~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Saturday, January 15, 2011

Cerpen : Cinta Buat Perwira Rapid

 

Ayra melangkah keluar rumah dengan tergopoh-gapah, biasalah ratu tidur macam dia ni tak sah kalau tak bangun lambat, mujur Subuh sempat lagi dibuatnya, itupun dalam keadaan mengantuk.
Cepat-cepat Ayra sarung kasut sekolah Pallas yang bercorak warna-warni hasil contengannya itu ke kaki. Ayra pandang dirinya atas bawah, tudung warna-warni yang labuhnya sampai ke pinggang, baju kurung kain kapas, dan kasut sekolah itu. ‘Perfect!’ jerit hatinya sendiri bila melihatkan penampilannya yang comel dan sempoi.
Pantas Ayra menapak ke skuter kesayangannya yang berkilat sebab hari-hari dicuci Ayra tak pernah jemu. Skuter warna pink itu digosok-gosok perlahan sebelum Ayra duduk dan menghidupkan enjin.
“Vrommm...peh..” enjin mati.
“Vroommm.... peeehhh...” enjin mati lagi. Ayra cuba lagi beberapa kali. Masuk kali ke empat belas, Ayra dah hilang sabar.
“Cik Pinky.... kenapa buat hal sayang? Penat aku cuci kau hari-hari, kau buat hal jugak. Aku humban dalam lombong kang baru kau tau!” Ayra menghamburkan amarahnya pada skuter itu seolah skuter tu bernyawa dan memahami kata-katanya itu. Kalau orang lalu ternampak Ayra, pasti dia cakap Ayra gila.
‘Ah tak boleh jadi ni, kang kena marah dengan bos lagi, mati aku... silap-silap kena buang kerja, adeh!’ Ayra ketuk kepalanya.
“Oit, kenapa ni Ayra? Tak pergi kerja lagi ke?” tegur Sheyy yang sedang asyik mengunyah karipap menjenguk dari pintu.
‘Alamak, mak buyung ni keluar dah...’
“Waterlah, bukan Ayra...”
“Yelah, Water, kenapa tak pergi lagi ni?”
“Nak pergi la mak buyung oi, tapi enjin skuter ni tak nak hidup la pulak,” Ayra mengomel pada Sheyy, kawan baiknya yang juga isteri Paksunya.
Dulu Ayra dan Sheyy duduk serumah, selepas Sheyy dan Paksunya berkahwin, dia ikut tumpang duduk dengan mereka, almaklumlah dia memang rapat dengan Paksunya sebab Ayra anak tunggal dalam keluarga, dan Paksu pulak hampir sebaya dengannya. Sheyy pun tidak menghalang malah lagi suka, sebab dia ada kawan. Itulah untungnya Sheyy berkahwin dengan Paksu Ayra.
Sheyy geleng-geleng kepalanya, bila memikirkan Ayra yang selalu kelam-kabut untuk ke tempat kerja.
“Nak suruh Paksu kau tu pun, dia dah ke tempat kerja, kau naik bas ajelah Ayra, bus stop kat depan tu je pun,” Sheyy muncungkan bibir ke satu arah.
“Takutlah...”
“Kau takut apa?”
“Aku tak pernah naik bas...”
“Senang jelah, tahan bas, naik, bayar tiket, duduk, dah nak sampai, tekan loceng, turun. Apa yang susah?”
“Macam susah je semua tu.”
“Ei, mengada la kau ni, anak manja betul. Dulu aku dok naik teksi sorang-sorang ok je pun.”
“Kau takpelah, kau ganas. Aku lembut.”
“Nak kena lesing?”
“Tak mau!”
Ayra tersengih memandang Sheyy yang dah mengandung lapan bulan lebih, tunggu masa je nak bersalin. Fikir punya fikir, pantas Ayra berlari ke pondok bas berhampiran, lagi lama dia berlengah, lagi lambat dia ke tempat kerja. Ayra dah terbayangkan bosnya yang berkepala botak berkilat tu menengkingnya depan orang lain. Mana dia nak letak mukanya yang cun ni nanti? Malu ah!
