Suasana malam itu hening sekali, bukanlah sunyi secara harfiahnya, namun kehadiran Iman di sisiku membuatkan aku merasa seluruh alam menjadi sepi. Cuma sesekali terdengar bunyi deruman kenderaan yang memekakkan gegendang telinga.
“Ila...” Iman memecah sepi antara kami, aku bingkas menoleh ke arahnya.
“Ada apa?” tombol pintu keretaku sudah kupegang, hanya menunggu masa untuk kubuka.
“Awak dah nak balik ke?”
Soalannya itu buatkan aku terkedu. Apa lagi yang Iman mahukan dariku, sampai bila dia mahu menyiksa hatiku ini?
“Ya Iman, kenapa?” tanyaku endah tak endah. Hatiku berharap untuk segera lari dari semua ini.
“Ila, sebenarnya saya...”
“Ila!” laungan itu segera mematikan kata-kata Iman. Kami serentak menoleh ke arah suara yang memanggilku.
Salima melambai-lambai ke arahku, di sisinya kelihatan seorang lelaki hampir sebaya dengannya dan tiga orang anak kecil dalam lingkungan tiga hingga tujuh tahun, mungkin suami dan anak-anaknya. Aku tergamam.
Saat wanita lingkungan awal tiga puluhan itu menghampiri kami, aku menjadi tidak betah. Tidak pasti apa yang harus kubuat, dan apa yang harus kukatakan. Aku pandang Iman sekilas, dia hanya tersenyum memandang Salima dan kemudiannya beralih memandangku seraya tersenyum lagi. Tidak risaukah dia melihat Salima? Oh pasti dia tidak risau, tapi aku yang risau, ibarat pesalah menunggu hukuman. Apa katanya nanti bila dia melihat aku bersama Iman? pasti dia menyangka yang bukan-bukan sedangkan aku bermatian menegaskan padanya yang Iman tidak punya sebarang perasaan padaku, aku juga tidak punya hubungan dengannya, alih-alih dia menangkap aku bersama-sama Iman malam ini. Apa lagi alasan yang mampu kuberi?
“Ila! Tak sangka jumpa Ila kat sini kan?” Salima kelihatan sungguh gembira sambil tangannya menepuk bahuku. Aku hanya mampu tersenyum tawar.
“Doktor, tak sangka jumpa kat sini kan?” Salima ramah menegur Iman pula sambil matanya menjeling ke arahku.
“A ah kak, tak sangka...” Iman elok melayan Salima, walaupun matanya dikerling padaku. Aku gusar menanti soalan apa pula yang Salima bakal ajukan. Bertembung dengannya di sini pun sudah pasti menimbulkan pelbagai spekulasi dalam benaknya.
“Err, Ila dengan doktor Iman buat apa kat sini? Dating ek?” Salima cuba serkap jarang sambil senyuman dah hampir nak cecah telinga. Aku terlopong mendengar soalannya. Memang soalan maut.
“Eh tak adalah kak, saya yang ajak Ila keluar, nak tanya khabar, dah lama tak jumpa lepas dia keluar dari hospital. Saja nak tahu perkembangannya.” Iman bijak bermain kata-kata. Selamat aku. Perlahan aku menarik nafas lega.
“Oh bagusnya doktor, bertuah Ila dapat doktor macam ni...” Salima seakan memerliku, panas juga telingaku mendengarnya namun aku buat acuh tak acuh.
Iman tersenyum manis, menggosok belakang kepalanya, wajahnya mula merah.
“Kak nak pergi mana pulak malam-malam ni?” aku sengaja melarikan topik yang berkisar soal aku dan Iman kepada soal Salima pula. Sengaja aku buat-buat memberi perhatian supaya Salima tidak mampu untuk bertanya soalan lagi sebaliknya menjawab persoalanku.
Salima kelihatan mengerling ke arah keluarganya yang menanti di belakang dalam jarak lima meter dari kami, mungkin memberi ruang untuk Salima berbicara denganku dan Iman.
“Tadi akak keluar makan lepas tu akak ingat nak pergi I-City pulak kejap lagi. Teringin nak tengok lampu-lampu yang cantik tu. Asyik tengok gambar kawan-kawan kat Facebook aja, teringin jugak akak tengok sendiri, cantik sangat ke.”
Iman tergelak kecil mendengar omelan Salima. Aku hampir tersenyum melihat Iman ceria begitu.
“Ila, marilah join akak sekali, alang-alang dah jumpa kat sini,” tiba-tiba saja Salima memberikan cadangan. Aku terdiam, cuba memikirkan ajakan itu.
“Doktor, jomlah...” ajak Salima pada Iman pula.
