Suasana
kuliah pagi itu riuh seperti biasa, Puan Isma, pensyarah TITAS yang sedang
mengajar di hadapan juga tidak dihiraukan. Para pelajar sedang asyik bersembang
antara mereka. Insyirah terasa rimas, suara-suara yang kedengaran tika itu
ibarat desingan lebah yang begitu membingitkan. Dia cuba memfokuskan diri pada
pembelajarannya, tudung labuhnya dibetulkan sedikit, wajahnya diraup perlahan
supaya hatinya tenang untuk belajar saat itu.
“Tolong
diam, saya ada pengumuman yang penting.” Suara Puan Isma yang tiba-tiba
menjerit di mikrofon mengejutkan semua pelajar di dalam dewan. Semua mata mula
fokus padanya, suasana dewan kembali menjadi senyap.
“Saya
akan memberi tugasan pada kalian semua hari ini dan saya mahu tugasan ini di
jalankan secara berpasangan, hantar tugasan pada dua minggu akan datang.” Semua
mata membulat, berpasangan? Insyirah juga terkejut. Hatinya terasa berdebar,
takut dipasangkan dengan insan yang tidak dikenalinya memandangkan kelas subjek
teras universiti itu merupakan gabungan dua jurusan yang berbeza, pelajar
jurusan Pengajian Islam dan jurusan Bioperubatan. Puan Isma mula mengedarkan
kertas tugasannya dan membahagikan pelajar pada pasangan masing-masing.
“Nur
Aisya Insyirah, jurusan Pengajian Islam,” Insyirah mengangkat tangan sebaik namanya
dipanggil. “awak akan berpasangan dengan Muhammad Irfan Fahri, jurusan
Bioperubatan, mana Irfan?” Insyirah ikut mencari Irfan. Seorang jejaka yang
berpakaian kemas mengangkat tangan dan tiba-tiba menoleh ke arah Insyirah.
Insyirah terkedu, dia tidak pernah membayangkan dirinya akan berpasangan dengan
seorang lelaki. Kalau walid tahu, mesti dia marah, Insyirah teringat pesan
ayahnya yang melarang dia bergaul dengan lelaki bukan muhrimnya.
“Cik
Aisya Insyirah?”, teguran jejaka itu saat Insyirah melangkah keluar dari dewan
mengejutkan Insyirah. Langkah Insyirah terhenti, wajah itu dipandang
takut-takut.
“Ada
apa?” Insyirah bertanya perlahan.
Irfan
tersenyum. “Saya pasangan Insyirah untuk tugasan tadi, bila kita patut mulakan
tugasan tu?”
Insyirah
terkedu. Kekok rasanya berbicara dengan seorang lelaki yang bukan muhrimnya
kerana Insyirah tidak pernah berkawan dengan lelaki selama ini.
“Hmm,
esok, pukul 10 pagi di perpustakaan, kita berbincang. Boleh?,” Insyirah memberi
cadangan. Dia terpaksa melupakan pesan walid demi menyiapkan tugasan yang
diminta.
“Hmm,
kalau begitu esok kita jumpa ya...” senyuman mula terbit dar bibir jejaka itu.
Insyirah tunduk malu. Tak mampu lama-lama menatap wajah itu.
*******************
Insyirah
khusyuk membaca buku Kisah Hidup Rasulullah, saat Irfan menyapanya di dalam
perpustakaan itu.
“Assalammualaikum,
maaf saya terlambat, pensyarah keluar lambat tadi.” Irfan kelihatan
tergopoh-gapah, peluh kelihatan menitik di pipinya.
Insyirah
terdiam. Dia mula membetulkan duduknya supaya selesa. Buku yang sedang
dibacanya segera ditutup.
“Tak
apa, silakan duduk.”
Insyirah
terasa kekok apabila hanya berdua di salah satu sudut perpustakaan itu. Hatinya
rasa tidak tenteram, rasa bersalah timbul kerana dia seolah mengingkari pesan
walid. Aku lakukan ini semua kerana menuntut ilmu, Insyirah cuba menenangkan
hatinya yang gundah. Irfan memulakan perbincangan. Pagi itu, mereka berbincang
tentang tugasan yang perlu dilakukan dan setiap langkah yang perlu mereka ambil
bagi melaksanakan tugasan terbabit.
