Suara azan yang baru berkumandang menusup ke jantung Auni, ada getaran dalam dadanya tatkala mendengar azan petang itu. Al-Quran yang masih terbuka segera ditutup dan disimpan rapi di dalam rak di surau itu. Suara itu begitu mendayu hinggakan Auni merasa sebak dalam dadanya. Dia senyap di satu sudut di dalam surau itu sambil mendengar dan membalas azan itu sendiri. Usai azan berkumandang, segera dia menadah tangannya dan berdoa.
Auni segera mendirikan solat sunat sebelum kembali duduk menanti solat Asar. Suara siapakah itu? Hatinya tertanya sendiri, sebelum ini dia tidak pernah mendengar suara itu melaungkan azan sedangkan dia setiap hari menjadi pengunjung setia surau berdekatan Fakulti Sains dan Teknologi(FST) itu setiap kali masuk waktu Asar. Iqamah mula kedengaran membantutkan persoalan dalam diri Auni, dia segera berdiri dan membetulkan kedudukannya di dalam saf.
“Allahu Akbar!” Auni terpaku, suara itu juga menjadi imam bagi solat Asar itu. Auni meraup wajahnya, mencari kekuatan supaya dirinya khusyuk lantas segera mengangkat takbir.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Beg sandangnya diletakkan di atas meja sebelum dia mengambil duduk di kerusi di dalam kafe itu. Ina memandang Auni yang kelihatan terganggu, seolah-olah memikirkan sesuatu.
“Kenapa ni Auni?”
“Kenapa ni Auni?”
Auni yang asyik memikirkan siapa pemilik suara insan yang mengimamkan solat asar tadi tersedar dari lamunan, dia tersenyum memandang teman baiknya itu.
“ Tak ada apalah, Ina. “ Auni cuba berselindung.
“Betul ke ni? Macam pelik je.” Ina menduga hati Auni.
Auni tersengih. Hmm, patut ke aku tanya Ina? Hatinya terfikir sendiri.
“Tengok, mengelamun lagi.” Ina menegur menyebabkan Auni tersenyum lebih lebar.
“Eh, Imam solat tadi.” Tiba-tiba Ina bersuara sambil melihat seorang jejaka yang baru masuk ke dalam kafe. Auni melihat ke arah jejaka itu, ada getaran dalam dadanya. Subhanallah, tenang sungguh wajah insan itu. Matanya indah seperti bercelak, wajahnya masih kelihatan basah, mungkin dari air sembahyang tadi. Dia hanya asyik menunduk. Lansung tidak memandang sesiapa.
Auni melihat Ina dengan hairan. “Macam mana Ina tahu, dia imam tadi?”
Ina tersenyum sambil duduknya dibetulkan.
“Dia sama fakulti dengan Ina. Dia budak Kaunseling. Ina kan budak akaun, selalu la solat kat surau dekat Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) tu. Kat surau tu memang selalu dia yang jadi imam, Ina pernah tanya kat kawan-kawn Ina, siapa yang selalu jadi imam kat surau tu, seorang kawan Ina beritahu dia tu yang selalu jadi imam. Ina saja la nak tahu sebab suara dia sedap, mendayu, rasa macam nak nangis je kalau dia baca surah masa imamkan solat, kan? Tapi tak tahulah pulak kenapa tadi dia solat kat surau FST. Sama kes macam Ina kot, jumpa kawan. Hehe.” Ina tersengih sambil matanya masih memerhatikan gerak geri jejaka itu yang sedang menyedok lauk ke pinggannya di meja buffet.
Auni mengangguk perlahan. Memang suaranya sangat indah seperti dirinya juga. Auni turut memerhatikan jejaka itu dari jauh. Terasa tenang hatinya saat itu.
“ Ehem,” Ina berdehem. Auni segera memandang Ina yang sedang tersengih melihatnya.
“Takkan dah jatuh cinta kot?” Ina cuba menelah. Muka Auni terasa merah padam. Dia sendiri tidak pasti perasaan apakah yang sedang membelenggu dirinya saat dia melihat jejaka itu, tetapi jiwanya rasa sungguh tenang.
