Dari Abu Hurarah r.a. katanya ;
"Ketika saya berada dekat Nabi s.a.w. datang seorang lelaki menceritakan kepada beliau bahawa dia hendak mengahwini (meminang) seorang perempuan dari kaum Ansar, Rasulullah s.a.w. menanyakan kepadanya ; "Sudahkah dia engkau lihat?" Dia menjawab belum! . Beliau berkata; "Pergilah melihatnya kerana di mata orang Ansar ada sedikit (mungkin cacat)”
Hadis sahih riwayat Muslim
Affan Nafiz gelisah di ruang tamu itu, ibu dan ayahnya asyik berbual sambil sesekali mengerling padanya. Rancak sungguh mereka berbual, entah apa yang dibualkan Nafiz sendiri tidak pasti. Hatinya terlalu gementar hingga tidak mampu memasang telinga dan fokus pada perbualan orang tuanya bersama tuan rumah itu.
Raudhah Faghira membancuh air di dapur, entah mengapa hatinya berdegup terlalu kencang waktu itu, cawan yang dipegangnya bagaikan hendak terlepas dari tangan namun Raudhah gagahkan jua dirinya untuk menahan debaran.
“Raudhah! Mari ke sini nak!” suara ibu yang memanggil dari arah ruang tamu membuatkan Raudhah segera membetulkan tudung labuhnya lalu mengatur langkah.
“Inilah anak saya, Raudhah...” suara ibu yang memperkenalkan Raudhah membuatkan Raudhah segera memandang tetamu-tetamunya. Ada tiga orang kesemuanya, Raudhah memandang satu persatu lantas mengukir senyum. Dua dari mereka agak berusia, namun yang seorang lagi...
‘Subhanallah!’ Nafiz menyebut di dalam hati. Matanya terpana memandang wajah itu, wajah yang seumpama bidadari syurga. Cepat-cepat dia mengalih pandangan, bimbang syaitan berbisik ke dalam hatinya. Dadanya dirasakan berdegup lebih kencang,
Raudhah sempat mengerling ke arah pemuda di hadapannya itu sekilas. Ada getar dalam dadanya, usai menghidangkan air minuman dan sedikit kerepek, Raudhah cepat-cepat meminta diri untuk ke belakang semula, segan untuk berlama di situ. Saat melangkah ke dapur, Raudhah rasa bagaikan dirinya tidak jejak tanah lagi.
“Macam mana bang? Ok tak pilihan saya?” Hajjah Qasidah, ibu Nafiz segera menyoal sambil tersenyum pada suaminya.
“Ish awak ni, tanya saya pulak, macam la awak carikan saya bakal madu awak. Tanyalah pada tuan empunya badan tu,” Haji Mukhriz segera memuncungkan bibirnya pada Nafiz. Hajjah Qasidah mencubit paha suaminya membuatkan Haji Mukhriz mengaduh, geram dia mendengar usikan suaminya itu.
Nafiz cuma tersenyum mendengar omelan ibu dan ayahnya, tanpa sedar dia kembali memandang ke arah dapur, mencari kelibat Raudhah di situ.
“Ehem, jauh ke dapur nampak,” Hajjah Qasidah bersuara membuatkan Nafiz tersipu, tidak sangka ibunya sedang memerhatikan gelagatnya.
“Jadi macam mana Kak Idah?” Datin Mahani yang cuma memandang sedari tadi segera bersuara, tidak sabar hendak berbesan dengan rakan karibnya itu.
“Ish kamu ni sabarlah sikit, anak kita tak ada apa, kamu yang lebih,” Dato’ Zubir tiba-tiba mencelah.
Datin Mahani tersenyum.
“Saya tak sabar nak berbesan dengan Kak Idah. Lagipun Nafiz memang sesuai sangat dengan Raudhah kan bang?”
Dato’ Zubir cuma mengangguk.
“Nafiz? Macam mana?” Haji Mukhriz tiba-tiba bersuara.
Nafiz terdiam. Wajah setiap insan di hadapannya itu dipandang. Wajah kedua orang tuanya, juga wajah Dato’ Zubir dan Datin Mahani.