Irfan
dalam diam memerhatikan Insyirah, gadis itu lain dari gadis yang biasa dia
temui. Insyirah sungguh lemah lembut, pemalu, dan sentiasa kelihatan gelisah
saat mata mereka bertemu. Selama ini dia sentiasa menjadi perhatian gadis dan
mereka sendiri tanpa segan silu menggodanya. Dia sendiri tidak melepaskan
peluang andai ada gadis yang cuba mendekatinya dan melayan mereka dengan penuh
mesra, namun semua itu sekadar berpoya-poya untuk suka-suka. Sejujurnya, dia
belum bertemu dengan gadis yang betul-betul disukainya, tapi kini, hatinya
seolah-olah tertarik pada gadis yang sedang duduk dihadapannya tika itu.
**********************
Hari
ini genap dua minggu Irfan dan Insyirah melaksanakan tugasan bersama, setiap
detik bersama Insyirah merupakan saat yang paling dinantikan Irfan, namun kini
mereka takkan dapat bersama lagi. Irfan terasa dirinya lemah saat itu ibarat
bakal kehilangan sesuatu yang berharga. Lega semuanya telah berakhir buatkan
Insyirah rasa terlalu gembira. Sepanjang melaksanakan tugasan tersebut,
Insyirah rasa terlalu kekok, semuanya serba tak kena, kini dia boleh menarik
nafas lega. Irfan memang baik dengannya dan tidak pernah berbicara tentang
perkara lain kecuali tentang tugasan tetapi itu tidak bermakna dia tidak berasa
segan dengan Irfan. Saat keluar dari bilik Puan Isma setelah selesai menghantar
tugasan, Insyirah tersenyum buat kali pertama pada Irfan.
“Terima
kasih Irfan, sebab bekerjasama dengan saya selama ni hingga kita berjaya
siapkan tugasan ni.”
Irfan
terkesima. Senyuman Insyirah dirasakannya begitu manis. “Errr... saya pun nak
ucapkan terima kasih.” Irfan seakan gelisah bertentang mata dengan Insyirah
tika itu, dadanya berdebar-debar. Dia menarik nafas dalam-dalam. Cuba mencari
kekuatan untuk bersuara.
“Insyirah,
saya sebenarnya ada sesuatu nak beritahu awak...”
“Ya,
ada apa?” Insyirah tidak dapat mengagak isi hati Irfan saat it.
“Sebenarnya...
sebenarnya...ish...” Irfan meraup rambutnya ke belakang. Wajah jejaka itu
kemerahan, bagaikan ada menyimpan rasa yang begitu berat. Sinar matanya bagikan
mengharapkan sesuatu dari Insyirah.
“Sebenarnya
Insyirah, saya rasa, saya sukakan awak...” Irfan meluahkan rasa yang terbuku.
Rasa lega di hatinya saat itu.
“Apa?”
Insyirah terkejut. Mukanya merah padam menahan malu. Tidak pernah terjadi dalam
hidupnya ada insan yang meluahkan perasaan padanya.
“Sejak
pertama kali saya melihat awak, saya rasakan ada sesuatu dalam diri awak yang
tiada dalam diri perempuan lain, pertemuan demi pertemuan antara kita telah
makin mencambahkan rasa hati saya pada awak. Tanpa saya sedari, saya mulai
sukakan awak. Saya harap awak boleh terima saya.” Irfan bersuara penuh
pengharapan.
Insyirah
terdiam, ada riak gelisah pada wajahnya.
“Maafkan
saya, saya tak mungkin dapat terima awak.” Kata-kata yang tiba-tiba terbit dari
mulut Insyirah bagaikan belati yang menyucuk hati Irfan saat itu.
“Dunia
kita berbeza, awak dan saya tak sama. Saya tak pernah punya perasaan pada awak
sebab dari kecil saya dididik untuk tidak bercinta, segala urusan jodoh saya
serahkan pada Allah dan juga pilihan keluarga. Kita tak mungkin dapat bersama.”
