~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Monday, December 6, 2010

Novel : Setulus Cinta Bab 1


Suasana kafeteria petang itu agak sunyi. Hanya beberapa pengunjung kelihatan. Dua pemuda itu duduk di bahagian yang agak tersorok, mungkin mencari ketenangan untuk berbicara. Naim memandang Ammar dengan penuh kehairanan. Bingung dia memikirkan hal yang satu ini.
“ Kau ni dah gila ke, Mar?” akhirnya kata-kata itu terbit jua dari mulutnya. Kepalanya digaru perlahan. Ammar  mendongak memandang wajah sahabat baiknya sejak dari bangku sekolah itu.
”Kenapa kau cakap macam tu pulak? Apa yang aku dah buat?” Ammar  hairan dengan sikap Naim yang tiba-tiba bertanyakan dia sebegitu.
“Kau tanya apa kau dah buat? Yang kau tu tiba-tiba je mengaku yang kau tu dah jatuh suka kat perempuan montel tu apa pulak. Tak ada perempuan lain ke yang kau nak suka. Baru pertama kali jumpa dah mengaku suka, apa kes? Kau tu Tengku Ammar Firdaus, rupa ada, harta ada, ramai lagi perempuan yang kau boleh dapat. Kenapa mesti dia tu jugak yang kau berkenan.”
Naim tidak puas hati, luahan perasaan yang tiba-tiba keluar dari mulut Ammar itu membikin hatinya tak keruan memikirkan perkara itu, apa yang ada pada gadis biasa itu hingga Ammar terpikat?
Senyuman terukir di bibir Ammar  yang merah. Perlahan dia meletakkan sudu dan garfu kembali dan berhenti dari menjamah hidangan nasi ayam dihadapannya. Rambutnya yang terjuntai diraup kebelakang sebelum kembali memandang Naim.
”Entahlah Naim, aku pun tak pasti, memang la aku baru sekali terserempak dengan dia, tapi saat pertama kali aku berjumpa dia pun aku dah rasa sesuatu, rasa tenang, rasa berbunga-bunga, aku pun tak tahu nak cakap macam mana, tapi yang aku tahu aku suka lah kat dia tu,” senyuman kembali terukir dari bibirnya. Wajah pemilik nama Zafira itu kembali terbayang dalam benaknya. Memang benar kata Naim, kalau hendak dibanding dengan gadis-gadis lain, Zafira pasti kalah, dengan badan yang agak gempal, berkacamata pula, Zafira terlalu biasa untuk dirinya yang menjadi idaman gadis-gadis di kampus, tapi entah mengapa hatinya begitu terpaut. Baginya kelembutan dan budi bicara gadis itu lebih menarik hatinya berbanding gadis lain yang hanya bersandarkan paras rupa tetapi perangainya hancur.
---------------------------------------
Ammar memandang wajah itu, lama. Entah mengapa hatinya tiba-tiba rasa bagai dipanah petir saat memandang wajah gadis itu yang sedang asyik mengutip buku-buku dan fail yang terjatuh di tengah koridor itu.
Perlahan Ammar menghampirinya lantas berlutut di lantai sambil mengutip beberapa buku kepunyaan gadis itu.
“Nah...” Ammar  bersuara sambil menghulurkan buku-buku yang telah dikutipnya tadi.
Gadis itu segera memandang Ammar  seraya tersenyum, manis sekali.
“Terima kasih saudara,” dia membalas dalam nada yang ceria.
“Maaf susahkan saudara, saya kalut tadi sampai semua buku berterabur,” gadis itu menerangkan kejadian yang menimpanya tadi. Memang Ammar sedang berjalan di koridor itu saat gadis itu tiba-tiba terlanggarnya hingga habis buku-bukunya bertaburan.
“Tak apa, lain kali hati-hati ya!” pesan Ammar saat tangan Zafira mengambil buku dari tangannya.
“Er, ya terima kasih ya,” Zafira malu-malu. Sedar akan kesalahannya yang kelam kabut tadi, kalut untuk ke kuliah yang hampir bermula. ‘Alamak kuliah!’ Zafira mula tersedar.
“Saya pergi dulu ya saudara, maaf dan terima kasih sekali lagi,” Zafira segera berlalu dengan pantas tanpa menoleh pada Ammar lagi.
