~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Monday, August 23, 2010

Cerpen : ~Cintaku Milik Dia~


Irdina Alany menangis lagi untuk kesekian kalinya, hatinya terlalu perit tatkala memikirkan lelaki itu. Aizat, lelaki yang dicintainya itu dalam diam bermain kayu tiga di belakangnya. Irdina Alany sedar dia masih sayangkan lelaki itu walaupun dia sendiri membuat keputusan untuk mengundurkan diri dari hidup lelaki itu bulan lepas setelah mengetahui kecurangan Aizat.

Bagaimana untuk dia melupakan lelaki itu sedangkan mereka sekelas? Setiap hari bertemu, setiap hari jua hati Irdina Alany sakit melihat wajah itu. Sakit kerana terlalu cinta namun sakit jua kerana terlalu membencinya. Irdina Alany sedar, sukar untuk mengikis perasaan cinta itu biarpun dia cuba sedaya upaya. Apa yang mampu dilakukannya hanyalah berdoa dan bersabar setiap kali bertemu Aizat. Namun air mata Irdina Alany tumpah lagi saat terserempak dengan Aizat bersama kekasih barunya tadi, sendu di hatinya tak mampu diusir pergi. 

“Na, sabarlah Na, anggaplah ini ujian dari Allah,” Rayyani berusaha memujuk sahabatnya itu. Menyaksikan sendiri penderitaan Irdina Alany buatkan Rayyani mengerti kesakitan yang ditanggung sahabatnya itu. Irdina Alany tenggelam dalam sebaknya, bahu sahabatnya itu dirangkul erat, cuba melepaskan beban dalam hatinya.
“Na dah cuba Rai, tapi susah sangat, setiap kali Na nampak dia, hati Na terasa pedih sangat, jiwa Na rasa terlalu rindu padanya.”

“Rai faham Na, Rai tak paksa Na untuk lupakan dia, makin Na cuba lupakan, makin kuat perasaan tu datang kan? Cuma yang penting, Na cuba jangan fikirkan dia sangat. Selalu berdoa pada Allah supaya Na diberi kekuatan untuk lupuntukan dia dari ingatan Na, ok?”

Irdina Alany tersenyum dalam sendu yang bersisa, terasa sungguh terharu kerana biarpun hatinya sakit diperlakukan begitu namun Allah mengurniakannya sahabat-sahabat yang begitu memahami dan mampu mengubat duka laranya.

“Terima kasih Rai. Na akan selalu berdoa supaya Na diberikan kekuatan. Na tak mahu lagi menanggung sengsara dan menangis kerana pemuda yang tak menghargai Na.”

“Macam tu la, kalau Na mahu, ramai lagi lelaki kat luar sana yang seribu kali lebih baik dari Aizat tu.”
Irdina Alany merenung wajah Rayyani. Memang ada benarnya kata-kata sahabatnya itu, bahkan ada pemuda-pemuda lain yang sedang mengetuk pintu hati Irdina Alany saat itu, Syahri dan Rizuan beria benar mahu mendapatkan cinta Irdina Alany, namun untuk membuka pintu hatinya saat itu amat payah untuk Irdina Alany lakukan, apatah lagi untuk memilih antara dua pemuda itu. Biarlah masa yang menentukan segalanya, Irdina Alany pasrah atas segalanya.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Sudah seminggu berturut-turut Irdina Alany beristikharah, pada Allah saja tempatnya meminta setelah begitu buntu memikirkan Syahri dan Rizuan begitu mendambakan cintanya, Irdina Alany ingin sekali mengetahui pada siapa cintanya harus diberikan pada saat itu.

Selesai solat istikharah, Irdina Alany berdoa seperti kebiasaannya, memohon petunjuk dari Allah agar dipermudahkan urusannya untuk membuat pilihan. Syahri dan Rizuan, kedua-duanya bergitu baik pada Irdina Alany, punya kerjaya yang stabil dan hidup yang mewah, pasti Irdina Alany senang jika dapat bersama salah seorangnya. Namun entah mengapa hari itu, Irdina Alany merasakan jiwanya terlalu kosong, tiada pilihan yang mampu dilakukannya. Pandangannya terasa kabur, tiada seorang pun antara Syahri dan Rizuan yang mampu dipilih. Allah seakan tidak mengizinkan Irdina Alany untuk memilih antara keduanya. Irdina Alany redha andai itu takdirnya..

