“Lelaki tu baik orangnya, ayah berkenan sangat,” ayahku berbicara saat kami sedang menghadap makanan di meja makan. Aku cuma diam, sudah masak dengan perangai ayah yang suka menimbulkan soal jodoh padaku, mentang-mentang usiaku sudah layak berkahwin, perkara itu juga yang diutarakan ayah, hatiku terasa panas.
“Ayah selalu nampak pemuda tu di masjid kawasan kita ni, alim orangnya, warak, sejuk hati ayah tengok dia. Ayah berkenan sangat.”
Ayah tersenyum padaku bagaikan mengharapkan sesuatu. Mentang-mentanglah aku anak perempuan tunggal dalam keluarga, sibuk sungguh ayah mencarikan jodoh untukku. Andai ibu masih hidup, pasti dia paham perasaanku yang tidak suka dilayan sedemikian, pasti ibu menyokong aku. Aku tidak suka ditentukan jodohku, biarlah aku mencari jodohku sendiri, itulah yang sebaiknya.
“Ayah dah tanya pada keluarganya dan mereka dah bersetuju. Lelaki tu pun tak ada halangan, dia setuju dengan pilihan keluarganya. Kamu macam mana?”
“Kenapa ayah pergi bertanya mereka tanpa pengetahuan kakak?” aku tidak puas hati.
“Sebab ayah fikir tak ada jodoh yang lebih baik untuk kamu selain dia. Tolonglah kakak, kali ni jangan tolak permintaan ayah,” ayahku cuba memujuk.
“Boleh tak kalau ayah tak carikan jodoh untuk kakak. Kakak tak sukalah ayah,” aku membentak.
Aku bingkas bangun. Kata-kata ayah buatkan aku geram, pantas aku meninggalkan meja makan, hilang seleraku pabila mendengar permintaan ayah. Anak tangga banglo mewah itu segera kudaki menuju ke bilikku, sampai di dalam bilik, aku melabuhkan diri di atas katil sambil memasang radio kuat-kuat, tanda protes. Lagu Pelesit Kota dendangan kumpulan Search membingitkan bilik itu, aku menghanggukkan kepala mengikut irama lagu. Puas hati aku.
Tiba-tiba radio itu sepi. ‘Siapa pulak yang tutup radio ni?’ Aku mengomel sendiri. Pantas aku berpaling. Abangku sedang berdiri di hadapanku, lantas melabuhkan punggung di sisiku.
“Zulaikha, kenapa buat ayah macam tu?” lembut abangku berbicara, aku cuma mendiamkan diri.
“Ikha tahu kan, berdosa meninggikan suara pada orang tua,” kata-kata abangku itu membuatkan aku terkedu, aku terlalu geram hingga tanpa sedar aku meninggikan suara pada ayah.
“Ikha tak sengaja bang. Ikha geram bila ayah asyik sebut soal jodoh. Ikha tak suka dijodohkan la abang.”
“Abang faham. Tapi Ikha tahu tak, jodoh yang direstui keluarga adalah jodoh yang terbaik. Apatah lagi jodoh yang dipilih ayah sendiri.”
Wajah abangku itu segera ku pandang, abang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak, kehidupannya bahagia walaupun ayah yang menetapkan jodoh tersebut usai abang habis pengajiannya di Universiti Al-Azhar.
“Ikha, dengar sini abang cakap ya, abang harap Ikha terima jodoh tu kali ni. Abang pun setuju dengan pilihan ayah, abang selalu jugak berbual dengan dia, dan abang rasa dia memang dia insan yang terbaik buat Ikha. Ikha fikirlah masak-masak, tapi ingat, ayah takkan pilih sesuka hati, dia teliti dulu orang tu sebelum pilih. Abang kenal sangat perangai ayah, dia memang tak kisah soal lain, tapi soal jodoh anak-anak, dia akan pastikan yang terbaik.”
Aku terdiam, benar juga kata abang. Lihat saja kakak iparku, baik saja orangnya, aku sendiri malu berhadapan dengannya kerana kami bagaikan langit dan bumi. Aku ni kasar, keras kepala, kakak iparku pula lemah lembut dan penuh sopan santun.
“Ikha fikir dulu ya, abang cuma nasihatkan saja,” abangku bingkas bangun dan keluar dari bilikku.