Sedari kecil ibu dan ayahnya tidak menggalakkan dia bercinta, malah seumur hidupnya Nafiz tidak pernah cuba untuk bercinta kerana istilah cintan cintun memang tiada dalam kamus hidupnya. Baginya cukuplah ibu dan ayah yang mengenali dan memilih bakal isterinya, dia akan menerima dengan hati terbuka.
Tapi saat melihat Raudhah tadi, entah mengapa hatinya bergetar dengan laju sekali, gadis itu benar-benar menarik hatinya. Adakah dia insan yang Allah ciptakan untukku? Nafiz terfikir sendiri.
Nafiz kembali memandang wajah ibunya. Ibunya menguntum senyum sambil sabar menanti jawapan Nafiz.
“Ibu rasa macam mana?”
Hajjah Qasidah memegang bahu anaknya dan dielus lembut.
“Kalau bagi ibu, Raudhah memang sesuai sangat dengan Nafiz... ibu suka sangat kalau dia jadi menantu ibu.”
Nafiz mengangguk seraya memandang wajah Datin Mahani pula.
“Raudhah boleh ke terima saya Datin?”
“Pasal Raudhah Nafiz tak perlu bimbang, dia terima sesiapa saja pilihan ummi, yang penting, ummi nak dengar persetujuan dari mulut Nafiz,” Datin Mahani pantas bersuara.
Perlahan Nafiz mengangguk.
“Saya setuju, tapi kalau boleh Datin tanyakan pada Raudhah dulu, saya tak mahu dia terpaksa menerima saya. Saya harap dia dapat terima saya seikhlasnya, bukan kerana paksaan sesiapa. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, tiada boleh dikahwinkan perempuan janda, sebelum meminta pendapatnya, dan tiada boleh dikahwinkan gadis perawan sebelum diminta keizinannya."
“Kalau macam tu, tunggu kejap ya.”
Datin Mahani segera melangkah ke dapur. Raudhah yang sedari tadi termangu sendiri di meja makan segera bangun saat memandang umminya.
“Ada apa ummi? Mereka dah pulang ke?”
Datin Mahani mengelus wajah anaknya lembut, sudah besar panjang puteri yang diasuhnya selama ini, sedar tak sedar Raudhah sudah mahu dikahwinkan.
“Belum lagi sayang, bakal suami kamu suruh ibu tanyakan pada kamu.”
“Bakal suami? Tak biasa pulak bila mendengar perkataan bakal suami ummi, Raudhah rasa pelik,” Raudhah tersenyum memandang umminya. Datin Mahani turut tersenyum mendengar kata-kata anaknya itu.
“Dia bakal suamimu Raudhah, Affan Nafiz. Dia sudah bersetuju untuk menerimamu.”
Raudhah terkesima, perlahan dia mengangguk, namun dalam masa yang sama hatinya bergetar kencang. ‘Dia bersetuju menerimaku? Adakah aku layak untuk insan sebaiknya Ya Allah?’ hati Raudhah bertanya sendiri.
“Namun dia minta ibu tanyakan pada kamu, soal hatimu,” Datin Mahani menyambung.
“Soal hati Raudhah?”
“Dia suruh ibu tanyakan, Raudhah sanggup ke terima dia sebagai isterinya? Dia tak mahu Raudhah terima dia sebab terpaksa.”
Raudhah tersenyum. ‘Dia ambil berat tentang perasaan aku,’ hatinya berbisik.
Raudhah memegang tangan ibunya.
“Kan ummi dah tahu jawapan Raudhah, bila ummi cakap nak jodohkan Raudhah dengan anak kawan ummi pun Raudhah dah setuju, jadi tak perlu Raudhah jawab lagi persoalan tu. Lagipun Raudhah yakin dengan pilihan ummi, dan sekarang bila Raudhah tengok sendiri pilihan ummi, Raudhah pasti pilihan ummi tepat.”
“Terima kasih sayang.” Datin Mahani mengucup dahi anaknya dengan linangan air mata. Terharu punya anak yang mendengar kata dan tidak pernah membantah keputusannya.
*******************
“Kak!” suara itu mengejutkan Raudhah yang sendirian di dalam kamarnya, membersihkan diri usai majlis pertunangan sebentar tadi.