Hati Irdina Alany dipagut rasa pilu yang teramat, dalam diam dia merintih.

Cintaku milik Dia yang diatas, maka cintailah Tuhanmu sebelum datang padaku... Datanglah padaku dalam rasa cintamu pada TuhanMu...

Buat dia yang dari tulang rusuk kirinya aku tercipta, aku masih setia menunggu kamu... aku sangat menanti pertemuan kita... Air mata ini sering luruh.. tikar sejadah itu kerap menjadi saksi betapa aku menanti kamu.. hanya Tuhan mengetahui betapa aku rindu kamu.. betapa sarat rasa kasih untuk aku beri pada kamu...
Semoga Allah mudahkan pertemuan kita... sesungguhnya aku tertanya-tanya siapalah kamu itu.. semoga kamu itu adalah dari kalangan orang-orang yang dapat aku menumpang sedikit ilmu.. ilmu yang dapat membawa aku ke jalan Tuhanku.. 

Wahai sang pemilik hatiku... bimbinglah aku ke jalan yang lurus... datanglah pada ku pada saat dan ketik yang tepat... hati aku masih tersimpan untuk kamu... 

Ya Allah sampaikan salam rindu aku pada dia, sampaikan rasa kasih aku pada dia dengan memberi keimanan di hatinya.. sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui siapa dia yang tercipta untuk ku.. Ya Allah, jadikan aku pemilik cintaMu agar aku memiliki cinta dia yang mencintaiMu..
amin... 

Irdina Alany nekad menanti, cinta Syahri dan Rizuan tidak mampu dibalasnya kerana ini petunjuk dari Allah, biar pedih hati Irdina Alany untuk melukakan hati keduanya, namun Irdina Alany redha kerana kepada TuhanNya saja tempat dirinya berserah segalanya.

Syahri dan Rizuan menerima perkhabaran itu dengan redha, biar ada kecewa di hati masing-masing namun mereka tidak membantah keputusan Irdina Alany untuk tidak menerima mereka. 

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

“Wanita apabila ia sembahyang lima waktu, puasa sebulan Ramadhan, memelihara kehormatan serta taat pada suami, maka masuklah mana-mana pintu syurga yang ia kehendaki. (Riwayat dari Ahmad Ibnu Hibban, Thabarani, Anas bin Malik).”
-Ilham Fahim-

Irdina Alany membaca SMS itu dengan senyuman, SMS hadis dari Ilham Fahim itu benar-benar menyenangkan hati Irdina Alany, dia teringat dahulu bagaimana dia sering berbalas SMS dengan Aizat hingga larut malam, bergayut di telefon tanpa mengira masa, hingga menjadikan dia lagha. Tidak pernah sekalipun Aizat mengirimkannya SMS yang berunsur nasihat mahupun hadis.

Ilham Fahim, pemuda itu begitu sederhana, sebagai seorang anak yatim, dia menjadi begitu arif dengan kehidupan tanpa ibu dan ayah, pantas menjadi seorang ustaz di madrasah anak-anak yatim merupakan tugas yang selayaknya dipegang. Anak-anak madrasah itu juga begitu akrab dengan Ilham yang melayan mereka seperti adik-adiknya. Biar dia punya perniagaan sendiri, serta punya kehidupan yang senang, namun jiwanya tetap pada madrasah itu, dia lebih rela hidup bersederhana dan menggunakan harta yang dia ada ke jalan Allah.

Perkenalan tanpa diduga itu semakin lama menjadikan Irdina Alany semakin akrab dengan pemuda itu, Rayyani yang memperkenalkan mereka saat Irdina Alany meminta bantuannya mencari insan yang tinggi ilmu agamanya buat membantu Irdina Alany menyiapkan artikelnya. Mengenali Ilham Fahim membuatkan Irdina Alany kembali merasakan jiwanya tenang, pemuda yang qanaah itu benar-benar membuka pintu hidayahnya untuk kembali ke jalan Allah dan tidak lagi alpa pada cinta dunia. Mereka tidak pernah bersua muka apatah lagi bercinta, namun perlahan, Irdina Alany sedar dalam hatinya wujud perasaan yang kian mendalam, Irdina Alany dapat merasakan ada cinta yang kian bercambah buat pemuda bernama Ilham Fahim itu..