--------------------------------------------------------------------------------------
“Aku terima nikahnya Nur Zahra Zulaikha binti Zaiful Zakaria dengan mas kahwinnya 100 ringgit tunai.” Lafaz akad itu lancar dituturkan pemuda itu. Aku duduk memerhati di atas kusyen empuk warna keemasan itu. Sayu tiba-tiba memagut hati, dalam sekelip mata aku sudah bergelar isteri orang. Tangan kutadah saat berdoa namun mataku diam-diam memerhatikan suamiku yang tak pernah kukenali itu.
Hafiy Yusuf, nama yang begitu asing bagiku namun sah menjadi suamiku dalam sekali lafaz. Tangannya dihulur padaku saat acara membatalkan air sembahyang bermula selesai dia bersolat sunat. Aku menyambut tangannya itu walaupun badanku terasa seram sejuk, terasa gementar bersalaman dengan ajnabi yang kini menjadi suamiku, namun kugagahi jua untuk mengucup tangannya. Hafiy Yusuf memandang wajahku sekilas, lantas mengucup dahiku perlahan, menambahkan getar dalam dadaku.
“Assalammualaikum Zahra Zulaikha,” suamiku memberi salam saat dia memasuki kamar malam itu. Jantungku bagaikan berhenti berdetak saat memandangnya.
“Waalaikumussalam Hafiy Yusuf,” aku membalas. Dia tergelak sendiri, sambil menghampiriku. Aku terpinga, tidak pasti apa yang melucukan saat itu padahal jantungku bagaikan berlari pecut.
Hafiy Yusuf duduk di sisiku, wajahku direnung dalam hingga aku merasa malu. Aku tertunduk, tidak berani memandang dirinya.
“Ikha, panggil saya abang saja ya,” aku terdiam. Betul jugak! Aku menepuk dahi namun menggosoknya kembali dek kerana sakit.
“Eh, Ikha tak apa-apa?” Hafiy Yusuf memandang wajahku, dahiku diusap perlahan. Aku terpana saat merasakan wajahnya terlalu hampir dengan wajahku.
“Saya ok.” aku berbicara lambat-lambat.
Hafiy Yusuf tersenyum manis lantas memeluk diriku perlahan. Aku tersentak lalu segera menolaknya. Semua ini begitu asing, dipeluk insan yang tidak kukenali, walaupun insan itu sah menjadi suamiku.
Air mataku mula mengalir. Rasa takut mula menyelubungi, perlahan Hafiy Yusuf menjarakkan diri.
“Maafkan abang, abang tak berniat nak takutkan Ikha.”
Hafiy Yusuf perlahan menyeka air mata di pipiku, namun aku tidak mampu menahan senduku. Perasaanku tika itu hanya Allah yang tahu.
“Ikha... Ikha belum bersedia bang,” aku cuba bercakap dalam sendu yang masih tidak hilang.
Hafiy Yusuf mengangguk perlahan, seraya menarik diriku dekat padanya, lantas memelukku dengan niat mententeramkan aku. Aku terdiam saat mendengar suamiku berselawat syifa. Cuba menenangkan jiwaku, dan menyembuhkan rasa hatiku yang kerunsingan.
Saat pelukan terungkai, Hafiy Yusuf memandang aku.
“Abang takkan memaksa Ikha, abang tahu Ikha belum kenal abang, Ikha tidurlah, abang takkan ganggu Ikha.”
Aku terdiam saat Hafiy Yusuf berbaring lantas melelapkan mata. Hatiku rasa terharu dengan kesabarannya, walaupun takut-takut, aku cuba berbaring di sebelahnya. Wajah Hafiy Yusuf kutatap dalam diam, wajahnya jernih dan bersih, manis sekali, rasa tidak jemu menatap wajah itu. Tanpa sedar, aku melelapkan mata.
______________________________________________________________________________
Rumah teres dua tingkat itu kuperhatikan dari ruang tamu hingga ke dapur. Memang sempit berbanding rumah mewahku dulu, namun semua itu harus kutinggalkan kerana mengikut Hafiy Yusuf berpindah ke rumahnya. Ayah tidak melarang aku berpindah kerana tempat yang terbaik bagiku ialah di sisi suamiku.
Aku terasa kekok berada di rumah itu, sudahlah tidak ada pembantu rumah. Segalanya harus kulakukan sendiri. Hafiy Yusuf hanya tersenyum saat melihatku tercengang memerhatikan pelusuk isi rumah. Saat Hafiy Yusuf melabuhkan dirinya di sisiku, dengan pantas dia memegang tanganku.
