Pasaraya besar itu penuh dengan pengunjung, namun aku berjalan sendirian menolak troli tanpa mempedulikan keriuhan di situ, bagiku apa yang penting ialah mendapatkan segala keperluan harianku.
Saat asyik membelek buku tulis yang ingin kubeli di bahagian alat tulis, seseorang menepuk bahuku. Segera aku berpaling ke arah insan itu.
“Doktor Ida!” aku tergamam saat melihat seraut wajah itu terpacak di hadapanku dengan senyuman.
“Eh cikgu ingat saya lagi eh?”
Aku tersenyum. Mana mungkin aku lupa pada insan yang rapat dengan Iman itu.
“Mestilah doktor.”
“Ala, tak payahlah panggil saya doktor, panggil Ida je.”
“Oh, ok Ida. Awak pun panggil saya Ila je eh.” Ida mengangguk-angguk, aku melihat sekelilingnya. Tiada siapa disamping Ida, sama sepertiku, keseorangan.
“Ila buat apa kat sini? Sorang je ke?” Ida mula menyoal.
“Ya, sorang. Beli barang sikit. Ida?”
“Oh Ida datang beli barang jugak. Barang hantaran, buat persiapan sikit-sikit,” kata-kata Ida itu buat aku tersentak, hingga kehilangan kata.
“Ila, awak ok ke?” Ida menghenjut sedikit bahuku, membuatkan aku tersedar semula.
“Eh saya ok. Hantaran? Hantaran apa Ida?” aku cuba mengorek rahsia.
“Hantaran pertunangan Ida nanti.”
“Tunang?”
“Aah, kenapa Ila?” Ida bagaikan dapat mengesan reaksi pada raut wajahku.
“Oh Ida nak bertunang, tahniah!” aku cuba buat-buat selamba walaupun hatiku bagaikan dihiris belati tajam. Entah mengapa aku yakin sekali bahawa bakal tunang Ida itu ialah Iman.
“Terima kasih Ila. Nanti jemputlah datang ya! Ini alamat rumah Ida. Ahad ni majlisnya, ingat! Datang tau, Ida tunggu.” Ida berkata sambil menghulurkan sekeping kad namanya yang tertera alamat rumah.
Aku segera mengambil kad nama itu dari tangannya lantas tersenyum.
“InsyaAllah.”
“Ok Ida nantikan kedatangan Ila. Lepas Zohor majlis tu, jangan lupa tau.” Ida menepuk-nepuk bahuku, bagaikan begitu mengharapkan kedatanganku pada majlis bahagianya.
“Ila tak janji, tapi Ila cuba ok?” aku cuba memberikannya harapan yang aku sendiri tidak pasti mampu kutunaikan atau tidak.
“Kalau macam tu, Ida beransur dululah ya, banyak lagi kerja yang tertangguh ni.” Ida meminta diri.
“Ok Ida, jumpa lagi ya. Tahniah sekali lagi.”
“Thanks Ila!” Ida berlalu setelah melemparkan senyuman padaku.
Aku gumam, perkhabaran gembira yang Ida berikan hampir membuatkan air mataku tumpah. Tapi aku sedar aku tak berhak menghalang jika jodoh Iman bersama Ida, aku sendiri yang lari dari Iman, dari segala kenangan dulu. Aku tidak berhak meminta supaya hanya dia jodoh buatku, jika sudah tertulis di Loh Mahfuz yang jodoh Iman bersama Ida, siapa aku untuk membangkang percaturan Ilahi.
‘Tabahlah duhai hati,’ aku cuba memujuk hatiku sendiri.
------------------------------------------------------------------
“Please Farah, sekali ni saja!”
“Ei tak naklah, kan Iman nak jumpa Ila saja. Takkanlah Farah pulak yang nak ganti.”
“Tolonglah! Ila tak nak jumpa dia!”
Iman yang sedang menunggu di dalam restoren itu hanya kupandang dari jauh dari dalam keretaku. Aku cuba memujuk Farah yang berada di sisiku, bungkusan yang terisi wang itu segera kuhulurkan pada Farah. Meminta dirinya supaya memahami keadaanku saat itu.
“Tapi kenapa Ila? Apa masalahnya sekarang? Kan ke hubungan Ila dengan dia baik-baik saja.”
Aku mengeluh, melepaskan beban yang terasa menyesak dada.
“Ila tak mahu ganggu bakal tunangan orang lagi.” aku berterus-terang.
“Hah tunangan orang?” mata Farah membulat, tidak percaya.
“Aah, Ahad ni Iman bertunang.”
“Mana Ila tahu?”
“Ila jumpa bakal tunang dia kat pasaraya tadi, dia yang beritahu. Dia ajak Ila pergi majlis tu.”
