~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Monday, June 20, 2011

Cerpen : Awan Nano


“Begitulah awan nano sering saja tak terduga hadir
Dan tak akan tercapai jejarimu
Kasihnya kasih tiada banding
Setia tiada tara bagaimanapun jua
Awan kekasih sebenarmu sayang
Walaupun tak akan tercapai jejarimu...”
Awan menyanyi-nyanyi kecil sambil membasuh keretanya saat Airis keluar dari rumah. Airis tersenyum girang sambil menghampiri tembok pemisah rumah mereka itu.
“Awan nano lagi? hari-hari nyanyi lagu awan nano kan?”
“Lagu favourite.” Awan tersengih.
“Ni lawa-lawa ni nak pergi mana?” Awan menyoal semula pada Airis yang segak berbaju kurung biru muda dan tudung warna sedondon.
“Jumpa Fiq.”
“Oh, nak jumpa buah hati rupanya. Jaga-jaga sikit, darah tengah manis tu...”
“Yelah, aku tahulah. Hehe. Ok aku pergi dulu ya. Assalammualaikum.” Airis segera meminta diri.
“Waalaikumussalam.” Awan memerhati Airis yang berlalu pergi dengan pandangan seribu makna.
-----------------------------------------------------------
Airis mendongak langit, memandang ke arah awan yang berarak kelabu. Rintik-rintik hujan mula turun membasahi bumi sedangkan sebentar tadi, matahari begitu garang memancarkan cahayanya. Airis melangkah longlai tanpa arah tujuan sebelum terduduk di atas bangku di perhentian bas itu. Air jernih di tubir matanya sedikit demi sedikit tumpah seiring dengan titisan hujan yang kian lebat.
“Maaf Ris, Fiq rasa kita dah tak boleh teruskan pertunangan ni lagi.” kata-kata dari mulut Fiqri itu masih terngiang-ngiang di telinga Airis.
“Tapi kenapa Fiq? Apa salah Ris?”
“Ris tak salah apa-apa. Tapi, Fiq yang salah, Fiq dah jumpa orang lain. Maafkan Fiq.”
Sekali lagi kata-kata itu bergema membuatkan air mata Airis kian laju merembes.
Deringan telefon yang tiba-tiba kedengaran membuatkan Airis mengangkat talian itu walaupun terasa lemah untuk mengangkat tangan sekalipun.
“Hello...”
“Airis, kau kat mana?” suara Awan yang kedengaran membuatkan Airis kian sebak.
“Awan, aku.. aku...” Airis tergagap dek kerana menahan sendu di dada, dadanya terhenjut-henjut menahan esakannya dari kedengaran di telinga Awan.
“Kenapa ni Ris? Bagitahu aku kau kat mana, aku datang ambil sekarang!”
“Kau dah ok ke?” Awan menyoal sebaik Airis turun dari kereta Lancer putihnya itu. Airis pandang wajah Awan seketika dengan mata yang masih berair sebelum perlahan mengangguk.
“Cerita kat aku, apa yang dah jadi? bukan kau gembira ke pagi tadi masa nak pergi jumpa Fiqri?”
Airis menghela nafasnya, bagaimana dia boleh bercerita andai sebak masih membalut dadanya.
“Nantilah Wan, aku tak boleh... aku tak mampu nak cerita lagi.”
Airis segera berlalu meninggalkan Awan yang masih terkial-kial menanti jawapan dari mulutnya. Satu keluhan berat Awan lepaskan sebelum dia berlalu ke keretanya.
-----------------------------------------------------
“Macam mana boleh jadi macam ni Airis? Semua persiapan kita dah buat, tinggal lagi dua minggu saja pernikahan kamu. Takkanlah sewenang-wenangnya Fiqri nak batalkan semua ni?”
Persoalan yang diajukan ibunya, Hajah Aisyah hanya mampu Airis balas dengan linangan air mata yang masih belum bisa kering di pipinya. Fiqri yang membuat keputusan membatalkan segalanya, dia pula dibebankan dengan pelbagai persoalan yang bertubi-tubi diajukan ahli keluarganya.
“Mana ibu nak letak muka ni? Kad undangan semua dah edar.” Hajah Aisyah mengeluh panjang. Wajah mulus anaknya yang kelihatan pucat direnung penuh sayu, mengenangkan nasib anaknya yang seorang itu.