“Ikha, maafkan abang sebab tak boleh beri kemewahan yang pernah Ikha kecapi dulu,” ujarnya lembut padaku. Aku terdiam, tidak tahu mahu membalas apa. Perlahan aku cuma mengangguk dan segera naik ke kamar tidur, rimas berdekatan dengan Hafiy Yusuf, rasa terlalu kekok.
Kamar tidur yang sempit itu kuperhatikan, kalau di rumahku dulu, pasti ini bilik Mak Mah, pembantu rumahku. Oh mengapa kini aku pula yang harus berada di dalam bilik sebegini, hatiku rasa tak keruan, terkenangkan bilik lamaku yang dilengkapi dengan pelbagai benda, televisyen plasma, ps3, sistem audio yang canggih, berbeza benar dengan bilik ini yang hanya punya katil dan almari, sudahlah sempit.
“Kenapa Ikha? Ikha ok ke?” entah bila Hafiy Yusuf masuk ke bilik itu, aku sendiri tak tahu.
Aku tidak menjawab, sebaliknya membuka beg bajuku, mahu menyusun bajuku ke dalam almari itu, terasa kekok sekali melipat baju kerana selama ini Mak Mah yang melakukan semua tugas itu, rasa susah sekali melakukan semua itu, susunanku terasa berselerak.
“Biar abang tolong,” perlahan Hafiy Yusuf bersuara sambil memegang tanganku. ‘Lembut betul suaranya, menyampah aku,’ aku mengomel sendiri.
“Tak payah, abang pergilah buat benda lain, jangan kacau Ikha,” aku menolak tangannya.
Tanpa membalas, Hafiy Yusuf tetap menolongku, mengambil baju-baju itu dan menyusunnya di dalam almari, menyangkut baju yang perlu disangkut.
______________________________________________________________________________
Aku keseorangan di dapur saat itu, cuba memasak mengikut resepi dari buku. Selama ini aku tidak memasak dan menyerahkan segala tugas pada pembantu rumah. Kini tanpa kehadiran pembantu rumah dan aku juga tidak bekerja, pastinya aku yang perlu memasak.
“Arghhh…” aku merengus geram saat masakan yang cuba kumasak, tidak menjadi. Gulai yang kumasak terlalu masam, sayur yang kugoreng terlalu masin. Perlahan aku duduk di meja, air mata mula bertakung di tubir bibir, rasa tidak tahan dengan kehidupan baruku ini.
“Kenapa ni sayang?” suara itu lembut berbicara membuatkan aku segera berpaling. Hafiy Yusuf sudah berdiri tegak di hadapanku. Aku cuma menggelengkan kepala, tidak pasti mahu mengadu apa padanya. Air mataku segera kukesat.
“Meh sini abang rasa masakan Ikha…” Hafiy Yusuf pantas mencedok gulaiku tanpa berlengah.
“Eh jangan bang, tak sedap,” aku menghalang tangannya namun semuanya sudah terlambat, Hafiy Yusuf terlebih dahulu merasa makanan itu. Aku dapat lihat wajahnya bertukar, berkerut menahan masam.
“Ikha dah cakap jangan rasa,” aku segera berpaling, cuba melindungi air mata yang kembali bergenang dan tak mampu kutahan lagi.
“Ikha…” perlahan Hafiy Yusuf memanggil, tubuhku segera dipaling untuk menghadapnya kembali. Air mataku diseka lembut, lantas pipiku dielus.
“Abang tak kisah kalau Ikha tak reti memasak, abang akan tolong Ikha, yang penting kita sama-sama membantu untuk saling melengkapi diri masing-masing. Bolehkan sayang?” aku terkedu namun masih bisa mengangguk, wajah Hafiy Yusuf kupandang lama, ada keikhlasan yang terpamer dari raut wajahnya. Entah mengapa kurasakan perasaan bahagia kian meresap dalam diri. Perlahan aku memeluk dirinya, tenggelam dalam esak tangis yang masih bersisa. Hafiy Yusuf terkesima namun segera membalas pelukanku, kemas dan kejap.
________________________________________________________________________
Hujung minggu itu, Aku sendirian ke pasaraya kerana ingin membeli barang keperluan harian. Hafiy Yusuf tidak dapat mengikutku kerana ada urusan kerja yang perlu diselesaikan. Saat singgah ke butik pakaian muslimah yang berjenama, mataku tertancap pada sehelai abaya yang sangat indah perinciannya. Hatiku terasa ingin sekali untuk memiliki abaya itu.
