Aku tertancap di depan kaunter pendaftaran pesakit, mendaftarkan nama para pelajarku seramai 15 orang yang disyaki keracunan makanan. Pelajar-pelajar terbabit sudah di bawa masuk untuk rawatan. Aku agak panik apabila melihat wajah mereka yang pucat lesi serta keletihan kerana cirit-birit dan muntah-muntah. Nasib mereka baik kerana segera dibawa ke hospital setelah pihak sekolah menerima aduan.
“Ila, tolong kak boleh tak?,” pertanyaan Salima buat aku segera berpaling ke arahnya yang kelihatan terburu-buru menuju ke arahku di bilik komputer itu.
“Ada apa Kak?,” aku memandang wajahnya penuh minat.
“Ni, budak-budak asrama tu keracunan makanan, adalah dalam 15 orang, tolong akak angkut mereka ke hospital, Ila,” aku terdiam seketika memandang raut cemas Salima, perlahan aku mengangguk.
“Ok,” ujarku sebelum mengambil kunci keretaku dan tas tangan dan segera bangun dari tempatku. Aku segera mengekori Salima yang tergopoh-gapah menuju ke dewan sekolah.
“Ok, cepat, separuh ikut cikgu, separuh ikut cikgu Kamal, separuh lagi ikut Cikgu Ila ya,” kata-kata Salima terngiang di dalam dewan itu.
Aku segera menuju ke arah Proton Gen2 putih milikku sambil beberapa orang pelajar yang dipapah oleh pelajar-pelajar lain membontotiku.
*************************************************
Suasana hospital itu lengang memandangkan pada ketika itu sudah menjelang senja. Aku lambat-lambat mengatur langkah ke arah Salima yang sedang asyik berbual dengan seseorang yang berdiri membelakangiku. Tubuh sasanya kelihatan kemas berbalut uniform doktor.
Dari jauh aku dapat menangkap perbualan mereka yang berkisar tentang keadaan pelajar-pelajar yang baru ditempatkan di hospital tersebut. Suara lelakinya itu tiba-tiba mencuit hati kecilku. Seperti pernah kukenal suara itu, getus hatiku. Semakin aku mendekati mereka debaran hatiku kian kencang.
“Cikgu tak perlu bimbang, ya. Mereka cuma perlu ditahan 2-3 hari lagi untuk rawatan lanjut,” suara itu mengingatkan aku pada seseorang yang telah lama aku tidak ketemu.
“Eh, Ila. Meh sini, kak kenalkan dengan doktor,” teguran Salima membuatkan aku kembali ke alam nyata. Segera kuhampiri mereka.
“Ila, ini Doktor Iman,” kata-kata Salima bingkas membuatkan aku terpana. Wajah dihadapanku itu kutatap penuh minat. Takkanlah dia, hatiku bertanya sendiri.
Wajah itu tersenyum manis menampakkan lesung pipit panjangnya disebelah kiri. Wajah kacaknya bersih tanpa sebarang parut, matanya jernih menatap wajahku. Tak salah lagi, hatiku pantas membuat kesimpulan.
“Hai, Cik Ila,” dia menghulurkan salam, lambat-lambat kusambut salamnya dengan tanganku berlapik tudung yang kupakai.
Dia kelihatan terkejut dengan tingkahku namun kemudiannya terdiam. Mungkin menyedari kesilapannya memandangkan aku bertudung litup. Tapi aku hanya tersenyum, tidak mahu dia rasa bersalah.
“Oklah Ila, kak nak balik dulu ni, nanti suami akak marah balik lambat-lambat, Ila nak balik tak lagi?,” pertanyaan Salima membuatkan aku terhenti dari menatap wajah Iman. Tertunduk ku seketika kerana terasa malu.
Jam di pergelangan tangan kananku kutatap seketika.
“Kak baliklah dulu, Ila nak solat kat sini kejap, takut tak sempat kalau balik ke rumah,” aku membuat keputusan memandangkan solat Maghrib sudah masuk waktunya dan jika aku balik ke rumah tika itu pasti tidak sempat untuk ku solat pada waktunya.
“Oklah, kalau macam tu kak pergi dulu ya,” Salima berkata sebelum segera beredar keluar dari hospital. Mungkin mengejar masa, hatiku menelah.
“Cikgu Ila…”tiba-tiba suara garau itu menampar gegendang telingaku. Baru aku tersedar yang Iman masih berada di situ. Perlahan aku memandangnya.
“Ya, ada apa?” aku segera bertanya.
Iman memandang wajahku seketika.