“Apa? Terkejut akak Wiyah!” Raudhah merenung adiknya, Rabiatul Adawiyah yang bingkas duduk di atas katil.
Adawiyah tersengih seperti kerang busuk. Surat yang tersisip di dalam tangannya segera di tayang pada kakaknya itu.
“Garangnya, tak nak bagi la surat ni...” Adawiyah seolah mengugut.
Raudhah tersentak, surat di tangan adiknya di renung.
“Surat? Dari siapa?” pantas Raudhah bertanya.
Adawiyah membelek-belek surat itu.
“Apa agaknya isi kat dalam ni ek?” sengaja Adawiyah mahu mengusik kakaknya yang sudah tidak keruan.
“Adik, jangan la main-main lagi, siapa bagi surat tu?” Raudhah hilang sabar.
Adawiyah tersengih pada kakaknya. Perlahan surat itu dihulur, tidak mahu membiarkan kakaknya tertunggu lagi.
“Abang ipar adik bagi,” pendek Adawiyah membalas sebelum keluar dari bilik. Raudhah merenung surat dalam genggamannya. ‘Nafiz berikan surat ini?’ hati Raudhah tertanya. Dalam debaran, Raudhah membuka surat itu perlahan.
Assalammualaikum w.b.t,
Menemui Raudhah yang dikasihi, maaf andai surat ini hadir tanpa pengetahuan Raudhah. Saya sekadar mahu mengucapkan terima kasih kerana Raudhah sudi menerima saya yang serba kekurangan ini dalam hidup Raudhah.
Saya sedar kita belum sempat untuk saling mengenali, namun takdir Allah telah menentukan pertemuan ini dan andai diizin Allah, Raudhah bakal mengisi kekosongan di dalam hati saya, menjadi permaisuri dalam hidup saya.
Sebelum kita disatukan, saya ingin berterus terang pada Raudhah, saat pertama kali melihat Raudhah, hati saya berdegup kencang, Raudhah kelihatan sungguh sempurna di mata saya, dan saya merasakan diri saya terlalu kerdil untuk bersama Raudhah.
Tapi saya sudah berjanji pada ibu dan ayah untuk menerima sesiapa saja pilihan mereka. Walaupun saya merasakan saya tidak pantas buat Raudhah, namun saya tidak sanggup menghampakan harapan ibu dan ayah, cuma saya takut Raudhah terpaksa menerima saya sedangkan hati Raudhah berkata sebaliknya. Saya tidak mahu penyatuan dua hati ini dibina atas keterpaksaan.
Saya mengharapkan balasan dari Raudhah agar mampu saya usir kecelaruan dalam jiwa ini. Saya redha dengan setiap keputusan Raudhah namun andai Raudhah sudi menerima saya yang serba tiada ini, seikhlas hati Raudhah, saya berjanji akan berusaha menjadi zawj yang terbaik buat Raudhah.
Saya akan mencintai Raudhah kerana Allah. Syukran Jazilan ya maktubah..
Dari Khatibmu,
Affan Nafiz.
Surat itu ditutup dengan linangan air mata, entah mengapa Raudhah merasa begitu terharu dengan kata-kata Nafiz, hingga air matanya tak mampu ditahan dari mengalir. Dia merasa begitu bersyukur kerana dikurniakan Allah dengan insan yang begitu merendah hatinya. ‘Aku yang tidak layak buatnya, tapi dia pula yang merasakan sebegitu,’ hati Raudhah berbicara.
Pantas dia mencapai pen dan kertas dalam simpanannya. Pen menari di atas kertas, mengikut gerak jarinya, mencoretkan segala isi hati yang terbuku di dalam diri Raudhah.
*********************
Nafiz menanti dengan sabar sambil menikmati hidangan yang disediakan di rumah bakal mertuanya. Hilang seleranya untuk menjamah namun di gagahi jua, dadanya berdebar menanti jawapan dari Raudhah. Dia mahu mendengar sendiri isi hati Raudhah supaya hatinya tenang. Dia tidak mahu meneruskan semua ini andai Raudhah terpaksa menerimanya. Nafiz sedar di dalam hatinya sudah wujud rasa cinta buat Raudhah, namun dia tidak berhak memaksa Raudhah merasakan hal yang sama.