‘RM350, mahalnya. Kalau abang tahu mesti dia tak izinkan aku beli. Abang tak suka beli benda yang membazir,’ hidup selama tiga bulan bersamanya, pasti aku sudah masak akan perkara yang Hafiy Yusuf tidak sukai. Suamiku itu sederhana orangnya dan tidak suka membazir, dia memang seorang yang penjimat dan teliti dalam perbelanjaan, kalau dia tahu aku menghabiskan RM350 untuk sehelai abaya, pasti dia tidak berkenan.
Hafiy Yusuf tidak akan marah, tapi dari pandangannya aku tahu dia tidak suka. Abaya yang kupegang dari tadi segera kuletak kembali ke tempat asalnya.
“Kenapa tak ambil cik?” suara garau yang tiba-tiba menegurku buat aku terkejut. Segera aku berpaling ke arah suara itu. “Daniel Loqman!” aku terpana. Insan yang pernah kukenali saat menuntut di London dulu kini muncul semula di depanku.
“Eh Zaara, apa you buat kat sini? You… you nampak lain la Zaara…” Daniel Loqman berkata sambil melihat penampilanku atas bawah. Ya memang aku banyak berubah, sejak berkahwin, aku tidak lagi berpakaian ketat dan bertudung ala kadar. Hafiy Yusuf sering menasihatiku supaya kembali ke landasan yang sepatutnya dan berpakaian mengikut syarak. Tanpa sedar, aku kian berubah, semuanya kulakukan ikhlas kerana Allah atas nasihat dan bimbingan Hafiy Yusuf. Kini pakaianku tiada lagi yang ketat dan tudungku juga labuh menutupi dada.
“Sejak bila you pakai macam ni?” Daniel Loqman berkata seraya ketawa kecil. Aku jadi hairan dengan tingkahnya.
“Apa yang pelik Daniel?” aku ingin tahu.
Daniel Loqman berhenti ketawa dan kembali melihatku. “You dulu lain, sekarang ni dah macam ustazah dah I tengok.” Daniel Loqman kembali ketawa.
Aku sekadar tersenyum padanya.
Hmm, dah lama kita tak jumpa kan? You apa cerita?”
Aku memandang rakan seuniversitiku itu atau lebih jelas lagi, bekas kekasihku dulu. Daniel Loqman masih seperti dulu, kacak bergaya dan punya pakej lengkap. Gayanya juga menggambarkan bahawa dia dari golongan yang ada-ada.
“I’m married Daniel.” Pendek aku membalas.
Wajah Daniel Loqman berubah. Aku pulang dulu ke Malaysia saat dia masih berbaki dua semester untuk dihabiskan, perhubungan kami putus begitu saja tanpa ada khabar. Aku tidak menghubunginya kerana tidak mahu pelajarannya terganggu dan dia juga tidak pernah menghubungiku lantas aku menganggap perhubungan kami hanya sampai di situ.
“I belikan baju ni untuk you ya?” pintanya itu mengejutkan aku dari lamunan waktu dulu, segera aku menggeleng.
“Tak perlu Daniel, I tak perlukan baju ni… I saja tengok je…” aku berdalih walhal aku memang sangat berkenan pada abaya itu.
“Oh come on Zaara, I know you love it, dulu masa kat u pun kalau you berkenan sesuatu kat shop, you akan belek lama-lama. I know you Zaara,” yakin Daniel Loqman bersuara. Aku hanya terdiam kerana memang ada betulnya kata-kata Daniel Loqman itu.
“Ok ok, let me buy this for you,” Daniel Loqman mengambil semula abaya yang telah kuletakkan tadi dan segera ke kaunter pembayaran. Aku tidak sempat menghalangnya kerana dia terlalu pantas.
“Nah!” dia berkata padaku saat menghulurkan sebuah bungkusan beg plastik.
“I tak mahu lah Daniel, nanti suami I marah, I don’t need this,” aku menolak.
“Please Zaara, demi persahabatan kita dulu. Ambil ni,” Daniel meletakkan beg plastik itu pada tanganku.
__________________________________________________________________________
Aku membelek abaya pemberian Daniel Loqman, rasa seronok yang tidak terhingga kerana mendapat benda yang kuidamkan. Sudah lama aku tidak merasa barang yang semahal itu.