Airis cuma mampu menggelengkan kepalanya. Serba salah hendak menjawab, rasa bersalah menyelimut dirinya kerana telah menyusahkan keluarganya. Mereka sudah berhempas pulas menyediakan segalanya demi memastikan perkahwinan Airis berjalan lancar, namun akhirnya semuanya menjadi sia-sia.
“Sudahlah Airis, jangan bersedih lagi. Tak ada faedahnya menangis disebabkan jantan tak guna tu. Lebih baik dia berterus-terang dan berundur sekarang daripada dia kahwin dengan kamu dan buat perangai. Syukurlah kamu terselamat Ris.” Hajah Aisyah mengusap-usap bahu Airis, cuba menenangkan hati anaknya yang gundah itu.
------------------------------------------------------------------------
“Tak boleh! Tak boleh! Airis tak nak!” Airis membentak seperti anak kecil sebaik perkhabaran itu sampai ke mulutnya.
Mana mungkin, jiran merangkap sahabat sedari kecilnya itu menjadi bakal suaminya. Ah langsung tak boleh diterima dek akal.
“Ini semua mengarut ibu! Airis tak nak!” Airis masih tekad membantah.
“Ibu tahu ini semua secara tiba-tiba, tapi Awan sendiri yang tawarkan untuk ganti tempat Fiqri. Ibu tak paksa Airis terima, tapi sekurang-kurangnya Airis berbincanglah dulu dengan Awan.”
Airis terdiam kaku. Tidak pernah dia membayangkan ini semua akan terjadi, hatinya di dalam dilema. Hendak diterima, dia akan terseksa menikahi sahabat baiknya sendiri, hendak ditolak, kasihan pula dengan ibunya dan keluarga yang bakal menanggung malu dek kerana penolakannya itu.
------------------------------------------------------------
“Kau serius ke nak gantikan tempat Fiq?”
Awan diam, matanya takut-takut hendak memandang wajah ayu Airis. Bimbang sahabat baiknya itu marahkan dirinya.
“Kalau kau tak kisahlah. Aku boleh je gantikan dia, supaya keluarga kau tak perlu tanggung malu.”
Airis mengeluh, pandangannya dihalakan ke arah tasik yang membiru. Cuba mencari ketenangan di sebalik kekusutan yang kian menggamit perasaannya.
“Kenapa kau sanggup lakukan semua ni, Awan? Kenapa kau sanggup nak korbankan diri kau untuk aku?”
Awan tersenyum.
“Sebab aku kan sahabat kau.”
“Terima kasih Awan. Aku tak tahu macam mana nak balas budi kau ni. Tapi masalahnya boleh ke kita hidup sebagai suami isteri sedangkan selama ni aku dah anggap kau macam abang kandung aku?”
“InsyaAllah. Jangan risau pasal tu. Niat aku ikhlas nak menolong, dan aku takkan minta pun hak aku sebagai suami kau.”
Airis terdiam, masih sukar hendak mempercayai kata-kata itu, namun mata Awan yang jernih jelas mempancarkan cahaya keikhlasannya.
--------------------------------------------------
‘Fiq, selama dua tahun kita bercinta, akhirnya Ris jadi milik orang lain. kenapa Fiq sanggup buat Ris macam ni? Apa dosa Ris pada Fiq?’ Airis bermonolog sendiri dengan linangan air mata di pipinya.
“Assalammualaikum.” Awan terpacul di hadapan pintu bilik sebelum membolosi bilik itu dengan langkah perlahan. Tubuhnya dihenyakkan ke atas katil di sisi Airis yang diam kaku.
“Kenapa ni Ris? Jangan bersedih lagi. Abang tak suka tengok Ris sedih.” Awan menyeka air mata yang masih membasahi pipi Airis.
Airis menelan liur. ‘Abang? Sejak bila Awan pandai membahasakan dirinya abang?’
“Kau ni kenapa? Buang tebiat ke tiba-tiba berbahasa diri abang ni?” Airis tidak membalas soalan Awan sebaliknya kembali menyoal.
Awan tersengih sambil menggaru kepalanya.
“Kan Ris dah jadi isteri abang, moleklah kalau abang bahasakan diri abang, abang. Kan?”
“Apa-apa ajelah.” Airis mencebik.
“Ris...” Awan menolak dagu Airis supaya kembali memandang ke arahnya.