“Ila pasti ke Iman yang nak bertunang tu? Entah-entah perempuan tu bertunang dengan lelaki lain.”
Aku memandang anak mata Farah, mengharapkan kata-katanya itu satu harapan buatku. Namun hatiku cepat saja menyangkal semua itu. Firasat hatiku selalunya tak pernah menghampakan.
“Tak pasti, tapi Ila yakin.”
“Tapi takkan sebab tu Ila tak mahu jumpa dia?”
“Sebab tu ialah alasan paling kukuh yang Ila boleh bagi Farah. Ila tak mahu cinta Ila berputik semula pada tunangan orang.”
“Dari mata Farah, Farah tahu cinta tu masih wujud dalam hati Ila. Tapi jika dengan tak berjumpa Iman boleh buatkan hati Ila lega, Farah sanggup tolong Ila.”
“Terima kasih Farah. Farahlah sahabat Ila dunia akhirat. Jangan beritahu Iman, Ila ada datang bersama Farah tau.”
Farah mengangguk perlahan. Bungkusan yang kuhulur sedari tadi padanya segera diambil, sebelum keluar dari perut keretaku. Aku cuma mampu berharap segalanya berjalan lancar dan Iman akan sudi mengambil wang kirimannya tanpa banyak soal.
Lebih kurang lima belas minit kemudian, Farah keluar dari restoren lantas membolosi perut kereta semula.
“Dah bagi dah.” Farah menyampaikan beritanya.
“Ye ke? Terima kasih Farah! Maaf susahkan Farah.”
“Tapi...” suara Farah tersekat tiba-tiba.
“Tapi apa?” aku menyoal kurang sabar.
“Puas Farah pujuk dia, tapi dia berkeras nak jumpa Ila jugak. Farah cakap Ila ada hal, dia tak percaya, dia nak Ila jumpa dia sendiri dan serahkan padanya. Akhirnya Farah letak je duit tu atas meja dan terus datang sini.”
Aku tergelak kecil, rasa lucu pula dengan kedegilan Iman.
“Gelak la gelak, Farah yang seksa tau. Mujur Farah panjang akal.”
“Sorry-sorry. Cuma degil jugak Iman tu kan.”
“Farah rasa dia kecil hati la bila Ila buat dia macam ni. Macam tak tunaikan janji Ila dulu.”
Aku terdiam, mengakui kebenaran kata-kata Farah itu.
“Tak apalah, malas Ila fikir pasal dia. Jomlah...” aku terus memecut meninggalkan restoren tempat Iman berada sendirian.
-----------------------------------------------------------------------------------------
Aku baru saja merebahkan diri di atas katil saat telefon bimbitku berdering. Skrin telefon bimbit itu segera kutatap. ‘Iman!’
Aku biarkan saja nada dering itu menjerit tanpa mahu mengangkatnya. Tidak bersedia untuk melayan panggilan Iman. Namun Iman bagaikan tidak kenal erti putus asa, selang seminit pasti nada deringku berbunyi kembali. Setelah lebih kurang sepuluh kali kubiarkan panggilan dari Iman itu, akhirnya aku terpaksa mengangkat, akur dengan kehendak Iman untuk bercakap denganku.
“Assalammualaikum.” Aku memulakan perbualan.
“Waalaikumussalam. Ila sihat ke? Kenapa lambat angkat telefon?”
“Err, sihat. Tadi saya ada kat tempat lain,” aku berdusta.
“Oh, kenapa tak datang jumpa Iman tadi? Kawan Ila cakap Ila ada hal.”
“Emm aah, saya ada hal. Minta maaf sangat-sangat.”
“Tak apa. Cuma Iman takut Ila memang sengaja tak nak jumpa Iman.”
“Kalau saya cakap saya sengaja macam mana?” aku cuba menduga.
“Tapi kenapa Ila?” nada suara Iman berubah, bagaikan mahu kepastian dariku.
“Nanti saya beritahu awak boleh?”
“Bila Ila? Kenapa tak sekarang?”
“Awak kena tunggu. Ahad nanti saya beritahu. Assalammualaikum.”
Aku terus menekan punat merah, tak mampu berbicara dengan Iman lagi. Bimbang sebak di dadaku dapat didengar Iman. Air mataku ingin tumpah, kubiarkan saja ia mengalir tanpa mahu menyekanya. Mungkin dengan membiarkan air mataku mengalir, hatiku kan merasa lebih sejuk.
Suka? =)
cepat la smbung jgn la d anaktirikan KC sebab Love You Mr Arrogant!.... plzzzzz......
ReplyDeletebetul ke imana yg bertunang?
ReplyDeleteke ida dengan org lain..
klu x takkan iman still nak jumpa ila kan..heheh//
best..