“Ikha buat apa tu?” teguran dari Hafiy Yusuf segera membuatku menyorokkan abaya itu di bawah bantal.
“Tak ada apa bang…”
Hafiy Yusuf segera menghampiriku tuntas menarik keluar abaya itu dari bawah bantal. Aku gundah tidak terkata.
“Apa ni sayang? Ikha beli tadi ke?”
Perlahan aku mengangguk, terpaksa menipu kerana takut memberitahu bahawa ada lelaki lain yang menghadiahi aku abaya itu.
Hafiy Yusuf diam dan membelek-belek abaya itu.
“Cantik abaya ni, taka pa Ikha simpanlah,” aku terkesima, melihat ketenangan Hafiy Yusuf yang tidak melenting padaku.
“Jadi Ikha boleh simpan abaya ni bang?”
Hafiy Yusuf mengangguk perlahan.
“Sekali sekala tak apalah Ikha, tapi jangan selalu. Membazir namanya, membazir itukan saudara syaitan.” Hafiy Yusuf sempat mengingatkan.
Aku mengangguk perlahan.
“Maafkan abang sebab tak mampu sediakan kemewahan seperti mana yang Ikha kecapi dulu. Hidup abang sederhana saja, abang bersyukur sangat sebab Ikha sudi menerima abang yang serba kekurangan ini.”
Perlahan aku menggeleng seraya tersenyum pada Hafiy Yusuf.
“Mula-mula dulu memang Ikha tak tahan jugak, tapi lama-kelamaan Ikha rasa bahagia sangat berada di sini bersama abang walaupun kehidupan Ikha tak semewah dulu. Abang banyak mengajar Ikha erti kesabaran dan kesederhanaan dalam kehidupan. Dulu Ikha terlalu hanyut dalam kemewahan sampai lupa pada Allah. Ikha bersyukur sangat sebab ditemukan dengan insan sebaik abang, yang mampu membimbing Ikha sebelum Ikha jauh tersesat.”
Hafiy Yusuf tersenyum mendengar jawapanku.
“Abang yang bertuah sebab bertemu dengan teman hidup sesempurna Ikha,” perlahan Hafiy Yusuf berbicara sambil wajahku dikucup.
“Terima kasih sayang,” Hafiy Yusuf menyambung sebelum memelukku erat dalam dakapannya.
_______________________________________________________________________
Sejak kejadian tempoh hari, Daniel Loqman sering menghubungiku, mungkin kerana aku tidak pernah menukar nombor telefonku maka begitu mudah sekali dia dapat menghubungiku.
Aku hanya melayanku seperti rakan lama namun Daniel Loqman seolahnya seperti mahu meraih cintaku semula. Pelbagai pujuk rayu diberikan padaku walaupun berkali kuterangkan yang aku sudah bersuami.
Memang pernah ada rasa cintaku padanya dulu, namun aku sekarang sudah bersuami. Hanya pada Hafiy Yusuf saja selayaknya kuberikan seluruh cintaku ini. Bukan lagi pada Daniel Loqman.
Hari itu aku nekad bertemu Daniel Loqman, dia berkali-kali memujuk aku untuk bertemunya walaupun berkali-kali juga aku menolak. Kali ini aku mengikut katanya untuk bertemu kerana aku ingin menyelesaikan segalanya tanpa mahu berlengah lagi.
Taman tasik di pinggir bandar itu sunyi sekali kurasakan. Mungkin waktu hari bekerja seperti itu, tiada siapa yang datang bersiar-siar. Hanya sesekali kulihat kelibat orang berjogging.
“Zaara…” aku segera berpaling pada suara itu. Daniel Loqman sedang merenungku tajam.
“Daniel, kita kena berbincang,” aku menegaskan padanya.
“I tak suka you ganggu I lagi. I dah bersuami Daniel. Please understand. Hubungan kita dah lama putus,” aku menyambung.
Setelah sekian lama terganggu dengan segala macam SMS dan panggilan darinya yang tak henti merayu, sudah tiba masanya aku menerangkan padanya supaya tidak mengangguku lagi.
“Ini baju yang pernah you berikan pada I dulu, kalau I tahu you inginkan balasan pada pemberian ni, sumpah I takkan ambil dulu.”
“Zaara…” Daniel Loqman cuba memegang tanganku saat aku menghulur bungkusan itu padanya namun segera kutepis, aku bukan sepertiku yang dulu yang sewenang-wenangnya membenarkan bukan muhrimku menyentuhku. Mujur aku masih punya kesedaran dan maruah diri, jika tidak pasti kesucianku sekali kukorbankan.
