~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Thursday, April 21, 2011

Novel : Love You Mr. Arrogant! Bab 12


Zaara terjaga saat jam loceng di sebelah Irham berbunyi. Wajahnya diusap-usap sebelum menggosok-gosok matanya. Bilik yang masih asing di pandangan matanya itu diperhatikan seketika. Irham yang masih nyenyak tidur disebelah ditenung Zaara dengan perasaan keliru, cuba menyedarkan dirinya sendiri tentang status dirinya sekarang.
Jam loceng yang bingit itu cuba ditutup Zaara, namun tak berhasil kerana terletak di sebelah katil di bahagian Irham. Tangannya digapai-gapai dengan berhati-hati untuk mencapai jam loceng itu tanpa menyentuh Irham.
Irham yang terjaga dek kerana jam loceng yang memekikkan telinga itu segera berkalih badan menyebabkan Zaara yang berhati-hati sedari tadi tidak dapat mengawal dirinya lantas menghempap Irham.
“Adoi!” Irham mengaduh lantas menolak tubuh Zaara ke tepi. Matanya dibuka luas.
“Kau ni kenapa?” Irham merengus dengan wajah masam mencuka membuatkan Zaara kecut perut.
“Saya.. saya nak tutup jam loceng tu.” Zaara memberi alasannya sambil menunjuk ke arah jam loceng di tepi katil.
Irham pandang jam loceng itu lantas ditekan supaya tidak berbunyi lagi.
“Kenapa kunci awal sangat?” Irham merungut.
“Saya... Saya nak bangun solat Subuh. Awak tak nak solat?” Zaara menyoal sebelum bingkas bangun.
“Dah-dah, nak solat, pergila solat. Jangan kacau aku.” Satu bantal dikepala Irham ditarik lantas diletak menutupi mukanya.
Zaara menghela nafas, sambil melangkah berat ke bilik air.
---------------------------------------------------------
Zaara terkedu sebaik keluar dari musolla pabila melihat wajah mertuanya, Tan Sri Zahir, tercongok di hadapan pintu musolla itu.
“Eh Zaara, dah solat ke?” Tan Sri Zahir yang lengkap berbaju melayu johor dan berkain pelikat segera menyoal Zaara sebaik terpandang wajah menantunya itu.
“Err dah Tan Sri.”
“Apa ber‘Tan Sri’ dengan papa ni? Kalau belum tadi, boleh kita jemaah sekali kan?”
Zaara cuma tersenyum, segan dengan Tan Sri Zahir. Wajah bapa mertuanya itu direnung sekali lagi, cuba mengingati di mana mereka pernah berjumpa sebelum ni.
“Suami kamu mana? Tak solat sekali?” Tan Sri Zahir tertinjau-tinjau di belakang Zaara.
“Irham tengah tidur lagi.”
Tan Sri Zahir menggeleng-geleng. Sudah masak dengan perangai anaknya yang liat bangun awal.
“Tak apalah kalau macam tu. Nanti Zaara kejutkan dia ya.”
“InsyaAllah papa.”
Tan Sri Zahir mengangguk-angguk sebelum membolos masuk ke dalam musolla.
Mata Zaara mengekori langkah Tan Sri Zahir sambil berfikir tentang sesuatu yang asyik mengganggu fikirannya saat itu, dia buntu di mana dia pernah bertemu lelaki separuh abad itu sebelum ini. Selagi belum dapat memastikan di mana dia telah bertemu Tan Sri Zahir, selagi itu dia tidak puas hati.
‘Ah! Pakcik kat lif tu!’ Zaara menjerit di dalam hati.
‘Erk! Tapi suka hati saja aku panggil Tan Sri tu pakcik...’ Zaara menepuk-nepuk dahinya, malu dan kesal dengan kesilapannya sebelum ini. Tangannya cepat memulas tombol pintu bilik tidurnya.
 “Awak, bangunlah, solat Subuh. Nanti Subuh habis ni...” Zaara menolak-nolak tubuh suaminya itu saat dia masuk semula ke dalam bilik mereka.
Irham masih nyenyak tidur tanpa mempedulikan Zaara. Sedikit pun dia tidak tercuit dengan panggilan Zaara itu.
“Yaaasin....” tiba-tiba suara itu bergema. Irham yang sedang enak diulit mimpi, tersedar apabila terdengar sayup-sayup bacaan Yaasin di telinganya. Bulu romanya mula tegak, matanya cepat-cepat dibuka seraya terlihat satu lembaga berkelubung putih duduk di sebelah Irham.
“Aaaa!” Irham menjerit ketakutan lantas cepat-cepat bangun terloncat dari atas katil. Zaara yang sedang asyik membaca Yaasin di sebelah Irham segera menghentikan bacaannya apabila Irham sudah terjaga, berdiri tegak dengan mata membulat memandang Zaara.
“Apa motif kau ni hah? Kenapa kau baca Yaasin tepi aku ni?”
 “Orang cakap, elok dibaca Yaasin pada mereka yang sakit, untung-untung sihat terus, tak pun... Innalillah.” Zaara menggeleng-geleng kepalanya.
“Kau doakan aku cepat mampus ke hah?”
“Mana ada. Saya harap awak cepat sembuh.”
“Sembuh dari apa?”
“Dari penyakit kuat tidur, malas bangun solat Subuh.”
“Kau ni memang gilalah.”
“Orang gila ni pun dah solat Subuh. Bukan macam awak, dah-dah pergi solat cepat. Kang terlepas.” Zaara membuat isyarat tangan seolah menghalau Irham dari situ.
