Langkahku terhenti di depan pintu bilik utama, aku melihat suamiku sedang duduk di kerusi rehat di dalam bilik tidur kami itu. Kaku, Fakhry khusyuk membaca buku Aku Terima Nikahnya, karya ustaz Hasrizal Abdul Jamil yang baru seminggu kubeli. Ajnabi itu kini sah menjadi suamiku selepas ijab kabul dua hari lepas. Taaruf yang diaturkan ibubapanya dan ibubapaku lah yang menyatukan kami. Ibu beria memaksa aku menerima Muhammad Aleef Fakhry itu sebagai pasangan hidupku walaupun aku tidak pernah mengenalinya selama ini, kata ibu, Fakhry seorang yang alim dan kuat pegangan agamanya, jadi dia mampu menjadi nakhoda yang baik dalam melayari alam rumahtangga. Aku terpaksa merelakan diri untuk menerimanya kerana tidak mahu menderhaka pada ibu.
Wajah itu kupandang dari jauh secara senyap, wajah mulus itu memang tak jemu dipandang. Ada sinar pada wajahnya yang membuatkan aku tak mampu berpaling dari wajah itu. Sebelum ini aku jarang berkesempatan untuk menatap wajahnya walau dari jauh kerana sibuk dengan urusan perkahwinan itu dan melayan tetamu yang tidak henti-henti berkunjung ke rumah. Saat ini, aku sudah mengikut suamiku berpindah ke rumahnya yang memang tersedia sebelum kami bernikah lagi, jadi hanya ada kami berdua saat itu di rumah teres dua tingkat yang ditata ringkas. Dadaku berdebar, perasaanku seakan terusik, aku segera mengalihkan pandangan. Dia suamiku, mengapa harus aku malu untuk menatap wajahnya? tapi aku tidak pernah kenal dia selama ini...fikirku sendirian.
“Maira...” suara itu lembut memanggil menyebabkan aku tersedar dari lamunanku. Wajah Fakhry kupandang semula walaupun mukaku sudah merona merah menahan rasa malu yang mula mencengkam diriku.
“Ya abang...” lambat-lambat aku membalas. Fakhry memandangku, tiada riak pada wajahnya. Aku tak mampu meneka perkara yang sedang bermain di fikirannya sekarang.
“Abang pinjam buku ni dulu ya,” lembut dia meminta. Aku mengangguk perlahan, aku sudah khatam membaca buku itu sehari selepas kubeli lagi. Tidak sabar menghabiskan naskah yang mengandungi pelbagai ilmu alam rumahtangga, memandangkan saat itu aku juga bakal mendirikan rumahtangga, aku ingin bersedia untuk menjadi seorang isteri. Fakhry khusyuk membaca semula, aku mengorak langkah menghampirinya lantas melabuhkan punggung di atas katil berdekatan tempat Fakhry duduk.
“Hmm, abang suka membaca?” aku bertanya, mengambil peluang untuk mengenali insan yang baru pertama kali kukenali dua minggu lepas, ketika sesi taaruf.
Perlahan dia memandang ke arahku seraya mengangguk, duduknya dibetulkan. “Abang suka baca buku kerohanian dan keagamaan. Buku ni pun menarik. Cara penyampaiannya mudah difahami.”
Kami rancak berbual ibarat dua orang insan yang baru saja berkenalan. Aku tersenyum. Seronok rasanya dapat berbual dengan suamiku itu walaupun perbualan kami terasa sedikit kekok.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Hari ini, Fahkry mula bertugas semula sebagai peguam syariah di bahagian syariah, Biro Bantuan Guaman Putrajaya sedangkan aku pula masih bercuti dari kerjaku sebagai ekskutif pentadbiran di salah sebuah syarikat korporat di ibu negara. Aku menghulurkan beg komputer riba pada Fahkry, dia menyandang beg itu di bahunya. Tangannya kucapai dan kukucup sebelum wajahnya kupandang semula. Fahkry membalas pandanganku dengan riak yang gementar. Perlahan-lahan, Fakhry mendekatkan dirinya padaku, tangannya merangkul bahuku lantas dahiku dikucup lembut.Aku terkesima dengan tindakannya.
