~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~
Showing posts with label Love You Mr Arrogant. Show all posts
Showing posts with label Love You Mr Arrogant. Show all posts

Monday, December 8, 2014

Sinopsis novel Miss You Mr. Arrogant (sambungan Love You Mr. Arrogant)




ZAFRIEL IRHAM seorang lelaki yang berlagak dan berhati dingin. Walaupun setelah mengahwini Zaara, sikapnya itu masih tidak berubah kerana Zaara boleh menerima dia seadanya dan tidak kesah dia kekal sebegitu. Hidup mereka bahagia sahaja seperti kisah cinta yang lain, namun segalanya berubah sebaik MARWAN NAKHAIE muncul dalam hidup mereka.

MARWAN NAKHAIE… Lelaki sempurna yang punya pakej lengkap itu ibarat ancaman kepada perkahwinan mereka. Irham tahu bapa saudaranya yang hampir sebaya dengannya itu mampu berbuat apa sahaja demi mendapatkan cinta seorang wanita waima wanita itu isteri anak saudaranya sendiri. Buaya darat yang terkenal dengan mulut manis dan pesona romantisnya mampu mencairkan hati mana-mana gadis. Irham bimbang Zaara tertawan.


“Awak jangan cuba nak rapat sangat dengan dia. Dia tu kasanova, playbuaya semua, ada tahu?” -IRHAM


“Isy, tak baik awak cakap macam tu. Awak tak percayakan pak su awak ke? Awak ingat sanggup ke pak su awak nak goda isteri anak saudara dia sendiri?” - ZAARA


“Saya bukan tak percayakan dia. Saya tak percayakan awak.” – IRHAM


Maka misi mengikat hati isterinya harus dilaksanakan demi menyelamatkan rumah tangganya walau dia terpaksa membuang segala egonya jauh ke dalam lombong. Dia harus mengubah dirinya daripada seorang mr. arrogant menjadi mr. gentleman. Ya, dia nekad!


“Bunga tadi awak yang hantar?” - ZAARA


“Of course.” - IRHAM


“Awak mister arrogant, bukan mister gentleman.” - ZAARA


“Saya dah jadi mister gentleman sekarang ni. Jangan nak panggil saya mister arrogant lagi.” – IRHAM


ZAARA AMIRAH bukanlah seperti seorang isteri tipikal lain yang mendambakan suami yang romantis. Dia benar-benar tidak kesah bersuamikan mr. arrogant itu tetapi sejak kemunculan Marwan, suaminya sudah berubah menjadi seorang yang pelik. Lelaki berhati kering itu boleh juga menjadi romantik, ya? Tapi kenapa dia rasa rindu pada Irham yang dahulu? Yang tidak punya perasaan dan sering membulinya? Adakah dia sudah tidak betul kerana lama bersuamikan lelaki berlagak itu? Ah, sungguh dia rindu kepada mr. arrogant!




Tajuk: Miss You Mr. Arrogant

Penulis: Aliesha Kirana

Penerbit: Karyaseni

ISBN: 978-967-0246-88-8

Harga: RM23 (Semenanjung) // RM26 (Sabah & Sarawak)

Suka? =)

Friday, December 5, 2014

Novel Terbaharu: Miss You Mr. Arrogant

Assalammualaikum semua!

Ehem. Pengumuman. ^~^

Novel terbaharu saya, MISS YOU MR. ARROGANT.
Sambungan kepada novel Love You Mr. Arrogant. 
Akan terbit pada bulan Januari 2015.
Novel ini hanya akan mula diedarkan di kedai-kedai buku dan dibuka untuk jualan online pada pertengahan bulan Januari 2015, tetapi anda boleh dapatkannya lebih awal di Eskpo Buku Malaysia pada 10 hingga 14 Disember ini.

Alhamdulillah.

Maaf buat ramai ternanti dan maaf juga sebab rahsiakan selama ini. Saya tak mampu nak hadapi tekanan kalau saya dedahkan dari awal. Maaf ya hahaha.

InsyaAllah, saya cuba untuk pastikan novel ini kalaupun tidak sebaik drama #LYMA namun lebih baik dari novel pertama saya itu. Amin.
Mudah-mudahan bisa memenuhi citarasa semua dan terima kasih kerana setia menanti selama ini juga maaf atas segala kekurangan.

Ok sekarang boleh senyum lebar.
Jumpa di pesta buku!

Penuh rasa cinta,
Aliesha Kirana


Suka? =)

Saturday, October 5, 2013

Love You Mr. Arrogant, Novel dan Drama

Assalammualaikum semua.



Lama tak bersua. Maafkan saya kerana menyepi selama ini. Almaklumlah, dah lama tak sambung cerita baru. hehe. Tengah demam drama adaptasi novel sendiri, macam ni la jadinya.

Buat yang terlepas pandang, drama Love You Mr. Arrogant sudah ditayangkan pada umum sejak 25 September lepas. Siapa yang terlepas, bolehlah melayari Tonton.com.my ya!

Ramai yang bertanya AK sebenarnya, apa perasaan AK dan apa pula pendapat AK tentang drama adaptasi ini. Hari ini mari AK meluah rasa. ngehehehe.



Perasaan AK?

Tentulah gembira bak hanggg! rasa mcm melayang sampai langit ke tujuh bila tengok novel yang AK tulis selama ni, divisualkan. nampak depan mata setiap apa yang AK bayang dulu. rasa macam terharu sangat-sangat sebab dalam banyak-banyak novel dalam Malaysia ni, novel pertama AK yang biasa-biasa ni antara yang terpilih untuk diadaptasi. Syukur sangat. Alhamdulillah.

Semasa mengetahui barisan pelakon drama ni, ramai sungguh yang meluahkan rasa tak puas hati pada AK, sampai siap ada yang yakin aci-kerat-jari takkan tengok drama ni sebab frust dengan pelakon. Masa tu memanglah AK sedih, tapi AK tak boleh paksa dan tak ada hak nak paksa orang tengok. Jadi AK terima je dengan redha sebab AK yakin pihak produksi ada sebab tersendiri untuk memilih barisan pelakon drama ni.

Alhamdulillah.



Terbukti sekarang kan? Kemampuan hero dan heroin juga pelakon-pelakon lain dalam menjayakan watak masing-masing? Malah jauh melampaui jangkauan minda kita sendiri kan, yang lakonan mereka akan superbbb dan hebat sebegini. tak rasa macam mereka tengah berlakon pun sebab semuanya selamba badak je. sempoi dan sengal gitu.

AK sangat suka drama ni. sangat-sangat suka.

Tapi....

Cinta bukan milik kitaaaa.... ehhh...



Dalam setiap kegembiraan tu, pasti ada kedukaan yang mengiring kan? sebab tu orang kata jangan gembira sangat. yup betul tu. tahap kegembiraan AK masa tengok cerita ni dan lihat ada novel AK terpampang dekat montaj akhir tu memang tahap nak sengih sorang-sorang lepas tu jerit sorang-sorang sebab tak percaya. terujaaa sangat.