“Assalammualaikum, bangun, bangun. Mari sama-sama mencari Tuhan.”
- Irdina Alany-

SMS itu dikirim Irdina Alany buat Ilham Fahim saat dia terjaga malam itu untuk bersolat tahajud. Tidak sampai satu saat, satu SMS sampai padanya.

“Assalammualaikum. Bangun, mari bersolat tahajud.” 
 -Ilham Fahim-

Irdina Alany terdiam, SMS itu terlalu pantas diterima, pasti itu bukan balasan dari SMS yang dihantarnya tadi, sebaliknya mereka sama-sama menghantar pada detik yang sama. Irdina Alany tersenyum sendiri sebelum bangun untuk menunaikan solat tahajud malam itu.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Sudah setahun perhubungan itu terjalin, walaupun tidak pernah bersua muka mahupun melafazkan cinta, Irdina Alany begitu senang dengan kehadiran Ilham Fahim dalam hidupnya, hatinya kian yakin bahawa dia inginkan pemuda seperti Ilham Fahim untuk mengemudi arahnya mencari cinta Ilahi. Namun untuk meluahkan keyakinannya itu, Irdina Alany jadi takut, takut dirinya bertepuk sebelah tangan, takut dirinya dianggap tidak malu meluah rasa.

Lantas pada Allah, Irdina Alany meluahkan segalanya, rintihan hatinya hanya diadu pada Penciptanya, Irdina Alany berserah segalanya pada ketentuan Ilahi, mengharapkan pemuda yang hadir buatnya kelak bisa membimbing dirinya ke jalan Allah. Hatinya sudah jemu dengan cinta dunia yang sia-sia, yang belum pasti bisa membawanya ke syurga Allah, bahkan mampu membuatkan dia terjerumus dalam lembah neraka. Irdina Alany masih belum pasti siapa jodohnya kelak, namun dia mengharapkan jodohnya sebaik pemuda bernama Ilham Fahim.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

“Na, sabar ya. Syahri kemalangan minggu lepas, sampai sekarang dia koma.” Rayyani bersuara di hujung gagang.

Irdina Alany tergamam, percaturan apakah yang sedang berlaku ini, hatinya dipagut sebak yang amat, Syahri, insan yang terlalu baik, namun kerana Irdina Alany tidak merasakan Syahri itu jodohnya maka Irdina Alany tidak menerima kehadiran pemuda itu.

Barangkali inilah sebabnya mengapa Allah tidak membuka pintu hati Irdina Alany dulu, jika dia menerima Syahri dulu, pasti keadaannya lebih teruk dari sekarang saat menerima perkhabaran tentang kemalangan yang melanda Syahri. Irdina Alany pasrah, memang ada hikmah di sebalik sesuatu.
Malam itu Irdina Alany bersolat hajat memohon kesejahteraan dan kesihatan Syahri dipulihkan, surah Yaasin dibaca berulang kali, air mata yang berjujuran dibiarkan saja basah di pipi.

Usai membaca Yaasin, Irdina Alany menghantar sebanyak mungkin SMS pada rakan-rakannya termasuk pada Ilham Fahim.

Tolong doakan sahabat kita, Syed Syahri yang sedang koma akibat kemalangan jalan raya. Semoga dia cepat sembuh, amin.

Tidak sampai seminit satu SMS masuk.

Syahri ni kawan Na dulu ya. Sama-sama kita sedekahkan Yaasin dan Al-Fatihah buatnya. Na sabar ya, Fahim faham perasaan Na, tapi ingatlah Fahim sentiasa ada di sisi Na.
-Ilham Fahim-

Irdina Alany membalas pula.