Ayra menunggu dengan tidak sabar. Dalam hatinya berdoa semoga cepat-cepat bas datang. Walaupun tak tahu bas mana yang perlu dinaikinya, dia pasrah aja. Hentam kromo orang cakap, mana-mana bas datang dulu, dia tahan. Nekad!
Dari jauh sebuah bas Rapid menghampiri, Ayra gapai tangan laju-laju, walaupun dia tak pasti itukah caranya nak tahan bas, hentam sajalah labu.
Bila bas berhenti saja depan dia, Ayra pantas meluru ke arah pemandu bas, tak sabar nak bertanya.
“Pakcik, pakcik, bas ni pergi tak...” Ayra terdiam, tak mampu menyambung kata-kata. Mak aih, mudanya pemandu bas ni, hensemnya, sebijik macam Fahrin Ahmad.
“Tua sangat ke saya ni sampai kena panggil pakcik?” pemandu bas itu memerli. Sengihnya meleret sampai nampak gigi sebaris yang putih.
“Err.. er... maaf... encik...”
“Panggil abang ajelah...”
Erkk... gatal!
“Bas ni pergi Bandar Perda tak abang?”
“A ah pergi, seringgit empat puluh sen,” pemandu itu menghulurkan tiket. Ayra cepat-cepat seluk pursenya dan keluarkan sepuluh ringgit.
“Mak aih, besarnya duit, tak ada yang lagi besar ke?”
Ayra terdiam. ‘Kena perli lagi...’ manalah dia tahu nak kena naik bas hari tu, jadi tak adalah duit kecil dalam pursenya.
“Duduklah dulu, kejap lagi saya bagi baki.”
Ayra duduk. Lesap bakinya kalau pemandu tu lupa. Ayra jenguk-jenguk pemandangan sekeliling, cuba mengenalpasti setiap kawasan, kot-kot dah nak dekat sampai Bandar Perda, tak adalah dia menggelabah nanti. Jam dikerling, dah pukul sembilan suku pagi. ‘Habislah aku!’ Ayra dah kecut perut, waktu kerja pukul sembilan pagi, sekarang dah lebih setengah jam, macam mana ni?
Ayra rasa matanya makin kuyu, dia tidur lambat semalam, sebab main game Warcraft sampai tak ingat dunia, dahlah penghawa dingin ni sejuk aja, memang bestlah kalau dapat tidur. Dalam senyuman, Ayra lentok bahunya ke dinding bas, matanya dah terlalu berat untuk dibuka.
“Adik..adik...” suara itu kedengaran merdu di telinga Ayra. Putera raja mana yang kejutkan aku ni? Oh indahnya.
“Adik oh adik...”  Ayra buka matanya perlahan-lahan, digosok-gosok matanya yang masih pedih.
“Er, kat mana ni?” Ayra tersedar. Terkejut dia bila melihat dirinya masih di dalam bas, tapi bas tu dah kosong. Yang ada cuma dia dan pemandu bas. Pemandu bas?
“Err, macam mana saya ada kat sini?” Ayra rasa takut, teringat kisah ngeri seorang gadis dirogol dan dibunuh pemandu bas. Ah, mintak simpanglah dari benda-benda tu.
“Adik tertidur tadi, saya pun lupa adik nak pergi mana, tengok-tengok sampai kat hentian terakhir ni pun adik tak sedar lagi.”
“Hah! Hentian terakhir?”
“Aah...” jejaka itu mengangguk perlahan. Ayra pandang keluar bas, kelihatan seperti dia berada di sebuah terminal bas. Ramai yang berkumpul di luar bas itu, menunggu waktu untuk menyerbu masuk seraya pintu bas dibuka. Ayra kecut perut, risau menyelubungi dirinya. Tidak pernah dia sampai sejauh ini selama ini, tempat itu terasa begitu asing bagi dirinya. Sudahlah baru pertama kali naik bas, begini pula jadinya.