Irfan
terluka. Hatinya bagai disiat-siat, kenapa Insyirah tak boleh terima aku, buruk
sangatkah aku dimatanya? Irfan tertanya sendiri. Honda CBRnya ditunggang laju,
dengan harapan dapat menghilangkan perasaan kecewa yang mula menyelubungi
hatinya, air mata jantannya hampir menitis.
*******************
Sejak
penolakan itu, Insyirah jarang bertemu Irfan, ada beberapa kali dia melihat
Irfan, tapi hanya dari jauh, Insyirah tidak punya kekuatan untuk menyapa Irfan.
Mungkin Irfan sudah punya pengganti lain, dia mesti senang mencari cinta lain,
Insyirah membuat telahan sendiri bagi meredakan rasa yang tidak tenteram dalam
hati. Memang benar ada juga rasa suka dalam hatinya buat Irfan, tapi dia
sengaja tidak melayan perasaan itu. Irfan memang seorang yang baik dan tidak
pernah mengambil kesempatan terhadapnya, tapi dia tak mampu menerima cinta
Irfan kerana dia takut Irfan bukanlah jodohnya, walid dan umminya pasti tidak
suka dia berkawan dengan mana-mana lelaki, apatah lagi bercinta.
Dari
kecil ummi menegaskan bahawa biarlah ibu bapa yang mencari jodoh buat anak
kerana pilihan ibu bapa semestinya terbaik buat anak kerana restu mereka
sentiasa mengiringi perkahwinan tersebut. Kakak Insyirah, Umairah juga
berkahwin atas pilihan ummi dan walid. Insyirah tahu nasibnya juga akan sama
dengan kakaknya, awal-awal lagi walid sudah sibuk mencari jodoh buatnya dari
kalangan ustaz dan tahfiz, namun kerana Insyirah mahu menyambung pengajiannya,
walid menangguhkan dulu hasratnya untuk mencari menantu. Tak mungkin jejaka
moden seperti Irfan akan menjadi pilihan ummi dan walidnya.
Insyirah
berjalan perlahan di taman universiti, sengaja mengambil angin sebelum pulang
ke kolej kediamannya. Udara petang itu sungguh segar, Insyirah mahu
menghilangkan penat dan beban yang berserabut di kepalanya selepas penat
menjawab soalan peperiksaan akhir. Tiba-tiba matanya tertancap pada insan itu,
jejaka yang pernah meluahkan perasaan padanya, Irfan. Irfan kelihatan sedang duduk
dengan seorang gadis. Mereka berbual mesra. Insyirah dapat merasakan ada api
cemburu dalam dirinya tapi dia sedaya-upaya membuang rasa itu dengan
beristighfar dan berselawat. Aku sendiri yang menafikan rasa cinta ini jadi aku
harus redha, Insyirah mengingatkan dirinya.
“Insyirah!”
laungan itu mengejutkan Insyirah yang sedang berjalan. Irfan tersenyum padanya
dan segera menghampirinya.
“Lama
kita tak jumpa, awak sihat?” lembut ucapan Irfan saat itu.
“Alhamdulillah.”
Irfan
merenung Insyirah penuh harapan. Mengapa hatinya masih tak mampu melupakan
gadis itu walaupun pengajiannya di universiti hampir sampai ke penghujungnya.
Insyirah masih tidak berubah, masih suka berjalan sendirian. Irfan terasa
seperti mahu terjun ke alam sepi gadis itu tapi dia tak mampu.
Insyirah
tunduk dan diam membisu. Tidak tahu apa yang harus dilakukannya.
“Awak,
esok saya balik, peperiksaan saya dah habis. Mungkin Allah dah tentukan saya
dapat bertemu awak sebelum saya keluar dari tempat ni.”
Insyirah
terkedu. Tak sangka Irfan masih ada hati untuk bertemunya.
“Awak,
sampai saat ini pun saya masih belum dapat lupakan perasaan saya pada awak.
Saya tak sangka perasaan saya pada awak begitu besar sampailah saya cuba untuk
melupakan awak. Pada saat itu saya sedar yang awak dah berada dalam hati saya
yang paling dalam, susah saya nak buang awak dari hati saya.”
Insyirah
terasa sendu dalam hatinya. Matanya mula berair.
