~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Wednesday, March 4, 2015

Novel : Miss You Mr. Arrogant Bab 2


ZAARA merenung jam dinding di dalam biliknya itu, sudah menghampiri jam lima petang. Telekung yang tersarung ditubuhnya saat itu, pantas dibuka dan disimpan di tepi katil setelah selesai dia menunaikan solat Asar. Tubuhnya dihempas perlahan ke atas katil, matanya terasa terlalu berat setelah seharian menguruskan rumah.
Wajah Iman yang sedang nyenyak tidur, diusap perlahan dan dikucup lembut, tidak mahu mengejutkan anak kecil itu. Pejam celik pejam celik, sudah lebih lima tahun perkahwinannya dengan Irham dan sudah empat tahun Allah kurniakan anak kecil itu pada mereka. Zaara rasa begitu bersyukur kerana dia punya sebuah keluarga yang lengkap walau pelbagai dugaan melanda sebelum ini.
Siapa sangka perkahwinan tanpa cinta dan kerana terpaksa boleh memberikannya sebegitu banyak bahagia yang tidak pernah dia impikan selama ini? Ya, walaupun Irham masih seperti Irham yang dikenalinya lima tahun lalu, masih berlagak, masih tak nak kalah, masih sedingin ais, masih mengekalkan trademark ‘Mr. Arrogant’nya, namun Zaara tahu Irham sayangkan dia.
Kalau tak sayang, tak adalah Irham pernah cuba membuang perangai arrogantnya itu, tapi Zaara sendiri yang meminta dia berhenti kerana nampak palsu sangat. Sungguh Zaara sudah tidak kisah, dia sudah terbiasa dengan Irham yang ini jadi dia tidak perlukan Irham yang sebegitu. Irham yang sekarang sudah cukup sempurna bagi seorang Zaara.

IRHAM menjenguk sebelum melangkah perlahan, memasuki ruang kamar tidurnya itu, tidak mahu mengejutkan dua insan kesayangannya yang sedang lena tidur. Jam di tangannya dikerling, sudah menghampiri jam enam setengah petang.
Dia pantas menghampiri Iman sebelum mengucup pipi anak kecil itu. Wajah Zaara yang terlena dipandang seketika kemudian, jelas terpancar keletihan pada wajah isterinya itu. Irham mencempung Iman dengan berhati-hati sebelum dibawa ke katil kanak-kanak yang tersedia di sebelah katil bersaiz king itu, meletakkan anaknya dengan berhati-hati sebelum dia kembali ke katil.
Irham melonggarkan ikatan tali lehernya sebelum melabuhkan punggungnya di atas katil itu, mengengsot mendekati Zaara sebelum baring di sebelahnya, mengiring menghadap wajah mulus isterinya itu. Wajahnya didekatkan dengan wajah Zaara hingga desahan lembut isterinya itu bisa didengar dengan jelas. Tangannya didepang, mendakap Zaara sebelum matanya turut dipejam. Terasa semua keletihan dunia hilang begitu saja saat kehangatan tubuh Zaara meresapi dirinya.

ZAARA terjaga ketika dia merasakan bahunya kian memberat, dihempap sesuatu. Matanya dibuka sebelum dia terpana melihat Irham sedang berbaring di sebelah dengan satu tangan mendakap dirinya. Tangan Irham dialih dengan berhati-hati sebelum dia perlahan bangun duduk, meraup wajahnya dan mengikat kembali rambutnya yang sudah kusut. Jam pada dinding dipandang seketika kemudian, matanya membulat.
“Awak! Bangun awak!!!” Zaara memanggil Irham sekuat hati, buatkan Irham yang baru saja terlelap, bangun terkulat-kulat.
“Ada apa ni?” matanya digosok perlahan. Kantuknya masih belum hilang.
“Dah pukul tujuh, awak! Cepatlah bangun solat Subuh. Dah lambat ni, karang lambat awak pergi kerja pulak. Saya pun belum solat lagi ni, Astaghfirullah hal azim! Macam mana boleh terlajak tidur ni.” Zaara kelam-kabut menerangkan sambil pantas turun dari katil.
Belum sempat Zaara membawa langkah ke bilik air, Irham memegang tangan Zaara erat, menghalangnya dari melangkah.
“Ish kenapa ni awak? Dah lambat dah ni.” Zaara kegelisahan. Irham menjeling tajam.
“Sekarang pukul berapa?”
Zaara memandang jam di dinding semula, memastikan yang dia tidak tersilap melihat.
“Betullah dah pukul tujuh.” Zaara yakin.
“Memanglah. Tapi pagi ke petang?” Irham menyoal lagi. Zaara menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
Irham bingkas bangun dari katil tanpa menunggu Zaara membalas. Tuala yang tersidai di penyangkut segera diambil sebelum dia memandang Zaara semula.
“Lain kali jangan tidur lepas Asar, kan dah jadi gila.” Irham mencuit hidung Zaara sebelum membawa langkahnya ke dalam bilik air.
Zaara terpinga-pinga. Jam pada telefon bimbitnya pula dikerling. Subhanallah, tujuh petang rupanya! Zaara mengetuk dahinya sendiri.

