~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Friday, March 6, 2015

Novel : Miss You Mr. Arrogant Bab 4


DERUMAN enjin yang mengaum di luar rumah buatkan Zaara pantas mengangkat wajah. Entah kenapa hatinya terasa lekas mahu mengintai di jendela seolah seseorang yang dia rindui yang bakal muncul di hadapannya tika itu.
Saat kereta Audi S10 berwarna biru yang berhenti di halaman rumahnya, automatik bibir merah milik Zaara mengukir senyum. Walaupun baru semalam suaminya menghantarnya pulang ke kampung, namun kerinduan yang menggebu dalam dada, sukar sekali hendak diungkap.
‘Hesy, apa nak jadi dengan kau ni, Zaara. Sah kau dah cinta mati dengan mamat arrogant tak insaf ni.’ Zaara bersuara sendiri di dalam hati saat dia laju menuruni anak tangga rumah menuju ke kereta biru itu.
“Assalammualaikum.” Irham memberi salam sebaik keluar dari perut kereta dan menanggalkan kaca mata hitamnya lalu disisip pada t-shirt berjenama Polo itu.
“Waalaikumussalam. Awak buat apa dekat sini? Bukan awak cakap lusa baru nak datang ambil saya dengan Iman?” Zaara menyoal ketika tangan suaminya ditarik dan dikucup lembut.
Irham hanya diam tidak membalas persoalan Zaara, pandangannya sudah dilempar ke dalam rumah.
“Iman mana?” soalnya seketika kemudian.
“Ada dekat atas, tengah main dengan atok dan nenek dia.”
“Hah, apa lagi tercegat kat sini, tak nak ajak saya naik ke apa ni?” Irham menyoal namun tanpa menunggu jawapan Zaara, dia sendiri sudah mengatur langkah ke atas rumah.

SELESAI bersalaman dengan bapa dan ibu mertuanya, Irham pantas mendapatkan Iman yang sedang asyik menonton kartun di televisyen. Anak kecil itu hanya diam saat tubuh tegap bapanya memeluknya erat, pipi kiri dan kanannya juga sudah menjadi mangsa ciuman bapanya itu.
“Eii apa ni papa?” Iman menolak tubuh itu dengan tenaga kecilnya sebelum mengelap kesan ciuman di kedua belah pipinya. Keletahnya itu mengundang tawa mereka yang memerhati gelagatnya sedari tadi.
“Anak papa buat apa hari ini?” ceria Irham menyoal sebaik meletakkan Iman dalam ribaannya. Rasa hilang rindunya saat melihat anak kecil itu depan matanya.
“Main game.” mulut kecil itu petah membalas pertanyaan bapanya tetapi pandangannya kembali beralih ke arah televisyen semula.
“La, punya banyak aktiviti dekat kampung ni, game jugak yang Iman hadap?” Irham menggelengkan kepalanya sebelum matanya memandang wajah bapa mertuanya.
“Biasalah Irham, budak-budak bandar. Bukannya reti nak masuk sawah, memancing ikan segala. Yang dia tahu cuma menghadap benda alah tu semua. Apa ke namanya tu? Tap tap?”
“Tablet, ayah.” Irham menjawab dengan sengihan sudah terukir di bibir.
“Aah, tablet.”
Zaara hanya memerhati gelagat mereka dari satu sudut. Tanpa sedar, bibirnya mengukir senyum, bahagia. Walaupun Irham tidak ambil peduli tentang dia sepertimana Irham melayan Iman ketika itu, namun melihat Irham bersama Iman, tanda cinta mereka sudah membuatkan Zaara bahagia. Benar-benar bahagia.

