Aku mendaki anak tangga ke arah kafe yang diberitahu Iman dalam perbualan telefon sebelum ini. Memang niatku untuk bertemunya hari ini bagi membayar hutangku sementelah gaji telah kuperoleh semalam.
Mataku meliar mencari kelibat Iman di dalam kafe itu, yang agak sesak dengan pengunjung kerana hari itu ialah hari cuti hujung minggu. Dari satu sudut kafe yang agak tersorok, Iman melambai tangannya padaku. Segera aku menghampiri susuk tubuh itu yang tersenyum padaku dari jauh lagi.
“Assalammualaikum doktor...” aku bersuara sebelum duduk di hadapannya.
“Waalaikumussalam, Ila apa khabar?” pantas Iman bertanya.
Aku cuma menggangguk, tanganku sudah kuseluk di dalam tas tangan, ingin mengambil duit yang telah kusediakan untuk di bayar pada Iman. Saat sampul berisi wang itu telah kugapai, aku segera menghulur padanya.
“Eh Ila nak makan apa ya? waiter!” cepat-cepat Iman memanggil pelayan hingga aku tidak mampu berkata apa-apa.
“Err, doktor saya datang bukan nak makan, saya nak pulangkan duit ni,” aku kembali menghulurkan bungkusan itu.
Iman tidak melayanku sebaliknya sibuk bercakap dengan pelayan yang datang.
“Ila nak makan apa?” dia bertanya lagi tanpa mengendahkan kata-kataku sebentar tadi.
“Saya tak mahu apa-apa...” aku membalas sambil menggeleng. Pening memikirkan karenah Iman yang tiba-tiba tidak mempedulikanku.
“Bagi sama macam saya sajalah macam tu ya,” Iman memesan pada pelayan itu.
Aku memandangnya tajam, meminta kepastian, tidak suka diperlakukan sedemikian rupa.
“Doktor, tujuan saya datang cuma...”
“Ila, kan saya cakap jangan panggil saya doktor,” Iman cepat-cepat memotong.
Aku kehilangan kata.
“Err Iman, saya...”
“Ila, awak temankan saya makan ya! kalau tidak, saya tak mahu terima,” Iman berkata lagi, kali ini dengan lebih tegas.
“Tapi...” aku ingin membantah tetapi pantas Iman memotong.
“Tak ada tapi-tapi lagi Ila, temankan saya ok! Sekejap saja,” kata-kata Iman buat aku mengalah. Sudah tiada daya untuk membantah kata-katanya lagi. Perlahan aku bersandar pada kerusi, melepaskan keluhan yang berat. Aku memandang Iman sekilas, namun dia hanya terus tersenyum padaku.
Aku cepat-cepat mengalih pandangan ke seluruh isi kafe tersebut. Memang penuh kafe itu hari itu, dan kebanyakan yang datang ialah keluarga dan mereka yang berpacaran. Rasa kekok pula bila membayangkan aku dan Iman yang tiada kaitan apa-apa, turut menyertai mereka bersantap di situ. Pasti mata-mata yang memandang menyangka aku dan Iman turut berpacaran. Oh memang indah jika itu semua terjadi, namun aku tak sanggup membayangkannya sedemikian rupa, tidak mahu menambah luka di dalam dada.
“Ila....” perlahan suara Iman memanggil. Menyedarkan aku yang sedang asyik memerhati sekeliling tanpa mempedulikan kehadirannya di hadapanku.
Pantas aku memandang Iman semula. Aku melihatnya takut-takut, takut hendak memandang sepasang mata itu. Takut andai rasa cinta yang terpendam dalam hati terpamer dari wajahku.
“Ya Iman...” aku membalas panggilannya.
Iman membetulkan duduknya, sikunya menongkat meja, merapatkan jarak antara aku dan dia.
“Awak marahkan saya ke? Sebab memaksa awak sebegini?”
Aku terdiam mendengar soalannya, perlahan aku menggelengkan kepala.
“Tak adalah Iman, cuma Ila rasa kurang selesa.”