“KEPALA dah ok?” Irham menyoal saat mereka usai bersolat Maghrib berjemaah malam itu. Zaara menarik muncung, tidak suka diusik Irham sebegitu.
“Kalau tak ok lagi, saya nak hantar hospital sakit jiwa, boleh kawan dengan Faisal.” Irham ketawa mengekek.
“Awak! Tak baik tau cakap macam tu,” Zaara geram. Kenapa soal Faisal pula yang diungkit, dia tak bersalah pun dalam soal ini.
Irham ketawa mengekek, terasa lucu sekali saat mengingati kejadian tadi. Macam manalah tujuh petang boleh disangka tujuh pagi? Ini benar-benar lawak! Muncung Zaara kian panjang saat mendengar bunyi tawa Irham yang tidak surut dari tadi. Hatinya benar-benar rasa sebal.
“Saya gurau ajelah.” Irham bersuara tidak lama kemudian, setelah tawanya hilang, enggan memanjangkan lagi usikannya. Dia bangun melipat sejadahnya sebelum memandang Zaara semula.
“Ok, saya minta maaf. Tak payahlah nak muncung macam tu sekali, saya sangkut sejadah dekat bibir awak tu baru tahu.”
Zaara mendengus geram sebelum ikut bangun membuka telekung yang tersarung di kepalanya. Langsung tidak membalas kata-kata Irham. Bukan boleh dilayan usikan suaminya itu, karang makin galak dia mengusik.
“Jom, teman saya makan.” Irham menggenggam tangan Zaara erat sebaik isterinya itu selesai menyangkut telekung dan sejadahnya, ingin menariknya keluar bilik dan cuba memujuk isterinya yang masih mencuka.
“Makanlah sorang-sorang.” Zaara langsung tidak memandang ke arah Irham.
“Janganlah macam tu. Tak kesian dekat saya ke? Dari tadi saya tak makan apa-apa tau.” Irham cuba memancing dengan ayat meminta simpati. Perutnya ditekan tanda dia kelaparan. Zaara cuma diam memerhati, tidak memberi sebarang reaksi.
“Jomlah!” Irham tersengih lalu menarik tangan Zaara membuatkan Zaara tidak punya pilihan lagi. Irham tahu panas di hati Zaara sudah surut sebaik melihat wajah cemberut isterinya itu sudah kembali normal walau senyuman belum bisa terukir.
“Awak ni jahat kan!” Zaara bersuara seketika kemudian sebelum bahu Irham ditampar sepantas kilat. Dia kemudiannya membawa langkah untuk turun ke dapur, ingin memanaskan semula lauk-pauk yang dimasaknya hari ini, meninggalkan Irham terpinga-pinga, menggosok bahunya yang pedih.

