Hidup ini macam sebuah drama, bila kita nakkan seseorang, mesti orang tu tak nak kat kita, walaupun kita bukan main romantis lagi, sedangkan lelaki yang dia gilakan tu pulak ego tinggi melangit. Orang selalu anggap lelaki yang kecewa ini hero kedua dan aku salah seorang dari mereka.
“Saya, saya tak boleh terima awak Zarif. Ya awak memang baik tapi saya dah jatuh cinta pada Husin. Dia selalu bagi saya gula-gula, bukan macam awak.”
Ya, itulah ayat penolakan pertama yang aku terima semasa berusia tujuh tahun. Aku masih boleh ingat detik itu dan betapa aku meraung di dalam kelas sebab ditolak gadis kecil yang ku anggap paling comel dalam kelas.
“Saya, saya tak boleh terima awak Zarif. Ya awak memang baik tapi saya dah jatuh cinta pada Andy. Dia otai, awak skema sangat.”
Ok, itu pula penolakan kedua yang aku terima semasa aku di sekolah menengah, aku tak sangka, dengan menjadi skema, aku ditolak bulat-bulat padahal aku rasa akulah yang paling smart dalam kelas. Sedangkan lelaki yang budak perempuan tu minat bukan main selekeh lagi. Haish! Frust aku masa tu, sampaikan aku menangis sambil berkaraoke lagu-lagu jiwang leleh sebab frust menonggeng.
“Saya, saya tak boleh terima awak Zarif. Ya awak memang baik tapi saya dah jatuh cinta pada Haris. Dia lebih bergaya dari awak.”
Ini pula penolakan ketiga, masa zaman universiti aku. Penolakan ketiga ini telah membuatkan hati aku tawar, tawar untuk mencari cinta lagi. Aku sebenarnya tak faham, semua gadis yang pernah aku sukai dulu cakap aku baik, tapi tak seorang pun sudi terima aku. Apakah menjadi baik itu suatu yang buruk di sisi para gadis? Aku keliru.
Hati aku memang tertutup rapat sejak itu, sampailah Liyana muncul dalam hidup aku. Liyana.... ah macam mana aku nak cakap ya? dia adalah gadis yang sempurna. Dia ialah gadis yang aku idam-idamkan selama ni. Ok walaupun dah banyak kali aku idamkan orang lain, tapi bagi aku Liyanalah yang terbaik!
Liyana... haish! Bagi aku dia ni memang perempuan melayu terakhir, kelembutan dia, ayunya dia. Kalahlah Ayu Raudhah. Haha. Dia telah sekali lagi membuka pintu hatiku untuk mengejar cinta. Tapi masalah timbul sekali lagi bila Liyana juga sama macam perempuan-perempuan lain tu. Semua tak nampak permata depan mereka ni, ces! Yang dia nampak depan mata dia cumalah Haidar, sepupu aku tu.
Liyana dan Haidar tu memang nak dijodohkan oleh keluarga masing-masing, tapi aku dah terjatuh hati pada Liyana masa terjumpa dia dalam sebuah majlis di rumah Haidar, Haidar pulak aku tengok macam tak ada hati pun pada Liyana, jadi baik aku aje rembat. Malangnya Liyana pula bersungguh mahu memenangi hati Haidar, macam cinta segi tiga gitu. Ah kali ini aku tekad, walaupun terpaksa bersaing, aku akan tetap berusaha untuk mendapatkan Liyana. Apa nak jadi, jadilah!
------------------------------------------------------------------
“Zarif, Haidar dah mula baik pada Yana. Yana happy sangat. Mungkin suatu hari nanti Haidar akan buka pintu hatinya buat Yana kan? Pray for me Zarif!”
Nada suara Liyana kelihatan sungguh gembira sedangkan hatiku pedih mendengar perkhabaran itu.
“Zarif! Zarif!” Liyana menjerit di hujung talian, membuatkan aku tersedar dari lamunan.
“Oh. Ya pasti Zarif doakan...”
‘Doakan supaya hati Liyana terbuka untuk Zarif. Hanya Zarif...’ aku menyambung di dalam hati.
“Hai Zarif. Kau termenung aja dari tadi ni kenapa?” Haidar yang datang dari dalam gelanggang futsal itu menepuk bahuku membuatkan aku segera memandangnya yang mengambil tempat duduk di sebelahku.