Na tahu, terima kasih sangat kerana sentiasa ada di sisi Na.
- Irdina Alany-

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

“Na, balik cepat, ada hal mustahak ni,” suara ibunya di corong telefon membikin hati Irdina Alany gundah, gusar memikirkan mengapa ibunya beria menyuruhnya pulang sedangkan waktu kerjanya belum berakhir.
Irdina Alany menapak ke keretanya setelah meminta kebenaran dari majikannya untuk pulang awal. Jantungnya berdegup kencang memikirkan perkara yang telah berlaku saat itu hingga ibunya tidak sabar menyuruhnya balik. ‘Ya Allah hindarilah keluargaku dari segala musibah, amin...’ ucap Irdina Alany dalam hatinya yang gusar.

“Oh cantiknya, lembutnya tangan...” makcik itu mengelus tangan Irdina Alany perlahan saat Irdina Alany menghulurkan salam. Irdina Alany rasa segan diperlakukan begitu, perlahan dia menarik semula tangannya sambil berlalu ke biliknya.

Usai semua pulang, Irdina Alany menghampiri ibunya yang tersandar di sofa, penat melayan tetamu agaknya.
“Ibu, siapa yang datang tadi?” Irdina Alany masih tidak mengerti.

Ibunya tersenyum memandang wajah Irdina Alany yang kehairanan. Perlahan tangan anaknya itu dicapai dan digenggam.

“Na, ada orang datang merisik Na, macam mana? Nak terima tak?” soalan ibunya itu membuatkan Irdina Alany tersedak. Terkejut mendengarkan soalan itu, matanya membulat memandang wajah ibunya.
“Biar betul ibu...” Irdina Alany masih tidak percaya. Siapa pula gerangan yang datang merisiknya secara tiba-tiba, Irdina Alany tertanya sendiri.

“Jiran sekampung ibu dulu, merisik untuk anaknya yang baru pulang dari Mesir.” Ibunya menerangkan.
Irdina Alany melopong, tidak tahu apa yang harus diperkatakannya.

Ibu Irdina Alany tersenyum, tahu isi hati anaknya itu, walaupun tidak meluahkan apa-apa, ibunya faham Irdina Alany pasti tidak mahu menerima risikan itu.

“Jangan risau, ibu dah tolak, ibu cakap Na belum sedia.” Ibu Irdina Alany cuba menenangkan anaknya.
Irdina Alany memandang wajah ibu, tidak percaya ibunya berbuat demikian.

“Terima kasih bu, terima kasih sangat. Na memang tak sedia, dah la datang mengejut, orang tu pun Na tak kenal,” Irdina Alany mengomel sendiri, dalam hatinya tersangat bersyukur kerana ibunya begitu memahami isi hatinya.


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Fahim dengar ada rombongan datang merisik Na, Na setuju ke?
-Ilham Fahim-

Soalan dari SMS itu mengejutkan Irdina Alany, pasti Rayyani yang memberitahu Ilham Fahim soal itu. Sudah diberitahu pada Rayyani supaya merahsiakan perkara itu namun Rayyani membocorkan juga, Irdina Alany terasa geram di dalam hati.

Belum buat keputusan, tengoklah nanti macam mana.
 - Irdina Alany-

Irdina Alany sekadar mahu menduga hati Ilham Fahim dengan menghantar SMS sebegitu, namun Ilham Fahim terus menyepi. Hati Irdina Alany jadi tak keruan memikirkan Ilham Fahim mungkin berjauh hati dengannya.
“Na, Fahim cakap dia nak buat solat istikharah bulan Ramadhan ni,” Rayyani memulakan bicara di laman sembang itu.

“Solat istikharah? Untuk apa?” Irdina Alany bingung.

“Solat untuk nak tetapkan hati dia pada Na la, takkan nak tak tahu dia sukakan Na.” Kata-kata itu buatkan Irdina Alany terkedu.

“Betul ke ni Rai?” soal Irdina Alany, tidak percaya.

“Betullah, takkan Na tak perasan selama ni Fahim tu sukakan Na. Dia pernah cakap dengan Rai yang dia segan sangat dengan Na, dia sayangkan Na tapi dia sedar dia tak layak untuk Na, dia bukanlah siapa-siapa, sekadar anak yatim, hidupnya cuma di madrasah itu, dia tidak mampu memberikan Na harta dan kemewahan.”