“Saya macam pernah nampak la Cikgu Ila, tapi di mana ya?” Iman cuba mengerah ingatannya untuk mengingatiku. Aku tersenyum, tahu Iman pasti tidak mengecam diriku atas perubahan besar yang berlaku pada diriku.
“Entahlah, tapi ada lah tu kat mana-mana, saya pun tak sedar bila kita pernah jumpa,” aku sekadar berbasa-basi, malas untuk memanjangkan perbualan kami yang kurasakan hanya menambah sesak dalam hati.
Iman kelihatan masih memaksa ingatannya sebelum menggeleng perlahan.
“Tak apalah kalau macam tu Cikgu, nanti kita jumpa lagi ya.”
“InsyaAllah doktor,” aku tersenyum tawar seraya berjalan meninggalkan Iman yang kelihatan masih tidak puas hati.
Suasana musolla itu sunyi, hanya diriku dan 2-3 orang pengunjung yang masih menjalankan ibadah berada di situ. Dinding putih dihadapanku kutatap dengan pandangan kosong. Wajah Iman masih lagi terbayang dalam ingatan dan kenangan silam bagai ditayang di atas dinding kosong itu. Entah kemana hatiku pergi tika itu aku pun tidak pasti. Telekung sembahyang yang membaluti tubuhku masih setia disitu sedangkan sudah lama aku usai solat.
“Astaghfirullah,” aku beristighfar sebaik memikirkan keterlanjuranku memikirkan hal dunia di dalam rumah Allah itu. Aku segera mengemas diri dan membetulkan tudungku sebelum keluar dari musolla itu.
Langkah ku atur perlahan ketika melewati ruang legar hospital. Teringat pertemuan yang terjadi di situ sebentar tadi yang tidak terjangka olehku. Perlahan aku mengeluh. Mengapa takdir mencatatkan pertemuan semula antara aku dan dia? hatiku menjerit sendiri.
“Cikgu Ila!,” dadaku berdegup kencang sebaik terdengar namaku dipanggil. Aku tak sanggup berpaling namun tak sampai hati melayan dirinya sebegitu, lantas kugagahi jua.
Tubuh sasa Iman sudah dekat dengan diriku saat aku berpaling. Senyuman terukir dibibir merahnya.
“Cikgu tak balik lagi?,” Iman bertanya sambil tangannya mengelus lembut rambutnya yang basah kebelakang. Pasti dia baru usai solat, hatiku meneka sambil mataku masih tertancap pada rambutnya yang basah. Dadaku bergetar kencang. Ya Allah, kuatkan imanku Ya Allah, hatiku tak henti berdoa.
“Cikgu Ila ...” panggilannya kembali membawaku ke alam nyata.
“Ya, oh maaf, saya solat dulu tadi,” pantas aku menjawab. Senyuman kupaksa untuk bertamu dibibir.
“Oh samalah dengan saya, saya pun dah habis shift, tapi solat dulu tadi. Sekarang baru nak balik,” Iman senang bercerita. Aku hanya mengangguk, cuba melayan dirinya biarpun hatiku tak sanggup berlama-lama dengannya lagi.
Matanya tajam menatap wajahku, mungkin sekali lagi cuba mengingati diriku yang pernah ditemuinya suatu ketika dulu. Dalam hati aku hanya mampu berdoa agar dia tidak sedar siapa diriku yang sebenar.
“Doktor Iman, saya balik dulu ya, saya pun dah lewat ni,” aku meminta izin untuk berlalu.
Iman terdiam seketika. Perlahan dia mengangguk.
“Tak apalah kalau begitu. Saya pun nak balik jugak. Cikgu datang dengan apa? Kalau tak keberatan saya boleh hantarkan Cikgu balik,” tawaran Iman membuatkan aku menelan liur. Perlahan aku menggeleng.
“Tak perlu susah-susah doktor. Saya datang dengan kereta saya sendiri tadi.”
Iman tersenyum.
“Kalau macam tu tak apalah cikgu. Saya pun nak balik, boleh saya temankan cikgu ke kereta. Lagipun dah malam, tak elok pulak kalau cikgu seorang ke tempat letak kereta tu. Bahaya,” bersungguh benar Iman berbicara.
Aku terpana seketika. Mampukah aku menolak tawarannya kali ini sedangkan ada benar juga kata-katanya tadi, hatiku berbisik sambil mataku merenung kepekatan malam di luar yang hanya disimbahi cahaya lampu jalan. Membayangkan aku keseorangan ke tempat letak kereta yang agak hujung memang mengundang risau dalam hati, malam itu memang tidak ramai pengunjung yang berada di hospital.
Dalam keterpaksaan aku memandang wajah Iman seraya mengangguk.