“Maafkan saya jika awak rasa terpaksa. Tapi dengan cara ini sajalah saya bisa membuatkan awak sudi untuk keluar makan dengan saya. Saya tahu awak takkan terima perlawaan saya dalam keadaan biasa kan?”
Aku terkedu. Iman seolah dapat membaca pemikiran aku yang memang tidak sanggup bertemu dengannya lagi. Aku berjumpanya hari ni pun kerana terpaksa, terpaksa dek kerana tidak mahu menanggung budi Iman sepanjang hayatku.
“Ila, saya ikhlas nak berkawan dengan awak, tapi entah mengapa, saya rasakan awak mahu menjauhkan diri dari saya. Makin saya dekat dengan awak, makin awak lari.”
Aku memandang wajahnya penuh kegusaran. Tidak tahu bagaimana lagi untuk membalas kata-katanya. Adakah dia sedar selama ini aku cuba menjauhkan diri darinya?
“Encik, silakan menjamu selera,” kata-kata pelayan yang entah bila ada di depan kami, terus membantutkan perbualan itu.
Aku memandang hidangan di hadapanku saat itu. Hidangan chicken chop dan kopi latte itu lansung tidak menaikkan seleraku, dek kerna teringatkan kata-kata Iman tadi.
“Makanlah Ila, maaf Iman pilih saja menu tu untuk Ila sebab Ila tak membalas pertanyaan Iman tadi, tak apa kan?” Iman bersuara sambil tangannya sudah bersedia dengan pisau dan garfu.
Aku sekadar menggelengkan kepala seraya tersenyum. Perlahan aku mengangkat pisau dan menghiris sedikit ayam itu lantas disuapkan ke mulut walaupun terasa seperti menelan batu. Terasa kekok sekali untuk makan sambil mengadap Iman, degupan jantungku ini hanya Tuhan yang tahu betapa lajunya ia berdetak.
Aku menyuap makanan ke mulutku lambat-lambat sambil terus menunduk, takut untuk memandang wajah Iman. Janggal sekali bila berhadapan dengan situasi sebegini.
“Ila...” panggilan itu sekali lagi menerjah sepiku. Buatkan aku mendongak memandang Iman.
Wajah Iman kelihatan serius memandangku, biarpun begitu, masih ada redup dalam matanya yang bisa membuatkan aku berasa tenang.
“Tolong jangan jauhkan diri atau larikan diri dari saya lagi boleh tak? Saya tak tahu macam mana lagi saya nak cakap dengan awak. Tapi saya memang ikhlas berkawan dengan awak. Tak ada niat lain langsung. Saya harap awak faham.”
Aku terkedu mendengar kata-kata dari Iman.
“Saya... saya tak pernah larikan diri dari awak pun,” aku cuba berdalih.
Iman tersenyum sinis sambil menggelengkan kepalanya.
“Awak tak perlu menafikannya Ila, saya sedar awak macam tak sudi untuk berkawan dengan saya selama ini.”
Aku menelan liur. Kenapa Iman terlalu bijak menduga hati ini, bagaikan tiada tabir antara hatiku dengan hatinya hingga dia mampu menembusi kalbuku yang paling dalam.
“Ada sesuatukah yang awak sembunyikan, yang menghalang awak berkawan dengan saya Ila?” Iman menyambung katanya dengan persoalan yang bagai membunuhku.
Aku terdiam seketika sebelum memandang wajah Iman semula.
“Kenapa awak nak sangat berkawan dengan saya sedangkan selama ini kita tidak pernah ada apa-apa perkaitan?” aku cuba menduga hatinya pula.
Iman tersandar di kerusi saat mendengar soalanku itu. Matanya meliar ke atas seperti memikirkan sesuatu, jawapan barangkali. Perlahan wajahku ditenung semula, badannya dirapatkan ke meja.
“Saya tidak tahu Ila.”
Perlahan mata itu kian redup, mengharapkan aku mengerti isi hatinya yang tidak terluah dek mulut.
“Saya memang tak tahu sebab apa saya mahu sangat berkawan dengan awak. Tapi perasaan ini datang tiba-tiba. Saat pertama kali lihat awak, saya rasa macam dah lama mengenali awak. Saya rasa rindu sangat. Entah mengapa Ila...”