Irdina Alany sebak, tidak percaya Ilham Fahim punya rasa yang sama dengan dirinya.

“Rai, Na tak mencari lelaki yang sempurna, punya harta dan wang ringgit, cukuplah dia mampu membimbing Na ke jalan Allah. Na cuma mahukan bakal pemilik hati Na ialah insan yang menyerahkan seluruh cintanya pada Allah, dan dia datang pada Na atas cintanya pada Allah. Itu sudah cukup Rai.”

“Na doalah banyak-banyak agar jodoh Na dengan insan sebegitu, Rai doakan jodoh Na dengan Ilham Fahim ya.”

Kata-kata dari Rayyani itu buatkan Irdina Alany tersenyum sendiri. ‘Amin,’ dia membalas dalam hati.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

“Na, ada rombongan lagi nak meminang kamu nak. Macam mana ni?” suara ibu yang gusar dari corong telefon itu membuatkan hati Irdina Alany turut gundah. Siapa pulak kali ini? Irdina Alany tidak senang duduk.
“Siapa pulak kali ini ibu?” Irdina Alany meluahkan persoalan hatinya.

“Jauh rombongan ni datang nak, dari Selangor, ustaz madrasah anak yatim katanya.” Irdina Alany hampir tersedak saat mendengar penerangan ibunya.

“Ustaz dari madrasah, siapa ibu? Siapa namanya?”

“Ilham Fahim, Na. Macam mana nak, nak ibu tolak lagi ke?”

Irdina Alany terdiam, hatinya rasa gembira yang teramat, air matanya laju mengalir di pipi. Apakah aku tidak bermimpi? Irdina Alany menjerit di dalam hati.

“Na, Na. Na nak ibu tolak ke? ” soalan yang terpacul dari mulut ibunya sekali lagi membuatkan Irdina Alany kembali tersedar.

“Jangan tolak ibu, terima.” Pantas Irdina Alany menjawab.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Terima kasih Na, kerana menerima Fahim dalam hidup Na walaupun Fahim tak layak untuk Na... Fahim tak punya apa-apa. Namun setelah solat istikharah tempoh hari, Fahim nampak dengan jelas, Na datang dalam mimpi Fahim dengan berpakaian serba putih, lantas Fahim mengucapkan lafaz akad dan nikah. Sejak itu Fahim yakin dengan jodoh ini, kerana itu Fahim yakin untuk memiliki Na. Harap Na dapat menerima Fahim seadanya, Fahim mencintai Na atas rasa cinta Fahim pada Allah. Terima kasih Irdina Alany~
-Ilham Fahim-

SMS itu diterima Irdina Alany dengan titisan air mata, dia juga telah melakukan istikharah beberapa kali dan hatinya terasa begitu tetap sekali pada Ilham Fahim. SMS untuk Ilham Fahim segera ditaip pantas.

Wahai sang pemilik hatiku, aku tidak perlukan duit berjuta mahupun harta bergunung, cukuplah dirimu membimbingku ke jalan yang diredhai Allah, menjadi imam dalam hidupku ini.
Wahai pemilik tulang rusuk di mana aku tercipta, cintailah aku kerana cintamu pada TuhanMu, kerana cintaku milik Dia di atas. Terima kasih Ilham Fahim atas cinta ini~~
- Irdina Alany-


p/s: masih byk kekurangan dalam cerpen ini, tapi ingin sekali merealisasikan kisah sahabatku ini dalam bentuk cerpen.. harap segala kekurangan dapat dimaafkan~~

Suka? =)

7 comments:

  1. saya suka sangat cerpen2 cam nieh. ke arah Islamic. thanks buat cerpen nieh. :)

    p/s: saya suka sangat cerpen 'doa seorang kekasih' tuh.

    ReplyDelete
  2. Serius best. Mintak petunjuk Allah tu paling penting kan :))

    ReplyDelete
  3. berunsur islamic.best...

    ReplyDelete
  4. Kan best klau irdina dlu yg mmulakn plamaran trhdp fahim..msti best..pepun keep it up..

    ReplyDelete
  5. bagus sgt.. saya sgt sokong.. kalau buat novel islamik best ni.. mantap!! apepo kepp it up!!

    ReplyDelete

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!