“Tak apa, adik duduk je kat situ. Nanti bas ni pusing balik ikut laluan tadi, adik bolehlah turun kat tempat adik.”
Ayra mengangguk-angguk tanda faham. Tiada siapa yang mampu diharapkannya lagi selain pemandu bas itu.
“Adik nak turun mana tadi?”
“Bandar Perda.”
“Ok. Nah simpan tiket ni elok-elok,” pemandu bas itu menghulurkan tiket baru buat Ayra memandangkan tiket lamanya sudah tidak boleh digunapakai.
Perlahan pemandu bas berjalan semula ke arah tempat duduknya, lantas membuka pintu, menyebabkan orang-orang di bawah sana berpusu-pusu memasuki bas.
Ayra lihat saja dari tempat duduknya yang berdekatan pemandu bas, bagaimana pemandu bas itu sibuk melayan setiap orang, menerima bayaran lantas memberi tiket dengan senyuman yang sangat manis. Hilang sedikit gundah di hati Ayra yang penasaran sedari tadi.
Jam ditangannya dikerling semula. ‘Aiyark! Dah pukul sepuluh! Pergi kerja apanya macam ni!’ Ayra menepuk dahinya. ‘Apa nak buat ni?’ Ayra gelisah memikirkan hal yang satu ini.
Telefon bimbitnya dikeluarkan dari kocek baju kurungnya. Perlahan nombor telefon pejabatnya didail.
“Kak Ton, tolong bagitahu bos, motor saya rosak, saya masuk lambat sikit eh,” Ayra menghantar pesan pada Zaiton, setiausaha bosnya.
“Lambat sikit ke? Macam lambat banyak aje ni?” Zaiton memerli.
“Ala kak ni, nak buat macam mana, motor saya rosak. Nanti sampaikan tau kat bos.”
“Iyelah.”
Usai berbicara, cepat-cepat Ayra matikan talian dan pandang sekeliling. Bimbang pisang berbuah dua kali, bimbang tempat yang ingin ditujuinya terlepas dari pandangan mata sekali lagi. sesekali matanya dilirikkan pada pemandu bas di hadapan. Saat mata mereka bertembung di dalam cermin pandang belakang, ada senyuman yang terukir di bibir pemandu bas itu. Ayra tidak pasti adakah senyuman itu ditujukan buatnya atau dia hanya berkhayal.
Ayra asyik dilamun perasaan, sampai lupa tujuan asalnya. Wajahnya tersenyum sendiri mengingatkan senyuman si pemandu bas. ‘Ah angaukah aku?’
“Adik... adik...” suara itu memanggil dari arah depan. Cepat-cepat Ayra pandang pemandu bas itu.
“Dah sampai dah.” Jejaka itu tersenyum lagi.
Ayra tersentak lantas segera pandang ke luar bas. Bas sudah terhenti di depan perhentian bas, di dalam kawasan Bandar Perda.
Ceapt-cepat Ayra bangun dan melangkah untuk turun dari bas.
“Er, adik, ni duit bakinya,” pemandu bas itu separuh berbisik saat Ayra melintasi ruang hadapan bas untuk ke pintu depan yang terbuka.
“Tak apa bang, biar jelah,” sempat lagi Ayra membalas.
“Tak apa, nah ambil ni,” ucap pemandu bas itu sambil menghulurkan beberapa not seringgit.
“Jumpa lagi ya,” pemandu bas itu berbicara sebelum pintu bas ditutup saat Ayra sudah turun dari perut bas.
Ayra tergamam di tepi jalan. Terasa seperti dirinya baru saja keluar dari pengembaraan yang amat menyenangkan dan penuh bunga-bunga. Echewah, bunga-bunga cinta gitu.
Perlahan Ayra melangkah ke tempat kerjanya, sampai-sampai ke tempat kerja, bos mulalah berceramah padanya, membebel kerana kelewatan Ayra, tapi Ayra cuma tersenyum, tidak terkesan langsung amarah bosnya yang macam singa betina itu, ibarat angin lalu di tepi telinga, dek kerana asyik teringatkan si pemandu bas itu dan senyumannya.