Selesai segalanya, mereka meminta diri untuk pulang. Nafiz merasa sedikit kecewa kerana belum mendapat sebarang balasan dari Raudhah. ‘Pasti dia merasa terpaksa menerimaku,’ hatinya berfikir sendiri.
Dari kejauhan Nafiz melihat seseorang sedang menuruni tangga. ‘Raudhah!’ hatinya menjerit. Raudhah memanggil seorang budak, anak saudaranya barangkali dan memberi sesuatu padanya. Budak itu pantas berlari ke arah Nafiz yang sedang memerhatinya dari jauh.
“Abang, mak ngah bagi ni...” budak itu menghulurkan sepucuk surat. Segera Nafiz mencapainya lantas berpaling untuk melihat Raudhah kembali, namun sayang, Raudhah telah tiada.
Assalammualaikum w.b.t
Menemui bakal pemilik hatiku, terima kasih atas surat yang dikirimkan dan terima kasih juga kerana prihatin dengan perasaanku padamu.
Dirimu sudah cukup sempurna bagi diriku jadi janganlah dipuji aku terlalu tinggi kerana aku jua manusia biasa, hamba Allah yang kerdil di muka bumi ini. Masih terlalu banyak kekurangan padaku namun dengan kehadiranmu, aku yakin hidup kita kan lebih sempurna dan saling melengkapi.
Benar kita tidak pernah mengenali sebelum ini, namun itu bukanlah alasan untuk kita tidak mampu membina rumahtangga yang bahagia bersama, dengan bimbinganmu, aku yakin segalanya kan dapat dilaksana dengan sebaiknya.
Sesungguhnya kerendahan hatimu telah menyebabkan rasa cintaku kian menebal padamu. Janganlah risau tentang perasaanku kerna aku menerimamu seadanya, kerana Allah.
Semoga dirimu menjadi nakhoda yang terbaik dalam bahtera rumahtangga yang bakal kita layari nanti.
Aku mencintaimu seikhlas hatiku kerana Allah, Affan Nafiz.
Maktubahmu,
Raudhah Faghira.
Nafiz terkesima membaca balasan dari Raudhah. Hatinya berputik rasa bahagia yang tak mampu digambarkan dengan kata-kata. ‘Terima kasih Ya Allah!’
***********************
“Raudhah!” suara itu membuatkan Raudhah berpaling.
“Raudhah kan?” jejaka itu bersuara lagi. Raudhah terpinga-pinga saat memandang jejaka itu.
“Siapa ni?” Raudhah bersuara. Jejaka itu cuma ketawa.
“Ni Daniel la, sepupu Raudhah,” Datin Mahani tiba-tiba bersuara.
“Daniel? Anak Mak Long yang menetap kat UK tu?” Raudhah cuba mengingati.
“Hah! Ingat pun,” Daniel bersuara sambil tersenyum.
“Daniel! Dah lama tak jumpa kan? Hampir 10 tahun rasanya, kenapa tiba-tiba balik Malaysia?” Raudhah laju bersuara.
Datin Mahani cuma tersenyum melihat kedua-dua sepupu itu. “Daniel duduk dulu ya, Mak Ngah buatkan minuman dulu,” Datin Mahani meminta diri. Daniel pantas mengangguk.
“Daniel balik Malaysia sebab ada beberapa urusan syarikat di sini, kalau tak ada hal, nanti Daniel akan uruskan cawangan syarikat abah di Malaysia,” Daniel kembali menjawab persoalan Raudhah.
Raudhah mengangguk perlahan. Sepupunya itu sudah besar panjang dan kacak bergaya, tidak seperti zaman hingusan mereka dulu, Daniel lah kawan sepermainannya dulu.
“Raudhah makin cantik sekarang,” pujian Daniel itu menyebabkan Raudhah tersedar dari lamunan zaman kanak-kanaknya.
“Eh, tak adalah Daniel. Biasa-biasa saja,” Raudhah bersuara.