“Saya
tahu awak tak sukakan saya, tapi saya minta peluang dari awak, saya akan
buktikan dunia saya dan awak tidak ada bezanya. Kita sama-sama saudara seIslam
walaupun saya sedar saya terlalu hanyut dengan dunia. Tapi sejak saya jumpa
awak, saya makin berubah. Semuanya kerana awak, Insyirah. Hati saya jadi tenang
setiap kali lihat awak dan saya ingin jadi setenang awak. Minggu depan saya
akan berangkat ke luar negara, sambung pelajaran saya selama 3 tahun. Saya
harap dalam tempoh tu awak masih boleh tunggu saya. Saya janji saya akan
berubah menjadi seorang Islam yang lebih baik, ikhlas dari lubuk hati saya.
Saya harap saat itu awak akan dapat menerima saya kerana saya mencintai awak,
Nur Aisya Insyirah.”
Irfan
berlalu pergi, meninggalkan Insyirah terpinga-pinga. Dia tak mampu berkata
apa-apa kerana dia sendiri terpana dengan kata-kata Irfan yang terlalu lunak di
halwa telinganya. Perlukah aku menunggunya? Insyirah terfikir sendiri.
********************
Tiga
tahun telah berlalu, Insyirah berfikir sendirian saat berjalan keluar dari
sekolah tempatnya mengajar, kini dia sudah bergelar seorang ustazah. Janji
Irfan masih terngiang di telinganya tapi dia tak pasti apakah janji itu bakal
dikotakan. Mungkin Irfan akan menjadi lebih khayal dengan dunia kerana
kehidupan di luar negara tentunya lebih mencabar dari di Malaysia. Insyirah
sendiri tak mampu menunaikan harapan Irfan untuk menunggunya kerana kini dia
sudahpun sah menjadi tunangan orang.
Ustaz
Ariff sememangnya memenuhi ciri-ciri lelaki pilihannya, alim dan berilmu
pengetahuan tinggi, walid yang ingin menjodohkan Insyirah dengan Ariff, seorang
ustaz di sebuah sekolah menengah agama, namun hati Insyirah masih tidak mampu
mencintai Ariff kerana hatinya masih teringatkan janji Irfan. Tapi sayangnya
semua sudah terlambat, pertunangan ini memang tak mampu diputuskan kerana ia
juga janji antara manusia yang perlu dikotakan.
Bulan
depan pernikahan Insyirah dengan Ariff bakal berlansung. Insyirah ingin
melupakan segala-galanya tentang Irfan saat ini. Sekalipun Irfan benar-benar
berubah, dia tak mampu untuk mengubah hati walid dan ummi untuk mnejodohkan dia
dengan Irfan sedangkan janji telah diberi pada Ariff.
“Assalammualaikum.”
Ucapan salam itu mengejutkan Insyirah, yang sedang membuka pintu keretanya.
“Waalaikumussalam.”
Pemilik suara yang memberi salam itu tersenyum saat Insyirah menoleh ke
arahnya.
“Awak,
saya dah balik.” Insyirah merenung dari bawah ke atas, jejaka di hadapannya itu
begitu berlainan dari yang pernah dikenali.
“Irfan...”
suara Insyirah hampir tidak kedengaran. Jejaka itu direnung lagi, wajah itu
masih sama. Tapi pemakaiannya, kemeja dan seluar masih sama seperti dulu tapi
ada kain serban yang tertebar di bahunya dan songkok hitam menutupi sebahagian
kepalanya. Wajah itu kelihatan lebih jernih dan tenang.
Irfan
merenung Insyirah, gadis yang begitu dirindui selama ini. Hilang semua
kerinduan saat dapat menatap wajah mulus Insyirah saat itu. Gadis itu masih
seperti dulu, pemalu, penuh adab kesopanan dan ciri-ciri muslimah sejati.
“Awak,
saya datang untuk tunaikan janji saya, yang saya akan berubah. Saya nak awak
menyaksikan sendiri diri saya sekarang.”
“Mana
awak tahu saya kerja kat sini?” Insyirah meminta kepastian kerana setahunya,
dia tidak pernah memberikan sebarang alamat dan maklumat tentand dirinya pada
Irfan.
“Facebook.”
Insyirah
terdiam, teknologi memang telah melangkaui batas pemikiran manusia. Ini juga
salah satu kekuasaan Allah. Insyirah senang melihat Irfan yang telah banyak
berubah tapi, dia tidak mampu berbuat apa-apa lagi.