Sejak hari itu Ayra sering menggunakan perkhidmatan bas sementara menunggu skuternya dibaiki. Bagi Ayra tidak menjadi bebanan baginya untuk menaiki bas asalkan dapat bertemu pujaan hatinya. Ayra siap sudah hafal lagi waktu bas yang dipandu pujaan hatinya itu tiba di perhentian. Barulah tidak terlepas masa untuk bersua.
Semakin kerap bertemu, semakin kuat pula perasaannya pada pemandu bas itu hinggakan jika ada gadis-gadis yang ingin menggatal dengan pemandu itu, pasti Ayra jadi bengang. Ramai yang sengaja berdiri sebelah pemandu, sambil bersembang-sembang padahal banyak lagi kerusi kosong di dalam bas. Iyalah, pemandu bas kacak bergaya macam Fahrin, siapa tak berkenan. Semua kalau boleh nak mengayat, tapi Ayra tak pandai mengayat, yang dia tahu cuma memerhati dari kejauhan. Mungkin sudah nasibnya cuma boleh memendam rasa sendiri.
“Ah Perwira Rapidku...” Ayra berkhayal, terbang bersama si pemandu bas, dalam bas yang boleh terbang. Dalam alam khayalan, semua benda boleh berlaku kan? Hehe.
-----------------------------------------------------------------------------------------
“Hah! Dah sampai ke mana mimpi Ayra tu?” Paksu Ayra, Shark sudah duduk di sisinya di depan ruang tamu itu.
“Apa Paksu ni, mana ada orang mimpi, kan tengah tengok cerita ni,” Ayra menunjukkan skrin televisyen yang sedang menayangkan perlawanan liga EPL.
“Aik, tak pernah pun Ayra suka tengok bola, takkan layan kot hari ni?” Shark memerli.
Ayra tersedar lantas cepat-cepat menukar siaran ke drama melayu.
“Fahrin!” Ayra separa menjerit saat melihat wajah Fahrin Ahmad di dalam drama tersebut bergandingan bersama Ayu Raudhah.
“Hah! Ini barulah Ayra, gilakan Fahrin, bukan gila bola,” Shark tersenyum sambil tergeleng.
“Paksu dah repairkan skuter kamu, esok bolehlah guna. Tak pun nak guna Ducati Paksu pun boleh jugak.” Shark tergelak kecil.
“Mengada la Paksu ni. Ejek-ejek Ayra pulak.”
“Kamu tulah, suruh ambil lesen kereta sekali kamu tak mahu. Sekarang siapa yang susah, motor rosak nak kena naik bas.”
“Tak susah pun Paksu.” Ayra tersengih.
“Tak susah? Hari tu Maksu kamu cakap bukan main lagi kamu mengadu tak reti naik bas.”
“Ish merepek ajelah Maksu tu.”
“Hah mengumpat eh?” Sheyy yang berada di dapur sejak tadi muncul bersama sedulang air minuman.
“Eh tak adalah Sheyy.”
“Bukan Sheyy lah, Maksu. Kan itu Maksu kamu.” Shark mengingatkan.
“Biarlah bang, tak glamourlah panggil Maksu. Huhu.” Sheyy tersengih sebelum ikut duduk di sebelah suaminya.
“Mana boleh, panggil Maksu tau Ayra, ingat tu.”
“Ye baik Paksu, baik Maksu.”
“Macam tulah. Dah esok tak payah naik bas dah, bawak skuter kamu tu ya.”
“Tak payah lah Paksu. Ayra sukalah naik bas.”
“Hah? Suka naik bas, sejak bila ni?” Sheyy menyampuk.
“Sejak jumpa abang Perwira Rapid.”
“Hahh... Perwira Rapid? Apa tu?” Sheyy dan Shark bersuara serentak.
Ayra tersengih penuh pengertian.
----------------------------------------------------------------------------------