Raudhah tergamam saat melihat Daniel merenungnya dalam seperti hendak ditelan, pantas dia menundukkan pandangan.
“Raudhah tahu tak? Daniel ada hajat lain yang menyebabkan Daniel pulang ke Malaysia...”
Raudhah memandang Daniel semula. “Sebab apa?” soalnya.
“Daniel nak melamar Raudhah!” Raudhah tersentak mendengar jawapan itu.
“Melamar?” Raudhah tidak percaya dengan apa yang didengarnya.
“Ya, walaupun Daniel menetap di UK, tapi Daniel selalu mengikuti perkembangan Raudhah. Daniel selalu tengok gambar Raudhah yang Mak Ngah kirim pada mama. Daniel rasa dah jatuh cinta pada Raudhah.”
“Jatuh cinta? Tapi...”
“Tapi apa Raudhah? Kita cuma sepupu, kita boleh berkahwin.”
“Tapi Raudhah dah bertunang...”
*******************
“Kau tak layak untuk dia!” lelaki yang baru turun dari kereta itu tiba-tiba menjerit padanya. Nafiz terpinga-pinga, kurang mengerti.
“Siapa saudara, apa hajat datang ke mari?” Nafiz menyoalnya.
“Ish kau jangan nak tunjuk baik la kat sini, konon-konon alim lah tu. Boleh jalan la, Raudhah tu milik aku dari dulu lagi. Bukan kau!” Daniel melampiaskan kemarahannya.
“Istighfar saudara, istighfar banyak-banyak.”
Daniel bertambah bengang. Wajah Nafiz ditumbuk sekuat hati.
“Astaghfirullah hal azim! Nafiz!!” Raudhah berlari sekuat hati ke arah Nafiz yang terbaring di laman rumahnya.
“Jangan Raudhah, saya ok...” Nafiz melarang Raudhah menyentuhnya sebaliknya dia bingkas bangun. Darah yang mengalir dari bibirnya segera diseka.
Daniel dan Nafiz bersemuka. Wajah Daniel masih diselubungi kemarahan.
“Aku nak kau tinggalkan Raudhah! Putuskan pertunangan ini, dia milik aku.”
“Maaf saudara, saya tak boleh buat macam tu. Saya dah berjanji pada keluarga saya dan keluarga Raudhah, dan saya tak boleh memungkiri janji ini.”
“Aku peduli apa dengan janji kau!” Daniel menjerit.
“Daniel!” Raudhah yang sedari tadi diam, segera menghampiri keduanya.
“Ini soal hati Raudhah yang dibincangkan, Daniel tak berhak berkata apa tanpa meminta persetujuan Raudhah.”
Daniel memandang Raudhah dalam-dalam.
“Tapi Raudhah, sedari kecil kita rapat, dari kecil lagi Raudhah dah janji nak kahwin dengan Daniel!” Daniel mengingatkan kembali janji itu pada Raudhah.
Raudhah terdiam seketika, nafasnya dihela perlahan, mencari kekuatan dalam diri.
“Itu dulu Daniel, masa Raudhah masih belum mampu berfikir dengan matang. Itu cuma angan-angan biasa pada zaman kanak-kanak. Waktu itu berbeza dengan sekarang. Maafkan Raudhah andai Daniel masih menyimpan impian kecil itu dulu, tapi Raudhah dah lama lupakan. Sekarang hati Raudhah hanya untuk tunang Raudhah.”
Daniel menggeleng kepalanya.
“Daniel takkan biarkan perkara ini berlanjutan,” Daniel bersuara sebelum cepat-cepat kembali ke keretanya.
Raudhah segera mendapatkan Nafiz. Baru pertama kali dia dapat bersua muka dengan Nafiz, itu pun dalam keadaan begini.
“Awak tak apa-apa?” Raudhah bersuara.
“Saya ok, awak jangan bimbang ya,” Nafiz bersuara sambil memegang bibirnya yang luka.
“Maafkan saya, sebab saya semua hal ni terjadi.”
Nafiz pantas menggeleng. “Awak tak salah, saya yang salah sebab merampas awak dari dia.”