“AWAK nak makan? Saya panaskan lauk ya?” Zaara menyoal saat Irham usai mandi dan sedang bersiap di dalam bilik. Dia yang duduk berteleku di atas katil, asyik memerhati Irham sedari tadi.
“Hmm.” Irham sekadar memandang Zaara sekilas sebelum kembali memandang cermin sambil menyikat rambutnya, seolah tidak terkesan dengan kehadiran Zaara ketika itu.
‘Hesy, ada suami pun macam ada ketul emas dalam mulut. Sejak bila saya kahwin dengan lelaki bisu ni?’ Zaara menggaru kepalanya yang tidak gatal. Walaupun sudah lima tahun mereka berkahwin, namun adakalanya Zaara masih bingung dengan tindakan Irham yang sukar untuk ditafsir maksud tersiratnya. Nak tanya pun belum tentu Irham hendak menjawab dan kalau dia jawab pun barangkali jawapan itu hanya menyakitkan hati Zaara, jadi lebih baik dia diam dan terima saja.
Zaara bingkas bangun dari katil, ingin membawa langkahnya ke dapur untuk memanaskan lauk namun belum sempat dia membuka pintu bilik, tangannya dicapai Irham dari belakang. Zaara menoleh ke belakang, pelik dengan tindakan Irham.
“Ada apa lagi awak?” Irham hanya menggeleng saat mendengar persoalan Zaara. Tubuh kecil molek isterinya itu ditarik rapat ke dada sebelum didakap erat tanpa sebarang suara keluar dari mulutnya. Zaara tergamam namun tidak mampu menolak mahupun berkata apa.
Lama mereka begitu sebelum rangkulan Irham mula longgar dan akhirnya dia melepaskan Zaara dari dakapan dan kembali menyambung menyikat rambutnya pada cermin seolah tiada apa yang berlaku. Zaara yang terpinga-pinga kembali membawa langkahnya ke luar bilik, ada senyuman yang cuba disembunyikannya namun terlukis jua tanpa sedar.

‘TAK betul agaknya suami aku sorang tu. Tak bagi salam apa tiba-tiba saja menyerbu macam tu. Hesy! Nasib baik tak ada lemah jantung. Tapi kenapa rasa bahagia pulak ni? Aduhhh.’ Zaara mengomel sendiri di dalam dapur.
“Amboi Zaara, kacau gulai ikan keli tu pun tersenyum sampai telinga ni dah kenapa?” Hajah Amina yang muncul tiba-tiba buatkan Zaara tersentak.
“Ish mana ada, ibu.” Lekas Zaara menafikan walaupun wajahnya sudah merona merah menahan malu.
“Kalau tak ada, kenapa sampai kering kuah gulai tu kamu kerjakan Zaara? Hesy, suami jauh pun serba tak kena, bila dia dekat pun kamu tak keruan jugak. Apa nak jadi kamu ni Zaara?” Zaara tergamam, pantas dia melihat gulai ikan keli di atas dapur itu. Gulai yang hampir kering kuahnya dek kerana terlalu lama dipanaskan, dipadamkan apinya dengan segera.
“Kenapa ni?” Irham yang muncul tiba-tiba pantas menyoal sambil mengambil duduk di meja makan.
Hajah Amina tersengih pada menantu tunggalnya itu sebelum matanya tumpah pada wajah anak kesayangannya pula. Zaara memberi isyarat meminta ibunya supaya tidak berkata apa-apa yang boleh membuatkan Zaara tambah malu.
“Tak ada apalah Irham. Biasalah Zaara ni, suka cuai.” Hajah Amina membalas pendek sebelum membuka tudung saji. Nasi yang sudah dipanaskan Zaara, dihidang ke dalam pinggan dan disua pada Irham.
“Makanlah, Irham.”
“Ibu tak makan sekali ke?”
“Ibu dah makan dah tadi. Kamu makanlah ye.” jemputnya sebelum dia bingkas bangun dari situ untuk memberi laluan pada menantunya untuk makan dengan tenang.
Selesai mengambil pinggan yang dihulur Hajah Amina, pandangan Irham jatuh pada lauk-pauk yang tersedia depan mata. Ikan keli goreng, ulam-ulaman berserta sambal belacan sudah cukup membuka selera Irham saat itu. Akibat mahu lekas sampai ke kampung Zaara, Irham langsung tidak singgah untuk makan tengah hari. Sekarang perutnya sudah kuat berkeroncong menahan kelaparan.
“Makanlah awak, nanti sejuk balik pulak lauk ni.” Zaara bersuara sambil meletakkan gulai ikan keli yang sudah dimasukkan ke dalam mangkuk, di atas meja makan. Irham mengangguk kecil sebelum matanya tertancap pada mangkuk gulai ikan keli itu.
“Ini apa?” soalnya pelik.
“Err, gulai ikan keli.” Zaara tergagap membalas. Malu dengan kecuaiannya.
“Kenapa tak ada kuah? Dah rupa rendang dah saya tengok.”
“Awak jangan la nak perli saya. Saya terlajak panaskan tadi, kuah dah kering sikit. Maaf.”
Irham sekadar menggeleng namun tangannya sudah pantas mencedok gulai ikan keli itu. Zaara tersenyum lega, walaupun kuah gulai ikan keli itu dah hampir kering, Irham tetap berselera menjamah hidangan yang tersedia. Almaklumlah, lauk kegemarannya kan.