“Jangan sedih-sedih lagi ya. Abang tak suka tengok Ris sedih macam ni. InsyaAllah abang akan bahagiakan hidup Ris.”
Airis memandang Awan dengan pandangan tidak percaya. Pertama kali sahabatnya itu menuturkan kata seserius itu. Ah mana mungkin Awan mampu bahagiakan dia, Airis tidak mahu percaya kata-kata itu.
 Airis menjeling Awan yang tersengih sebelum melepaskan keluhan panjang. Tangan Awan digapai sebelum dielus.
“Terima kasih Awan, sebab tolong aku. Kaulah sahabat aku dunia akhirat. Entah macam mana baru aku dapat balas budi kau ni pada aku, kan?”
Awan menarik Airis dalam rangkulannya lantas memeluk sahabat baik yang telah bertukar status menjadi isterinya itu erat-erat.
“Tak perlu balas budi abang. Abang ikhlas.”
Airis terpempan, tidak menjangkakan tindakan Awan itu.
“Kau buat aku rasa seramlah Wan, lepaskan aku!” Airis meronta-ronta minta dilepaskan membuatkan rangkulan Awan kian longgar.
“Oklah, selamat malam sayang.” Awan segera mengucup ubun-ubun Airis sebelum mengambil bantal di atas katil seraya tidur di atas lantai yang hanya berlapikkan permaidani lembut.
‘Awan...’ Airis terkedu. Tidak menduga sahabat baiknya itu akan berkelakuan ganjil sebegitu.
-------------------------------------------
Sudah sebulan rumah tangga ini dibina, namun Airis masih berasa canggung pabila bersama Awan. Sukar sekali hendak menukar sebuah rasa persahabatan kepada ikatan suami isteri. Sukar sekali untuk menerima Awan sebagai suaminya yang sah walaupun Airis berusaha mencuba.
“Kenapa ni sayang?” Awan menghampiri Airis yang sedang duduk termenung sendirian di tepi pancuran air terjun buatan di luar rumah mereka itu.
Airis pandang sekilas pada Awan dan kemudian menggelengkan kepalanya. Badannya yang kesejukan dibadai angin malam itu membuatkan dirinya sedikit menggigil. Awan yang menyedari Airis kesejukan, segera merapatkan diri dengan isterinya itu lantas memeluk Airis dari belakang.
“Eh apa kau buat ni?” Airis menolak tubuh sasa Awan yang mendakapnya.
“Kan Ris sejuk, abang tolong panaskan aja.” Awan tersengih.
“Ish gatal!” Airis tarik muncung sedepa.
“Gatal pun apa salahnya, dengan isteri abang jugak.”
Airis terdiam, berteleku memandang ikan koi yang sedang meliuk lentuk berenang di dalam kolam. Hatinya gementar sekali apabila berhadapan dengan Awan, seolah-olah sifat sahabat karib sedari kecilnya itu hilang serta merta dan diganti dengan perilaku seorang suami yang setia di sisi isterinya. Awan sudah menjadi Awan yang tidak dikenalinya lagi.
“Wan, kau sahabat aku kan? Kau pun tahu dah sebulan aku cuba nak jadi isteri kau, tapi aku tak bolehlah. Aku dah anggap kau macam abang aku, macam mana aku nak ubah perasaan tu  semua tiga ratus enam puluh darjah?”
Awan tersenyum. Kerana sebuah persahabatan, dia merelakan pernikahan ini untuk menyelamatkan Airis dari menanggung malu, kerana persahabatan ini juga dia sanggup mencintai Airis seikhlas hatinya, tapi dia sedar, memang sukar bagi Airis untuk menerima kenyataan yang sahabat baiknya itu sudah bertukar menjadi suaminya.
“Takdir Allah telah mengubah persahabatan ini kepada sebuah perkahwinan Ris, abang menerima Ris seadanya dan mula belajar mencintai Ris saat kita selamat diijabkabul. Abang tak minta Ris tukar perasaan Ris tu secara mendadak, tetapi tolonglah cuba supaya Ris bahagia dalam perkahwinan ni, abang tak sanggup tengok Ris derita.”