“Irfan,
maafkan saya, saya dah bertunang, kita takkan dapat bersama-sama lagi.”
Irfan
kelihatan terkejut, tergambar raut kekecewaan pada wajahnya. wajahnya diraup
perlahan, cuba mencari seribu kekuatan.
Irfan
tersenyum tawar. “Tidak mengapa Insyirah, saya mencintai awak kerana Allah, dan
mungkin Allah telah menetapkan tiada jodoh antara kita. Saya terima dengan
redha. Saya mendoakan kebahagiaan awak.” Bait-bait kata dari Irfan itu berbeza
sekali dengan Irfan yang pernah Insyirah kenali sebelum ini, yang begitu kecewa
saat ditolak. Sedangkan sekarang dia seperti redha atas semua ini.
“Terima
kasih kerana memahami, Irfan.”
“Insyirah....”
suara garau itu menerjah gegendang telinga Insyirah, lantas dia segera menoleh.
Ariff sedang berdiri di satu sudut berdekatan mereka.
“Ariff...”
Insyirah terkedu. Pasti Ariff datang untuk menghadiri mesyuarat Pusat Kegiatan
Guru yang berlansung di sekolahnya petang itu.
“Insyirah,
ini siapa?” persoalan itu diajukan pada Insyirah saat Ariff tiba di situ.
“Err...
ini Irfan, teman seuniversiti dengan Insyirah dulu. Dia baru habis belajar.
Irfan, ini tunang saya, Ariff.”
“Oh,
apa khabar Irfan?”
“Ana
bil khair...alhamdulillah.” Irfan membalas.
“Oh
saudara boleh berbahasa Arab?” Ariff kelihatan teruja.
“Tahulah
sikit-sikit, belajar masa menuntut di Mesir dulu.” Insyirah tergamam mendengar
kata-kata Irfan, luar negara yang dimaksudkannya dulu rupanya Mesir.
“Owh,
saya dulu pun belajar di Mesir, Universiti Al Azhar. Anta?”
“Ana
belajar di Universiti Zagazig, dalam jurusan perubatan dan pada masa yang sama
ana gunakan untuk lebih mendalami Islam dari rakan-rakan seuniversiti.”
Kata-kata Irfan itu buatkan Insyirah faham tentang perubahan yang berlaku pada
diri Irfan.
“Ok
Irfan, semoga kita berjumpa lagi.” Ariff menghulurkan salam dan disambut Irfan
sebelum Ariff berlalu pergi.
“Insyirah,
Irfan tidak terkilan melepaskan awak pergi, kerana Ariff memang seorang yang
baik dan sesuai untuk awak. Saya doakan awak dan dia bahagia. Amin...”
***********************
Insyirah
terasa sendu di hati, kata-kata dari Irfan siang tadi benar-benar meruntun
jiwanya. Irfan tidak pernah tahu bahawa Insyirah juga punya perasaan padanya
namun Insyirah tahu dia tak mampu untuk meluahkan isi hatinya.
“Insyirah!”,
Umairah meluru ke bilik adiknya itu. Insyirah yang terkejut dengan kehadiran
kakaknya itu segera memeluk erat Umairah, sudah lama Umairah tidak pulang ke
rumah.
“Insyirah,
kak dah bercerai.” Insyirah terkedu, terkejut dengan berita yang disampaikan.
Dia kembali memeluk kakaknya bagi menenangkan jiwa Umairah, memang Umairah
selalu menceritakan padanya soal abang iparnya, Abang Jamal yang selalu
memukulnya dan tidak memberi nafkah, baik sungguh di depan ummi dan walid tapi
di belakang, menyeksa Umairah sesuka hati.
“Macam
manasemua tu berlaku? Apa kata ummi dan walid?”