“Abang pergi dulu ya...”
Aku mengangguk perlahan lantas tersenyum. Ada rasa bahagia yang mula menyerap dalam diri.
Jam sudah menunjukkan pukul lima petang. Aku termenung sendirian di ruang tamu sambil menunggu Fahkry pulang dari kerja. Diriku kuhias seadanya sesuai dengan tuntutan agama yang menuntut isteri berhias untuk menyambut suami. Aku teringatkan kucupan lembut Fakhry pada dahiku pagi tadi. Adakah aku sudah jatuh cinta? Aku memang patut jatuh cinta pada dia, suamiku. Tapi Haikal, aku terdiam sendiri. Terkenangkan Haikal Hakimi, teman sepejabatku, insan yang pernah kucintai dulu. Aku tidak pernah meluahkan perasaanku pada Haikal tapi hingga kini aku merasakan yang aku masih mencintainya. Ya Allah, astaghfirullah hal azim, aku beristighfar, rasa berdosa kerana memikirkan insan lain saat aku sudah pun bersuami. Aku kena lupakan Haikal, aku harus mencintai Aleef Fakhry kerana dia suamiku. Gambar perkahwinan kami yang terletak elok di tepi meja segera kugapai, semua insan akan merasa bahagia saat diijabkabulkan tapi aku, aku tidak pernah mengenali Fakhry sebelum ini, bagaimana aku dapat merasakan kebahagiaan itu saat diijabkabulkan dulu? Wajah itu kurenung, Fakhry memang tidak kalah dari segi paras rupa walaupun dia berbeza dari Haikal dari segi penampilannya, Haikal lebih kepada moden dan metroseksual sedangkan Fakhry lebih kepada gaya seorang ustaz. Aku harus bersyukur kerana memiliki seorang suami yang soleh, aku mengingatkan diri sendiri.
“Maira rindukan abang ke?”, Fakhry sudah berdiri tercegat di depan ku, entah sejak bila.
Aku terkedu, gambar perkahwinan kami segera kuletakkan di posisi asal. Aku segera bangun dari dudukku.
“Abang dah balik?,” tangannya kugapai dan kukucup.
“Assalammualaikum...” ucap Fakhry memberi salam.
Aku membalas perlahan. “Waalaikumussalam...”
Fakhry merenung wajahku, sebelum tangannya merangkul bahuku. “Cantik isteri abang hari ni...” dia memuji sambil tersenyum seraya memeluk diriku.
“Abang rasa bahagia dapat memiliki Humaira...”
Aku terkedu mendengar luahan hatinya yang luhur, dia begitu ikhlas mencintai aku walaupun kami belum pernah berkenalan sebelum ini. Ya Allah, betapa mulianya hati suamiku kerana menerimaku seadanya. Aku tersenyum bahagia lantas membalas pelukannya.
Suara iqamah yang dilaungkan Fakhry begitu menusuk kalbuku. Sungguh indah suaranya menerjah gegendang telingaku.
“Allahu Akbar...” Fakhry mula mengangkat takbir. Aku segera mengikutinya, menjadi makmumnya pada solat Maghrib itu. Selesai salam terakhir, Fakhry mula berdoa.
“Ya Allah, semoga jodoh kami ini adalah yang terbaik buat kami, cambahkanlah rasa cinta dalam diri kami terhadapMu agar kami dapat mencintai sesama kami kerana diriMu. Berikanlah aku kekuatan untuk menjadi imam dalam rumahtangga ini dan berikanlah Nur Ainna Humaira kekuatan untuk menjadi makmumku dalam rumahtangga ini. Sesungguhnya Engkaulah yang telah menciptakan jodoh kami dan Engkaulah yang mengetahui segala sesuatu, jadikanlah jodoh kami ini berkekalan hingga ke syurga. Amin...”
Aku mengaminkan doa Fakhry, ada air jernih yang mula bertakung di kelopak mataku, terharu mendengar doanya.