“Merepeklah Ina.”
“Kalau nak tahu, nama dia Muhammad Auni Anaqi. Hehe.” Ina lancar memberitahu. Auni terdiam, Muhammad Auni Anaqi? Kami memiliki nama yang sama. Auni; ketenangan dan ketetapan. Hmm, sesuai benar nama itu dengannya. Auni tersenyum sendiri, rasa gembira di hatinya kerana berkongsi nama dengan jejaka itu.
“Eh jom lah makan, Ina lapar ni, dari tadi tak makan tau.” Ina menarik tangan Auni ke meja buffet. Auni dapat rasakan dadanya kian berdebar saat menghampiri meja buffet kerana meja tempat Anaqi duduk, berdekatan dengan meja buffet. Auni merasa gelisah saat memilih lauk, dadanya berdegup kencang, sempat juga dia melihat Anaqi secara curi-curi. Jejaka itu sungguh sopan menyuapkan makanan ke mulutnya. Perlahan dan begitu tertib, Auni merasakan dirinya pun tidak sesopan itu, walaupun dia seorang perempuan, Auni rasa malu dengan dirinya kerana kalah pada seorang lelaki dalam hal adab sopan.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Perjumpaan usrah hari itu berlansung dengan lancar. Semua naqib dan naqibah sudah berada di dalam kumpulan masing-masing bersama-sama anak-anak usrah. Auni, salah seorang naqibah sedang asyik berbincang dan berkongsi ilmu bersama anak-anak usrahnya saat ketua usrah membuat pengumuman.
“Kepada semua naqib dan naqibah, sila berkumpul di hadapan sebentar.” Auni segera bangun saat dipanggil, lantas mengorak langkah ke depan. Ketua usrah menerangkan sesuatu yang perlu disampaikan dalam usrah hari ini. Auni khusyuk mendengar saat dia terpandangkan Anaqi, rupa-rupanya Anaqi juga ada dalam usrah ini selama ini, dan dia juga seorang naqib. Kenapa selama ni aku tak perasan pun kehadirannya dalam pertemuan naqib dan naqibah sebelum ini?hmm, bila sekali kita terjumpa seseorang, banyak kali pula Allah pertemukan kita, Auni terfikir sendiri. Tiba-tiba Anaqi memandang Auni yang sedang memandangnya menyebabkan Auni segera mengalih pandangan. Terasa malu pada Anaqi kerana secara senyap memandangnya. Auni beristighfar, cuba mencari kekuatan. Niat aku menyertai usrah itu adalah untuk berkongsi ilmu, bukannya untuk fikirkan hal duniawi, Auni cuba menguatkan hatinya dan berusaha untuk tidak hanyut lagi dalam perasaannya.
Auni mengambil semula tempatnya di sisi anak-anak usrahnya, tajuk kupasan yang akan dibincangkan hari ini memang agak menarik; ‘Cinta dalam Islam’, Auni sedar dia sendiri masih kurang ilmu tentang cinta dalam Islam, namun dia sudah membuat persediaan sebelum menghadiri usrah itu.
Teringat Auni pada satu kata-kata dari Imam Nawawi, "Aku mencintaimu kerana agamamu. Jika hilang agamamu dari dirimu, maka hilanglah cintaku padamu." Jelas sekali cinta itu haruslah hadir keranan Allah, dan hilang keranaNya jua. Auni terdiam seketika, merasakan cinta yang kian hadir dalam hatinya kerana keimanan yang jelas terpancar dalam diri Anaqi. Aku mencintainya kerana agamanya, bisik hati kecil Auni perlahan.
