~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Adakah anda ingin memiliki novel Kalimah Cinta dan koleksi cerpen Aliesha Kirana versi bercetak?

Friday, June 8, 2012

Novel : Cinta Bersaiz XXL! Bab 9


Sudah seminggu berlalu sejak aku bergelar isteri kepada Hadif. Tidak ada apa yang menarik sangat untuk aku ceritakan. Aku masih menumpang di rumah mertuaku, hari-hari berdepan dengan kesibukan melayan ahli keluarga Hadif, membuatkan aku tidak sempat untuk mengenali Hadif dengan lebih dekat. Oh tidak mengapalah, aku ada seumur hidup untuk mengenali dia, dan mungkin juga sampai ke syurga nanti. InsyaAllah!
Hari ini aku mula bekerja selepas seminggu bercuti, pasti banyak kerjaku yang sudah bertimbun, mujur sebelum bercuti, aku sudah selesaikan kebanyakan kerjaku dan menyerahkan tugasku untuk mengajar kelas-kelasku pada guru pengganti.
“Hah, pengantin baru!” Haiza yang menegurku tiba-tiba, hampir saja membuatkan jantungku terhenti. Kus semangat!
“Kau ni Haiza! Nasib baik aku tak kena serangan jantung tadi!” Haiza tersengih.
“Alah, nanti lama-lama kau dapat jugak penyakit tu, campur dengan penyakit tiga serangkai lagi. haha!”
Aku gumam. Pipi Haiza yang tidak seberisi pipi aku ni, aku cubit kuat-kuat. Geram sangat! Suka hati aja dia doakan aku dapat penyakit-penyakit tu, tak sayang mulut betul!
“Adoi! Sakitlah wei! Lepas kahwin, makin garang kau ni eh!”
Aku menjeling saja pada dia. Rasa geram masih belum surut. Tanganku pantas menyusun barang di atas meja, bersedia untuk masuk ke kelas selepas ini. Makin dilayan Haiza ini, makin sakit hati aku ni.
“Ala, tunggulah kejap DD. Janganlah marah, duduklah dulu sembang-sembang. Kan kelas kau start pukul sembilan, sekarang baru lapan empat puluh. Takkan kau nak termenung depan bilik darjah tu kot, tunggu cikgu lain keluar.”
Aku terduduk semula. Malas hendak melayan Haiza, tapi benar juga katanya. Kalau aku keluar awal pun, bukan boleh ke mana. Tak kuasa aku nak meronda satu kawasan sekolah yang tiap-tiap hari aku dok tawaf ni. Bosan!
“Hah! Ada apa lagi?” aku menjeling tajam, bagaikan memberi isyarat supaya Haiza tidak lagi bermulut celupar padaku. Kang aku dah tak tahan, aku cilikan jugak mulut ibu mengandung ni. Haha.
Haiza tersengih sambil angkat-angkat kening.
“Apa?” aku langsung tak mengerti isyaratnya itu.
“Ehem.” Haiza membetulkan suaranya sebelum kembali memandang aku.
“Macam mana?” dia angkat kening semula. Haih! Ini masalah ni, bila tanya soalan sekerat-sekerat ni, dia tak sedar ke aku ni cikgu Bahasa Melayu, kalau dia pelajar aku, dah lama aku suruh berdiri dekat luar, sebab ayat tak lengkap.
“Apa yang macam mana?” aku menyoal kembali, acuh tak acuh sambil meneguk air mineral di dalam botol minumanku. Selalunya aku memang banyak minum air kosong tapi entah kenapa, badan tak turun jugak. Haha.
How’s your marriage life?” Amboi sekali dia bedal soalan Bahasa Inggeris daa. Aku pandang wajah Haiza yang masih tersengih, bahuku kujongket tidak lama kemudian.
“Aik, takkan tak ada cerita kot? Dapat suami sikit punya kacak, takkan tak ada berita langsung untuk dikongsi?”
Aku gelak kecil.
“Haiza, dia kacak ke, tak kacak ke, sama sajalah bagi aku. Janji dia layan aku baik. Sudahlah.”
“Ya itu aku faham, tapi yang aku nak tahu, macam mana hidup kau sekarang? Dia layan kau baik ke?”
Aku angguk perlahan.
“Baik je.” Nada suaraku mendatar, membuatkan Haiza mengerut dahi.
“Bunyi macam tak baik je?” Haiza serkap jarang. Aku senyum padanya, cuba membuang segala telahan dalam mindanya saat itu.
“Baik ajelah. Kau jangan fikir bukan-bukan pulak. Malah, layanan dia tu lagi baik dari apa yang aku harapkan pun. Dia... dia terlampau baik.”
“Habis, kenapa kau macam tak happy?”
Aku mengeluh kecil. Pandanganku kulempar ke luar tingkap, gelanggang bola keranjang di depan, lengang saja.
“Dia terlalu baik la Haiza, sampai aku rasa... macam pelik. Pelik sangat, aku tak tahu dia ikhlas atau tak sekarang ni.”
“Haish kau ni, takkanlah dia tu nak main-mainkan kau pulak. Hal-hal kahwin ni mana boleh buat main.”
Aku menongkat dagu. Benar juga kata Haiza, tapi entah kenapa, hati ini... Hati ni sukar sekali hendak meyakini keikhlasan Hadif. Ah susah...
“Dah lah DD, tak payah difikirkan sangat. Kau ni kalau berfikir, boleh pecah kepala tu dibuatnya. Suka fikir satu benda tu dalam-dalam. Last-last kau jugak yang sakit kepala, kan? Haih!”
Aku ketawa. Ya aku memang begitu.
Stop calling me, DD...” aku menghalakan jari telunjukku pada Haiza, sebelum bingkas bangun. Lagi lima minit kelasku dah nak bermula. Kang lambat, aku jugak tercungap nak panjat kelas 3 Zeta dekat tingkat atas sekali tu.
Haiza cuma ketawa saat aku berlalu keluar dari bilik guru itu. Sengal betul minah tu!