Tapi...

Sekarang, bila di mana-mana saja orang bandingkan novel dan drama ni, hati AK ni terusik juga. AK tak kisah bila drama dikatakan lagi best dari novel sebab AK sendiri akui semua tu.

tapi bila komen-komen tu tahap macam samakan novel AK tu macam tak ada nilai, dan tak boleh dibanding langsung dengan ke'best'an drama tu. itu yang buat AK sedih. Serius sedih sangat. Walaupun sebenarnya hampir 90% jalan dan plot cerita memang mengikut novel, cuma banyak dialog diolah dan ditambah mengikut kesesuaian cerita. juga banyak watak dikembangkan dan hero heroin juga lebih sengal dari biasa. kih3.

Bila ramai yang beli novel dan baca, dan mulalah berkata yang novel tak setaraf langsung dengan drama, siapa yang tak sedih? kucing kat tepi jalan pun sedih ya. ehh.


Haha.

Jangan risau, AK masih boleh menahan cercaan dan segala bentuk kejian lagi, tapi itulah. ramai yang tak sedar, mereka ingat seronok sangat bila novel diadaptasi, mereka tak sedar yang semua tu perlu disertai dengan kekuatan mental dan fizikal nak membaca dan mendengar segala bentuk komen berbaur negatif. apatah lagi bila orang asyik bandingkan drama dengan novel yang biasa-biasa ni.

Maaf kerana novel saya biasa-biasa, dan terima kasih pada pengarah dan pihak produksi kerana berjaya jadikan cerita yang tipikal dan biasa ni menjadi sesuatu yang hebat dan luar biasa. Alhamdulillah.


Tak. 

AK tak berjauh hati. Malah lebih bersemangat sebenarnya, nak membuktikan yang AK boleh menulis cerita yang lebih mantap selepas ini. Ini adalah wakeup call untuk AK tidak hanya berpuas hati dengan pencapaian sekarang, sebaliknya lebih berusaha gigih.

Terima kasih juga pada semua pembaca yang tak jemu memujuk hati nan rawan ni (ok over kau AK) dan sentiasa memberi sokongan kala jatuh bangun AK. terharu sangat atas sokongan kalian semua. Sayang semua ketat-ketat!

Satu yang AK ingat, pesan dari sahabat dan pembaca;

Kalau tak ada Aliesha Kirana, tak adalah novel LYMA,
Kalau tak ada novel LYMA, tak adalah drama LYMA,
yang penting, kau hado?

kih3. sengih lebar bila baca ayat atas ni.

Jadi takmo dah emo-emo, ni sekadar luahan hati. Lepas ni jadi senget balik budak AK ni yer. jangan risau.

Last but not least,



Encik Faisal Psiko kata macam tu pun hati dah gumbira dah.


Kah3.

Hampon maaf dipinta andai terasa hati. tak ada niat nak bash sesiapa, just luahan hati memujuk jiwa lara. titik.

Penuh rasa cinta,
Aliesha Kirana



Suka? =)

Thursday, August 1, 2013

Drama Love You Mr. Arrogant dan Barisan Pelakon!

Assalammualaikum semua!


Alhamdulillah, setelah lama menanti akhirnya drama Love You Mr Arrogant bakal menemui penonton tidak lama lagi menerusi slot Akasia di TV3. Tarikh tayangan masih belum dapat dipastikan kerana drama ini hanya akan mulakan penggambaran lepas raya nanti. hehe. AK rasa-rasa mungkin dekat-dekat hujung tahun tapi tak tahulah kalau-kalau dapat diawalkan lagi kan? ok nada teruja di situ. 

Drama ini akan diarahkan oleh saudara Eoon Shuhaini, pengarah sama yang mengarah drama Takdir Qismah dan Diandra yang bakal bersiaran dalam slot Lestary di TV3 tak lama lagi, jadi tak perlu diragui lagi kewibawaan beliau.

skrip drama LYMA. credit to IG Hanez Suraya

Ok hari ini AK nak memperkenalkan para pelakon yang akan membintangi drama adaptasi novel AK ini. Barisan pelakon ini adalah pilihan pihak produksi sendiri dan AK tidak punya hak untuk memilih. jadi harap faham. terima kasih. hehehe.

Azlee Khairi sebagai Zafriel Irham


Pada mulanya AK diberitahu yang Aiman Hakim Ridza yang akan membawa watak Irham tapi disebabkan percanggahan jadual maka dia terpaksa menarik diri. Pendapat AK? Walaupun Azlee Khairi tak seperti dalam bayangan AK bagi watak Irham, tapi tahap ke'kuruskering'an mereka itu sama. hahaahha. yelah, Jang Geun Suk kan kerempeng je, Azlee Khairi pun ala-ala jugak. jadi kira ok la kan. haha. dan AK tahu Azlee Khairi boleh membawa watak Irham yang berlagak dgn baik sbb pernah tengok dia berlakon jadi berlagak sebelum ni. hehe.

Zara Zya sebagai Zaara Amirah


Ya jangan tercengang. AK pun sama macam kalian, serius tak kenal siapa Zara Zya sebelum ni tapi bila google2 rupanya Zara dah 10 tahun dalam industri cuma masih dianggap pelakon baru. Apa yang AK boleh katakan, mari beri beliau peluang untuk tonjolkan lakonannya ok? AK diberitahu yang Zara Zya merupakan anak didik Khabir Bhatia jadi InsyaALLAH beliau akan berikan lakonan yang terbaik nanti. sama-sama kita nantikan.

Hanez Suraya sebagai Sherry


Yang ni AK sokong 100% hahaha. sebab AK tau Hanez mmg  sgt hebat bila dia lakonkan watak antagonis. tapi dia adalah bad girl dengan kecantikan membunuh. wah gitu. haha. AK diberitahu, watak Sherry akan dikembangkan lagi dalam drama nanti. Jadi sama-sama kita nantikan dan geram dengan watak ini. haahah.

Keith Foo sebagai Hadry Hakimi


Ya, langsung tak dijangka. sejujurnya AK tak pernah tengok lakonan Keith Foo tapi beliau memang kachak bergaya kan? haha. Macam ni kalah awal la Irham kalau nak banding dengan Hadry yang tough ni. kah3.

Norish Karman sebagai Puan Sri Maryam


Rahang AK hampir jatuh bila diberitahu hal ni. haha. langsung tak sangka yang NK akan dipilih sebagai PSM sebab bayangan AK, PSM ni gaya-gaya Puan Sri yang sudah sedikit berusia tapi masih lawa dan bergaya. Ini PSM dah jadi tahap vouge kauu! hahaha. kerlaz gitu. hahaha. tak sangka betul AK. tak sabar tengok lakonan NK sebagai ibu mertua yang kejam. haha.