“Rindu?” aku berasa pelik dengan perkataan itu. Iman rindukan aku? Mati hidup semula pun aku takkan percaya kata-katanya itu.
Iman tersenyum.
“Awak abaikan sajalah semua yang saya cakap tadi. Saya pun tak sedar apa yang saya merepek,” Iman kelihatan malu, segera dia menghadap makanannya semula. Meninggalkan aku dengan seribu satu perasaan yang sukar ditafsir.
Usai menjamah hidangan, Iman segera memanggil pelayan dan membayar bil. Aku hanya mampu terdiam, dapat mengagak yang dia pasti tidak akan menerima andai aku cuba membayar hidanganku sendiri. Aku bingkas menghulur semula bungkusan berisi wang tadi, Iman memandangku seketika sebelum mengambil bungkusan itu dari tanganku.
“Terima kasih Ila, dan terima kasih jugak sebab sudi temankan saya makan.”
“Err, saya yang patut berterima kasih sebab belanja saya makan, saya banyak terhutang budi pada awak.”
“Jangan cakap macam tu Ila, saya tak minta awak rasa terhutang budi macam ni. Saya ikhlas, sebagai kawan.”
Aku memandangnya atas bawah. Lagi-lagi persoalan kawan itu juga yang timbul, mengapa berusaha benar dia ingin berkawan denganku, aku bukanlah orang penting dalam hidupnya hingga perlu dijadikan kawan. Aku bukan siapa-siapa padanya. Hanya seorang insan yang pernah hadir dalam kamus hidupnya, itu sahaja. Tapi bukankah itu ertinya kita memang berkawan? Ahh itu dulu Ila, dulu.
“Ila, awak ok?” aku tersedar saat mendengar suara Iman. jauh benar aku mengelamun rupanya, dek kerana perkataan kawan itu telah membuatkan aku bertelagah dengan hatiku sendiri.
Aku mengangguk seraya tersenyum.
Tiba-tiba telefon Iman berbunyi, mengalunkan irama nasyid kegemaranku. Ya Allah, bagaikan suatu kebetulan, aku juga menggunakan nada tersebut. Aku jadi gamam.
“Assalammualaikum...” Iman memberi salam pada pemanggil sebelum suaranya kian perlahan kudengar. Mungkin dia tidak mahu aku mendengar perbualannya.
“Saya keluar makan dengan kawan, nanti saya call awak balik,” bisikan itu masih mampu menerobos gegendang telingaku.
Terus ingatanku terbayangkan doktor perempuan itu, yang pernah kutemui suatu ketika dulu. Siapa namanya? Oh ya, Ida. Pasti dia, aku yakin dengan tekaanku. Layanan Iman yang baik terhadapku buat aku lupa seketika yang Iman sudah berpunya.
“Ila..” suara itu buat aku kembali ke alam nyata. Wajah Iman kupandang lantas kulemparkan senyuman. Entah bila dia selesai berbual di telefon, aku sendiri tidak sedar dek kerna asyik mengelamun itu ini.
“Saya minta diri dulu ya Iman,” perlahan aku bangun dari dudukku.
“Eh biar saya hantar awak Ila,” Iman menghalang.
“Tak apa-tak apa. Tak payah susah-susah, saya boleh balik sendiri.”
“Ila, saya hantar sampai tempat parking saja, boleh?” suaranya seakan merayu.
Aku tidak mampu melawannya lagi, lantas aku mengangguk. Iman ikut bangun lantas mengekoriku.
Suka? =)
suke3.... ade prkmbngan hbungan ila n iman tp iman ni serius ke atau skadar kwan jer ngan ila yek..... nak lg ...tanks aliesha....
ReplyDeletemisteri betul iman ni?ida tu gf dia ke?
ReplyDeletekalau iya kenapa masih mengejar yg lain?hehehe..
apa kisah mereka 8 tahun dulu ya?kenapa ila mcm kecewa sangat dgn iman..mcm iman pernah lukakan hati ila dulu..
best...