“AYAH sihat? Masih sakit lutut ke?” Irham bersuara saat dia mengambil duduk di sebelah Haji Zaidi di atas pangkin petang itu. Bapa mertuanya itu asyik mengurut-urut kakinya sedari tadi membuatkan Irham terdetik untuk menyoal.
“Biasalah Irham, dah tua-tua macam ni, mesti ada penyakit jugak walau sedikit. Sakit kaki, sakit lutut ni biasa ajelah. Semua orang tua rasa.” Haji Zaidi tersenyum pada menantunya itu.
“Bak sini minyak tu. Biar Irham urutkan kaki ayah.” Irham menyuakan tangannya, mengambil minyak angin dari genggaman tangan Haji Zaidi. Haji Zaidi terkedu, hanya membiarkan menantunya itu mengambil minyak angin itu.
“Ayah tak payahlah buat kerja berat sangat. Sawah tu pun, upah aje mana-mana anak muda dekat kampung ni untuk kerjakan.” Irham mengomel sambil tangannya leka mengurut kaki Haji Zaidi. Haji Zaidi tersenyum. Pandangannya jatuh pada sawah yang terbentang luas.
“Kalau duduk saja, lagi ayah rasa tak sihat. Ayah ni orang kampung, Irham. Mana reti duduk diam menghadap komputer macam orang-orang bandar tu. Masuk sawah, mengail ikan dekat sungai, masuk kebun, itu ajelah yang ayah reti pun.”
“Tak apa, nanti Irham belikan komputer dan masukkan internet dekat rumah ni. Nanti bolehlah ayah berskype dengan Iman.”
“Hah? Skayip? Apa benda tu Irham?”
Skype la ayah.” Irham membetulkan kata-kata Haji Zaidi.
“Ish tak payahlah letak benda-benda macam tu dekat sini Irham. Karang nanti jadi perangkap habuk je, ayah dengan ibu bukannya reti nak guna. Lagipun kamu banyak dah bagi macam-macam pada kami, Irham. Motor Ducati pemberian kamu tu pun segan ayah nak bawak sangat keliling kampung sebab orang-orang kampung pandang pelik. Nasib tak ada yang mengorat ayah, karang jealous ibu kamu.” Irham pecah tawanya mendengar omelan Haji Zaidi.
“Tak ada apalah ayah. Kan dah jadi tanggungjawab Irham untuk jaga ayah dan ibu jugak.”
Haji Zaidi menepuk bahu menantunya dengan rasa terharu.
“Alhamdulillah, terharu ayah dapat menantu macam kamu, Irham. Walaupun kaya, tapi tak menyombong dan lupa pada kami dekat sini.”
“Ayah jugak yang banyak nasihat Irham selama ni. Irham ingat setiap nasihat yang ayah bagi tu.”
“Alhamdulillah. Sama-sama kita mengingatkan, buat apa nak menyombong atas dunia ni sedangkan kita ni diciptakan dari sehina-hina air mani tu. Malu kita dengan Allah kalau kita sombong sedangkan Dia yang Maha Mencipta segala makhluk pun tak pernah sombong pada hambaNya.”
“Benar tu, ayah.” Irham mengangguk-angguk kepalanya tanda mengerti.
“Macam mana kaya dan berharta pun kita, ingatlah semua ni milik Allah. Bila-bila masa saja Dia boleh ambil dari kita. Jadi sentiasa bersyukur ya.”
“Insya-Allah, ayah.” Irham melorek senyum. Haji Zaidi membalas senyumannya sebelum melihat ke arah jam tangan Irham.
“Hah, Asar pun dah nak masuk ni, marilah kita ke surau. Solat jugak salah satu cara untuk ingatkan kita yang kita ni ada Penciptanya.”

“Baik, ayah.” Irham tersenyum, rasa senang sekali mendengar kata-kata Haji Zaidi yang penuh hikmah. Dia bingkas bangun mengikut langkah bapa mertuanya itu untuk ke surau, menunaikan solat Asar.

Suka? =)

5 comments:

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!

Goodreads!

Aliesha Kirana's books on Goodreads
Love You Mr. Arrogant Love You Mr. Arrogant
reviews: 4
ratings: 15 (avg rating 3.80)

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!

Lintas Lansung dari Penulisan2u