Mustapha Kamal sebagai Tan Sri Zahir


AK memang suka lakonan beliau selama ni. jadi bila beliau dapat jadi Tan Sri Zahir yang sgt baik, yang selalu memahami dan menjadi punca terjadinya perkahwinan antara Zaara dan Irham buatkan AK sengih lebar. suka sangat! cuma, papanya putih kemain, anaknya kulit sawo matang. hahaahah.


Ok itu saja barisan pelakon yang AK tahu buat masa sekarang. Masih tertanya lagi, siapa yang akan jadi Fiz yang sengal, bestfriend Zaara yang akhirnya dapat dekat Hadry tu. Hmmm. ^_^

Apapun semoga drama ini dapat diterima dengan baik walaupun ramai yang mempertikaikan barisan pelakon sebelum ni. apa yang mampu AK cakap, sila berlapang dada dan menonton dengan hati terbuka sebelum menilai. beri peluang pada para pelakon untuk tonjolkan kemampuan masing-masing ok? ^_^


Zaara Amirah dan Zafriel Irham. credit to IG Zara Zya

p/s : tak sabar tapi serius berdebar dan takut!

Suka? =)

Tuesday, February 28, 2012

Teaser 3 : Teaser Terakhir Love You Mr. Arrogant!

 
“Mak aih! Sejuknya! Macam mandi masa musim salji dekat London. Pergh!” Irham menggeletar sebaik air kolah itu menjirus tubuhnya.
“Nah tualanya.” Zaara menghulur dari luar bilik air, tanpa melihat ke arah Irham. Segan hendak melihat tubuh Irham yang hanya berbalut kain basahan.
Irham menjeling ke arah Zaara, hanya lengan gadis itu yang kelihatan di sebalik pintu.  Irham segera menghampiri gadis itu.
“Sss..sejuk betullah air ni.” Irham bersuara sebaik menyambut tuala tersebut dan disangkutkan ke penyidai yang tersedia.
“Memanglah, air bukit.” Zaara bersuara di sebalik pintu.
“Yang kau ni menyorok kat belakang tu kenapa?” Irham tidak puas hati, tangan Zaara yang kelihatan, segera ditarik hingga menyebabkan Zaara termasuk ke dalam bilik air itu.
“Ei awak nak buat apa ni?” Zaara menolak-nolak tangan Irham yang memegangnya. Kesejukan tubuh Irham tika itu dapat dirasai Zaara apabila tangannya bersentuhan dengan tangan jejaka itu.
“Yang kau menyorok tadi kenapa?”
“Tak ada apa-apa. Awak mandi ajelah.” Zaara tunduk malu. Enggan melihat Irham.
 “Takut dengan air sejuk ni lah tu. Nah rasakan...” Irham menelah sendiri seraya memercik air ke tubuh Zaara menyebabkan gadis itu sedikit kebasahan.
“Janganlah! Sejuklah...” Zaara meronta minta Irham melepaskannya. Rontaan Zaara yang kuat menyebabkan Irham terlepaskan Zaara dek kerana tangannya yang licin dibasahi air, mengakibatkan gadis itu jatuh terduduk di atas lantai bilik air itu.
“Aduh...” Zaara menggosok-gosok belakangnya. Irham yang tergamam segera menghampiri Zaara.
“Sorry sorry, aku tak sengaja. Kau tak apa-apa ke?” Irham menyoal, tanpa menyedari tubuhnya begitu dekat dengan Zaara.
“Saya tak apa-apa, saya tak apa-apa.” Zaara cuba untuk bangun sendiri namun Irham lebih pantas menarik Zaara untuk bangun.
“Kau ok ke? Maafkan aku.” Irham tunduk, cuba mencari anak mata Zaara yang enggan memandangnya sedari tadi. Zaara memandang Irham sekilas namun cepat-cepat dia berpaling semula apabila wajahnya mula merona merah.
“Dahlah, sambunglah mandi. Kejamlah awak ni!” Zaara segera berpaling, cuba untuk berlalu namun Irham pantas menggapai tangan Zaara.
“Alang-alang dah basah, mandi ajelah terus.” Irham tersenyum nakal.
“Eii benci!” Zaara menjerit sebelum berjalan terhencut-hencut untuk keluar dari bilik air itu.
“Astaghfirullah hal azim Zaara. Kenapa basah lencun ni?” kepala Hajah Amina terjengul dari luar sebaik terdengar bunyi bising dari bilik air.
Zaara tersenyum tawar, malu hendak menjawab, Irham yang sudah menyambung mandinya cuma tersengih.
“Kat bilik air pun sempat nak bermesra ya.” Hajah Amina menyindir namun dalam hatinya, dia rasa senang kerana Zaara bahagia.
“Ish mana ada ibu, abang Irham ni... bergurau tak kena tempat.”
“Alang-alang dah basah tu Zaara, mandi ajelah sekali. Bukan salah pun.” Hajah Amina berbicara sebelum berlalu ke dalam semula.
“Hah! Kan aku dah cakap.” Tiba-tiba Irham bersuara.
“Huh!” Zaara menjeling ke arah Irham sebelum berlalu masuk ke dalam.
‘Saja nak bagi aku tergoda ke apa dia ni? Haish!’ Zaara mengomel sendiri saat membawa langkahnya.
------------------------------------------------------------
 
p/s : Teaser terakhir dr AK. lepas ni jgn mintak dah tau! haha. nnti tak surprise dah, kalau bocor byk2. heehee. lepas ni, kenalah tunggu tengah bulan March ya! salam sayang semua!

Suka? =)

Monday, February 20, 2012

Teaser 2 : Love You Mr. Arrogant!

Assalammualaikum semua!

buat pengubat rindu dan sementara menanti penuh seksa ( AK pun sama la. T_T) mari layan teaser sikit dari bab yg dirahsiakan. hehe. enjoy!

-------------------------------------------------------

“Apa berselubung habis ni?” Irham merasa pelik saat masuk ke dalam bilik Zaara, apabila melihat katil kayu tempatnya tidur sebentar, petang tadi sudah diselubungi kelambu berwarna biru.

Zaara yang sedang menyusun bantal di dalam kelambu, menjenguk keluar.

“Apa? Kelambulah...”

“Memanglah itu kelambu. Kau ingat aku tak reti beza ke? Masalahnya... perlu ke pasang? Rimaslah. Lagipun, takkan kita nak tidur satu katil? Dalam kelambu pulak tu.”

“Kat kampung banyak nyamuk malam-malam, kenalah pasang kelambu. Tak ada tempat lain dah untuk tidur, takkan awak nak tidur kat bilik lain pulak. Apa kata ibu dan ayah nanti. Saya tak kisah, janji awak jaga kelakuan awak saja. Tapi kalau awak tak nak sudah, biar saya sorang aje tidur kat dalam ni.”

“Memang aku tak nak pun, tak mahu aku tidur dengan kau. Atas katil buruk ni pulak tu, keras! Sakit belakang aku.”