Dari ekor matanya, Auni dapat melihat Anaqi dari satu sudut, sedang khusyuk berkongsi ilmu dengan anak usrahnya. Auni rasa bersemangat melihat semangat Anaqi berdakwah. Segera dia menumpukan perhatian pada anak-anak usrahnya dan mula berbincang. Inilah tugasku sebagai da’ie di bumi Allah yang hanya pinjaman ini, aku harus menjalankan tugasku dengan amanah, Auni menetapkan hatinya.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Auni termenung sendirian di biliknya, Ina sudah lama lelap sedangkan Auni merasakan matanya begitu payah untuk lelap. Ingatannya pada Anaqi kian kuat, entah mengapa hatinya masih tak mampu melupakan suara dan wajah insan itu. Jantungnya kian berdebar, tiap kali dia teringatkan Anaqi, peribadi insan itu benar-benar menarik hati Auni. Tasbih yang tersedia di sebelah bantalnya segera dicapai, segera dia beristighfar dan berselawat, ingin membuang segala perasaan yang kian bersarang dalam hatinya. Auni tahu cinta itu fitrah manusia namun dia takut andai cinta itu akan melalaikan dia dalam menjalankan suruhan Allah, takut hilang khusyuknya pada ibadah dan alpa pada duniawi. Auni berzikir hingga matanya terlelap. Auni terjaga saat jarum jam menunjukkan pukul 3.30 pagi. Auni bingkas bangun, teringat pesan ustaznya, andai terjaga dari tidur pada sepertiga malam, eloklah tunaikan solat tahajjud. Auni teringatkan firman ALLAH Ta'ala.
" Dan di waktu malam bangkitlah sembahyang tahajjud sebagai sembahyang tambahan bagi ibadatmu semoga ALLAH membangkitkanmu di hari Akhirat dengan kedudukan dan darjat yang terpuji." - Al - Isra' (79).
Auni segera berwuduk, dan menunaikan solat tahajjud, kemudian bangun untuk solat taubat dan solat hajat pula.
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Ya Allah...
Seandainya telah Engkau catatkan...
Dia milikku tercipta buatku...
Satukanlah hatinya dengan hatiku...
Titipkanlah kebahagiaan antara kami..
Agar kemesraan itu abadi...
Ya Allah...
Ya Tuhanku yang Maha Mengasihani...
Seringkanlah kami melayari hidup ini...
Ketepian yang sejahtera dan abadi...
Maka jodohkanlah kami...
Tetapi Ya Allah...
Seandainya telah Engkau takdirkan
Dia bukan milikku...
Bawalah dia jauh daripada pandanganku...
Luputkanlah dia dari ingatanku...
Dan periharalah aku dari kekecewaan...
Ya Allah ya Tuhanku yang Maha Mengerti...
Berikanlah aku kekuatan...
Menolak bayangannya jauh ke dada langit...
Hilang bersama senja yang merah...
Agarku sentiasa tenang...
Walaupun tanpa bersama dengannya...
Ya Allah yang tercinta...
Pasrahkanlah aku dengan takdir-Mu..
Sesungguhnya apa yang telah Engkau takdirkan
Adalah yang terbaik untukku...
Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui...
Segala yang terbaik buat hamba-Mu ini...
Ya Allah...
Cukuplah Engkau sahaja yang menjadi pemeliharaku...
Di dunia dan akhirat...
Dengarkanlah rintihan daripada hamba-Mu
yang daif ini...
Jangan Engkau biarkan aku sendirian...
Di dunia ini mahupun di akhirat...
Menjuruskan aku ke arah kamaksiatan dan kemungkaran...
Maka kurniakanlah aku seorang pasangan yang beriman...
Agar aku dan dia sama-sama dapat
membina kesejahteraan hidup...
Ke jalan yang Engkau redhai...
Dan kurniakanlah kepadaku keturunan yang soleh dan solehah...
Ya Allah...
Berikanlah kami kebahagiaan di dunia dan akhirat...
Dan periharalah kami dari azab api Neraka...
Amin...amin...Ya rabbal 'aalamin.