Raudhah tergamam. “Awak tak pernah rampas saya dari dia Nafiz, dia cuma sepupu dan teman sepermainan saya waktu kecil, tak lebih dari itu.”
Nafiz memandang Raudhah seketika namun cepat-cepat dia menundukkan kembali pandangannya.
“Kalau awak sayangkan dia Raudhah, saya rela lepaskan awak untuk dia,” Nafiz bersuara sayu.
“Awak jangan merepek boleh tak. Saya tak pernah cintakan dia, saya... saya dah jadi tunangan awak dan bakal menjadi isteri awak, pada awak saja saya akan serahkan hati saya. Awak boleh tak tegas sikit, kalau awak macam ni, memang mudah dia nak kenakan awak.”
Nafiz mengeluh, sedar akan kelemahannya yang kurang keyakinan. “Saya minta maaf Raudhah, maaf kalau kata-kata saya menyakitkan hati awak. Saya tak bermaksud. Saya cuma rasa...”
“Awak rasa awak tak layak untuk saya?” Raudhah cuba menebak hati tunangannya itu.
Nafiz pantas mengangguk.
“Sudahlah, saya dah terangkan pada awak kan... saya dan awak memang tak sempurna, tapi dengan bersama, kita mampu saling melengkapi. Saya mencintai awak bukan kerana kelebihan awak, tapi kerana diri awak seadanya.”
Nafiz tergamam. Entah mengapa setiap kali mendengar isi hati gadis itu, hatinya berasa tenang.
“Maafkan saya Raudhah, saya tak akan mengungkit soal ni lagi.”
******************
Pertemuannya dengan Raudhah secara tidak disangka itu telah membuatkan Nafiz tersedar. Cintanya pada Raudhah kian bercambah saat mendengar ketegasan gadis itu mempertahankan hubungan mereka, bukan seperti dirinya yang tidak yakin pada diri sendiri.
Nafiz tekad untuk mempertahankan hubungannya dengan Raudhah dan melaksanakan impian untuk membina rumahtangga mereka bersama. Biarlah apa rintangan sekalipun yang melanda, Nafiz akan tempuhi untuk memiliki insan sebaik Raudhah.
***************************
“Aku terima nikahnya Nur Raudhah Faghira binti Muhammad Zubir dengan mas kahwinnya RM80 tunai...” lafaz itu keluar dari mulut Nafiz dengan lancar, dalam sekelip mata Raudhah sah menjadi milik Nafiz.
Air mata Raudhah berlinangan, sedih dan gembira bercampur baur. Air matanya diseka perlahan, tidak molek jika dilihat pengantin menangis.
Nafiz segera menghampiri Raudhah untuk majlis membatalkan air sembahyang. Saat Nafiz bangun, secara tiba-tiba...
“Ambik kau!” Daniel yang sedari tadi diam bersama tetamu bangkit tiba-tiba dan menikam Nafiz yang sedang berjalan ke arah Raudhah.
“Ya Allah!” Nafiz bersuara sebelum rebah ke lantai, suasana yang riuh rendah sebentar tadi, gamat dengan pekikan orang awam yang cemas. Daniel segera ditahan sebelum sempat melarikan diri.
Raudhah terkedu di tempatnya, dia melihat sendiri Nafiz rebah dihadapannya. Perlahan Raudhah mendekati Nafiz dan merangkulnya dalam ribaan.
“Ya Allah, Nafiz... awak ok ke?” Raudhah menggeletar saat memegang tangan Nafiz yang basah dengan darah. Tidak disangka, sepatutnya dia bersalam dengan suaminya itu buat pertama kali sewaktu majlis membatalkan air sembahyang, sebaliknya bertukar menjadi saat Nafiz rebah ditikam Daniel. Air mata Raudhah berhamburan.
“Saya ok... awak jangan risau ya. Maafkan saya sebab selalu lemah, saya janji saya akan mempertahankan cinta ni sampai akhir nafas saya,” Nafiz bersuara.
Raudhah memeluk Nafiz erat dalam dakapannya.
“Awak kena kuat kali ni, awak kena tegas, pertahankan cinta ni dan jangan pergi dulu, ingat tu...” Raudhah berbisik perlahan ke telinga Nafiz, air matanya tidak berhenti mengalir.