“Habis tu awak nak tidur di mana?” Zaara menyoal ingin tahu.

“Mana-mana ajelah. Yang penting bukan atas katil buruk tu, dengan kau, dalam kelambu tu. huh!” Irham memuncungkan mulutnya, tanda protes.

“Ikut suka awaklah... saya nak tidur dulu. Assalammualaikum.” Zaara cepat-cepat menarik selimut, membiarkan Irham masih berdiri tegak di tepi katil, memikirkan tempat untuk dia tidur malam itu.

‘Haish, nak tidur atas apa ni?’ Irham mencari-cari. Toto yang tersimpan di dalam almari segera ditarik keluar sebelum dia merebahkan badannya di situ, cuba untuk melelapkan mata.

Bunyi nyaring nyamuk mula kedengaran membuatkan Irham tidak mampu untuk tidur. Tangannya dikibas-kibas untuk menghalau nyamuk. Gigitan demi gigitan yang diterimanya membuatkan Irham tergaru-garu. Wajahnya beberapa kali ditampar apabila nyamuk hinggap di situ.

“Zaara.. Zaara!” Irham menggerak-gerakkan tubuh Zaara di dalam kelambu.

“Ada apa awak? saya mengantuklah...” suara Zaara halus kedengaran seolah dia dalam keadaan separa sedar.

“Ubat nyamuk tak ada ke?”

Kedengaran Zaara menguap kecil.

“Tak ada. Takut rumah terbakar.” Zaara berpaling membelakangi Irham. Terlalu mengantuk untuk melayan Irham lagi.

“Zaara.. Zaara!” Irham cuba memanggil lagi namun Zaara sudah tidak menyahut.

Bunyi nyamuk yang berkeliaran kian nyaring dan makin galak menjamu darah Irham membuatkan Irham pantas bangun dan berlari masuk ke dalam kelambu di atas katil, bersama Zaara.

“Hah! Baru selamat! Padan muka kau nyamuk!” Irham ketawa sendiri, apabila nyamuk tidak mampu menembusi kelambu itu.

“Fuhh lega. Seksa jiwa dan raga betul.” Irham berpaling ke arah Zaara yang sudah lena membelakanginya. Desahan halus Zaara kedengaran di telinga Irham.

‘Dia dah tidur tak apa. Kalau dia belum tidur kang, dia apa-apakan aku pulak.’ Irham menjeling sebelum berbaring di sisi Zaara. Bantal peluk yang berada di tengah, dibetulkan kedudukannya sebelum matanya dipejam.
--------------------------------------------------------------------
p/s : penantian itu satu penyeksaan, kan? hohoh. bersabarlah duhai hati. lagi sikit lagi untuk dapat peluk anak sulungku. keh3.

Suka? =)

Monday, December 5, 2011

Novel : Love You Mr. Arrogant! Blurb

Pertemuan antara Zafriel Irham dan Zaara Amirah yang lahir dari satu kemalangan kecil, menimbulkan satu salah faham dan mendesak Zafriel Irham memilih Zaara Amirah sebagai isteri. Zafriel Irham, seorang lelaki kaya yang berhati kering, lebih rela memilih Zaara Amirah yang asing dalam hidupnya dari beristerikan anak manja terlebih kasih sayang macam Sherry.

“Itu harga yang kau perlu bayar sebab tak kotakan janji. Sekarang jangan banyak cakap, kahwin dengan aku. Titik.” – Zafriel Irham

Demi sebuah janji, Zaara Amirah redha menerima kehendak Ilahi. Zaara Amirah terdesak menerima lamaran Zafriel Irham secara paksaan itu kerana ingin menjaga maruah diri dan keluarganya dari dipijak-pijak jejaka bongkak itu sewenang-wenangnya. Namun dia tidak menyangka, keputusannya itu membuatkan hidupnya tambah kacau-bilau melayan karenah Zafriel Irham yang tinggi egonya.

“Aduhh! Kenapa dengan aku ni? Kenapa aku rasa rindu sangat ni? macam orang gila bayang saja lagaknya ni. Padahal baru beberapa jam dia pergi. Takkanlah aku dah jatuh hati dengan mamat berlagak tu? Aduhh.. tapi...” – Zaara Amirah

Adakah kebahagiaan bisa menjenguk hidup Zaara Amirah apabila dia sudah jatuh hati pada jejaka bongkak itu, atau menunggu balasan jejaka itu ibarat bulan yang takkan jatuh? Zaara terus menanti...
 
-Blurb LYMA-

Ok tak? cer komen! boleh AK perbaiki lagi. hehe. ^_^

Suka? =)