“Ya Allah, moga jodohku akan kekal bersama insan yang begitu mulia ini, Ya Allah. Amin...” aku berdoa sendiri. Selesai solat, kami sama-sama membaca Al-Quran. Fakhry membimbingku dan membetulkan bacaanku itu sebelum kami sama-sama menunaikan solat Isyak pula.
Malam itu aku sibuk menggantung baju ke dalam almari. Menyusun almari itu supaya kelihatan kemas. Tiba-tiba aku dapat rasakan ada orang yang memelukku dari belakang.
“Maira...” suara itu lembut menyapa telingaku.
Aku berpaling sedikit untuk memastikan insan itu suamiku. Ya, memang Fakhry yang sedang memelukku saat itu. Aku tersenyum sendiri. Walaupun Fakhry kelihatan kaku dan pendiam tetapi adakalanya dia boleh menjadi begitu romantik bila bersamaku.
“Ya abang, kenapa?” soalku walaupun mukaku mula merona merah dek kerana malu diperlakukan begitu. Pelukan Fakhry padaku makin erat.
“Abang cintakan Humaira.” Kata-kata itu begitu lancar keluar dari mulut Fakhry. Dia begitu yakin dengan perasaannya sedangkan aku. Adakah aku juga mencintainya?
“Maira cintakan abang tak?” soalan itu bagai menjerut leherku. Aku sendiri belum pasti dengan perasaanku walaupun ada rasa bahagia yang mula menyerap dalam kalbuku saat bersama Fakhry.
Aku mengangguk perlahan. Mungkin benar ada cinta yang kian bersarang buat Fakhry. Aku harus mencambahkan rasa cinta ini buatnya kerana Fakhry begitu ikhlas mencintai aku sedangkan aku tahu dia juga dijodohkan oleh ibubapanya denganku, bukan atas kerelaan hatinya sendiri. Tapi kini aku dapat merasakan dia begitu rela mencintai aku, seorang ajnabi padanya suatu ketika dulu, hinggalah saat kami diijabkabulkan. Aku harus mencintainya, aku tekad.
Fahkry memusingkan aku untuk menghadapnya lantas tanganku digapai dan dikucup.
“Terima kasih, sayang...” matanya mula berkaca.
“Abang rasa bahagia sangat.” Wajahku dikucup dari dahi turun ke kedua-dua pipiku, hinggalah akhirnya hinggap pada bibirku sebelum dia kembali memelukku erat. Ya Allah, betapa bahagianya perasaan ini, adakah ini cinta?
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pagi itu aku mula masuk ke pejabat, suasana masih seperti biasa. Ramai yang datang padaku mengucapkan tahniah. Aku merenung tempat Haikal, dia tiada di tempatnya. Teman sepejabatku berkata, sejak berita perkahwinanku tersebar, Haikal mula berubah sikap, dia lebih banyak berdiam dan mengasingkan diri dari teman sepejabat.
Aku mengatur langkah ke pantry, ingin membasahkan tekak dan bersarapan ala kadar. Biskut di pantry bakal menjadi mangsa perutku, aku berfikir sendiri. Saat melangkah masuk, aku melihat Haikal sedang minum di meja dalam pantry itu. Aku mengambil beberapa keping biskut dan mug yang berisi air milo yang baru kubancuh lalu melabuhkan punggung berdekatan Haikal.
Aku tersenyum pada Haikal namun senyumanku hanya dibalas dengan pandangan tajam.
“Mai bahagia sekarang?” soalan yang keluar dari mulut Haikal membuat aku terkdu. Wajahnya kupandang, Haikal kelihatan kusut, tidak seperti Haikal yang biasa kukenali.
“Mai bahagia sekarang, Alhamdulillah, kenapa Haikal tanya soalan macam ni?”
Haikal mendengus. “Sebab Haikal tak bahagia sejak Mai berkahwin... ”
Aku terdiam. dia tak bahagia? Aku tidak faham.
“Maksud Haikal?”
“Mai jangan buat-buat tanya, takkan Mai tak tahu, selama ini Haikal cintakan Mai...”
Aku terpaku. Ya Allah, apakah ini benar? Insan yang pernah kucintai dulu juga menyimpan rasa yang sama buatku. Namun aku takkan mampu menjadi miliknya lagi kerana kini aku hanya milik Aleef Fakhry.