Ayra menyisip gelas berisi jus tembikai susu itu dengan penuh nikmat. Segar seluruh badannya saat dapat menghirup jus buah itu. Nasi putih telur bistik yang terhidang di hadapannya membuatkan Ayra kecur liur, sedari siang tadi dia menahan lapar, dapat jugak dia melantak. Haha.
Paksunya dan Sheyy sudah pulang ke kampung kerana Sheyy sudah hampir untuk bersalin. Jadi tinggallah Ayra sendirian di rumah, terpaksalah dia makan di kedai. Selalu Sheyy yang masak, sejak Sheyy kahwin dengan Paksunya terus Sheyy berubah menjadi gadis melayu terakhir, pandai masak, sopan. Hihi. Ayra ketawa kecil dek kerana mengingatkan sahabatnya yang sorang itu.
“Oh, laparnya. Walaupun tak ada siapa yang teman, perut tetap kena isi. Haha. Itadakimasu! Bismillah...”
Ayra menyuakan sesudu nasi ke dalam mulut. Belum sempat nasi itu mencecah mulutnya, seseorang memberi salam.
“Assalammualaikum dik.”
Ayra toleh ke arah suara itu. terjatuh sudunya ke dalam pinggan semula.
“Eh adik tak apa-apa ke ni?” jejaka itu tampak cemas, segera dia duduk menghadap Ayra sambil matanya merenung tajam.
“Eh, eh saya ok. Tak ada apa-apa.” Cepat-cepat Ayra berlagak normal kembali. Manalah dia tak menggelabah, Perwira Rapid muncul depan mata tiba-tiba.
“Selalu nak tegur adik dalam bas tapi tak sempat.”
Ayra terkedu. ‘Nak tegur aku, wah!’
“Hari ni abang tak kerja ke?”
“Dah habis. Baru je balik ni, itulah datang sini nak isi perut.”
“Oh...”
“Nama abang, Irwan Hafizi, panggil Abang Ayie je.” Ayie memperkenalkan dirinya pada Ayra.
“Saya Water.”
“Hah? Nak water? Jap eh?” Ayie mahu menggapai tangannya untuk memanggil pelayan.
“Eh tak-tak. Bukan, nama saya Water.” Ayra tersengih, rasa lucu di dalam hatinya.
“Water? Nama adik, Water? Pelik nama tu. Tak pernah dengar orang letak nama Water.”
“Itu nama timangan aje. Nama betul Ayra, Ayra Qistina.”
“Oh, kalau macam tu saya panggil Ayra ajelah. Boleh?”
Ayra angguk. Memang semua orang lebih suka memanggilnya Ayra dari Water, padahal Ayra suka benar dengan nama Water itu, sungguh simbolik, lembut seperti air, dan boleh berubah ikut keadaan.
“Sebelum ni tak pernah tengok Ayra naik bas, baru ni aja muncul. Sebelum ni kerja tempat lain ke?”
“Tak adalah. Selalu naik skuter, hari tu skuter rosak. Itu yang naik bas tu.”
“Oh, rosak. Patutlah. Eh habis tu datang sini naik apa? Naik bas ke?”
“Tak adalah, naik skuter. Itu...” Ayra menunjuk ke arah Cik Pinky yang terparkir elok di tepi jalan.
“Oh jadi dah repair lah motor, dah tak naik bas lah nanti eh?”
‘Alamak kantoi! Macam mana nak bagi alasan lagi?’ Ayra menelan liur. Keceluparan mulutnya memakan diri. Sekarang dia yang merana tak dapat naik bas lagi. huwaa...
“Nanti rindulah abang nak jumpa Ayra.”
Gulp! Ayra terdiam.
“Tak apalah, ni Ayra ambil nombor telefon abang. Senang-senang kita contact ya.” Ayie memberikan cadangan lantas menyuakan sekeping kertas yang sudah siap tertulis namanya.
Ayra tersenyum gembira saat menerima kertas itu. Hatinya menyanyi riang. Baru aja nak sedih sebab tak boleh naik bas dah sebab dah kantoi, tiba-tiba hilang terus kesedihan yang baru nak bertamu. Sudahlah makan malam ditemani jejaka pujaan, dapat nombor telefon pulak tu. Memang bertuahlah Ayra!