“Ish macam-macam la perangai kau ni.” Irham mencebik sebelum melangkah ke bilik air, mood tidurnya sudah mati saat dikejutkan sebegitu. Zaara tertawa kecil melihat wajah Irham yang mencuka.
---------------------------------------------------
Irham berjalan malas ke arah biliknya usai solat Subuh. Wajahnya diraup-raup untuk menghilangkan mengantuk yang masih bersisa. Tak pernah-pernah dia bangun seawal ini, tapi baru sehari berkahwin, dia sudah pecah rekod.
Irham terhenti di hadapan pintu, berkira-kira hendak masuk. Fikirannya asyik terfikirkan karenah Zaara. Semalam bukan main lagi dia menangis-nangis memarahi Irham, hari ini selamba aja dia, macam tak berlaku apa-apa. Pening Irham memikirkan perangai seorang perempuan.
Irham membolosi bilik itu seraya ternampak Zaara sudah terlelap di atas kerusi dalam keadaan duduk mengerekot.
“Woi bangun, nak tidur sampai esok ke?” Irham menguis-nguis bahu Zaara yang kelihatan nyenyak tidur.
Zaara yang terkejut, bangun dengan wajah terpinga-pinga.
“Eh dah pukul berapa ni?” Zaara menyoal seraya menggosok-gosok matanya.
Irham cuma menjeling tanpa bersuara lantas menunjuk ke arah jam yang terlekat di atas dinding berhadapan Zaara.
“Oh baru pukul tujuh.” Zaara bersuara sambil menggeliat kecil. Keletihan menguruskan soal perkahwinannya masih belum bisa dihilangkan.
Zaara pandang wajah Irham yang diam sedari tadi.
“Err, awak nak sarapan ke? Saya boleh pergi siapkan.” Zaara bingkas bangun dari duduknya.
“Kau ingat kau orang gaji ke?” Irham menyoal dengan wajah keruh.
Zaara menggaru kepalanya.
“Habis? Tak payah siapkan sarapan ke?”
 “Itu semua tugas pembantu rumah. Kau jangan nak malukan aku pulak kat rumah ni.” Irham seolah memberi amaran.
“Saya minta maaf.” Zaara tertunduk pabila mendengar bicara Irham tadi.
Irham menghempaskan tubuhnya ke katil namun pandangannya tidak terlepas dari memandang Zaara.
“Kau dengar sini baik-baik. Dalam rumah ni cuma kau dan aku saja yang tahu yang kita tidak pernah saling mencintai sebelum kahwin, orang lain semua ingat yang kau tu kekasih aku. Kau tahu, sebabkan hal tu jugaklah papa suruh aku kahwin dengan kau.” Irham membuka cerita tanpa dipaksa.
Zaara terpempan.
“Jadi itu sebabnya awak beria sangat memaksa saya kahwin dengan awak?”
Irham menjeling seraya mengangguk perlahan.
“Ya, terpaksa. Kalau tak, kau fikir, aku nak sangat ke kahwin dengan kau? Orang yang aku tak kenal? Yang rosakkan kereta aku?”
Zaara menelan liur.
Irham menunduk memandang lantai. Jari jemari tangannya dimain-mainkan dengan perasaan yang berkecamuk.
“Semuanya sebab kau. Tempoh hari, masa kau datang ke pejabat aku, papa ingat kau ni kekasih aku. Jadi dia paksa aku suruh kahwin dengan kau, kalau tak, Irham Holding akan jatuh ke tangan sepupu aku.”
Irham menarik nafas seraya mendongak memandang Zaara yang kaku menghadapnya.
“Semua salah kau!” Irham menuding ke arah Zaara membuatkan Zaara terkedu.
“Salah saya?” Zaara menuding ke arah dirinya sendiri dengan wajah yang tidak percaya. Zaara menggeleng-geleng.
“Salah saya ke, bila awak hantar SMS merepek tu pada keluarga saya? Salah saya ke?”
“Ya, semua salah kau. sebab kau yang mulakan, kau yang buat aku bertindak sedemikian. Kau yang cacatkan BMW aku dan tak mahu bayar gantirugi!”
“Kalau ikut undang-undang, awak yang salah, sebab ekori saya terlalu dekat. Tapi saya diamkan saja sebab saya tak berani melawan awak. Tapi saya memang tak mampu nak bayar gantirugi tu, saya nak buat macam mana lagi.”
Irham mendengus, biarpun ada kebenaran di sebalik kata-kata Zaara itu, Irham tetap tidak mahu mengaku salah. Nafasnya ditarik perlahan supaya dia lebih tenang, tak guna bergaduh pada perkara yang sudah tidak boleh diundur.
“Sudahlah! Nasi pun dah jadi bubur. Aku dah tak boleh buat apa lagi selain menjadikan kau isteri aku. Kalau kau rasa kau dipaksa, aku pun dipaksa jugak. Jadi kita berada dalam situasi yang sama,” Irham bernada tegas.
 “Aku cuma nak minta tolong kau satu perkara saja...” Irham menyambung lagi.
Irham berjeda seketika sambil merenung mata Zaara dalam-dalam.
“Apa?” Zaara menyoal lembut.
“Berpura-pura kita adalah pasangan bahagia yang berkahwin memang atas dasar cinta di depan keluarga aku, tapi aku janji aku tak akan apa-apakan kau. Boleh?”
Zaara gumam. ‘Berpura-pura? Mengapa perlu berpura-pura andai impianku adalah untuk kebahagian itu menjadi nyata?’
 “Zaara...” Irham menanti jawapan dari Zaara.
“Err...”
“Jangan bimbang. Kalau kau nak aku bayar untuk semua ni, kau beritahu saja aku jumlahnya. Aku boleh bayar asalkan kau rela jadi isteri aku, buat sementara waktu ni. Kalau kau tak percaya, kita boleh tandatangani perjanjian.”