Aku menggeleng kepala sambil memandangnya yang sudah bermandi peluh. Ok, perempuan rasa itu hot! Tapi nak buat macam mana kalau aku ni kaki bangku, aku tak reti main futsal, tak reti tunjuk yang aku ni pun hot jugak.
“Bila kau nak terima Liyana tu?” soalan aku itu buat Haidar yang sedang meneguk air mineral di dalam botolnya segera terhenti, matanya terus memandang wajahku.
“Kenapa secara tiba-tiba kau tanya soalan ni? Dekat gelanggang futsal pulak tu, tak ada tempat yang lebih strategik ke?”
“Aku ni straight to the point, bila aku rasa nak tanya aku tanya ajelah. Tak kiralah apa situasinya pun.”
“Entah! Hati aku belum terbuka.”
“Habis kau nak suruh Liyana tu tunggu berapa lama?”
“Kalau dia sabar, tunggu jelah. Kalau tak, boleh belah! Aku tak suruh pun dia tunggu aku, dia yang nak sangat tunggu. Yang penting, buat masa sekarang, aku memang belum bersedia.”
“Habis, bila yang kau nak sedia? Papa kau suruh kau kahwin dengan Liyana secepat mungkin kan.”
“Yang kau sibuk sangat ni apsal? Kalau kau nak sangat kat Liyana tu, kaulah ambik dia. Dah aku nak sambung game. Chaw!”
Haidar berlari masuk ke dalam gelanggang semula, membuatkan hatiku panas. Aku pulak yang tersepit di tengah-tengah cinta dia orang ni. Ikut hati, mau je aku ni musnahkan segalanya, tapi aku bukanlah pencinta yang kejam!
-----------------------------------------------------
Aku menarik nafas perlahan, fikiranku jauh melayang walaupun aku sepatutnya fokus pada kerjaku sekarang. Kertas kerja yang berlambak di atas meja, aku rasakan macam kertas kosong yang tiada sebarang catitan. Fikiran aku kusut memikirkan cintaku yang belum kesampaian.
Tanpa fikir panjang, kunci kereta dalam laci segera ku ambil, dari tak boleh buat kerja, baik aku jalan-jalan dulu. Apa susah, syarikat bapak aku jugak. Haha.
Nak kemana ya untuk tenangkan fikiran? Hilangkan kekusutan, longgarkan jiwa yang merengkam, haish!
Aku tertinjau-tinjau di dalam kereta, sambil berkira-kira nak ke mana arah kereta BMW aku ni. Waktu kusut macam ni, memang apa pun tak boleh nak fikir, ah redah jelah. Aku tekan minyak kereta kuat-kuat tanpa ada arah tujuan yang pasti.
Skrett! Terkejut aku bila terlihat gadis itu terduduk di atas jalan. Fuh! Mujur aku tak sempat terlanggar dia tadi, kalau tak, alamat mati kataklah dia.
“Awak ok ke?” aku meluru ke arahnya dengan perasaan risau. Manalah tahu, dia ada lemah jantung kang, tak pasal aku dah terbunuh orang. Eii seram!
“Err, saya ok.” Gadis yang kelihatan terpinga-pinga itu membetulkan tudungnya yang senget-benget sebelum bangun dan menepuk-nepuk debu di bajunya.
“Maafkan saya saudari, saya tak sengaja.”
“Eh tak apa. Bukan salah encik, saya yang tak sedar encik tengah laju.”
“Tak payahlah berencik dengan saya, saya Zarif.” Aku hulur tangan dengan senyuman sebaris.
“Saya Medina.” Gadis itu tidak membalas huluran salamku sebaliknya cuma tersenyum. Mak aih, comelnya dia, mata bulat bukan main lagi, macam Heliza. Eh tapi Liyana cun lagi, Liyana paling cantik di hatiku!
“Eh awak luka.” Aku tergamam bila melihat baju kurung di bahagian lengannya sudah terkoyak, menampakkan luka, mungkin tercedera saat gadis itu terjatuh di atas jalan.
“Eh sikit aje ni, tak apa kot.” Gadis itu cuba menenangkan aku. Relaks aje dia padahal aku yang menggelabah. Ye la, macam mana tak menggelabah, aku dah cederakan anak dara orang, kang aku kena serang dengan mak ayah dia, siapa nak jawab?
“Tak boleh macam ni, jom ikut saya ke klinik.”
“Tapi encik..”
“Dah, tak ada tapi-tapi.. naik...”
Gadis itu cuma mendiamkan diri saat di dalam kereta. Takutlah tu, macam la aku makan orang. Haha.