‘Abang tunggu Deeba dekat depan pagar sekolah ni.’ Mesej itu aku baca berkali-kali, tidak percaya. Betul ke ni? Pagi tadi aku datang ke sekolah dengan ibu mertua aku, sebab dia yang mengajak. Takkanlah, balik ni Hadif yang datang ambil? Ah malunya!
Ok-ok, aku bukan malu bersuamikan Hadif. tapi aku yang malu sebab Hadif beristerikan aku. Ok faham tak? Ah abaikanlah.
Aku berjalan dengan dada yang berdebar-debar. Malunya nak jumpa Hadif, di saat para pelajar turut sama bergerak untuk pulang ke rumah masing-masing setelah tamat sesi persekolahan, petang itu.
“Kau balik dengan apa ni, Deeba?” Haiza yang turut berjalan beriringan dengan aku, pantas menyoal sebaik melihat aku turut sama menuju ke arah pagar sekolah, sepertinya. Haiza, seperti biasa, diambil suaminya kerana dia yang sudah sarat dan menunggu masa untuk bersalin itu, sudah tidak larat hendak membawa kereta sendiri.
“Err. Kereta la. Ada kat luar tu.” aku enggan berterus-terang.
“Eh siapa dengan laki aku tu? Fulamak, kacaknya!” Haiza yang bernada teruja, membuatkan aku pantas melihat ke depan. Hadif yang segak berkemeja dan seluar slack, sedang bersandar pada keretanya sambil berbual dengan suami Haiza, Ehsan. Aku dapat lihat beberapa orang pelajar perempuan sedang khusyuk memerhati suamiku sambil berbisik dan ketawa sesama mereka.
“Haiza, lain kali datang kenduri orang, datang awal-awal sikit. Jangan datang masa aku dengan suami aku dah pergi outdoor shooting dah masa tu.”
Haiza garu kepala, tidak mengerti.
“Apa maksud kau ni?”
Aku tergelak kecil seraya menggeleng. Hadif yang sudah menyedari kehadiran kami, pantas melemparkan senyuman.
“Abang.” Aku memanggil, perlahan saja, cukup sekadar didengar Hadif seorang.
“Deeba.” Dia senyum lagi, lalu pantas mengambil beg bimbitku dari tanganku. Aku yang tergamam, hanya membiarkan.
“Isteri saya.” Hadif memperkenalkan aku, pada Ehsan yang memang sedia aku kenali sejak dulu lagi.
“Eh, Deeba isteri awak rupanya. Maknanya saya ada pergilah kenduri awak masa tu.” Ehsan baru tersedar, Haiza yang berdiri di sisi suaminya, tercengang-cengang, masih tidak tahu hujung pangkal.
“Ada apa ni bang?” Haiza menyoal suaminya. Aku di belakang Hadif, terpaksa menahan diri dari ketawa, tak tahan betul tengok Haiza blur saat itu.
“Ini, suami Deeba. Yang kita tak sempat jumpa masa pergi kenduri dia orang tempoh hari tu. Awak la, lambat sangat siap.” Ehsan menjelaskan. Mulut Haiza terlopong, matanya membulat.
“Dah sedia nak balik?” Hadif menyoal, apabila aku lama mendiamkan diri, hanya memerhati telatah Haiza yang tergamam sedari tadi. Lucu benar aku tengok. Eh tak baik betul aku ni.
“Kejap bang.” Aku meminta. Haiza yang sedang menanti Ehsan meletakkan barang ke dalam bonet kereta, pantas aku hampiri.
“Kan aku dah cakap, lain kali datang kenduri orang awal-awal sikit.” Aku berbisik pada Haiza.
“Beb, suami kau ni, lagi kacak bila depan-depan la. Terpana aku tengok.”
“Amboi ayat.”
“Kalau macam nilah, ikhlas ke tak ikhlas, belakang kira DD, janji dia suami kau. Bangga kot, dapat suami sikit punya kacak, berbanding dengan diri kau tu.”
Lengan Haiza aku cubit, membuatkan Haiza mengaduh kecil.
“Padan muka!” Aku ketawa sebelum berlalu ke arah Hadif semula yang sudah membuka pintu untuk aku.
Aku membolos diri ke dalam kereta Toyota Vios putih milik Hadif itu dengan senyuman yang masih terukir di bibir, teringatkan reaksi Haiza saat melihat Hadif tadi. Bukan, aku bukannya bangga memiliki Hadif, cuma aku sedar dia itu kacak, pasti sesiapa yang melihatnya akan terkesima. Dan aku sebagai isterinya, bukanlah bangga dapat memiliki dia, sebaliknya aku berasa segan, sebab terasa sangat tidak layak untuk berada di sisinya.
“Jom pergi makan dulu, nak Deeba?” Hadif menyoal tanpa berkalih padaku. Aku pandang wajahnya yang khusyuk memandu. Wajahnya berseri disinari cahaya matahari yang memancar, buatkan aku terkesima lagi. Betulkah insan di sebelah aku ni, suami aku? Atau aku masih bermimpi?
“Deeba?” soalan Hadif itu membuatkan aku tersedar.
“Err, ikut abanglah, Deeba tak kisah.” Hadif jeling padaku seraya tersenyum. Seolah-olah dia sudah memikir dalam hatinya, ke mana arah tuju kami.