Ammar kaku di tempatnya. Entah mengapa, hatinya bagaikan begitu tertarik dengan persona gadis itu, walaupun hanya baru pertama kali berjumpa, dia dapat merasakan ada sesuatu pada gadis itu yang membuatkan dia berkenan.
‘Takkanlah aku dah jatuh cinta pandang pertama?’ Ammar menggosok kepalanya seraya mengangkat beg galasnya yang sudah terlepas ke lantai saat berlanggar dengan gadis itu tadi.
“Nur Zafira Aryssa,” mata Ammar terus tertancap pada sebuah buku folio yang sudah elok dibinding berada di bawah begnya. Barangkali terjatuh di situ.
Perlahan Ammar tersenyum.
“Eh ni apahal senyum sorang-sorang ni, gila ke?” suara Naim itu terus mematikan ingatan Ammar tentang saat pertama kali dia bertemu Zafira, baru dia tersedar yang dia masih berada di dalam kafeteria bersama Naim.
Ammar cuma tersengih.
“Memang sahlah kau dah gila Mar.”
“Bila agaknya aku dapat jumpa dia lagi ek Naim? Teringin la nak jumpa lagi,” Ammar seolah masih tenggelam dalam dunianya sendiri.
“Ah, mulalah tu…” Naim menepuk dahinya.
------------------------------------------- 
“Alamak! Mana ni?” Zafira mengomel sendirian sambil tangannya sibuk menyeluk beg kuliahnya, habis diseluk, dituang pula beg itu sambil dikocak-kocak hingga habis berterabur segala benda yang tersimpan di dalam beg itu.
“Mana ni? Mana ni?” mulutnya masih berceloteh sambil tangannya beralih ke rak bukunya pula, jarinya membelek satu persatu buku yang tersusun kemas di rak itu.
“Kenapa ni Fira? Kenapa kelam-kabut ni?” Husna yang baru pulang dari membasuh baju di dalam bilik air hostel itu segera menegur Zafira yang kelihatan cemas.
Zafira segera memandang Husna dengan wajah sedih.
“Na nampak tak, assignment Fira tu? Fira dah siap binding dah, tapi Fira cari tak adalah Na, matilah Fira macam ni…”
Zafira menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal, buntu mahu mencari di mana lagi.
“Fira salah letak kot, takkan tak ada,” Husna ikut tolong mencari, membelek satu persatu buku di atas meja tulis Zafira.
“Itulah yang Fira pelik, Fira rasa ada je tadi Fira bawak masa pergi kuliah sebab nak hantar kat Puan Shima, tapi Puan Shima tak ada pulak, jadi Fira bawak balik dulu, tengok-tengok dah tak adalah Na…”
“Jatuh kat mana-mana kot Fira? Cuba Fira ingat betul-betul.”
Berkerut dahi Zafira, memikirkan ke mana agaknya assignmentnya menghilang.
“Ah ha! Fira dah ingat! Betullah Na, Fira memang ada terlanggar orang pagi tadi, lepas tu habis semua barang Fira jatuh, barangkali assignment tu jatuh sekali, ala matilah Fira, Na…”
Husna memeluk bahu sahabatnya itu.
“Orang tu dah kutip kot Fira. Nanti Fira jumpa dia Fira tanya ok?”
“Hmm, ok. Tapi macam mana nak cari dia ek? Nama dia, course dia, semua Fira tak tahu.”
Husna mengangkat bahu.
“Tawakal, doakan supaya Fira dapat jumpa dia balik ok?”
“Kalau tak ada dekat dia pulak macam mana?”
“Fira, banyakkan sabar ek? Kalau tak ada kat dia baru kita fikir nak buat apa. Tak apa, Puan Shima nak assignment tu lusa kan. Kita ada masa lagi.”
Zafira mengangguk perlahan, mengiyakan kata-kata Husna, namun hatinya masih dipagut kerisauan.

p/s : Akhirnya dapat jugak mulakan novel ni.. hehe.. ini novel yang AK dah karang sejak tingkatan 4, baru nak edit balik. bagi yang mengikuti novel Kalimah Cinta, harap bersabar ek, novel KC dalam proses susunan cerita, dan brainstorming.. heheeheheh~


Suka? =)

4 comments:

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!