Zaara tersenyum tawar seraya menghela nafasnya perlahan.
“Tak perlu Encik Irham, saya bukanlah perempuan yang dijual beli untuk sebuah perkahwinan. Dan... Saya tak mahu dengar sebarang perjanjian lagi.”
“Apa maksud kau?”
“Perkahwinan dibina tanpa sebarang syarat Encik Irham. Saya sudi menikahi awak tanpa sebarang bayaran mahupun ganjaran, jadi tak perlu adakan sebarang perjanjian. Selagi saya boleh bantu awak, saya akan bantu terdaya saya, dengan ikhlas.”
Irham terkedu. Mata Zaara direnung tajam, ingin mencari kepastian di sebalik mata itu namun yang terpamer hanyalah riak tenang dari Zaara.
‘Sama ada dia ni bodoh atau dia memang terlalu baik,’ Irham berbicara sendiri dalam hatinya.
“Apa-apa ajelah.” Irham mendengus seraya bangun dari duduknya di atas katil itu.
“Eh nak ke mana pulak tu?” Zaara menyoal.
Irham memandang Zaara sekilas.
“Nak jauhkan diri dari kau.” Irham lansung tidak memandang Zaara.
“Ceh.” Zaara mencebik.
Beberapa tapak melangkah menuju ke pintu, Irham kembali berpaling pada Zaara.
“Dah jom.” Irham memberi arahan, membuatkan mata Zaara membulat. Tidak faham dengan kata-kata Irham. Sebentar tadi kata nak jauhkan diri dari dia, sekarang ajak dia pula. Yang mana satu yang betul?
--------------------------------------------------------------
Zaara diam mengekori Irham yang laju mengatur langkah menuruni anak tangga. Langkah Zaara terasa berat, segan hendak bergaul dengan keluarga itu. Bagaimana tanggapan mereka padanya nanti? Adakah mereka boleh menerima dia atau membenci dirinya? Ah sukar sekali hendak berhadapan dengan semua ini.
“Eh Zaara, baguslah papa jumpa kamu di sini. Mari kita bersarapan.” Tan Sri Zahir yang muncul saat Zaara sedang menuruni tangga membuatkan langkah Zaara terbantut.
“Err.” Zaara tergamam. Tidak tahu hendak berbuat apa, Irham awal-awal lagi sudah lesap di bawah, meninggalkan Zaara terkontang-kanting sendirian berhadapan dengan Tan Sri Zahir.
“Dah, jangan segan-segan. Marilah.” Tan Sri Zahir menarik lengan menantunya itu, mengajak turun ke bawah. Dengan perasaan segan, Zaara mengikut.
Meja makan sudah dipenuhi dengan ahli keluarga Tan Sri Zahir. Puan Sri Maryam juga turut ada di situ, menjeling saja ke arah Zaara. Langkah Zaara terhenti saat Tan Sri Zahir menghampiri meja makan itu. Rasa segan mula menguasai dirinya.
“Jom.” Suara itu berbisik di tepi telinganya sebelum tangannya dipegang seseorang. Irham yang entah dari mana terus memimpin Zaara ke meja makan.
“Selamat pagi semua.” Irham bersuara sebelum duduk di sebelah kerusi yang diduduki papanya di hadapan sekali. Zaara ikut duduk di sebelah Irham sebaik Irham duduk kerana tangan mereka masih bertautan.
“Awal kamu bangun Irham. Selalu liat nak bangun pagi.” Puan Sri Maryam bersuara sambil menuang air teh ke dalam cawannya.
“Ish kamu ni, Irham kan dah jadi laki orang, kena la pandai bangun awal.” Tan Sri Zahir membalas.
“Betul betul betul.” Irham tersengih. Zaara cuma diam disebelahnya, kekok sekali.
“Makanlah Zaara, nak suami kamu suapkan ke?” kata-kata Puan Sri Maryam sedikit mengguris hati Zaara namun diabaikannya saja.
“Dah, makan,” bisik Irham memberi arahan apabila dilihat Zaara cuma diam.
Zaara pandang wajah Irham dengan perasaan takut dan segan yang masih menguasai dirinya sambil menyuap sesudu nasi goreng yang sudah tersedia di dalam pinggannya.
“Eh lupa nak kenalkan pada kamu Zaara, tentu Irham belum kenalkan ahli keluarganya pada kamu kan? Yang hujung tu, Zafrina, kakak Irham ni, itu suaminya Munir, itu anak-anak mereka, Danish dan Dania sebelah kamu tu.” Tan Sri Zahir memperkenalkan.
Zaara memandang wajah mereka satu persatu seraya mengangguk.
“Itu pula pembantu rumah di sini, Mak Tom, Siti dan Susanti.”
Zaara angguk lagi dan tersenyum pada pembantu-pembantu rumah yang sedang berdiri di satu sudut.
“Papa harap kamu dapat menyesuaikan hidup di sini ya.”
“InsyaAllah papa.” Zaara memberanikan diri untuk bersuara.
“Irham, kamu jaga menantu papa ni baik-baik. Jangan biar dia tak selesa di sini pulak.”
“Baik papa.” Irham pula membalas.
“Hmm, dah jadi menantu kesayangan abang nampak?” Puan Sri Maryam menjeling pada suaminya.
“Kenapa Yam? Tak boleh ke?”
Puan Sri Maryam cuma tarik muka empat belas.
Zaara merasakan nasi yang ditelannya ibarat pasir, berserdak dan kasar, sukar untuk menelan kerana Puan Sri Maryam asyik memerhatikan kelakuannya sambil menjeling dengan pandangan tidak puas hati.