“Zaara, kenapa you nak seksa hati you dengan bersama lelaki yang tak pernah you cintai tu? Sudahlah dia tak mampu nak sediakan kemewahan untuk you. You jangan risau, kalau you terima I, I akan berikan you segala-galanya yang you inginkan.”
“Oh stop it Daniel, I bukannya orang yang boleh disogok dengan kemewahan. I dah muak hidup dalam kelalaian. I benar-benar mahu berubah Daniel. Suami I dah banyak bimbing I dan I bahagia bersamanya.”
“Stop that nonsense Zaara,” Daniel Loqman segera menarikku dalam rangkulannya. Aku cuba meronta namun cengkaman Daniel Loqman terlalu kuat untuk kulepaskan.
“You tahu tak dari dulu I idamkan untuk memiliki tubuh you, tapi you tak pernah beri I peluang. Masa kita couple pun, you terlalu menjaga diri you. Now it’s time for me untuk dapatkan segala yang I idamkan selama ini,” Daniel memelukku lebih erat.
“Jangan Daniel, please jangan…” aku meronta dalam esak tangis yang kian kuat.
“Allahu Akbar!” terdengar laungan takbir sebelum kulihat Daniel Loqman tersungkur ke tanah. Hafiy Yusuf segera mendapatkanku. Aku yang sedang ketakutan segera memeluknya erat, tangisanku tak mampu kubendung lagi.
Daniel Loqman bangun sambil memegang kepalanya. “Aduhh…” dia kelihatan sakit.
“Saudara, tolong jangan ganggu kami lagi. Kalau saudara cuba mengganggu isteri saya, saya takkan teragak untuk melaporkan saudara kepada pihak polis.”
Kata-kat Hafiy Yusuf itu membuatkan Daniel Loqman merengus sebelum berlalu dari tempat itu.
“Mujur Ikha lupa bawak handphone tadi, abang terbaca SMS dari lelaki tu, sebab tu abang segera datang ke sini. Ikha tak apa-apa kan? Ikha tenang ya. Abang ada di sini sayang, abang akan ada di sisi Ikha selalu lepas ni,” kata-kata Hafiy Yusuf benar-benar menenangkan aku.
“Abang, maafkan Ikha abang. Ampunkan Ikha.” Aku bersuara sebaik semangatku kembali pulih.
“Sudahlah sayang, abang tahu ini semua bukan salah Ikha. Abang tahu Ikha takkan menduakan abang,” keyakinan Hafiy Yusuf buatkan aku terpegun.
“Macam mana abang boleh yakin dengan Ikha sedangkan Ikha sendiri tidak yakin dengan diri Ikha?”
“Sebab abang kenal isteri abang,” pendek jawapan Hafiy Yusuf namun masih bisa membuatkanku menitiskan air mata.
Perlahan Hafiy Yusuf mengelus wajahku, air mata yang membasahi pipiku segera disapu lantas dikucup lembut.
“Punya abang di sisi Ikha pun sudah cukup untuk Ikha merasa kemewahan, mewah dalam cinta abang pada Ikha. Abang, Ikha cintakan abang.” lembut aku bersuara padanya.
Hafiy Yusuf tersenyum lantas memelukku.
“Abang pun cintakan Ikha, sayang.”
*Salam semua... cerpen ni dah lama tertangguh akibat AK kekeringan idea.. huuuhhuhu.. so AK cuba jugak siapkan cerpen ni walaupun AK masih kurang berpuas hati. InsyaAllah AK akan perbaiki mutu penulisan AK di masa akan datang. Terima kasih kerana sudi membaca.*
Suka? =)
huhu.. menerima seadanya... baik hidup tak mewah tapi dilimpahi kasih sayang.. kan AK... :)
ReplyDeletebtol tu dni!! pandai! eeheheh~
ReplyDeleteNice cerpen.. saya suka! All the best! =)
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeleteI LIKE....:) > unie
ReplyDeleteSweet sangat ! <3
ReplyDeletebest :)
ReplyDeleteWow Ak. Terbaik!!! Best la cerpen ni.
ReplyDeleteBest la..
ReplyDeletebestnya kalau dapat suami camtu.. dah nak nangis terguling-guling dah..huhu.. :( tapi this is so best.. romantic... uatlah lagi camni ye..
ReplyDelete