Thursday, November 3, 2011

Novel : Love You Mr. Arrogant! Bab 26


Zaara membatukan diri di dalam kereta Irham. Hatinya tertanya ke mana agaknya arah tujuan Irham tika itu. Sudah lebih sejam perjalanan namun tempat yang dituju masih belum bersua.
Irham diam tidak berkutik sedari tadi, langsung tidak ada rasa hendak bercerita atau berbual dengannya. Sudahlah radio pun tidak dipasang, sunyi sepi jadinya saat itu, yang kedengaran hanya bunyi deruan enjin. Hendak dibuka radio, Irham memang pantang kalau Zaara menyentuh sebarang benda di dalam keretanya itu, jadi Zaara cuma mampu termangu sedari tadi.
“Kita nak ke mana ni?” akhirnya Zaara menyoal, bosan menunggu.
Irham pandang wajah Zaara seketika sebelum fokus pada pemanduannya semula.
“Adalah.”
Zaara memeluk tubuh, geram bila soalannya tidak mendapat jawapan yang sewajarnya. Pandangannya dilempar ke luar, lebih baik melihat pemandangan di luar daripada menghadap Irham yang langsung tidak mahu melayannya.
Tidak lama kemudian, Zaara seakan mula mengenali lorong-lorong yang dilalui Irham. Mindanya mula dapat menangkap arah tujuan Irham saat itu, hatinya berbunga riang.
“Kita nak balik rumah saya ke ni?” Zaara menyoal dengan wajah teruja, senyuman mula terpamer di bibir.
Irham jeling Zaara seketika sebelum mengangguk.
“Yay! Seronoknya!” Zaara bersorak riang. Sudah lama tidak bertemu ayah dan ibunya, hati Zaara jadi tidak sabar, dipagut rindu yang teramat.
“Ish, kita datang sini nak mengurut, bukan nak holiday. Sedarlah sikit kaki kau tu tengah sakit.”
“Alah, kalau dapat balik rumah saya, kaki sakit pun dah tak ingat tau.”
Zaara tersengih, langsung tidak terkesan dengan kata-kata Irham.
 “Huh! Dasar orang kampung...”
“Huh! Apa kaitan pulak...” Zaara mencebik.
“Tapi kenapa awak tak bilang awal-awal yang awak nak bawa saya balik kampung? Saya tak bawa apa-apa langsung ni. Sehelai sepinggang aja.” Zaara menyambung.
“Tak apa, bukannya nak duduk lama pun. Esok kita balik la. Takkan kat kampung kau langsung tak ada baju kau.”
Irham menjeling ke arah Zaara sebelum memberikan tumpuan pada pemanduannya semula.
“Memang la. Tapi sekurang-kurangnya beritahu, boleh juga saya buat persediaan, bawa buah tangan ke...”
Irham tidak menjawab sebaliknya diam memerhati depan. Zaara mengeluh namun senyuman mula terukir di bibirnya. Hatinya rasa tidak sabar. Tidak sabar hendak menemui keluarganya yang amat dirindui.
---------------------------------------------------
Sebaik kereta mewah itu memasuki parkir rumah, kelihatan Hajah Amina keluar dan tercongok-congok memerhati gerangan insan yang berkunjung ke terataknya itu.
“Ibu! Assalammualaikum!” Zaara memanggil dengan penuh semangat.
“Waalaikumussalam. Zaara, anak ibu! Rindunya ibu rasa...” Hajah Amina menjawab salam dengan air mata yang bergenang, sebaik melihat anak gadis kesayangannya itu keluar dari kereta tersebut.
“Ibu!” Zaara berlari ke arah ibunya dengan keadaan terhencut-hencut seraya memeluk dengan seeratnya. Hilang sudah kerinduan yang begitu mencengkam di dalam dadanya selama ini.
“Kenapa dengan kaki anak ibu ni?” Hajah Amina bertanya dengan penuh kerisauan apabila melihat kaki Zaara berbalut, air matanya yang berlinang, dibiarkan saja.
“Tak ada apalah ibu. Sikit saja ni, Zaara rindu ibu.” Zaara memeluk ibunya erat, dia juga tidak dapat membendung air mata yang bertakung.
“Assalammualaikum ibu.” Irham menghampiri mereka lantas menyalami Hajah Amina.
“Ha Irham, kenapa dengan kaki Zaara ni? Kamu tak jaga anak ibu dengan baik ya?”
Irham tergamam apabila mendengar pertanyaan Hajah Amina itu, lidahnya terasa kelu.
“Bukan salah abang Irham la ibu. Zaara yang terjatuh tangga.” Zaara menjelaskan keadaan.
“Dahlah, masuklah dulu. Tak seronok kalau asyik berborak di luar saja.” Hajah Amina memimpin Zaara untuk masuk ke dalam.
Irham cuma diam tidak berganjak sambil memerhati sekeliling, ini kali pertama dia kembali selepas rasmi menjadi suami Zaara beberapa bulan lalu. Saat usai diijabkabul dulu dia cuma singgah di sana sebentar dan kembali ke rumah semula tanpa bermalam dan keadaan ketika itu juga kelam kabut jadi dia tidak sempat memerhati kawasan itu dengan tenang.
Rumah milik keluarga Zaara itu masih mengekalkan ciri melayu dengan separuh rumah diperbuat dari batu manakala sebahagiannya masih lagi dikekalkan binaan papan. Kawasan kampung itu pula kelihatan begitu mendamaikan walaupun dekat dengan kawasan bandar. Sawah yang menguning terbentang indah, memberikan satu pemandangan yang sangat indah di mata Irham.
Perlahan dia berjalan-jalan di luar dan merenung sawah padi yang terbentang di belakang rumah itu.
“Awak...” Zaara menjenguk dari dalam. “Masuklah..” ajaknya apabila menyedari Irham tidak mengekorinya di belakang.
“Err kejap...” Irham pantas berjalan masuk ke dalam rumah, enggan membiarkan Zaara perasan yang dirinya begitu asyik menikmati keindahan kampung Zaara.
“Hah! Mesti awak rasa kampung saya cantikkan?” Zaara berjaya menebak pemikiran Irham yang tidak mahu Zaara menyoalnya sebegitu.
“Ish mana ada!” Irham cepat membangkang.
“Eleh tak payah tipu. Saya tahu dah...” Zaara tersenyum sinis membuatkan Irham berjalan tanpa mempedulikan Zaara lagi, tidak mahu mengiyakan perkara yang benar itu.
--------------------------------------------------------
Sebaik hidangan teh dan sedikit kuih dihidangkan di atas meja, Hajah Amina segera duduk di sisi Zaara. Memerhati anaknya itu atas bawah.
“Dah kurus anak ibu ni. Kesian ibu tengok.” Hajah Amina mengusap kepala anaknya dengan perasaan rindu yang membuak-buak.
“Mana ada ibu, biasa ajelah Zaara rasa.”
“Err ayah mana, ibu?” Irham terasa sedikit kekok apabila membahasakan insan di hadapannya dengan panggilan ibu sementelah ini kali pertama dia berhadapan dengan mertuanya itu. Wajah tua itu tersenyum, menampakkan sedikit kedutan pada kelopak matanya.
“Ayah kamu ke surau tadi. Kejap lagi baliklah dia tu.”
“Assalammualaikum...” tiba-tiba suara garau itu kedengaran di dalam seisi rumah menyebabkan kesemua mereka berpaling ke arah datangnya suara itu.
“Hah! Panjang umur ayah kamu. Waalaikumussalam.” Hajah Amina segera berlalu mendapatkan suaminya yang berjalan menggunakan tongkat, tenaganya sudah berkurang dimamah usia tua.
“Dah lama sampai Zaara, Irham?” nada tegas yang keluar dari mulut ayahnya itu amat dirindui Zaara. Dia menggeleng seraya tersenyum pada ayahnya itu.
“Baru je ayah.”
“Kenapa dengan kaki kamu tu Zaara?”
 “Dia jatuh tangga ayah.” Irham pantas menjawab apabila wajah Zaara kelihatan segan hendak memberitahu.
“Macam mana boleh jadi macam tu pulak? Cuai sungguh kamu ni Zaara.”  Haji Zaidi menggeleng-geleng.
“Ala, abang, benda dah nak jadi.” Hajah Amina mempertahankan anak gadis tunggalnya itu.
“Lain kali hati-hati Zaara.”
“Baik ayah.”
“Kena urut ni, kalau tak, makin bengkak. Lambat sembuh.” Hajah Amina membelek-belek kaki Zaara yang berbalut.
“Kami balik ni nak cari tukang urutlah ibu. Zaara cakap Mak Esah tu boleh mengurut orang sakit.”
“Aah, Mak Esah. Nanti ibu cuba tanyakan dia...”
Zaara tersenyum pada Irham walaupun suaminya itu tidak memandangnya. Dia berasa sungguh terharu dengan keprihatinan Irham terhadapnya hari itu.
‘Bila dia ambil berat macam ni, nampak kacak la pulak.’ Zaara tersengih sendiri.

p/s : buat penghilang rindu semua. maaf sebab ambil masa yang lama untuk siapkan manuskrip LYMA ni. huhuhuh. AK cuba sedaya upaya AK. harap semua boleh bersabar ya! sayang semua!