Auni meraup wajahnya usai berdoa. Aku tak mampu meluahkan rasaku ini padanya, cukuplah aku meminta pada Allah, sesungguhnya hanya Dia mengerti perasaanku dan mengetahui siapa jodohku kelak, Auni berfikir sendiri. Aku bukanlah inginkan lelaki yang sempurna segala-galanya, bukan juga yang digilai kerana rupa parasnya, tapi aku ingin memilih dia yang penuh dengan kerendahan hati, tebal dengan iman di dada, zuhud pada yang Esa, bibirnya sentiasa basah dengan zikir, sepertiga malamnya terisi dengan menemui sang Penciptanya dengan hati yang sarat dengan kerinduan dan kecintaan kepadaNya, hatinya mencintai Rasulullah lebih dari sesiapa. Dialah khalifah yang akan memimpin, dialah da’ie yang membimbing, dia jua mujahid yang berjuang, untuk menegakkan syiar Islam . Biarlah dia ajnabi di dunia asalkan namanya menjadi sebutan di langit dan dirindui para bidadari syurga, Auni berbisik sendiri pada hatinya, menetapkan maksud hatinya.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Hari ini, sudah hampir tiga tahun berlalu, namun perasaan Auni pada Anaqi tidak pernah luntur. Kekaguman Auni pada insan itu membuatkan dia sukar membuang perasaan cinta yang kian bersemi. Auni selalu bertemu dengan Anaqi sama ada dalam usrah ataupun majlis-majlis ilmu, namun Auni tidak pernah berani untuk menegur mahupun menghulurkan salam ukhwah pada insan itu. Hanya doa yang selalu dipanjat agar Anaqi menjadi jodohnya namun dia pasrah andai telah tertulis Anaqi bukan jodohnya. Auni sentiasa berpegang pada kalam Allah;
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)
Auni sedang berjalan pulang ke kolej kediamannya saat Ina memanggil dari arah belakang.
“Auni, Auni. Ada berita tergempar ni!” jerit Ina dari belakang.
Ina berhenti di hadapan Auni dengan keadaan termengah-mengah. “Kenapa ni Ina? Macam kena kejar hantu je Auni tengok..”
Ina tersengih. Nafas ditarik dalam-dalam hingga semputnya hilang.
“Auni, Auni, ada berita tergempar sangat ni.” Bulat mata Ina memberitahu.
“Apa dia berita tu?” tanya Auni tidak sabar.
“Auni kena banyak bersabar tau.” Ina cuba menenangkan Auni walalupun dia belum menceritakan perkara sebenar.
“Anaqi nak bertunang hujung bulan ni.” Kata-kata Ina buat Auni tergamam, Anaqi nak bertunang? Hatinya merintih sendiri, ada air jernih yang mula bertakung di kelopak matanya.
“Eh, Auni tak apa-apa ke?” Ina risau melihatkan Auni yang seperti mahu menangis.
Auni memandang wajah Ina, sambil menyeka air matanya yang hampir mengalir. Perlahan dia tersenyum memandang Ina.
“Auni okey, jangan risau ya.” Auni cuba meyakinkan Ina walaupun dirinya sendiri tidak pasti keadaannya saat itu. walaupun dia hanya menyimpan perasaannya dalam hati, tapi air matanya hampir gugur saat mengetahui Anaqi akan bertunang. Auni menarik nafas dalam-dalam, cuba mencari kekuatan dalam dirinya yang makin rapuh.
“Macam mana Ina tahu berita ni? Anaqi mesti takkan hebohkan pertunangan dia kan?” Auni bertanya dengan yakin walaupun hatinya perit.
Ina mengangguk. “Kawan Ina tu sekampung dengan Anaqi, mak dia yang beritahu. Mak Anaqi nak jodohkan Anaqi dengan anak temannya masa sama-sama pergi Haji dulu. Anaqi tu mestilah ikut cakap mak dia, dia kan anak mithali. Hehe.” Ina tersenyum sendiri, namun senyumnya mati saat melihat Auni terdiam.
“Auni, okey tak ni?” Ina mula risau.
“Eh, Auni okey,” Auni cuba tersenyum. Hatinya terasa benar-benar perit namun dia tak mampu berbuat apa-apa lagi. Ini percaturan Ilahi, hanya Dia yang Maha Mengetahui siapa yang layak memiliki hati Anaqi, dan Auni pasrah, dia bukan jodoh Anaqi.