Aku gelisah, tidak pasti bagaimana mahu membalas pada Haikal.
“Maafkan Mai, maafkan Mai, Mai tak pernah tahu yang Haikal cintakan Mai...”
“Tapi Mai cintakan Haikal juga kan?” soalan Haikal itu ibarat belati yang menusuk jantungku.
“Mai akui, dulu Mai pernah sukakan Haikal, tapi kini hati Mai cuma milik suami Mai.” Aku tegas bersuara. Tidak mahu Haikal salah faham lagi.
“Mai akan terima balasan kerana mengecewakan Haikal...” Haikal memberikan amaran lantas berlalu keluar dari pantry. Aku terkedu, selama ini aku tidak pernah meluahkan mahupun menunjukkan yang aku sukakan Haikal, bagaimana dia dapat menelah isi hatiku dulu. Ya Allah, inikah dugaanMu buatku? Aku dan Haikal saling mencintai namun aku hanya mengetahuinya saat aku sudah jadi milik Fakhry. Kini aku dapat rasakan segala cintaku buat Haikal sudah lenyap, cintaku hanya akan kuberikan pada Aleef Fakhry, suamiku. Tapi bagaimana dengan Haikal? Dia seolahnya tidak mampu menerima kenyataan ini sedangkan sebelum aku berkahwin, Haikal tidak pernah menunjukkan tanda yang dia sukakan aku, cuma layanannya padaku selama ini, memang baik, aku fikir, dia melayan semua orang begitu, mungkin sangkaanku selama ini salah. Ya Allah, apakah yang Haikal akan lakukan padaku? Amarannya itu begitu menggerunkan. Ya Allah, lindungilah aku dari segala kejahatan.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Petang itu, aku bergegas untuk pulang, aku segera melintas jalan untuk ke tempat keretaku diparkir, ketika tiba-tiba suatu suara memanggilku.
“Maira!” hanya suamiku memanggilku begitu, aku terfikir sebelum menoleh.
Aku dapat rasakan tubuhku ditolak ke tepi, ketika itu juga sebuah kereta BMW meluncur laju menghentam sekujur tubuh lalu tubuh itu kelihatan melayang di tengah jalan.
“Ya Allah!” aku menjerit ketika aku tersedar suamiku sudah dilanggar kereta. Aku merangkul Fakhry dalam pelukanku, darah mula membuak keluar dari luka ditubuhnya, air mataku tak henti merembes dari pipi. Raunganku begitu nyaring, aku tak mampu mengawal emosi lagi.
Fakhry tersenyum walaupun dia hanya nyawa-nyawa ikan. Wajahku diusap lembut.
“Abang cintakan Humaira selamanya.” Kata-kata itu diucapkan sebelum perlahan mata itu tertutup.
“Abang!” aku menjerit semahunya.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
“Suspek yang melanggar suami puan telah dikenal pasti sebagai Haikal Hakimi Abdul Halim. Motif langgar diklasifikasi sebagai dendam, kami sudah dapat menangkap suspek, tindakan undang-undang akan dikenakan terhadapnya.” Panjang lebar polis berpangkat Sarjan itu memberikan keterangan. Aku hanya mengangguk perlahan, Haikal, ini rupanya balasan yang dia maksudkan. Sanggup dia mahu melanggar aku, dan akhirnya Fakhry yang menjadi mangsa, aku terkedu. Kerana Haikal, kini Fakhry terlantar koma di wad ICU, aku hanya mampu berdoa agar Fakhry mampu membuka mata semula suatu hari nanti.
Sebulan sudah berlalu, Fakhry masih terlantar. Aku setia duduk di sisinya sambil membacakan surah Yassin. Air mataku kubiarkan mengalir perlahan di pipi. Tak mampu aku menyeka air mata itu lagi. Selesai membaca surah Yassin tika itu, tangan Fakhry kugapai dan kugenggam.
“Abang...” aku memanggil lembut.