Nafiz tersenyum sebelum menutup matanya perlahan.
******************
Raudhah sendirian di dalam kamarnya, kenangan sewaktu dulu kembali memagut ingatannya. Air matanya mengalir perlahan di pipi.
“Sayang, kenapa menangis ni?” suara itu membuatkan Raudhah berpaling.
Nafiz tersenyum memandang isterinya itu, perlahan dia mengambil duduk di sebelah isterinya itu. Wajah Raudhah dielus lembut, air mata yang basah di pipi itu segera diseka.
Raudhah merasakan jantungnya berhenti berdenyut saat Nafiz berbuat begitu. Perlahan dia memandang wajah Nafiz, pertama kali dia dapat memandang wajah suaminya itu sedekat ini, wajah Nafiz kelihatan segak dan kemas, tiada sebarang cela dan manis sekali. Saat mata mereka bertentang, cepat-cepat Raudhah menunduk pandangan. Malu masih menguasai dirinya kerana tidak pernah berada sebegitu dekat dengan mana-mana lelaki.
“Raudhah terkenang saat abang bertarung nyawa dulu lepas ditikam Daniel,” Raudhah meluahkan isi hatinya.
“Raudhah...” Nafiz bersuara lembut sambil memegang dagu isterinya dan didongakkan untuk memandang wajahnya kembali.
“Ya abang...”Raudhah membalas malu-malu. Jantungnya kian berdetak laju.
“Terima kasih kerana memberi kekuatan pada abang selama ini.”
Raudhah memandang wajah suaminya takut-takut. Perlahan dia cuba mengukir senyuman.
“Raudhah takut sangat masa abang kena tikam, tapi mujur abang kuat bertahan. Alhamdulillah jodoh kita masih panjang.”
“Ini semua atas kuasa Allah sayang, tapi abang bersyukur sangat kerana diberikan kesempatan untuk bersama Raudhah.”
“Raudhah pun bersyukur sebab diberi kesempatan untuk mengenali dan mencintai abang.”
Nafiz tertawa kecil. “Mujur kita bertaaruf kan?”
Raudhah mengangguk tanda bersetuju. Kerana taaruf yang diaturkan ibu bapa merekalah, Raudhah dan Nafiz dapat bersatu. Raudhah merasa begitu bersyukur dipertemukan dengan insan sebaik Nafiz.
“Taaruf cinta, dari Raudhah.”
Raudhah tersenyum bahagia. Nafiz menghampiri Raudhah lantas mengucup dahi isterinya itu, perlahan dia menarik Raudhah dalam pelukannya, kejap dan lama.
“Abang cintakan Raudhah...”
-Tamat-
*******************
Glossari kata :
Zawj : suami
Maktubah : tunang perempuan
Khatib : tunang lelaki
Raudhah : taman syurga
Suka? =)
best ayat2 AK..
ReplyDelete:)
thanks dni..hihi
ReplyDeletelayanzz sungguh..hik3
ReplyDeleteyeahhh dah bace!
ReplyDeletesgt mnyentuh hati,jantung,limpa,buah pinggang....hehe.super power la kak AK!!
ReplyDeletebest bace :)
ReplyDeleteMasyaAllah, besh2.. :)
ReplyDeleteteruskan berkarya.. cay0k2.. :D
best ayat2..penuh pengalaman! nice blog!
ReplyDeletealiesha kirana; anak sedara saya namanya Raudah!
ReplyDeletep/s; slm ziarah ke blog ini....:)
Best2..
ReplyDeleteouh, best222 :)
ReplyDeletesemoga kisah hidup aku mmcm ni jugak. amin :)
ReplyDeleteindahnye bercinta di jalan Allah...
ReplyDeletehilang terus tekanan2 kt ofis tadi after bce cter nih..
hehehe...
Thank you so much buat penulis yg disayangi..hehe..sekurang2nyer masih ader harapan untukku menemui jodoh yg indah seperti ini..insya'allah amin...
Cerpen yg brmkna..best sngt..
ReplyDeleteVery2 awesome sangat bestt
ReplyDelete