Suka? =)

10 comments:

  1. wahhhh,akhirnya....
    lama tggu bab nie...
    bgus la zaara nie...
    kejutkn irham guna yaasin....
    hahahaa..pdan muka irham....
    post cpat2 ye kak AK....

    ReplyDelete
  2. kesian Zaara.. sabar eh melayan kerenah Puan Sri Maryam tu.. knape la Puan Sri Maryam benci sgt kat Zaara?? huh !

    ReplyDelete
  3. syabas kak !
    suke cite nye,
    harap akak leyh smbung cite nye cpt2 (:

    ReplyDelete
  4. lama gile tggu cite ni huhu..
    jgnla lama2 sgt

    ReplyDelete
  5. wah..
    musti puan sri tu x suka sbb si zaraa nie org besa2 jer..
    dia musti la nk yg 1 level ngn dia gak kan..
    ish ish ish...

    ReplyDelete
  6. ayat yg zaara ckp dalam hati mengapa perlu berpura-pura andai impian ku adalah untuk kebahagiaan itu menjadi nyata??? sy kurang faham sikit adakah zaara menaruh harapan dalam ikatan perkahwinaan dia dan irham ...???

    ReplyDelete
  7. sapee yg xmo bhgia dlm perkahwinan adik? heheeh..itulah maksud zaara. impian stiap org ialah menggapai bahagia dalam alam rumah tangga. termasuklah zaara walaupun die terpksa je khwin dgn irham..hehehe

    ReplyDelete
  8. best...x sabo nk bc n3 strus'y....nk bukukn ke nvl ne?????

    ReplyDelete

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!