----------------------------------------------------------------------
Sejak detik perkenalan itu, Ayra dan Ayie sering berhubung, Ayra dapat merasakan ada keserasian antara mereka. Acapkali dia berdoa agar jejaka itu menjadi jodohnya. Ayie juga kelihatan menunjukkan respon yang sama, cuma tidak pernah meluah rasa. Ayra tak kisah, janji mereka suka sama suka.
Hari itu Ayra pulang ke kampung, nak melawat Sheyy yang sudah selamat melahirkan bayi lelaki yang sangat comel. Tak sabar Ayra nak jumpa sepupunya yang baru. Walaupun dah ada lima belas orang sepupu, namun kehadiran sepupunya yang ke enam belas ini begitu bermakna kerana dia adalah anak sahabat baiknya juga.
“Aku dah lepas, bila kau pulak Ayra?” Sheyy yang asyik berbaring di sebelah anaknya tiba-tiba saja melontarkan soalan cepu emas itu.
“Ish manalah aku tahu.”
“Jangan tunggu lama-lama, kang andartu sampai tua.”
“Eii, jahat la mulut kau.”
“Takkan tak ada lagi Ayra, kat ofis kau bukan ada yang minat kau ke?”
“Itu pegawai atasan aku yang gatal, tak naklah. Dah tua, ada bini dua dah pun.”
“Haha. Jangan memilih sangat Ayra.”
“Yelah, aku memang tak memilih pun, tapi tak adalah sampai nak rampas suami orang.”
“Habis tu, kau nak siapa?”
“Perwira Rapid boleh tak?”
“Perwira Rapid lagi. Siapa Perwira Rapid tu?”
“Abang pemandu bas lah.”
“Ohh...”
“Apa? Pemandu bas?” Shark yang muncul tiba-tiba kelihatan terkejut.
“Aah, kenapa? Tak boleh ke Paksu?”
“Bukan tak boleh, cuma tak ada orang lain ke yang kamu nak suka, kenapa mesti pemandu bas?” Shark melabuhkan punggung di sebelah mereka.
“Kenapa tak boleh suka pemandu bas? Berdosa ke suka pemandu bas.”
“Bukan macam tu. Cuma kamu dengan pemandu bas mana setaraf. Macam langit dengan bumi. Kamu ada kelulusan Ayra, kerja pun bagus. Cuba kamu fikir.”
“Ala, cinta itu butalah Paksu.”
“Cinta tak pernah buta, cuma kita yang membutakan mata saat bercinta.”
“Amboi bang, bukan main lagi bercakap ya?” Sheyy mengusik suaminya.
“Betullah kan? Susah kalau kahwin tak sama taraf ni. Nanti kedudukan isteri lagi tinggi dari suami. Suami akan rasa tercabar.”
“Tapi kalau dah suka nak buat macam mana?”
“Fikirlah masak-masak dulu Ayra. Paksu rasa keluarga kita pun tak setuju.” Ujar Shark sambil membelek anaknya yang masih nyenyak tidur disebelah Sheyy.
Ayra tergamam. Dia jatuh cinta secara tiba-tiba, tanpa berfikir dulu kedudukan antara mereka. Baginya tiada lagi kisah Antara Dua Darjat, tetapi rupa-rupanya masih wujud. Dia tak boleh salahkan Paksu sebab memang itu benar. Keluarganya pasti tidak akan setuju. Seorang Akauntan dengan seorang pemandu bas, mana sesuai.
Ah cinta membuatkan akalnya menjadi pendek. Tetapi harus bagaimana lagi, saat cinta sudah bersemi, yang hitam pun nampak putih. Dia tidak kisah dengan kedudukan Ayie, cuma pasti keluarganya tidak merestui, sedangkan di dalam perhubungan, restu keluargalah yang paling utama. Ayra tak mahu jadi anak derhaka hanya kerana cinta.
------------------------------------------------------------------------
“Nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi...” suara operator terngiang dari corong telefon sebaik Ayra mendail nombor Ayie. Niatnya hendak berbincang soal mereka, soal kedudukan dan masa depan perhubungan mereka yang belum nampak jalannya. Namun nampaknya Ayie terlebih dahulu memilih jalan untuk menjarakkan diri.
Ayra buntu. Adakah selama ini Ayie cuma mempermainkan perasaannya? Hati Ayra terasa luluh.
Beberapa hari juga Ayra cuba mencari Ayie di perhentian bas, menjenguk setiap bas mencari kelibat Perwira Rapidnya namun hampa. Ayra sudah kehilangan jejaknya.
Ayra terasa hidupnya kelam. Tidak nampak arah tujuannya lagi, baru saja dia mahu nekad untuk meneruskan hubungan mereka walaupun berbeza darjat, namun Ayie pula tiba-tiba menyepi. Baru saja dia mahu mempertahankan cinta itu andai Ayie mengakui ada cinta dalam hatinya buat Ayra, namun kata-kata cinta itu tidak sempat menerpa telinganya.
Ayra pasrah andai Ayie pergi jauh dari cintanya. Ayra tidak mampu menghalang Ayie yang tiada khabar.
-------------------------------------------------------------------------------
Enam bulan kemudian...
“Ayra, ada orang datang merisik kamu ni...” suara ibunya yang gementar di corong telefon buat Ayra tersentak.
“Merisik? Siapa pulak yang datang merisik Ayra ni ibu? Buang tebiat ke?”
“Ish, kamu ni. Orang datang merisik ni dah cukup baik tau. Ibu terima ajelah ye. Tangguh-tangguh kang sampai tua kamu tak berlaki, umur dah 26 dah.”
“Ala ibu ni, relaks la. Ayra masih jiwa muda la.”
“Jiwa muda la sangat. Sudah-sudah, ibu terima aja ni. Mereka macam orang baik-baik aja. Calonnya pun kerja bagus. Sesuailah dengan anak ibu.”
“Eii, ibu ni, bagilah Ayra jumpa dulu dia tu. Janganlah main serbu aja.”
“Yelah-yelah. Ni calon menantu ibu ni cakap, esok dia nak jumpa kamu kat restoren Sri Bayu pukul lapan malam. Kalau kamu berkenan, terus telefon ibu tau. Ibu nak buat persiapan.”
“Restoren Sri Bayu?” Ayra teringatkan restoren itu, yang menemukan Ayra dan Perwira Rapidnya.
“Yelah. Kenapa?”
“Tak ada apa-apalah ibu.”
Ayra meletak gagang. Semangat betul ibunya, mentang-mentanglah umurnya sudah wajib kahwin.
Ayra pelik, mengapa tiba-tiba saja ada orang yang datang merisik. Siapalah pulak jejaka malang yang berkenan padanya, dia sendiri naik hairan.
Perwira Rapid? Ahh. Sudah lama dia pergi tanpa khabar. Ayra mahu setia menunggu, tetapi jika ibunya memaksa dia menerima calon ini, apa lagi yang harus dilakukannya selain berserah dan terima keputusan keluarga.
“Ayra...” Ayra tersentak saat mendengar suara itu, ada kerinduan dalam hatinya yang sukar digambar.
“Abang A..a...ayie?” Ayra terkedu. Ayie menghampiri Ayra lantas duduk di kerusi berhadapan Ayra.
“Apa abang buat kat sini? Kejap lagi Ayra ada temujanji. Macam mana kalau dia nampak abang?” Ayra bersuara dalam nada cemas, namun air jernih sudah bertakung di tubir mata.
“Shh.. shhh... Ayra tenang sayang.” Darah Ayra terasa menyirap saat Ayie memanggilnya sayang. Sayang apa kalau dia ditinggalkan begitu lama?
“Apa abang mahu lagi? lepas abang tinggalkan Ayra macam tu saja.”