“Awak nak ke mana tadi?” aku cuba memecah kesunyian.
“Err, temuduga kerja.”
“Hah! Saya dah buat awak terlepas temuduga tulah ye. Saya minta maaf!”
“Tak apalah. Tak ada rezeki,” dia senyum lagi seolah tiada yang buruk telah berlaku.
Aku menunggu Medina keluar dari bilik rawatan dengan perasaan gundah. Risau jugak lukanya itu teruk sebab darah keluar boleh tahan banyak jugak. Mundar mandir aku berjalan macam orang tak tentu arah. Kalau orang luar nampak aku ni, mesti ingat bini aku nak bersalin.
“Encik Zarif...” Medina yang entah bila masa keluar dari bilik itu segera memanggil aku.
“Zarif...” aku menegurnya.
“Doktor cakap luka biasa je. Mereka dah balutkan luka tu.”
“Alhamdulillah. Nanti semua yuran rawatan, saya bayar, awak tak perlu risau.”
“Eh tak perlulah encik..”
“No, I insist.”
Medina tersenyum lagi. Kuat senyum betul perempuan ni. Senyum, tak perlu kata apa-apa. Eh kan dah ternyanyi dah aku.
“Kalau ada apa-apa hal, just contact me ok. Ini kad saya.”
Medina menyambut kad yang kuhulurkan seraya mengucapkan terima kasih.
“And one more, awak tengah cari kerja kan? Bila awak dah sembuh dari luka tu, datang pejabat saya ok, saya akan conduct an interview untuk awak. Datang saja bila-bila masa yang sesuai.”
“Eh tak perlulah encik, encik dah banyak tolong saya dah.”
“That’s ok. Saya cuma akan ambil awak kalau temuduga awak tu berjaya dan kelayakan awak sesuai dengan jawatan yang kami tawar.”
“Kalau macam tu, terima kasih encik. Saya gembira sangat.”
Aku cuma tersenyum melihat Medina yang gembira, walaupun baru saja hampir dilanggar aku tadi.
-----------------------------------------------------------
Aku duduk bersama Liyana di dalam kafe itu, Liyana yang mengajak aku berjumpa dengannya tengah hari itu, tapi aku pelik bila melihat keruh di wajahnya. Aku ingatkan dia datang jumpa aku untuk terima cinta aku, rupanya barulah aku tahu yang aku sekadar tempat dia meluahkan rasa kecewanya pada Haidar. Haish! Nasib badan...
“Saya sedih Zarif, dah banyak kali saya cuba, tapi.. tapi Haidar tetap tak sukakan saya. Saya ingat dia dah sukakan saya, tapi saya silap, perangai dia masih dingin macam dulu. Buruk sangat ke saya ni Zarif?”
“Jangan cakap macam tu, awak dah cukup baik Yana.”
“Kan bagus kalau Haidar sebaik awak Zarif.”
Aku bukan Haidar! Aku bukan Haidar! Hatiku menjerit sendiri.
“Apa kata awak terima saya saja Liyana, tak perlu awak tunggu Haidar lagi. Awak pun tahu kan yang selama ni saya pun sukakan awak?” aku memberanikan diri bersuara.
Liyana terkedu. Air mata yang merembes keluar dari pipinya disapu perlahan.
“Saya.. saya tak mampu Zarif. Hati saya ni, tak boleh nak sukakan awak macam saya sukakan Haidar.”
Aku mengeluh kecewa. Wajah ayu Liyana kurenung dalam. Gadis berwajah kuning langsat, beralis lentik, bermata galak itu memang mampu menawan hati sesiapa termasuklah aku.
“Tak apalah Yana, tapi awak mesti ingat, yang saya selalu ada untuk awak.” aku memujuk Liyana yang sedih sedari tadi. Liyana tak sedar yang hati aku turut sedih bila dia menolak cintaku ini. Ah!
---------------------------------------------------------
“Medina, masuk bilik saya kejap,” aku bersuara sebaik interkom itu kutekan.
Medina, yang kini sudah bergelar setiausahaku, masuk dengan segera. Aku bersandar di kerusiku sambil kepala mendongak ke siling. Seketika kemudian kupandang wajah Medina sambil menghela nafas panjang.
“Ada apa Encik Zarif?”
“Saya nak tanya suatu perkara pada awak Medina.”
Medina tenang memandang wajahku seraya tersenyum.