Kakiku seolah terlekat di atas jalan raya, tidak mampu bergerak setelah Hadif memarkir kereta, betul-betul di hadapan sebuah restoren. Restoren itu, tidaklah kelihatan mewah, tapi tampak selesa dan mesra pelanggan. Ada banyak tempat duduk tersedia, namun saat itu sudah ramai pengunjung yang mengisi meja-meja itu, mungkin ramai yang keluar rehat saat ini. Aku malu sebenarnya, hendak masuk berduaan bersama Hadif. Pasti mata-mata yang memerhati membuat andaian yang bukan-bukan, dan mengata betapa tidak padannya aku dan Hadif. Ah!
Hadif pandang wajahku, mungkin pelik kerana aku masih tidak bergerak.
“Jom.” Dia mengajak sebelum mencapai jemariku, dan digenggam erat. Jantung aku rasa macam berhenti berdegup, wajahku sudah merah padam menahan rasa segan. Apatah lagi bila banyak sekali mata yang memerhati kami, melihat Hadif menarikku masuk ke dalam restoren, lantas duduk di salah sebuah meja yang tersedia.
Mataku takut-takut memerhati sekeliling, terasa bagaikan ada bunyi bisikan yang mengatakan betapa tidak sesuainya aku dengan Hadif, di sebelah sana pula terasa seolah ada yang mengatakan yang aku tidak layak untuk dia. Ah! Gangguan ini sangat menyesakkan kepalaku.
“Deeba, Deeba ok ke?” Hadif menyoal sambil matanya merenung anak mataku.
Aku angguk perlahan, cuba membuang pemikiran yang entah apa-apa dalam benakku saat itu. Lama aku berjeda, sebelum aku terfikir untuk menyoal sesuatu pada Hadif.
“Abang...” aku beranikan diri untuk bersuara. Hadif yang baru saja mahu menyelak menu, mendongak memandangku kembali.
“Hmm...” matanya yang jernih, tajam memerhati.
“Err...” aku serba salah hendak menyoal. Nak ke tak nak? Ah soal sajalah!
“Ehm, abang tak segan ke, masuk dalam restoren ni dengan Deeba?”
Hadif mengangkat kening.
“Kenapa abang nak segan pulak?” Hadif menyoal aku kembali. Aduh! Tak faham pulak dia. Aku diam seketika, susah hendak menjelaskan.
“Iyelah, Deeba dengan abang kan... err... macam enggang dengan pipit, tak sepadan. Abang tak segan ke orang tengok abang dengan Deeba?”
“Astaghfirullah hal azim, Deeba!” Hadif beristighfar panjang, buatkan aku sendiri terkejut bila lihat dia terkejut sampai macam tu sekali.
“Deeba isteri abang, Deeba. Kenapa abang perlu segan pulak?” Aku diam. Tidak berani menjawab.
“Deeba, Deeba pandang abang sekarang.” Aku yang sudah tertunduk, memandang wajahnya semula.
“Abang tak kisah apa pandangan orang lain tentang kita, Deeba. Yang penting sekarang, Deeba isteri abang, dan abang bangga punya Deeba sebagai isteri. Ingat tu.” Hadif mengelus jemariku lembut. Air mataku rasa nak menitik, tapi aku tahan.
“Dah-dah, jangan fikir lagi. Jom makan, abang dah lapar ni.”  Hadif buat muka, sambil memegang perutnya, membuatkan aku ketawa kecil.
Ya Allah, benarkah ada insan sesempurna ini ya Allah? dan kenapakah aku yang terpilih untuk Kau hantarkan insan sebaik ini, ya Allah? Wajah Hadif aku tatap dengan rasa penuh syukur. Silalah berhambus jauh-jauh wahai rasa curiga!