“Why not?” Iman dengan pantas menerima ajakan itu, aku tercengang memandangnya, tidak percaya dia mampu bersetuju secepat itu.
“Tapi dengan syarat Ila kena ikut lah.” Kata-kata itu buat aku terjerat, sengaja mengumpan aku untuk turut menyertainya.
“Ila marilah, ajak doktor sekali,” ajakan Salima yang bersungguh itu membuatkan aku mengalah, perlahan aku mengangguk.
Kereta kami masing-masing menderu di jalan raya. Dalam keterpaksaan, aku mengekori saja kereta Waja milik keluarga Salima dan Mitsubishi Lancer putih milik Iman dengan kereta Gen2 ku. Dalam hati ada juga berbolak-balik mahu memusingkan arah kereta ke arah jalan rumahku, namun memandangkan sudah bersetuju dengan Salima, kugagahi jua untuk mengikut.
Kalau keluarga Salima saja yang ada, aku tidak kisah sangat, tapi kehadiran Iman yang membuatkan aku tidak tentu arah. Tadi cepat-cepat aku mahu pergi darinya, tapi kehadiran Salima seolah sengaja mahu melambatkan aku dari mengucapkan selamat tinggal pada Iman malam itu.
Usai parkir di tempat letak kereta, aku berjalan ke arah Salima yang sudah teruja berjalan dengan pantas bersama ahli keluarganya.
“Ila tunggu!” suara itu membuatkan aku teringat yang Iman masih bersamaku.
Iman terkocoh-kocoh mendapatkanku lantas ikut jalan beriringan denganku di belakang keluarga Salima. Rasa pelik pula mengikut keluarga orang ke taman ini, namun memandangkan aku dan Salima sudah ibarat adik dan kakak, kugagahi juga membuang rasa segan yang bersarang dalam diri. Iman pula, entahlah, dia seolah lansung tidak merasa segan, biarpun dia tidak begitu mengenali Salima sekeluarga, tapi dia lebih nampak kurang malu dari aku yang telah lama mengenali Salima.
Anak-anak Salima kelihatan riang melihat pelbagai patung dan pokok yang dihias indah dengan lampu berwarna-warni. Ada saja patung yang ingin dipegang anak-anaknya. Aku cuma ikut memerhati namun kekaguman tetap ada saat melihat keindahan lampu-lampu yang berkilauan. Sesekali mataku tertancap lama pada pokok yang berwarna-warni itu, cuba meneliti struktur rekaan dan susun letak lampu-lampu itu, sekadar ingin tahu.
“Cantik kan?” Iman memecah hening yang kubina sejak tadi, sengaja aku buat tidak sedar akan kewujudannya supaya hatiku tidak segundah biasa, namun Iman tidak pernah kenal erti putus asa untuk berbicara denganku.
Aku memandangnya yang ikut membongkok sepertiku, merenung sebuah patung rusa yang berwarna-warni. Cepat-cepat aku berdiri seperti biasa.
“A ah, cantik.”
“Awak tak pernah datang sini lagi?”
“Tak pernah.”
“Awak memang patut datang ke tempat yang tenang dan indah macam ni, barulah awak tak senang jatuh sakit.”
Mataku membulat memandangnya. Macam perli saja.
“Awak kena banyak berehat, jangan selalu stress-stress,” dia masih menyambung.
“Ya baik doktor, saya faham,” aku sengaja menekankan perkataan doktor itu, supaya dia sedar kata-katanya itu ibarat seorang doktor kepada pesakitnya.
“Opps, maaf, saya dah melebih pulak. Tapi memang betul pun apa yang saya cakap ni Ila. Saya risau tengok awak, muka pucat,nampak letih dan cepat jatuh sakit.”
Risau? Kenapa pulak dia perlu risau?
“Saya boleh jaga diri saya Iman. awak janganlah risau ya.” aku segera melangkah ke arah lain pula, mahu menjarakkan diri dari Iman, namun Iman tetap mengekoriku, lansung tidak mahu berenggang.
Salima yang asyik melayan anak-anaknya mengalih pandangan padaku yang kelihatan resah di sebelah Iman yang asyik menyendeng. Senyuman penuh makna dileret buatku. Pasti ada telahan yang kurang enak sedang bermain dalam mindanya. Ah, bagaimana harus kuusir telahan-telahan nakal Salima andai Iman ibarat belangkas denganku.
“Awak, jauh la sikit, saya rimas la, tak suka,” aku memberanikan diri bersuara.
Iman angkat kening memandangku.
“Tak suka? Tapi saya suka...” Iman terus ketawa mengekek. Panas hatiku dibuatnya.