“Ada apa Encik Zarif?”
“Kenapa selalu orang yang kita suka, tak suka kat kita?”
Medina yang serius dari tadi, tergelak kecil bila mendengar soalan aku itu.
“Opps maaf encik.”
“Tak apa, boleh jawab tak soalan saya tu?” aku cuba serius, padahal aku dah malu dah ni. Rasa macam nak nyorok bawah meja.
“Memang itu lumrah hidup encik, tapi itu bukanlah pengakhiran segalanya. Itu cuma bermakna, encik belum jumpa cinta yang sepatutnya.”
“Dah banyak kali saya cari cinta saya Medina. Tapi semuanya tak menjadi, yang ini pun sama. Liyana tak pernah mahu menerima cinta saya walaupun banyak kali saya luahkan. Kadang-kadang saya rasa macam saya ni hero kedua macam dalam drama-drama televisyen tu. Hero kedua yang selalu saja kecewa sebab tak dapat cinta, padahal saya rasa saya dah cukup mencuba.”
“Tak ada istilah hero kedua dalam hidup kita ni Encik Zarif. Setiap insan berhak memiliki cinta biarpun cinta itu bukan datang dari orang yang kita cintai. Beri peluang pada hati untuk menerima cinta lain andai insan yang kita cintai tak sudi terima kita.”
“Kalau awak, sudi ke terima cinta orang macam saya ni Medina?”
Medina tersentak.
“Err apa maksud encik?”
“Eh tak ada apa-apa. Awak pernah bercinta Medina?”
“Tak pernah, dan tak akan kot, selagi saya belum kahwin. Saya cuma akan bercinta selepas kahwin. Percintaan yang halal.”
Aku tersenyum. Ya, Medina memang punya ciri-ciri muslimah sejati, kenapalah aku tak jatuh cinta pada dia saja, habis cerita. Masalahnya, hatiku sudah kutitip buat Liyana... haish!
-----------------------------------------------
Aku pelik bila Liyana ajak aku menemaninya ke sebuah jamuan di hotel hari ni, padahal dia tak pernah ajak aku selama ni, yang dia ajak cumalah Haidar.
Liyana tersenyum manis sebaik aku menjemputnya di rumah, lenganku dipeluk erat sepanjang aku dan dia berjalan di dalam dewan hotel mewah itu. Sesekali dia berbisik mesra ke telingaku, buatkan aku tersenyum lebar sepanjang masa, macam orang gila tanpa mempedulikan mata-mata yang memerhati kemesraan kami.
“Thank you for accompanying me Zarif.” Dia pandang wajahku dengan mata yang redup saat aku dan dia berada di parking kereta. Haish cair aku dibuatnya.
“Your welcome my dear.”
“Zarif!” satu suara menjerit namaku sebelum satu tumbukan padu terkena tepat ke mukaku sebelum sempat aku melihat gerangan yang memanggil.
“Aduh!” pipiku yang terasa kebas segera kutekup, darah keluar dari mulutku. Satu tumbukan lagi ditujukan ke perutku hingga membuatkan aku jatuh terduduk.
“Haidar!” Liyana menjerit ketakutan membuatkan aku tersedar, insan yang menumbukku sebentar tadi adalah Haidar, sepupuku sendiri.
“Ini ya kerja kau, patutlah asyik tanya bila aku nak terima Liyana, rupanya kau sendiri ada hati nak kebas bakal tunang aku ni. Dah Liyana balik!”
Pandanganku yang kian kabur cuma dapat melihat bayangan Haidar menarik Liyana pergi, meninggalkan aku yang kesakitan, menggelupur di atas jalan tar itu.
“Encik, Encik Zarif! Encik tak apa-apa?”
Aku cuba membuka mata yang berpinar-pinar.
“Medina...” aku hanya mampu bersuara lemah.
--------------------------------------------------
Aku membuka mata perlahan, lantas terus dapat mengecam yang aku sudah berada di hospital kerana aku sudah terbaring di atas katil rawatan. Medina! Mana Medina? Mataku mencari-cari kelibat setiausahaku itu.
“Medina...” aku memanggil perlahan.
“Encik dah sedar?” Medina menjenguk dari belakang langsir berwarna biru yang menutupi sebahagian pandanganku.
“Saya kat hospital ke ni Medina?”
“Aah encik. Tapi encik jangan risau, encik tak ditahan di wad, tadi mereka jalani pemeriksaan ke atas encik dan encik tak apa-apa. Saya tunggu encik sedar je supaya boleh bawa encik balik.”