Suka? =)

Monday, September 19, 2011

Teaser 1 : Jom Intai2 LYMA - Bonus untuk Pembaca

Sisipan istimewa utk pembaca LYMA yg menanti LYMA dibukukan. hehe.

ini sedikit sedutan untuk kalian, dari bab yg dirahsiakan. hehehe



-
-
-
-
-

Nafasnya dihela perlahan sebelum dia berpaling menghadap Zaara semula. Pipi Zaara dielus lembut tanpa dia sendiri sedari.

Zaara yang ingin berkalih badan membelakangi katil Irham telah terlanggar tangan Irham lantas menyebabkan Irham jatuh terjelepuk ke bawah.

“Adoi mak!” Irham menjerit sebelum mendarat betul-betul di atas Zaara menyebabkan Zaara tersedar dalam keadaan yang amat terkejut.

“Aaaa! Kenapa ni?!” Zaara menjerit, bingung sebaik melihat Irham sedang menindihnya. Tubuh Irham ditolaknya dengan segala tenaga yang ada.

“Apa awak buat ni? Awak nak apa-apakan saya ke?” Zaara pantas menyoal sebaik tubuh Irham sudah ditolak ke tepi. Tubuhnya dipeluk erat.

“Mana ada! Aku terjatuhlah!” Irham pantas membidas.

“Awak tidur buas sangat ke sampai boleh terjatuh ke bawah ni? Selama ni tak pernah jatuh pun!” Zaara mengomel, terkejut apabila tubuhnya dihempap Irham. Mujur Irham itu tidaklah setegap mana, kalau tak, mahu patah riuk Zaara dibuatnya.

“Ish, aku tak sengajalah!” wajah Irham merona merah. Teringat perilakunya yang asyik mengelus pipi Zaara tanpa sedar.

‘Apa dah jadi dengan aku ni? Hish! Buang tebiat agaknya!’ Irham menyesali perbuatannya hingga mengejutkan Zaara tadi.

“Dahlah, sambunglah tidur. Aku minta maaf.” Irham pantas memanjat katilnya semula, tidak berniat untuk menganggu tidur Zaara lagi.

“Awak tidur jauh-jauh sikit, kang jatuh atas saya lagi, susah!” Zaara sempat berpesan sebelum berpaling dari menghadap Irham, cuba menahan tawanya.

‘Buang tebiat agaknya Irham tu? Takpun dah jatuh cinta dengan aku? Hahaha.’ Zaara tersenyum sendiri, biarpun terkejut tapi hatinya rasa senang dengan kejadian itu.

‘Sudah! Aku pulak yang buang tebiat ni...’ Zaara menepuk dahinya sebelum memejamkan mata.

p/s : ehem. ada yang rindukan Zaara dan Irham tak ni?

Suka? =)