“Ya Allah, aku pasrah andai Anaqi bukan jodohku Ya Allah, namun mengapa hati ini berat untuk menerima kenyataan ini, kenapa hatiku begitu pedih Ya Allah, aku mengharapkan kecintaanku padanya adalah semata-mata kerana mencari redhaMu ya Allah. Ikhlaskanlah hatiku meredhakan segalanya. Sesungguhnya aku memang tidak layak berada di sisinya. Redhakan aku Ya Allah, redhakanlah aku...amin” Auni mengesat air matanya yang kian berhamburan, mencari kekuatan untuk menerima hakikat yang pedih ini. Auni redha, dia mencintai Anaqi kerana agamanya, keimanan insan itu membuatkan dia mendambakan insan seperti Anaqi untuk menjadi khalifah dalam perjalanan hidupnya mencari cinta Ilahi.
Auni teringatkan firman Allah yang bermaksud: “Perempuan-perempuan yang keji untuk laki-laki yang keji dan laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji. Sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik.” [Surah al-Nur, ayat 26]. Auni berharap dia mampu menjadi perempuan yang baik supaya mendapat seorang lelaki yang baik juga walaupun insan itu bukanlah Anaqi.
“Biarlah aku hanya bercinta dengan Penciptaku kerana dia Maha Penyayang.” Auni berkata sendiri.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Hari ini Auni telah menamatkan pengajiannya, dia melangkah turun dari kereta ayahnya yang baru tiba dihalaman rumahnya setelah menjemputnya dari universiti. Suasana rumahnya meriah, Auni terkesima kerana ramai jiran-jirannya yang berkumpul di dalam rumahnya. Mereka kelihatan berbisik antara satu sama lain saat dia melalui mereka.
“Adik, kenapa ramai sangat kat rumah ni, ada kenduri ke?” Auni bertanya pada adik bongsunya, Dini yang sedang menantinya di dalam biliknya.
“Kan esok kak nak bertunang, mereka datang tolong la tu.” Auni tergamam mendengar kata-kata adiknya itu. esok aku bertunang? Kenapa aku sendiri tak tahu? Auni terkedu, segera dia mencari ibunya di dapur.
Ibu tersenyum saat Auni bertanya. Tangan Auni digenggam erat.
“Ibu tahu Auni takkan membantah, lagipun ayah yang mahu sangat berbesan dengan kawannya tu. Ibu nak beritahu Auni lebih awal, tapi ayah tak bagi, dia nak Auni habis peperiksaan dulu. Auni tak bantah kan?” Ibu Auni lembut berbicara dan memandang Auni penuh harapan. Auni mengeluh perlahan, tak sanggup menghampakan harapan ayah dan ibu.
“Baiklah, Auni setuju.” Auni berkata perlahan. Sebagai anak, memang dia sepatutnya tidak boleh membantah andai ibu bapanya mahu menjodohkannya dengan sesiapapun. Auni melabuhkan diri di atas katilnya, masih tidak percaya yang dia bakal bertunang esok. Mungkin ajnabi itu Allah telah tetapkan sebagai jodohku, aku harus pasrah menerimanya, Auni menetapkan hatinya.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Auni mengucup tangan bakal mertuanya usai acara menyarung cincin di jari manisnya. Bakal suaminya belum muncul kerana ada urusan lain. Biarlah dia tak hadir, apapun aku bakal berkahwin dengannya juga, fikir Auni sendiri.
“Assalammualaikum.” Suara itu seperti mesra di telinganya. Auni mendongak untuk melihat gerangan pemilik suara itu.
“Waalaikumussalam,” kedengaran suara tetamu di dalam rumah itu membalas. Auni terpana melihat susuk tubuh itu. Kenapa dia ada di sini? Soal Auni sendiri.
“Itulah bakal suami Auni.” Bisikan ibu di telinga hampir membuat Auni pitam. Ya Allah, apakah benar semua ini.
Anaqi yang mengambil duduknya sebelum tiba-tiba memandang Auni. Sebuah senyuman ikhlas terpamer pada bibirnya. Auni terkesima tidak percaya. Namun dia berlagak biasa walaupun hatinya bagai mahu menjerit gembira. Rupa-rupanya Anaqi bakal bertunang dengan aku, fikir Auni sendiri dalam gembira.
Malam itu, Auni diam di kamarnya. Masih tidak percaya yang Anaqi adalah tunangnya kini. Perlahan Dini menghampiri Auni.