“Semalam
dia pukul kak lagi sebab dia mintak rantai pusaka yang ummi bagi pada kakak
untuk dijual, kononnya buat modal berniaga, tapi kak tahu dia nak berikan pada
isteri mudanya, lepas dia pukul kak, kak lapor polis, malam tu jugak dia
ceraikan kak kerana dia cakap kat tak sedar dek untung. Ummi dan walid dah tahu
hal sebenar dan mereka redha dengan perpisahan ni. Ummi rasa bersalah sebab
ummi yang suruh kak kahwin dengan Abang Jamal, anak kenalan ummi sewaktu
belajar di sekolah pondok. ”
Insyirah
memandang kakaknya dengan simpati, hanya doa mampu dipohon supaya kakaknya
beroleh kebahagian semula.
***********************
Insyirah
menyaksikan pernikahan itu dengan penuh gembira, akhirnya kakaknya dapat
menamatkan zaman jandanya dengan insan yang dicintai, Ariff. Nasib baik
Insyirah mendapat maklumat tentang perhubungan mereka di zaman pengajian dulu melalui
teman kakaknya di Facebook. Ariff sebenarnya meminang Umairah tetapi disebabkan
Umairah sudah berumahtangga, walid membuat keputusan untuk menikahkan Ariff
dengan Insyirah. Insyirah lega kerana akhirnya kakaknya bahagia walaupun dia
sendiri terpaksa melepaskan tunangnya. Sewaktu Insyirah meluahkan hasrat untuk
putus tunang, Ariff kelihatan kecewa tetapi setelah dijelaskan sebabnya, Ariff
menerima dengan hati yang terbuka. Memang selama ini dia masih mencintai
Umairah tetapi terpaksa menerima Insyirah atas nasihat kedua orang tuanya.
“Assalammualaikum
Insyirah,” nada suara itu tenang. Insyirah menoleh, Irfan sedang tersenyum di
sebelahnya.
“Waalaikumussalam,
macam mana awak boleh ada di sini?,” Insyirah berasa pelik kerana selepas
pertemuan terdahulu dia tidak pernah berhubung dengan Irfan lagi.
“Kakak
awak jemput saya, dia dah terangkan segala-galanya, termasuk isi hati awak
selama ini pada saya.” Wajah Insyirah merah padam, memang selama ini pada
kakaknyalah tempat dia meluahkan perasaan. Wajah kakaknya yang sedang makan
beradab dipandang tajam, Umairah membals pandangan Insyirah dengan senyuman.
Itulah tanda terima kasihnya kepada Insyirah kerana telah menyatukannya dengan
Ariff semula.
“Minggu
depan, saya masuk meminang awak ya?” ucap Irfan lembut.
“Meminang?”
“Ya,
sebuah janji ikhlas saya buat Insyirah. Supaya Insyirah dapat menjadi suri hati
hidup saya di dunia dan di akhirat. Saya mencintai awak ikhlas kerana Allah,
Insyirah.”
Insyirah
tersenyum bahagia. Memang Allah telah mentakdirkan dia bertemu jodoh dengan
Irfan walau sejauh mana dia berlari selama ini.
“Saya
jua mencintai awak ikhlas kerana Allah, Irfan Fahri.”
Suka? =)
mak aih..rajin nyer dia menulis..huhu..bgs2...
ReplyDeleteSapekah ini?eheeheh...mekasih sudi melawat~~~ ^.^
ReplyDeleteheh..fahri ngn aisya..ayat2 cinta.. nnti kalo ela wat hero nama fahrin heroin kne nama naima taw =DDD
ReplyDelete-naima-
eh...mmg xsdr pn fahri ngan aisya tu, fahri tu ingat la dr ayat2 cinta...aisya tu saja jer...xsangke lak tersama...uhuhhuhuhu...yer la tu naima...ahahahahah...kisah fahrin mencari cinta la ek...ekekekeekekee....
ReplyDeletehebatnya cinta seorang laki sehingga menukar kriteria dye yg sbnarnya....masyaAllah...terllu kerdil dri ini jika dibndingkan ngn watak dalam cerpen diats
ReplyDeletejika hati ikhlas mencintai kerana Allah, insyaallah akan dipermudahkan :) best lah cerpen nie!
ReplyDeleteterbukti kalau Allah dah tentukan DIA jodoh kita,
ReplyDeleteinshaAllah dua hati akan bertemu kembali..
Suka3... Kalau jodoh tak kemanaaaa....
ReplyDeleteWatak yang ditonjolkan oleh irfan fahri sangat bgus unutk dibuat calon suami
ReplyDelete