Airis terpempan. Nafasnya dihela dan hatinya dikerah untuk memikirkan setiap butir perkataan yang terbit dari mulut Awan. ‘Cuba mencintai Awan? Mampukah aku...’ Airis berjeda sendiri sambil matanya memerhati Awan yang sedang asyik memandang langit diam-diam.
---------------------------------------------------
 “We need to talk. Jumpa Fiq kat tempat biasa, jam lima petang.” Baris-baris SMS itu Airis baca dengan rasa tidak percaya. Setelah sekian lama, Fiqri kembali menghubunginya.
“Fiq minta maaf Ris, mata Fiq dah buta dengan permainan perempuan tu. Fiq tak sangka yang dia tak pernah serius dengan Fiq, dia cuma mahu kikis duit Fiq selama ni. Sekarang Fiq dah sedar yang Fiq dah kehilangan sesuatu yang amat berharga.”
Airis tergamam mendengar luahan rasa Fiqri. Sejujurnya masih ada cinta yang berbaki dalam diirnya buat jejaka itu, namun Airis sedar yang dirinya sudah bersuami.
“Sudahlah Fiq, dah terlambat. Airis takkan boleh terima Fiq semula. Airis dah kahwin.”
“Tapi Ris...” Fiqri pantas memegang tangan Airis.
“Don’t touch me Fiq. Fiq tak berhak!”
“Maafkan Fiq Ris, maafkan Fiq.” Ada air jernih yang bertakung di tubir mata Fiqri membuatkan Airis terkedu. Selama berkenalan dengan Fiq, tidak pernah sekalipun Airis melihat jejaka itu menangis.
“Kita dah tak boleh buat apa Fiq, Ris dah kahwin. Memang antara kita dah tak ada jodoh.” Airis cuba berlembut.
“Awan kahwin dengan Ris cuma sebab nak selamatkan Ris dari malu kan? Ris tak pernah cintakan dia kan? Mintaklah cerai.”
Airis terpempan mendengar bait kata Fiqri itu. Mudah sekali kata-kata itu diluahkan seolah-olah perceraian itu perkara yang main-main.
“Fiq dah gila! Ris takkan buat macam tu. Perkahwinan Ris bukan untuk diperdagangkan, setelah Fiq lari dari perkahwinan kita, suka-suka hati saja Fiq mahu bina kembali masjid yang Fiq sendiri robohkan dengan tangan Fiq?”
“Tapi, Ris tak pernah cintakan Awan kan? Macam mana Ris nak bahagia kalau Ris hidup dengan orang yang Ris tak cintai.”
Airis terdiam. Otaknya ligat memikirkan kebenaran kata-kata Fiqri itu.
“Walaupun Ris tak pernah cintakan Awan, sekurang-kurangnya dia yang selamatkan maruah Ris dan keluarga. Ris takkan pernah lupa budi dia pada Ris. Ris akan cuba cintai dia dengan sepenuh hati Ris.” Airis lantang membuat keputusan.
“Habis, Ris nak lupakan cinta kita?”
“Siapa yang lupakan cinta kita terlebih dulu? Ris ke Fiq? Sukar sekali untuk sembuhkan luka ini, Fiq. Sudahlah, berhenti merayu lagi sebab Ris takkan pernah kembali pada Fiq lagi.”
Biar masih ada cinta untuk jejaka itu, tapi untuk menerima kembali lelaki yang membuatkannya derita, tidak sama sekali! Airis nekad.
-------------------------------------------------------
Awan meraup wajahnya usai berdoa, Airis yang menjadi makmumnya saat solat Maghrib itu turut sama mengaminkan doa itu. Awan segera berpusing ke belakang, menghulurkan tangannya seraya disambut Airis lantas dikucup. Awan mendekatkan dirinya pada Airis sebelum mengucup ubun-ubun isterinya itu.
“Abang...” Airis memulakan bicara.
Awan tersentak, kelu lidahnya mendengar bait-bait kata itu.
“Aa.. apa Ris panggil abang?”
Airis tersenyum. “Abang...”
Awan tersenyum girang.
“Terima kasih Ris! Abang gembira sangat.”
“Ris...” Airis rasa segan hendak menatap wajah Awan.
“Ada apa sayang?”
“Ris janji Ris akan cuba cintai abang.”
Awan memegang jemari Airis seraya mengucupnya.
“Terima kasih Ris. Kata-kata Ris itu dah cukup buat abang rasa bahagia.”
Airis kehilangan kata. Awan terlalu baik padanya hinggakan dia tidak sanggup untuk tidak berusaha mencintai lelaki itu. Sekurang-kurangnya dia tahu Awan mampu membahagiakan dia walaupun masih sukar untuk menyemai benih cinta antara mereka.