“Ok, ok meh kita tangkap gambar. Nanti boleh letak kat Facebook,” Salima sudah memegang kamera digital di tangannya. Aku cepat-cepat ke tepi, memberi ruang buat keluarga itu dan pada masa yang sama, berharap supaya Salima tidak memaksaku untuk bergambar.
“Ok Ila, Iman, masuk la, akak nak tangkap gambar ni,” arahan Salima bagaikan membunuh harapanku untuk lari dari sesi fotografi tidak rasmi itu.
Iman pantas saja masuk ke depan sambil menarik lenganku menghampirinya, membuatkan aku berada di dalam lensa kamera Salima. Aku pandang wajah Iman dengan geram, sudah berkali aku tegaskan dari tingkah lakuku yang aku tidak suka dipegang, dia masih juga tak mahu faham.
Iman pandang wajahku yang geram, tidak faham dengan isyarat mataku.
“Opps sori, saya tak sengaja,” Iman tersedar lantas mengangkat kedua belah tangannya, tanda bersalah. Aku mengeluh perlahan.
“Ok duduk rapat sikit, kang gambar tak cantik...” Salima bersuara lagi, memberi arahan seperti seorang jurugambar professional yang sedang mengambil gambar pasangan pengantin untuk disemadikan dalam album gambar. Anak-anak dan suaminya sudah hilang dibelakang, sebaik aku dan Iman berada di depan lensa, laju saja anak beranak itu angkat kaki, tidak mahu menganggu sesi fotografi antara aku dan Iman agaknya. Memberi peluang yang tidak kuingini.
“Rapat Ila, rapat...” kata-kata Salima membuatkan aku terkenang zaman itu.
-----------------------------------------------------------
“Rapat Ila, rapat... jangan malu-malu,” Hadi, budak kelasku itu ketawa mengekek. Iman yang sudah berada di sisiku asyik berposing, buat gaya peace di sebelahku yang sedang menjaga booth kelab masakan.
Demi mengenangkan orang ramai yang sedang memerhati, kugagahi juga untuk buat-buat biasa, padahal hatiku bagai nak gugur. Walaupun Iman suka mengusik, hatiku tetap jatuh hati padanya. Walaupun dia datang ke booth itu untuk mengacauku, aku tetap rasa gembira yang teramat. Cuma aku malu diperlakukan sebegitu di depan orang ramai.
“Ila, angkat la sudip tu tinggi sikit,” Hadi masih lagi memberi arahan, memang sengaja cari pasal. Aku tahulah aku berpakaian lagak chef dengan topi tinggi, tapi itu memang pakaian yang wajib kupakai di booth itu sebagai wakil kelab masakan.
Iman selamba tersengih di sebelah, tak sabar agaknya nak bergambar denganku, lantas nanti dijajanya gambar itu serata kampus. Seronok agaknya melihat perempuan gemuk dalam kelab masakan itu. Iyalah, makanan dan orang gemuk kan ibarat irama dan lagu, tak boleh dipisahkan. Ini mesti kes nak perli aku.
“Dahlah, pergi la main jauh-jauh,” aku berbisik pada Iman di sebelahku yang asyik membelek makanan di boothku saat usai sesi bergambar.
“Ala, nak kacau buah hati aja, takkan marah kot.”
Srappp! Darah rasa menyirap ke kepala, aku tahu dia cuma bercanda, tapi usikannya itu kadang-kadang membuatkan aku rasa terawang-awang, rasa macam diberikan harapan.
“Ila!” aku tersentak saat Iman memetik jarinya di hadapan mataku. Terus aku kembali menjejak tanah di I-City ini, menghapus semua kenangan di depan layar mataku. Aku pandang hadapan, Iman sudah berdiri tegak, aku pandang pula kiri dan kanan, Salima dan keluarganya sedang bergambar di kawasan lain pula.
“Awak ni banyak mengelamun kan?” Iman tersenyum simpul. ‘Aku mengelamun tentang kita dulu, Iman...’ mahu saja aku berkata begitu, namun akal yang waras masih mampu menahanku dari membocorkan rahsia yang kupendam selama ini.
Wajah Iman kupandang seketika, dia masih tetap Iman yang dulu, yang kukenal lapan tahun dulu. Tak ada perbezaan yang ketara hingga pantas aku dapat mengecamnya saat di hospital dulu walaupun baru pertama kali berjumpa selepas lapan tahun. Tapi kenapa dia sukar mengecamku, mengenaliku sebagai Ila yang dulu, yang sering diusiknya? Bagus juga begitu, jika tidak, aku sendiri malu untuk berhadapan dengannya. Benarlah kata orang, ada hikmah disebalik segala sesuatu.