Tuesday, August 23, 2011

Novel : Love You Mr. Arrogant! Bab 25


Irham duduk berteleku di dalam keretanya sambil mengeluh berat, lain yang ingin diketahuinya, lain pula yang dia terima. ‘Hadry bekerja di pejabat Zaara! Ah kenapa aku rasa tak suka dengan perkara ni!’ Irham meraup wajahnya perlahan.
Tadi usai bertemu Mr. Raymond, Hadry datang menegurnya, bukan kepalang dia terkejut, namun dia cuba berlagak biasa, padahal jiwanya sudah tidak tenteram. Ada satu macam punya aura sedang membalut jiwanya. Aura cemburu barangkali? Ah tak mungkin!
Enjin kereta mewah jenama BMW itu segera dihidupkan, cuma memadamkan perasaan yang kian menggebu dadanya. Kalau dibiarkan makin parah pula jiwanya. Ada perhitungan yang masih belum selesai. Dia harus ketepikan hal lain dan bertentang mata dengan seorang lelaki yang tega mencederakan Zaara. Mamat psiko...
-----------------------------------------------------------
‘Beb, berita panas! Suami kau datang ofis tadi.’ Fiz segera menghantar mesej itu kepada Zaara sebaik dia duduk di dalam kedai makan berhampiran bangunan pejabatnya, hari ini terpaksalah dia berehat sendirian untuk kesekian kali. Nasib badan...
Nada dering Upin dan Ipin memanggil opah kedengaran, menandakan ada mesej sedang masuk.
‘Waalaikumussalam. Buat apa dia ke sana?’
Fiz menggaru kepalanya apabila membaca balasan mesej dari Zaara. ‘Aik! Bila masa aku bagi salam? Ni mesti kes nak perli aku ni...’
‘Manalah aku tahu. Tadi aku nampak dia keluar dari bilik big boss.’
Hantar.
‘Matilah aku! kalau dia tahu pasal Faisal tolak aku macam mana?’
Fiz tersengih kerana dapat membayangkan wajah Zaara yang sedang cuak.
‘Ah tak mungkinlah. Kan kau cerita dekat aku aja. Orang lain mana tahu. Mungkin dia bincang pasal business kot.’
‘Hope so. Thanks inform.’
‘No hal. Take care, beb. Assalammualaikum.’
‘Waalaikumussalam.’
--------------------------------------------------------------------
Zaara mengeluh perlahan sebaik meletakkan telefon bimbitnya kembali di sisi meja, perutnya yang berkeroncong segera di pegang. ‘Laparnya! Kalau tahu macam ni, pagi-pagi tadi aku niat puasa sunat dah. Dapat jugak pahala.’ Zaara berseloroh dalam hatinya.
 Jam di sisi katil itu dikerling, sudah pukul tiga petang namun satu titik air, dan satu butir nasi pun belum Zaara jamah. Kalau ikutkan hati memang dia nak turun saja ke bawah, tapi bila memikirkan keadaannya, dia menangguhkan dulu hasrat hendak turun. Bimbang kalau-kalau tak pasal-pasal dia tergolek sekali lagi di atas tangga.
‘Haish, semua orang dah lupa pasal aku ke eh?’ Zaara memikir sendiri. Dia bingkas turun dari katil dan terhencut-hencut melangkah keluar. Matanya ditinjau-tinjau ke bawah namun tidak ada tanda-tanda yang sesiapa pun bakal menaiki tangga itu dan membawa sesuatu buatnya.
‘Tawakal ajelah...’ Zaara nekad, sebelum mengatur langkahnya menuruni anak tangga itu dengan perlahan dan berhati-hati.
“Aaa!” Zaara menjerit saat kakinya tiba-tiba tidak dapat menyeimbangkan badannya. Tubuhnya hampir terjatuh apabila tiba-tiba dia disambut seseorang. Apabila Zaara mendongak, wajah Irham yang kelihatan sedang merangkulnya sambil merenungnya dengan mata tajam, wajahnya mencuka.
“Kenapa kau turun ke bawah ni? Kan aku suruh kau rehat je kat atas. Kalau kau jatuh lagi sekali tadi macam mana?” Irham bertanya dengan nada tegas. Geram melihat isterinya yang tidak dengar cakap.
Zaara tergamam, tidak tahu hendak memberi penjelasan yang bagaimana. Takkanlah dia nak beritahu yang dia hampir mati kelaparan di atas tadi. Sudahlah tadi dia baru mendapat berita dari Fiz yang suaminya ke pejabat, kalau suaminya tahu tentang kejadian semalam tu macam mana?
“Err, kenapa awak balik awal ni?” soalan itu terpacul dari mulut Zaara mengalih topik supaya kemarahan Irham padanya reda.
Irham cuma diam dan memimpin Zaara turun hingga membawa gadis itu duduk di atas sofa. Irham kemudiannya ingin berlalu tanpa berbicara walau sepatah tetapi Zaara cepat menggapai tangan jejaka itu.
Irham berpaling memandang Zaara sambil cuba menyembunyikan satu perasaan yang membalut jiwanya saat itu. Ingin saja dia menyoal Zaara tentang kejadian yang disaksikannya sendiri melalui video yang terakam dari kamera litar tertutup di kawasan tangga tempat Zaara ditolak, namun Irham cuba bersabar, kesihatan Zaara lebih penting dari mencari gaduh tak tentu fasal dek kerana bengang Zaara menyembunyikan hal yang sebenar.
“Awak...” Zaara memegang tangan Irham sebelum Irham sempat melangkah lebih jauh. “Kenapa senyap je ni? Awak nak ke mana?”
Irham tersedar seraya memandang sekilas pada Zaara sebelum berpaling semula ke depan. “Tak ada apa, aku nak naik atas kejap, mandi. Nanti aku turun.”
Zaara cuma mengangguk. Tidak mengesyaki sebarang perubahan pada sikap Irham kerana baginya Irham memang sukar diduga, sekejap dingin, sekejap mesra.
-----------------------------------------------------
Irham tercongok-congok memerhati kawasan sekitar rumah teres setingkat itu, suasana rumah itu sunyi sekali dan kelihatan tak terurus. Alamat rumah yang didapatinya dari Mr. Raymond dibelek kembali untuk memastikan itu rumah yang betul.
Pintu pagar yang tidak berkunci segera dibolosi sebelum loceng rumah itu ditekan. Seorang lelaki yang kelihatan tidak terurus keluar dengan hanya berseluar boxer dan bertshirt putih.
“Cari siapa?” Faisal yang kelihatan cengkung dan sembap matanya itu menyoal, mungkin sudah tidak mengenali Irham yang pernah ditemuinya dulu.
“Faisal kan?” Irham bertanya.
“Ya saya, ada apa?” Faisal kelihatan sedikit terkejut apabila Irham mengenalinya.
“Aku suami Zaara.” Irham memperkenalkan diri.
Faisal terkedu, jelas kelihatan riaknya yang ketakutan.
“Aaa... ada apa awak ke mari?” Faisal mula tergagap, bimbang andai Irham tahu mengenai perbuatannya.
“Aku tahu apa yang dah berlaku.” Mata Faisal membulat, kebimbangannya tadi sudah menjadi kenyataan.
“Err... saya tak bersalah. Saya tak bersalah. Saya tak sengaja, cederakan isteri awak!” Faisal hampir menjerit sambil mengangkat kedua belah tangannya, tanda tidak bersalah.
“Dari pemerhatian mata kasar aku yang belum buta ni, kau memang bersalah! Sebab tolak Zaara. Apa lagi yang kau nak nafikan?” Irham berang, tshirt lelaki itu dicekak dengan tangannya.
Faisal cuma terdiam, berjeda memikirkan apa yang harus dijawabnya.
“Saya tak bersalah! Saya tak sengaja!”
“Habis siapa salah? Aku?”
Faisal meronta-ronta, cuba menolak tubuh Irham yang tidaklah setegap mana namun kekuatannya sukar dilawan juga walaupun Faisal merasakan tubuhnya lebih berisi dari lelaki yang berdiri di hadapannya saat itu.
“Saya tak sengaja tertolak dia, percayalah!”
“Kalau kau tertolak dia sekalipun, apa motif kau ganggu dia semalam? Kalau kau tak ganggu dia, dia takkan jatuh macam tu!”
“Ada sebabnya.. ada sebabnya..” Faisal terketar memberitahu.
“Sebab apa? Baik kau cakap, sebelum aku heret kau ke balai polis!” Irham mendengus dengan marah.
“Isteri kau tu bukan isteri yang baik!” Faisal tiba-tiba melantunkan suaranya dengan sedikit keberanian.
“Apa maksud kau?”
“Dia curang pada kau! Nampak aja macam isteri mithali, padahal belakang kau bukan main lagi bermain cinta dengan lelaki lain!”
‘Dushh!’ tanpa diduga, satu sepakan tepat mengena muka Faisal membuatkan dia tersungkur di tanah sambil mengaduh kesakitan. Darah yang mengalir di bibirnya dikesat laju.