“IMAN buat apa dekat rumah hari ni?” Irham sibuk melayan anak kecilnya itu di hadapan televisyen. Zaara sibuk di dapur, mengemas selepas selesai mereka makan malam tadi.
“Main game.” Iman mendongak memandang bapanya yang sedang meribanya saat itu.
Game apa?”
Game lari-lari dekat keretapi. Game penyek semut. Game Pou.” Petah anak kecil itu menerangkan, membuatkan bibir Irham automatik mengukir senyum.
“Iman main game je hari ni?” Irham mengucup ubun-ubun Iman sebelum mengusap lembut rambutnya. Iman menggeleng.
“Mama bawak pergi supermarket. Beli ikan.” Mulut itu masih laju berceloteh dalam pelatnya yang pekat. Irham mengangguk sebelum berpaling mencari kelibat Zaara yang masih tidak kelihatan. Dari jauh Irham dapat melihat Zaara sedang asyik membasuh pinggan-mangkuk. Hatinya jadi jatuh kasihan melihat isterinya itu masih sibuk di dapur saat itu, satu keluhan keluar dari bibirnya. Anak kecilnya itu dibiarkan menonton sendirian sementara dia melangkah masuk ke dapur, menghampiri Zaara.
“Sudahlah, sambung esok pulak.” Irham bersuara di tepi telinga Zaara.
“Oit mak terkejut!” Zaara melatah membuatkan dia terhempas pinggan ke dalam sinki. Dia berpaling melihat Irham dengan wajah geram.
“Ish awak ni!!! Tak terkejutkan saya tak sah ke?” hatinya sebal, mujur pinggan itu tidak pecah. Pinggan itu dikutip semula sebelum dibilas kembali.
“Macam tu pun nak terkejut. Teruk sangat latah awak ni. Dah macam Mak Enon saya tengok.”
“Mana ada!”
“Hah! Tengok. Muka pun dah sama.”
“Ish awak!” Zaara geram, lengan Irham dicubit buatkan Irham mengaduh.
“Sakitlah! Tangan macam ketam!”
“Siapa suruh cakap macam tu?”
“Itu pun nak marah, betul apa saya cakap.”
“Eiii geramnya. Dah pergi la depan, yang kacau saya dekat dapur ni kenapa?”
Irham diam. Air paip yang masih laju mengalir segera ditutupnya.
“Dah pergi tidurkan Iman lepas tu tidur. Sambung esok je kerja ni semua.”
“Eh mana boleh tinggal kerja sekerat jalan macam ni. Tak baiklah awak. Kejap la, lagi sikit nak siap dah.” Zaara ingin membuka paip air semula namun segera dihalang Irham.
“Saya cakap tak payah, tak payahlah. Dah, pergi tidurkan Iman.”
Zaara mengeluh. Memang tak mampu dia nak lawan arahan tuan besar dia yang seorang ni.
“Yelah. Saya pergilah ni.” Zaara ingin melangkah sebelum dia teringatkan sesuatu. Langkahnya mati kembali. Wajah Irham dipandang semula.
“Eh awak, minggu ni saya nak balik kampung ya. Dah lama tak jenguk ibu dengan ayah. Awak ikut sekali ya.”
“Tak boleh. Sibuk.” Pendek Irham membalas membuatkan Zaara mencebik.
“Alah ambillah cuti.”
“Kan saya dah cakap tak boleh. Banyak kerja dekat office tu, tak faham ke?” jawapan Irham itu membuatkan bibir Zaara menarik muncung panjang.
“Yelah. Saya dengan Iman balik sendiri, awak pergilah kerja tu.”
“Esok saya hantar awak balik kampung. Nanti hari Ahad saya datang ambil.” Irham menerangkan rancangannya pada Zaara. Zaara buat tidak dengar sahaja, dia segera melangkah keluar dari dapur dengan wajah mencuka. Irham tersenyum sendiri sebelum matanya jatuh pada pinggan mangkuk di dalam sinki. Lengan baju melayu yang dipakainya disingsing sebelum dia kembali membuka paip air, menghabiskan baki pinggan mangkuk yang masih belum dibilas di dalam sinki itu.

“KAMU tak tidur sini ke Irham?” Haji Zaidi menyoal saat Irham bersalaman dengannya ketika dia meminta diri untuk pulang petang itu, usai menghantar Zaara dan Iman ke kampung.
“Orang tu sibuk kerja, ayah. Mana ada masa.” Zaara memerli dari belakang.
‘Ish bukannya nak cover aku!’ Irham membeliakkan matanya memandang Zaara dengan rasa tidak puas hati.
“Janganlah kerja teruk sangat sampai tak ada masa untuk berehat, Irham. Sekali sekala tidurlah sini, rehatkan fikiran.”
“Hari ni memang tak boleh, ayah. InsyaAllah nanti Irham datang balik.” Irham memaniskan mukanya, enggan membuatkan bapa mertuanya itu terasa.
“Yelah. Ayah faham, jaga diri kamu.” Haji Zaidi menepuk bahu menantunya itu, cuba mengurangkan rasa bersalah di hati Irham.
“Saya balik dulu.” Irham menghulur tangan pula pada Zaara. Zaara sambut tangan Irham tanpa memandang wajah suaminya itu. Hatinya masih terasa pada Irham namun dia tidak mahu menjadi isteri yang nusyuz dengan tidak melayan Irham.
“Bawa kereta elok-elok.” Datar dia bersuara dan dibalas dengan anggukan Irham.

“Awak pun jaga diri.” Irham sempat berpesan sambil mengusap kepala Zaara sebelum bingkas memasuki perut keretanya.

Suka? =)

4 comments:

  1. Sambungannya mana? ? Bahasa. Bersahaja.. Ngam sangat I like it. Tak perlu pening degan naratif

    ReplyDelete
  2. Suke sangat laa.. cik aliesha.. saye org indonesia.. macam mane nak beli novel LYMA & MYMA ni?? Tulong balas ye cik

    ReplyDelete
    Replies
    1. Boleh emel ke karyaseni ya. Mereka bisa pos ke indonesia 😊

      Delete
    2. Boleh emel ke karyaseni ya. Mereka bisa pos ke indonesia 😊

      Delete

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!