------------------------------------------------------
Lihat ke arah sana, serakan warna dan berarakan awan
Pabila terik panas segera hadirnya memayungi diri
Pabila kau dahaga sesegera turun hujan melimpahkan kasihnya
Pabila kau katakan akulah awan itu yang kau mahu
Begitulah awan nano setia melindungi diri
Tika panas mencuba menggores pipi dan bibirmu
Begitulah awan nano sering saja tak terduga hadir
Dan tak akan tercapai jejarimu
Kasihnya kasih tiada banding
Setia tiada tara bagaimanapun jua
Awan kekasih sebenarmu sayang
Walaupun tak akan tercapai jejarimu
Lihat diriku ini yang sesekali pernah kau bagaikan awan
Sehingga tak mungkin terlupa berikan belas sedari dulu
Sehingga tak mungkin termampu saksi
Setitis pun air matamu kasihku
Sehingga kau katakan akulah awan itu yang kau rindu
Akulah awanmu yang sedia
melindungi dirimu tika panas mencuba menggores pipi dan bibirmu
Akulah awanmu yang sering kau rindu
Dan tak terduga hadirmu walau tak tercapai jejarimu
Kasihku kasih tiada banding setia tiada tara
Bagaimanapun jua aku pelindung dirimu sayang
Walaupun tak akan tercapai jejarimu....
Awan memutarkan lagu itu buat kesekian kalinya. Entah mengapa hatinya begitu terkesan dengan bait kata lagu tersebut. Airis yang sedang memegang dua mug, segera meletakkan mug itu di atas meja sebelum duduk di sisi Awan.
“Kenapa abang suka sangat lagu ni?” Airis memulakan bicara antara mereka. Awan yang sedang khusyuk mendengar lagu itu segera menekan butang Pause, enggan mengganggu perbualan mereka.
“Sebab ada perkataan Awan. Haha.”
“Ceh.. abang tahu ke maksud awan nano tu?”
“Tak tahu. Ris tahu ke?”
“Sebab Ris tak tahulah Ris tanya abang ni.”
Awan tersenyum, jemari isterinya dielus lembut, rasa bahagia mula menyelinap hatinya.
“Yang penting Ris kena tahu yang, abang ialah awan Ris. Yang akan melindungi Ris setiap masa.”
“Terima kasih abang.” Airis melentokkan kepalanya di bahu Awan dengan penuh rasa cinta yang kian mekar dihatinya. Benarlah kata orang, cinta boleh dipupuk andai kita sudi membuka hati kita untuk menerima cinta.
----------------------------------------------
Fiqri berdiri tegak di hadapan mereka dengan wajah masam mencuka. Ada amarah yang terpamer dari riak wajahnya.
“Kenapa Fiq tiba-tiba datang sini?” Airis menyoal saat melihat kehadiran Fiq di hadapan pintu rumahnya petang itu.
Fiqri cuma diam, sebaliknya dia menghampiri Awan yang berdiri di sebelah Airis.
“Baik kau lepaskan Ris sekarang jugak!”
“Eh Fiq dah gila ke?” Airis berteriak pada Fiqri yang naik minyak.
“Sebabkan dia kita tak dapat bersatu semula. Sebabkan dia Fiq merana!”
“Fiq salah, Fiq yang rosakkan kebahagiaan Fiq sendiri, Fiq jangan salahkan Awan pulak!” Airis mempertahankan Awan.
“Sabar Fiq, sabar.” Hanya itu yang terpacul dari mulut Awan.
“Kau telah mengambil kesempatan ke atas Airis, kau beli cinta dia dengan wajah polos kau tu sedangkan hati kau busuk! Kau sanggup rosakkan kebahagiaan orang lain.”
“Aku cuma lindungi Airis dari penghinaan dan kejian setelah apa yang kau lakukan terhadap dia.”
“Ah kau penipu! Kalau Airis tak boleh ikut aku, dia pun tak boleh ikut kau!” Fiqri pantas menarik tangan Airis lantas mencekak leher gadis itu. Sebilah pisau yang entah dari mana datangnya dihunus ke leher Airis.
“Fiq, jangan buat kerja bodoh! Lepaskan Airis!”
“Tidak! Selagi kau tak lepaskan dia.”