“Maaf menyusahkan awak Medina.”
“Tak ada apalah encik.”
“Macam mana awak boleh ada di sana Medina?” aku menyoal sebaik kami berada di dalam perut kereta.
“Sebenarnya saya ada kat pasaraya sebelah hotel tu, masa saya nak jalan balik, saya nampak ada orang terbaring di atas jalan kat tempat parking tu, sebab tu saya datang tengok.”
“Bahaya tu Medina, nasib baik saya, kalau perompak yang terbaring tu, kan naya awak?”
“Saya tawakal je encik, serah pada Allah. Yang penting niat saya nak menolong.”
Aku terdiam sambil memandang Medina yang tersenyum. Ya Allah, kau temukan aku dengan seorang gadis seumpama malaikat tapi aku tidak sedar selama ni Ya Allah! Mungkin ini petunjuk dariMu kerana pertemukan aku dengan penyelamatku ini.
Aku membalas senyuman Medina dengan hati yang berbunga.
--------------------------------------------------------------------
Petang itu sengaja aku hendak balik lambat, masih banyak kerja yang perlu aku habiskan lagipun... ehem. Aku renung keluar tingkap bilikku melalui birai langsir, Medina masih di mejanya, menyiapkan kerja dengan khusyuk tanpa berpaling dari menghadap komputer walau sepicing pun. Ada beberapa orang lagi staff yang sibuk menyiapkan kerja masing-masing.
“Zarif, are you okay?” Liyana tiba-tiba meluru masuk ke dalam bilikku.
“Eh Yana....” aku terpempan.
“I’m sorry. Pasal kejadian semalam, Yana tak sangka semua ni akan berlaku, Yana tak sangka Haidar akan bertindak sampai macam tu sekali.” Air mata Liyana sudah bertakung di tubir mata.
“Maksud Yana?” aku mengangkat kening, tanda tidak mengerti.
“Maafkan Yana. Yana gunakan Zarif untuk kepentingan Yana, Yana bawa Zarif ke majlis untuk cemburukan Haidar yang turut ada dalam majlis tu.”
“Yana buat apa!” aku membentak.
“Yana minta maaf. Yana tak sangka Haidar sanggup cederakan Zarif. Maafkan Yana, maafkan Yana...” Liyana dengan tiba-tiba memelukku erat.
“Eh eh, tak apa Yana. Tak apa...” aku cuba meloloskan diri dari pelukannya.
“Err, saya rasa saya tak patut mengganggu sekarang,” Medina yang baru tersembul di hadapan pintu segera keluar semula.
“Eh Medina tunggu!” aku menjerit namun Medina tidak mengendahkannya.
“Zarif, biarkan jelah dia tu, sekarang tolong maafkan Yana. Please?”
Aku menolak tubuh Liyana dariku.
“Zarif dah pun maafkan Yana walaupun Yana cuma gunakan Zarif untuk dapatkan Haidar. Sekarang Yana pergilah pada Haidar, jangan kacau Zarif lagi.”
“Tapi, Yana rasa... Yana takut nak bersama Haidar dah. Lepas dia belasah Zarif, Yana rasa dia tu kejam orangnya. Yana tak sanggup! Yana lebih rela serahkan hati Yana pada Zarif.”
Aku mendengus.
“Haidar ialah pilihan utama Yana dari awal lagi, Zarif bukan siapa-siapa. Kalau Yana betul-betul cintakan Haidar, Yana pasti boleh terima baik buruknya. Zarif rasa Yana cuma dalam keadaan terkejut pasal kejadian semalam. Haidar buat macam tu sebab dikuasai cemburu, dan itu membuktikan yang dia memang cintakan Yana. So, just go for it!”
“Jadi Zarif tolak Yana lah ni?”
“Selama ni hati Zarif memang ada pada Yana seorang, tapi Yana tak pernah terima, kan? Sekarang izinkan Zarif ambil semula hati Zarif sebab Zarif dah ada pilihan yang lain.”
“Maksud Zarif, gadis tadi?”
“Yup!”
“Kalau macam tu, goodluck. Maaafkan Yana atas segalanya, go and get your true love!” Liyana tersenyum manis padaku.
“Terima kasih Yana. Yana pun sama, Haidar memang tercipta untuk Yana, cuma dia saja belum mahu mengaku. Berusaha lagi ya!”
“Thanks!”