“Ayra dengar sini sayang. Abang minta maaf. Abang terpaksa.”
“Terpaksa?”
“Abang malu nak berhadapan dengan Ayra. Abang sedar kedudukan kita tak sama. Sebab tu abang membawa diri...”
“Tapi kenapa tiba-tiba abang? Macam mana abang tiba-tiba fikirkan soal tu?”
“Abang nampak status Facebook Ayra tempoh hari. ‘Adakah penting darjat dan kedudukan dalam cinta?’ abang jadi sedar lepas baca status tu. Abang faham mesti keluarga Ayra takkan terima pemandu bas macam abang.”
“Tapi, Ayra sanggup terima abang seadanya.”
“Abang tak mahu Ayra menderita jugak. Sebab tu abang membawa diri.”
“Abang kemana selama ni?”
“Mencari kerja.”
“Hah cari kerja?” Ayra pelik.
“Ya, dengan diploma yang abang ada dulu, abang gunakan untuk mencari kerja yang lebih baik supaya abang setaraf dengan Ayra. Alhamdulillah, sekarang abang dah jadi penolong pegawai.”
Ayra tersenyum bahagia. Begitu rupanya.
“Tetapi kenapa mesti abang berdiam diri? Kenapa tak terus terang saja dengan Ayra?”
“Abang tak mahu Ayra pujuk abang supaya tak perlu susah payah mencari kerja. Abang tahu Ayra mesti cakap Ayra tak kisah abang kerja pemandu bas kan? Sebab tu abang tak beritahu. Abang takut abang lemah semangat kalau cakap dengan Ayra.”
“Jadi Ayra ni pelemah semangat abang lah?”
“Bukan sayang. Cinta kitalah yang menguatkan abang selama ni. Cuma abang tahu mesti Ayra tak mahu abang susah kan. Sebab tu abang mendiamkan diri.”
“Tapi abang dah susahkan Ayra pulak, buat Ayra tertanya-tanya. Tertunggu macam ni.”
“Maafkan abang sayang. Abang janji tak buat lagi.”
“Dah terlambat. Ibu Ayra dah carikan calon untuk Ayra. Dah ada orang nak datang merisik, ni Ayra nak jumpa dia lah ni.”Ayra sengaja mahu membuat Ayie cemburu.
“Jangan risau. Itu abang, abang yang nak datang merisik Ayra.”
“Abang!” Ayra membentak.
“Abang cintakan Ayra!” air mata Ayra hampir gugur saat mendengar luahan hati Ayie yang selama ini tidak pernah terbit dari mulutnya.
“Ayra cintakan Perwira Rapid!”
“Perwira Rapid?”
“Aah, abanglah, Perwira Rapid. Pemandu bas Rapid. Hehehe.”
“Tapi abang dah tak jadi pemandu bas dah.”
“Tak kisah. Abang tetap Perwira Rapid di hati Ayra. Sebab abang jadi pemandu baslah kita dapat berjumpa kan?”
Mereka sama-sama tertawa.
Terima kasih Perwira Rapid. Walau kau tiada Ducati, yang ada cuma bas henti-henti, kau tetap idaman hati, yang ku cinta sampai mati!
=Tamat=
-----------------------------------------------------------------------------------



Suka? =)

7 comments:

  1. huhuhuhu... best r... lepas jugak windu kat shark n sheyy... ayie n ayra pown cumel huhuhu :)

    teruskan berkarya ya :)

    love amie

    ReplyDelete
  2. bestnya...... teruskan karya dan penulisan anda... jgn lupa di p2u... hehehe:)

    ReplyDelete
  3. comel pantun kat bwh tu..hehehe...sweet..:)

    ReplyDelete
  4. Kelakr la citer ni.. N sweet gak.. Hehe

    ReplyDelete
  5. kelakar +sweet ;) suke22

    ReplyDelete
  6. Ayat ending tu comel gile... Cam bace pantun plak...rhyme je ending sume ^^

    ReplyDelete

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!