Suka? =)

9 comments:

  1. gemuk ke... kurus ke... setiap org berhak mndapat bahagia....

    ReplyDelete
    Replies
    1. btol sya pon gmok

      Delete
    2. sya pon gmok jgk

      Delete
  2. wah,best2...rasa jatuh cinta kat hadif pulak.yang pasti, Irham tetap nombor satu tau...

    ReplyDelete
  3. pernah baca citer ni...hehe
    sukaaa :)

    ReplyDelete
  4. saya pun kategori debab jugak... dan ada masa mmg rasa rendah diri... selalu kene motivasikan diri sendiri!!!! kurus ke, gemuk ke, bahagia itu tetap milik kita...

    ReplyDelete
  5. Hi..salam AK...suka baca karya AK esp mamat muka selenga tu ketawa tak berhenti saya dibuatnya...nak mintak ajar sket bleh...cam ne nak wat blog kita ni tak leh nak copy sebab sy punya blog macam boleh jer...dah puas godek blog tu tak bleh buat pun. terima kasih...

    ReplyDelete
  6. sambungannya plssssss bestttt sgt

    ReplyDelete
  7. Assalamualaikum kak AK...
    best sangat jln crite nie...

    ReplyDelete

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!

Goodreads!

Aliesha Kirana's books on Goodreads
Love You Mr. Arrogant Love You Mr. Arrogant
reviews: 4
ratings: 15 (avg rating 3.80)

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!

Lintas Lansung dari Penulisan2u