Perjalanan dari hospital ke tempat letak kereta kurasakan jauh sekali tatkala Iman menemaniku malam itu. Hanya sunyi menemani kami. Aku jadi kelu untuk berbicara dengan Iman biarpun kalau hendak diikutkan aku sudah lama mengenali dirinya.
Sesekali mataku melirik ke arah Iman dan pabila mata kami bertembung bibirnya pantas tersenyum. Aku kekok berjalan seiring dengannya namun apa dayaku, aku jua yang bersetuju dengan permintaannya dek kerana kerisauan yang mula bertapak dalam diri.
“Cikgu Ila,” sekali lagi dia memulakan perbualan, memecah tembok kesunyian antara kami.
Aku mendongak sedikit untuk melihatnya di sisiku sebelum bibirku meluah kata.
“Ya, doktor…”
Mata itu terus merenung wajahku membuatkan aku tertunduk.
“Memang saya tak pernah jumpa cikgu ke sebelum ni?” persoalan di benak Iman diajukan sekali lagi padaku. Aku tersenyum tawar dan menghela nafas perlahan.
“Setahu saya tak pernah, lagipun saya baru saja ditukarkan ke sekolah di kawasan ni, jadi mustahil kalau Doktor pernah jumpa saya,” aku berdalih. Ya Allah, ampunkan hambaMu yang berbohong ini, jerit batinku.
Iman mengangguk. Mungkin puas hati dengan jawapanku.
“Tak apalah kalau begitu, cuma saya macam pernah jumpa Cikgu Ila sebelum ni, mungkin orang lain kot,” Iman menggaru kepalanya yang tidak gatal.
Aku tersenyum nipis.
“Oklah, Doktor, saya balik dulu, InsyaAllah lain kali kita jumpa lagi,” aku meminta izin sebaik sampai di kereta Gen2 putih milikku.
“Ok, lain kali bila cikgu singgah di hospital ni janganlah segan bertemu saya, ya,” manis tutur kata yang diucapkan. Aku tersenyum seraya mengangguk.
Iman setia disitu tatkala aku membuka pintu kereta.
“Cikgu,” panggilan itu membuatkan aku segera berpaling semula sebelum sempat aku membolosi perut keretaku.
“Ada apa doktor?”
“Bawak elok-elok ya, hari dah malam ni, jangan lupa pakai tali pinggang keledar, nanti balik terus ke rumah, jangan singgah mana-mana, bahaya,” ngomelan Iman buat aku ketawa kecil.
“Doktor ni berleter mengalahkan cikgu la, kenapa dulu tak jadi cikgu?,” persoalan sinis aku mengundang tawa antara kami.
Seketika kemudian aku sudah pun berada di perut kereta. Perlahan aku membelah malam selepas melambai kepada Iman. Dari cermin depanku, aku masih mampu melihat Iman yang yang masih tegak di tempat asalnya tadi. Mungkin menunggu aku hilang dari pandangan matanya, aku menelah. Sayu mula memagut tangkai jiwa bila melihatkan ketulusan hatinya namun aku tak mampu memecah buntu antara kami kerana aku tersepit antara pertemuan ini dan kenangan lalu yang memagut ketenangan aku sewaktu dulu.
~Salam... novel Kalimah Cinta bakal dirombak, tp AK rasa Bab 1 tak perlu diubah apa-apa.. jadi AK siarkan semula Bab 1 ya.. maaf atas segala kesulitan.. Bab 2 bakal menyusul tidak lama lagi, masih dalam proses rombakan.. terima kasih~~
Suka? =)
*~Dari Lubuk Hati Penulis~*
Assalammualaikum semua!
blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.
Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...
Penuh rasa Cinta,
~Aliesha Kirana~
blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.
Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...
Penuh rasa Cinta,
~Aliesha Kirana~
Friday, June 18, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
~Kepantasan Menaip~
Visit the Typing Test and try!
best2..xsbr nk tunggu sambungan..
ReplyDeletethanks!
ReplyDeletepermulaan yg menarik..akak suka..teruskn berkarya...
ReplyDeletenice !! boleh buat buku nih~ hehehhe
ReplyDeleteBr start ikuti blog nie...best cite ni...kbtln sy mmg mnt ashraf muslim...hehe...
ReplyDeletebest2!! garapan cerita yang bagus..susunan ayat yang best!! keep up the gud work..
ReplyDeletesalam..nice starting...(",)
ReplyDeletesy suke..sy suke..
ReplyDeleteok...starting best...
ReplyDeleteSalam. Salam kenal. Saya izin membaca ya. Penasaran saja. Soalnya istri sibuk ngomongin novel ini. Terima kasih
ReplyDelete