“Aku tahu kau memang tak boleh terima, tapi ini kenyataannya, bini kau tu dok asyik bercinta dengan project manager kami tu... ” Faisal makin berani menduga Irham.
“Kau diam! Aku dah tak mahu dengar!”
“Kenapa? Kau tak boleh terima kan? Itulah, dulu kau nak kahwin sangat dengan perempuan ni, padahal aku yang sepatutnya dapat dia!”
“Kalau dia curang sekalipun, kau tak ada hak untuk apa-apakan dia! Dia isteri aku! dia hak aku! hak aku!” Irham menengking lantas meluru ke arah Faisal dan melepaskan beberapa tumbukan lagi hingga Faisal lemah terbaring di tepi pintu.
Dada Irham berombak laju, amarahnya memuncak, segera dia bangun dan melarikan diri ke kereta, bimbang jika dibiarkan, mati lelaki itu dikerjakannya.
Sebaik dia tiba di keretanya, Irham menoleh ke arah Faisal semula yang sedang menggagahi dirinya untuk bangun.
 “Ingat! Jangan cuba ganggu atau apa-apakan isteri aku lagi. Kalau tak, lagi buruk akibatnya...” Irham segera berlalu tanpa menoleh ke arah Faisal lagi.
Irham meraup wajahnya bersama keluhan berat, kejadian sebentar tadi kembali berputar dalam pemikirannya. Kata-kata Faisal tentang Zaara masih tidak mampu dilupakannya.
‘Project Manager yang baru, maksudnya Hadry lah kan? Hish! Hadry ni pun satu, kenapalah dia tu tiba-tiba saja nak kerja satu syarikat dengan Zaara? Betul ke dia memang ada hati pada Zaara? Betul ke mereka bercinta? Aahh! Dan kenapa aku perlu tanya semua soalan ni? Aku cemburukah? Aku tak kisah kan? Aku tak kisah!’
Irham merenung gambar perkahwinannya yang terletak di tepi meja, dia sedang memeluk Zaara erat dengan senyuman yang dibuat-buat demi menjayakan kehendak jurugambar dan mengaburi mata semua pihak bahawa perkahwinan ini adalah perkahwinan atas dasar cinta. Keluhan berat Irham lepaskan.
‘Aku tak berhak menghalang perasaan cinta dia pada orang lain sebab aku yang mengikat dia dalam perkahwinan tanpa dasar cinta ni. Kalau dia nak bercinta dengan orang lain, itu hak dia. Dia sudi terima perkahwinan ni pun dah cukup baik...’ Irham berbicara sendiri.
--------------------------------------------------------------
“Puan nak makan, saya sediakan untuk puan...” Siti yang melihat Zaara keseorangan di atas sofa, segera menegur.
“Eh tak apalah Kak Siti, saya tunggu abang Irham turun dulu.”
Perbualan mereka terganggu sebaik Zaara mendengar derap kaki berjalan di tangga. Irham yang sudah membersihkan diri dan telah menukar bajunya dengan berpakaian lebih kasual sedang turun dan mendekati Zaara dan Siti.
 “Encik Irham, Encik nak makan? saya sediakan makanan ya. Puan Zaara pun belum makan lagi tu.” Siti segera memberitahu, membuatkan mata Irham membulat memandang Zaara.
“Belum makan? Kenapa?” Irham menyoal.
“Sebab saya tak turun bawah la. Ni baru saya nak turun.”
Pandangan Irham segera dilemparkan pada Siti. Seingatnya pagi tadi dia sudah berpesan supaya Siti menyediakan dan menghantar makanan pada Zaara di atas.
“Kenapa kamu tak hantar makanan untuk Zaara? Kan saya dah pesan pagi tadi!” suara Irham seolah bertempik membuatkan wajah Siti kelihatan pucat. Zaara yang berada di sebelah Irham juga turut terkejut kerana tidak pernah mendengar Irham menengking sebegitu.
“Err. Saya.. saya...” Siti sudah takut hendak menjawab.
“Ish awak ni kenapa? Tak payahlah marah dia.” Zaara memberanikan diri menegur Irham.
“Saya tak kisah pun, saya boleh turun sendiri la..” Zaara memberitahu lagi sambil matanya dihalakan ke arah Siti lalu tersenyum padanya.
“Tapi aku dah pesan kat dia pagi tadi... ” Irham memandang Zaara, sebelum memandang pada Siti semula.
“Kenapa kamu tak hantar makanan pada Zaara?” Irham kembali menyoal dengan nada yang lebih tenang.
“Sebenarnya... sebenarnya..Puan Sri... Puan Sri tak bagi saya bawa makanan ke atas.”
“Mama?” Irham kelihatan terkejut.
Zaara terkedu, rupanya ini arahan dari Puan Sri Maryam, patutlah tiada siapa yang membawakan apa-apa untuk dia sedari tadi.
 “Saya... saya cuma dengar arahan Puan Sri. Saya minta maaf Puan Zaara.”
“Tak apalah Kak Siti. Saya faham. Dah, Kak Siti pergilah sediakan makanan. Nanti saya dan abang Irham ke meja makan ya.”
Siti mengangguk dan segera berlalu ke dapur semula, meninggalkan Irham yang masih berfikir tentang motif ibunya dan Zaara yang cuma memerhati tingkah Irham sedari tadi.
“Kenapa mama arahkan macam tu?” Irham pelik, tidak percaya dengan apa yang baru didengarinya tadi.
“Sudahlah, tak payah fikir lagi. Jomlah makan. Saya dah lapar ni...” Zaara memegang perutnya yang kelaparan.
“Dah, jom!” Irham bingkas bangun seraya memimpin Zaara ke meja makan. Cuba melupakan segala perasaan tidak tenang dan amarah yang membalut jiwanya.
------------------------------------------------------------
“Awak nak bawa saya ke mana ni?” Zaara tidak senang duduk sebaik Irham menyuruhnya mengikut naik ke kereta, usai mereka makan. Kelam-kabut Zaara menyuruh Irham mengambilkannya tudung dan sweater di atas bilik kerana dia tidak mampu naik ke atas tanpa dibantu sesiapa.
“Aku nak bawa kau pergi mengurut, sebab tu aku balik awal hari ni.” Irham membuka mulut yang menjawab dua persoalan yang bermain di dalam fikiran Zaara sekaligus.
Zaara memandang Irham dengan riak terkejut, wajah Irham yang sedang fokus memandang ke hadapan dipandang dengan rasa terharu. Tidak menyangka Irham boleh menjadi begitu prihatin. Tanpa sedar, senyuman terukir di wajahnya.
“Awak kenal ke dengan mana-mana tukang urut?” Zaara menyoal sambil membetulkan duduknya di dalam BMW Putih milik Irham itu.
“Kalau yang urut kaki ni tak kenallah, kalau urut yang lain kenal.” Irham tiba-tiba ketawa menyebabkan Zaara merenung Irham dengan tajam, pelik dengan perubahan sikap Irham yang tiba-tiba ceria pula sedangkan sedari tadi dia bersikap diam dan serius. Ah Irham memang sukar diduga.
“Urut lain? Awak pernah pergi tukang urut ya?” Zaara menyoal geram.
“Aku gurau ajelah. Kau fikir aku ni lelaki jenis macam tu ke?”
“Manalah tahu. Saya bukannya kenal pun perangai awak macam mana.”
“Kalau aku jenis macam tu, hari pertama aku kahwin dengan kau pun aku dah terkam kau. Kau tahu tak?” Irham ketawa lagi.
“Ish! Menyampah!” Zaara memalingkan mukanya dari menghadap Irham, geram! Tapi pada masa yang sama, dia bersyukur kerana mood Irham telah berubah dari mood dinginnya saat dia baru pulang dari kerja sebentar tadi.
“Habis sekarang ni awak tahu ke nak pergi ke mana?” Zaara menyoal kembali.
“Entah. Kau kenal ke, mana-mana tukang urut?”
“Tak kenallah pulak. Kalau kat kampung, tahulah saya, Mak Esah. Dia tu bidan kampung, boleh mengurut.”
“Oh.”
“Kalau area sini memang saya tak kenal siapa-siapa.”
Irham cuma diam.
“Habis sekarang awak nak bawa saya mengurut kat mana ni?”
“Hmm. Ikut jelah.” Irham membuat keputusan sendiri.
*****************************
Assalammualaikum semua!
Sedih pulak nak khabarkan, tapi AK minta maaf. Ini adalah bab terakhir yang akan AK siarkan. AK sedang berusaha untuk menyiapkan manuskrip dan tolong doakan novel ini berjaya dibukukan ya! amin.. nantikan kesudahan kisah Irham dan Zaara dalam bentuk novel bercetak suatu hari nanti, InsyaAllah! Sayang semua!
Psst... jangan lupa ikuti novel terbaru dari AK.. Cinta Bersaiz XXL! ^__^

Suka? =)

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!