Aku terus meluru keluar dari bilik dan menuju ke tempat Medina namun meja itu sudah kosong, Medina sudah pulang.
Aku berlari ke pintu lif pula sebelum memboloskan diri ke dalam untuk turun ke tingkat bawah. Mataku meliar mencari Medina hingga ke luar bangunan pejabat.
“Ish mana nak cari ni!”
Aku berlari ke hulu ke hilir mencari Medina namun masih tak ketemu.
“Pukul berapa sekarang nak?”
“Pukul enam setengah makcik...” suara itu menjawab mesra.
“Lambat bas hari ni ye nak..”
“Aah...”
Medina! Medina kat perhentian bas! Macam mana aku boleh lupa yang jantung hatiku itu pengguna bas awam yang tegar? Tepuk dahi sendiri!
“Medina!” aku terus menjerit sekuat hati tanpa peduli kanan kiri, main redah mana aci.
Medina yang sedang duduk di perhentian bas itu segera bangun dengan wajah terpinga-pinga, aku pantas menghampirinya.
“Ada apa Encik Zarif? Ada benda yang saya tak siapkan lagi ke?” Medina segera menyoal saat aku berdiri di hadapannya.
“Stop talking about work Medina. Sekarang ini semua pasal kita...”
“Hah pasal kita?”
“Ya Medina. Saya cintakan awak.”
Medina terdiam. Oh please say something Medina!
“Aaa... apa maksud encik ni?”
“Saya dah terus terang Medina. Bahagian mana lagi awak tak faham, saya cintakan awak! i love you, wo ai ni!”
“Err, tapi... tapi... bukan Encik Zarif suka Liyana ke?” Medina terpisat-pisat.
“Tidak lagi, sekarang saya cintakan awak. Eh bukan setakat sekarang, sampai akhir hayat, eh bukan, sampai ke syurga.”
Medina tergelak mendengar aku memperbetulkan kata-kataku itu.
“Encik Zarif kan tahu yang saya tak mahu bercinta. Jadi saya tak boleh cintakan Encik Zarif, saya cuma boleh cintakan bakal suami saya saja.”
“Jadi kahwin dengan saya!”
“Apa?” Medina terkedu.
“Saya tahu awak cuma nak bercinta lepas kahwin aje kan. Jadi kita kahwinlah supaya boleh bercinta lepas kahwin.”
“Tapi...”
“Apa lagi Medina? Awak pun macam orang lain ke, yang tak mampu terima saya? Awak nak buat saya jadi hero kedua semula ke?”
“Awak bukan hero kedua...” Medina menegaskan seraya tersenyum.
“Jadi... apa masalahnya sekarang Medina? Terimalah saya, kahwinlah dengan saya..”
“Tapi... masuklah meminang dulu.”
Aku tergamam. Betul jugak! Kenapa aku main redah aje ni? Tak ada adab lansung!
“Ok, esok jugak saya bawak rombongan! Terima kasih Medina! Saya cintakan awak!” aku menjerit sekuat hati.
“Eh syyh! Jangan kuat-kuat sangat encik, malu saya nanti.”
Aku renung wajahnya tajam.
“Bukan encik lagi. Zarif je.. tak pun abang Zarif, nak panggil abang sayang pun boleh...” aku tersenyum nakal.
Medina tersenyum manis, manis sekali!
“Baik abang Zarif...”
Yes! Aku bukan hero kedua lagi! aku bukan hero kedua!
-----------------------------------------------------
Aliesha Kirana : Tiada istilah hero kedua dalam hidup ini kerana setiap insan berhak mendapatkan cinta! ^___^
Suka? =)
best.. ^-^ bila nak sambung novel love u mr. arrogant??? rindu dah nak bace...
ReplyDeletebenar sekali..
ReplyDeletesemua orang berhak menyayangi dan disayangi.
cute arr cite nie.nak senyum je..hehe
ReplyDeleteHAHAH...best2...UNIE
ReplyDeletemengharapkan cerita saya berakhir seperti cerita dalam cerpen ni,big smile 4 this 1.
ReplyDeletesmileeeeeeee...sweet..haha ^^
ReplyDeletewalaupun cara zarif lamar agak clumsy, tapi zarif tetap sweet bila melamar medina ! aww, sweeeeeetnyaaaa :)
ReplyDeleteBest klau jdi medina..disayangi n menyayangi..tpi pepun sy ttap dri sy bkn org lain..
ReplyDelete