“Ila...” dahi Iman berkerut, menanti jawapanku.
“Err, tak ada apalah Iman. Saya tak mengelamunlah,” aku pantas mengalih pandangan, risau Iman sedar aku sedang memerhatikan wajahnya. Kelibat Salima segera kuhampiri.
“Kak...” aku bersuara memanggilnya hingga dia segera beralih menghadapku.
“Ila dah nak balik ni, dah lewat. Terima kasih sebab ajak Ila ke sini ya kak, Ila seronok sangat,” aku menggenggam tangan Salima erat.
Salima menepuk-nepuk tanganku. “Akak yang patut ucap terima kasih sebab sudi terima perlawaan akak yang tiba-tiba ni.”
“Perkara kecik je kak, saya pun tak pernah datang sini lagi. Teringin memang teringin, cuma tak berkesempatan dan tak ada teman...”
“Tu kan ada...” Salima memuncungkan bibirnya, menunjuk ke arah Iman yang sedang melayan karenah anak Salima yang kecil.
Aku tergamam saat melihat arah yang ditunjukkan Salima.
“Akak ni!” aku hampir menjerit.
“Tapi betul Ila, dia macam serius je nak rapat dengan kamu, bukan main mesra lagi kamu berdua ni.”
“Ish mana adalah kak, ada urusan saya jumpa dia tadi. Tak ada kaitan dengan perasaan pun.”
“Yelah kalau kamu cakap macam tu. Tapi dari pandangan mata akak ni, akak tahu perasaan dia macam mana.”
“Ah merepeklah akak ni...”
“Nampak sangat dia sukakan kamu Ila, baik kamu jaga-jaga...”
Aku tergamam mendengar nasihat Salima, macam tak percaya saja.
“Jaga-jaga dari apa kak?” aku ingin tahu.
Salima membengkok sedikit, ingin dekat dengan diriku seraya berbisik.
“Jaga-jaga dari jatuh cinta!” dia ketawa kecil.
“Akak!” aku cuba untuk tidak ambil pusing dengan kata-katanya walaupun realitinya aku sudah terlebih dahulu jatuh cinta pada Iman, sejak lapan tahun dulu lagi.
Wajah Iman aku pandang dari jauh. Mustahil Iman suka padaku, aku sedar aku tidak layak untuknya jika dibanding dengan Ida yang jauh lebih rupawan dan setaraf dengannya.
“Kak, Ila nak minta tolong satu perkara...” wajah Salima kurenung dengan tajam.
“Tolong apa?”
“Tolong jangan beritahu sesiapa terutama sekali Safwan tentang akak terserempak dengan Ila dan Iman malam ni ya! rahsia tau!”
Salima menganggguk pantas.
“InsyaAllah, akak pun tak sanggup nak bagitau Safwan tu. Tahu jelah kamu perangai dia, cemburu kuat betul, belum apa-apa pun dah melebih. Geram jugak akak kadang-kadang dengan perangai dia tu. Protect kamu over sangat.”
Aku tertawa mendengar bebelan Salima tapi memang benar kata-katanya, kalau Safwan tahu mesti dia mengamuk macam singa betina. Gerun pulak rasanya ada orang yang terlalu obses ni, tapi aku sedar Safwan begitu kerana dia cintakan aku. Tapi aku? Entahlah, masih belum mampu menyintainya. Cinta bukanlah senang bertukar milik, hati bukannya senang diisi dengan pengganti, apatah lagi insan yang kucintai muncul kembali, ahh bingung!
Suka? =)
baru nak pi icity xmas nanti.. nama nya org shah alam x pnah pi lagi.. dgr citer bayaran masuk dah naik..
ReplyDeletememang pon..
Deletestat pkul 6 ptg smpai mlm harga sekali masuk rm10..
kalau sebelum rm1 je..
so kalau nk pegi, dtg sblm kul 6 then lepak la sampai mlm kat situ..
sye selalu buat mcm tu... hehehehe
nice story..blog anda telah dfollow..harap sudi follow blog saya gak
ReplyDeleteyelaaa now da kne bayar..mase saye pegi mule2 dulu xde bayaran..maybe sbb xsiap lagi kot taman tuh...tp, mmg ramai gler org kt sne...nk snap pic pon sush sket..coz ramai sgt yg dok lalu lalang..ape2 pon mmg very da colorful kt taman tuh...
ReplyDeletemmmm, gambaran AK bout i-city tu..ok je..mmg byk patung2 n pkok2 kak ctu..ade rama2, burungla...rabbit.n so colorful kt ctu..