“Fiq!!!” semangat Awan naik tiba-tiba membuatkan dia pantas mencengkam tangan Fiqri dan meloloskan Airis dari pelukan Fiqri. Mereka bergelut seketika apabila Awan cuba menjatuhkan pisau dari tangan Fiqri. Tanpa diduga, Fiqri lebih pantas melawan seraya membenamkan pisau itu ke perut Awan.
 “Abang!!!” hanya teriakan Airis yang bergema saat darah merah mula memancut membasahi bumi.
Awan jatuh terjelepok namun sempat diriba Airis. Fiqri yang menggelabah terus angkat kaki tanpa mempedulikan Awan dan Airis lagi.
“Abang, kenapa jadi macam ni?” Airis menyoal dalam esak tangis yang menggila.
“Kan abang pernah cakap yang abang ialah Awan yang akan sentiasa melindungi Airis.”
“Tolong abang, tolong jangan tinggalkan Ris! Ris dah sedar sekarang yang Ris cuma boleh bahagia dengan abang. Ris cintakan abang!”
“Terima kasih sayang. Abang sangat bahagia mendengar kata-kata itu.” Awan tersenyum sebelum perlahan menutup mata.
“Abang!!!” Airis berteriak semahunya ditemani rintik hujan yang tiba-tiba turun membasahi bumi seolah-olah turut menangis.
Akulah awanmu yang sedia
melindungi dirimu tika panas mencuba menggores pipi dan bibirmu
Akulah awanmu yang sering kau rindu
Dan tak terduga hadirmu walau tak tercapai jejarimu
Kasihku kasih tiada banding setia tiada tara
Bagaimanapun jua aku pelindung dirimu sayang
Walaupun tak akan tercapai jejarimu....
Air mata Airis tumpah pabila mendengar bait senikata lagu kegemaran Awan itu. Hatinya bagai diruntun pilu pabila menghayati lagu itu.
“Ris tahu tak, yang awan itu cuma terdiri dari zarah-zarah halus yang tidak disedari kewujudannya. Bila panas terik barulah kita mencari-cari si awan agar bisa berteduh. Tapi awan akan sentiasa setia di situ sampailah khidmatnya tak diperlukan lagi. tapi bila awan pergi, kita yang pasti akan merindui lindungannya.”
“Abang!” Airis bangun mendakap suaminya itu.
“Adeh, adeh...” Awan mengaduh kerana luka di bahagian perutnya masih belum sembuh.
“”Sorry, sorry, Airis tak sengaja.”
Awan tersengih melihat keletah isterinya yang berasa bersalah.
“Tak apa sayang, demi Airis abang sakit pun tak apa.”
“Shhh.. abang jangan cakap macam tu lagi, abang tahu tak, Ris terseksa bila tengok abang menderita. Masa abang ditikam Fiqri, Ris ingat Ris akan kehilangan abang. Ris dah tak sanggup hadapi kehilangan abang untuk kali kedua.” Air jernih mula mengalir di pipi mulus Airis.
“Airis Irdina, isteri kesayangan Hazwan Haniff... abang janji takkan tinggalkan Airis lagi.. selagi Allah izinkan abang bersama Ris, abang akan setia di sisi Ris, macam awan nano yang setia memayungi..” Awan bersuara perlahan sambil menyeka air mata Airis dengan penuh lemah lembut.
“Awan nano lagi...” Airis mencebik.
Mereka sama-sama ketawa ditemani awan nun di atas sana yang sedang tersenyum.
-Tamat-
p/s : AK cuba buat cerpen cinta yang agak serius berbanding cerpen cinta yang santai sebelum ni. Entah jadi ke tak. Haha. maafkan segala kekurangan cerpen ini ya!

Suka? =)

7 comments:

  1. best citer awan nano nie.. :D sib baik si awan tak mati.. lau dak.. wuwuwuwuwuwwwuwuwu

    heheheheheheeh sib baik happy ending.. keep up the good work..

    muahh

    ReplyDelete
  2. best....best.....

    ReplyDelete
  3. ehehehe... best2.. tapi klaka la guna nama AWAN.. hahaha...
    seet story sis.. nice!

    ReplyDelete
  4. teringat kat hafiz la bila bc citer ne....

    ReplyDelete
  5. wah bestt..terus pasang lagu awan nano..memang feel abes!

    ReplyDelete
  6. saya tak suka ending yg hero mati,so saya suka sangat ending cerita ni.keep it up :)

    ReplyDelete

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!