanya hatinya tetap terusik.
“Awak datang bulan, kan?” Irham menebak. Bukan dia tidak tahu, bila isterinya datang bulan saja mesti datang mood syahdu begitu. Zaara mencebik, tidak membalas tapi dari reaksi Zaara, Irham sedar tekaaannya betul.
Chupp! Satu kucupan hinggap di bibir Zaara membuatkan dia tersentak. Wajah Irham dipandang, suaminya itu buat tidak tahu dan fokus ke arah televisyen setelah butang mute ditekan semula, membiarkan suara televisyen itu kembali kedengaran memecah sepi.
“Itu jawapan saya. Dah sekarang pergi tidur, saya nak tengok Mega Movie ni.” Irham bersuara seketika kemudian setelah melihat Zaara masih mendiamkan diri. Zaara tergamam, tidak tahu hendak tersenyum atau tidak. Wajah Irham dipandang semula sebelum dia bingkas bangun, dan berjalan macam orang kena rasuk, mengikut arahan Irham yang menyuruhnya tidur.
‘Gila punya suami! Aku minta jawapan lain, jawapan ini pula yang dibagi,’ Zaara mengomel saat membawa langkahnya ke dalam bilik tidur.

IRHAM masuk ke dalam bilik tidurnya saat jam menunjuk ke angka dua belas, selesai dia menonton Mega Movie di televisyen. Zaara yang sudah terlena di atas katil dipandang lama sebelum dia menghampiri katil itu lalu mengambil tempat dan berbaring di sebelah Zaara.
Wajah Zaara di sisi dipandang sekali lagi, lama tanpa berkedip. Wajahnya dirapatkan dengan wajah Zaara hingga dahi mereka bersentuhan. Hembusan nafas yang lembut menyapa wajahnya membuatkan Irham terasa hangat. Lama Irham membiarkan keadaan sebegitu sebelum bibir isterinya itu dikucup lembut. Lama bibir mereka bertautan tanpa Zaara sedari sebelum dia memeluk Zaara erat, rapat ke dada.

“Aku cintakan kau, dari dulu, sampai sekarang, sampai ke syurga. Ini jawapan aku yang sebenar.” Irham berbisik sebelum menutup matanya rapat. Zaara masih tidak terusik, hanyut dalam lenanya yang dalam.


Suka? =)

2 comments:

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!