“Kak, tunang akak bagi surat.” Dini berkata sambil menghulurkan sepucuk surat. Auni gamam namun pantas mengambil surat itu dari tangan adiknya.
“Hehe..suka la tu.” Dini pantas mengusik sebelum keluar dari bilik.
Auni terpana seketika. Surat di dalam tangannya, dibuka perlahan.
Assalammualaikum,
Menemui bakal pemilik hatiku, maafkan aku andainya surat ini mngganggu harimu. Aku sekadar ingin meluah rasa yang terbuku. Saat pertemuan pertama, ada getar dalam dada ini, namun kusabarkan hati kerana dirimu ajnabi bagiku. Aku mencari seorang akhwat yang beragama, kerana itulah pesan kekasih yang kucintai. Baginda berpesan dalam hadisnya bermaksud, "Kahwinilah wanita itu kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikan dan kerana agamanya. Pilihlah wanita yang beragama, engkau akan selamat".
Melihat dirimu telah meyakinkan aku bahawa hanya dirimu yang ingin kusunting menjadi suri hatiku. Menjadi pemilik tulang rusukku, menjadi makmum dalam ibadahku, menjadi mujahidah dalam perjuangan agamaku. Pantas, aku meminta ummi menyuntingmu buat diriku,dan tidak kusangka ummi dan walid mengenali keluargamu saat mereka menunaikan Haji di Baitullah, dan ibu serta ayahmu juga pantas bersetuju walaupun aku sedar dirimu belum memberikan sebarang persetujuan. Sungguh mudah Allah jadikan perjalanan buat diriku untuk memilkimu, Auni.
Dan saat dirimu sudi menerima diriku sebagai khatibmu, kebahagian yang kurasai tak mampu kulafazkan. Akan kupastikan aku menjadi seorang zawj yang selayaknya buat dirimu. Syukran jazilan ya makhtubah....
Auni menutup surat itu dengan linangan air mata, tidak percaya yang selama ini Anaqi juga berperasaan sama dengannya. Ya Allah, terima kasih kerana mendengar doa hambaMu ini dan memakbulkan permintaanku. Aku sungguh bersyukur Ya Allah kerana mengurniakan aku seorang khalifah yang terbaik buat diriku. Semoga cinta kami akan subur dan seharum syurgaMU.
~Tamat~
*Salam. Maaf pembaca sekelian, saya rasa karya saya ini kurang memuaskan. Dah beberapa hari saya fikir tp idea xnak dtg...ehehe... tp sbb dh delay lama sangat karya yg ini, saya siapkan jugak walaupun sebenarnya masih tak puas hati..harap segala cacat cela dalam cerpen saya yang terbaru ini dimaafkan.. saya budak baru belajar... hehe. Segala komen amat dialukan dan saya akan perbaiki karya saya di masa akan datang... syukran jazilan~~*
Suka? =)
salam... terharunya bila bc kisah nie...
ReplyDeletekisah yg menyentuh hati dan menjadi pengajaran kepada kita semua..:)
ReplyDeletemenyentuh hati..sgt bagus
ReplyDeletebest la cter ni...mnyentuh hati..
ReplyDeletebest citer ni..skali sekala baca cerpen mcm ni pn bgus jgk
ReplyDeletemenyentuh hati & memberi pengajaran :)
ReplyDeleteCerita ni best.. =)
ReplyDeletebest cerita ni...memberi kesedaran tentang kecintaan yang sebenarnya.. :)
ReplyDeleteSis...nangis baca cerpen Ni.....greattt !!!
ReplyDeleteCter yg pnuh dgn pengajarn..
ReplyDeleteKisah cinta yg menarik untuk diteladani anak2 muda. Teruskan berkarya dengan episod cinta yg dibenarkan dan dituntut dlm islam
ReplyDeleteAssalamualaikum , cerita ini amat menarik dan berharap cinta diri ini terjadi seperti kisah DOA SEORANG KEKASIH karya anda :) Insya Allah
ReplyDeletePnuh dngn mksd yg trsrt..sy ska sngt..alhamdulillah
ReplyDelete