“Maira tahu abang boleh dengar kata-kata Maira, bangunlah bang. Maira rindukan abang. Maira akui, waktu mula-mula kita berkahwin dulu, tak ada sedikitpun perasaan cinta Maira pada abang. Maira tak pernah kenal abang sebelum ini, susah untuk Maira cambahkan rasa cinta ini untuk abang. Tapi Maira terharu, kerana abang tak pernah putus asa untuk memenangi hati Maira dan mencintai Maira seikhlas hati abang. Sekarang abang, bangunlah dan saksikan yang abang dah berjaya, sekarang Maira akui, yang Maira cintakan abang sepenuh hati Maira.” Aku meluahkan isi hatiku yang terbuku selama ini. Air mata yang mula laju merembes kubiarkan saja.
Tiba-tiba tangan Fakhry menggenggam erat tanganku yang sedang memegang tangannya. Matanya perlahan-lahan dibuka.
“Terima kasih sayang...” Fakhry berbicara perlahan dan lemah. Aku terkesima, Fakhry sudah tersedar, aku menjerit dalam hati. Aku tersenyum dalam tangisan yang masih bersisa.
“Doktor!” aku memanggil doktor namun tangan Fakhry pantas menarik tanganku dan merangkulku dalam pelukannya.
“Abang dah sihat mendengar kata-kata Maira.”
Aku tersenyum malu. Perlahan dia melepaskan rangkulannya padaku dan mula merenung wajahku. Air mata yang masih bersisa di pipiku perlahan diseka dan wajahku didekatkan ke wajahnya lantas dikucup perlahan.
“Abang rindu menatap wajah Humaira. Abang tak suka melihat wajah Maira yang sedih menyambut abang.” Aku tersenyum mendengar kata-kata itu. Wajah Fakhry kukucup lembut, melepaskan kerinduan yang bertamu.
“ Maira cintakan abang.”
Fakhry yang terkesima dengan tindakanku mulai tersenyum.
“Abang pun cintakan Maira lebih dari Maira cintai abang.” Fakhry merangkulku semula dalam pelukannya. Rasa bahagia mula mengisi hatiku.
Sesungguhnya dia imamku, izinkan aku menjadi makmumnya. Aku tercipta dari rusuk kirinya agar dia dapat menyayangi dan melindungiku. Akan kuserahkan cinta ini buat insan yang mencintaiku ikhlas kerana Allah, moga jodoh kami kekal hingga ke syurga. Terima kasih Ya Allah kerana memberikan jodoh yang terbaik buatku. Aku mencintaimu Muhammad Aleef Fakhry...
~TAMAT~
Suka? =)
sweetnya...
ReplyDeletealangkah indah nya dunia jika dikurniakan suami yang seperti nya..
wahh~~
ReplyDeletesuke3
sgt best cerpen nie ! good attempt AK !! :D
ReplyDeletebest2... trign nk brsuamikn mcm fakhry... uhuuhu
ReplyDeletesuka...
ReplyDeletebest...
s..............sweet sangat:)
ReplyDeletesweeeett nya.. hope ada lagi guy yang macam tu<_>
ReplyDeletenak copy ayat last blhkn :D
ReplyDeleteVery sweet.. best sgt.. :)
ReplyDeleteterbaik!
ReplyDeletesalam kak AK...terbaik la cerpen akak ni.:)
ReplyDeleteBest2...
ReplyDeleteuntungnya dapat suami mcm tu....hepi bca cerpern ni...tq
ReplyDeleteYaAllah, mudah2an aq mendapat suami yang soleh.. Amin..
ReplyDeletebest..sweet..andai dapat suami seperti itu, indahnya dunia dan akhirat <3
ReplyDeletejarang jumpa cerpen islamik macam ni.
ReplyDeletegood job authors !
AK berjaya hasilkan novel yg
sweet + romantic dan sekali gus islamik!
mabruk! :)
best..........sgt
ReplyDeleteBest....
ReplyDeleteBest..i like it
ReplyDeletesweet doh...
ReplyDeleteWah .. Bestnya cerpen nie .. Sweet sangat ..
ReplyDeleteBest sngt...
ReplyDeleteBest sngt...
ReplyDeletesenyuman tak lekang dari bibir bila baca cerpen sis.. sweeetttt nya
ReplyDelete