~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Monday, August 16, 2010

Novel : Kalimah Cinta Bab 7

       Perlahan aku membuka mata, pandanganku yang masih kabur dapat merasakan bilik itu begitu asing bagiku. Bau ubat begitu kuat menusuk hidung, aku menonyoh mataku supaya jelas pandanganku saat itu. Aku bingkas bangun dari tidurku di atas katil putih itu.


       “Eh cik, bawa bertenang, badan cik masih lemah, sila baring semula,” seorang jururawat segera membaringkan aku semula ke katil.

       “Err, saya kat mana ni?” aku meminta kepastian, terasa bingung dengan keadaanku.

        Jururawat itu memandang wajahku lantas tersenyum. Pergelangan tanganku dipegang untuk memeriksa nadiku.

        “Cik sekarang berada di hospital, tadi doktor sendiri yang bawak cik ke mari,” jururawat itu menjelaskan sambil tangannya mencatitkan sesuatu pada fail yang dipegangnya.

        Aku memandang jururawat itu dengan hairan, pelik dengan jawapan yang diberikan.

        “Doktor? Doktor mana pulak? ” pertanyaanku dibalas dengan senyuman, lantas jururawat itu menghalakan ibu jarinya pada satu arah.

        Pada sebuah sofa, di hujung bilik itu, kelihatan satu susuk tubuh sedang berbaring di atasnya. Wajahnya membelakangiku. Aku cuba mencari ruang untuk melihat gerangan insan itu namun tidak nampak.

        “Baiklah, cik sila berehat semula, kondisi cik masih lemah, lagipun sekarang baru pukul tiga pagi.”

       Jururawat itu berlalu tanpa mahu merungkaikan kekusutan yang kian bersarang dalam hatiku. Aku mengeluh perlahan lantas kembali cuba menutup mata, susah benar untuk lelap apabila menyedari ada insan lain di bilik itu tanpa kuketahui gerangannya.

       Aku membuka mata semula lantas menyorot mataku pada keseluruhan bilik itu, hanya ada katilku seorang dan bilik itu juga tertutup. Selalunya wad akan penuh dengan katil yang lain, paling kurang pun ada jiran bersebelahan buatku, namun yang ada kini cuma aku dan doktor itu yang sedang berbaring di sofa.

       Kesejukan pendingin hawa yang mencengkam tambah membuat aku menggigil kesejukan, dahiku kuelus perlahan, masih terasa panas, aku cuba memejamkan mataku semula, cuba melelapkan mata walaupun dalam keadaanku yang kurang selesa ditemani insan yang tidak kukenali dalam bilik itu.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

       “Ya Allah, dah pagi...” suara itu mengejutkan aku dari lena. Perlahan aku membuka mata. Insan itu bangun dan meraup wajahnya sebelum bangkit dari sofa.

       ‘Iman!’ aku menjerit dalam hati. Mataku terus membulat, aku bingkas bangun dari tidurku dan duduk di atas katil itu.

      “Eh Ila dah bangun? Maafkan saya, saya mengejutkan Ila. Macam mana rasa hari ni? Dah sihat sikit?” Iman bertanya dengan senyuman tak lekang dari bibir.

       Aku terdiam seketika. Terasa bingung sekali dengan situasi yang tidak dijangka ini.

       “Doktor, macam mana saya boleh ada di sini?”

      “Awak demam, saya yang bawak awak ke sini semalam, saya tunggu kat sini sampai awak sedar, tapi tak sangka pulak saya terlelap di sini.” Iman menggaru kepalanya yang tidak gatal.

     Aku terpana, terlalu keliru untuk bersuara lagi.

      “Hmm, tak apalah Ila, saya bertugas pagi ini, nanti petang saya datang jenguk awak balik. Saya nak balik mandi dulu, dah masam ni,” ujarnya sambil ketawa.

      Aku mengangguk perlahan, takut untuk bertanya apa-apa lagi. Masih terasa malu apabila memikirkan diriku ditemani Iman semalaman dalam bilik itu.

      “Assalammualaikum,” dia memberi salam sebelum menutup pintu bilik itu.

     ‘Waalaikumussalam,’ aku menjawab dalam hati sambil otakku ligat berfikir apa yang telah berlaku semalam.

      ‘Seingatku, aku berada di sekolah hingga petang semalam. Kemudian... kemudian aku tidur seketika lepas menelan paracetamol, lepas tu...’ aku berusaha mengingati kejadian semalam.

      Aku menggeleng perlahan, tak mampu untuk mengingati apa-apa lagi selepas itu. Jam di dinding kuperhatikan. Sudah pukul enam setengah pagi, segera aku bangun untuk mencari tandas, badanku terasa begitu lemah namun kugagahi juga untuk berdiri.

      Aku menyucikan diri ala kadar kerana tiada kelengkapan yang kubawa, wuduk segera kuambil, mahu menunaikan solat dengan kadar segera, sudahlah aku terlepas beberapa waktu dek kerana keadaanku ini. Aku tidak mahu menanggung dosa lagi.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

       “Ila, Ila...” suara itu seperti sangat kukenali. Perlahan aku membuka mata, entah bila aku terlena aku sendiri tidak sedar.

       Salima sedang duduk di sisiku sambil menggenggam erat tanganku. Aku tersenyum melihatnya, akhirnya dapat jua aku bertemu dengan insan yang kukenali yang bisa merungkai kekeliruan dalam hatiku saat ini.

       “Bagaimana keadaan Ila sekarang, dah rasa sihat sikit ke?” soal Salima dengan wajah yang gusar.

      Aku mengangguk perlahan lantas memegang tangannya yang sedang memegang tanganku.

      “Kak, macam mana Ila boleh ada kat hospital ni?”

      “Oh, Doktor Iman yang tolong bawakkan Ila ke sini,” aku terdiam mendengarkan jawapan serupa yang keluar dari mulut Salima dan jururawat malam tadi.

     “Macam mana dia boleh bawak Ila ke sini pulak?” soalku lagi, meminta kepastian.

       “Ila, sebenarnya semalam kak yang jumpa Ila pengsan kat bilik guru. Masa tu kak panik sangat, tak tahu nak telefon siapa. Mula-mula kak nak telefon Safwan, tapi kak teringat pulak yang dia dah pergi kursus luar daerah, kemudian kak tengok atas meja kamu ada kad Doktor Iman, apa lagi kak call lah dia.”

      “Kenapa kak tak kejutkan Ila. Ila tertidur saja kot.”

      Perlahan Salima menggeleng.

       “Kak dah cuba kejutkan Ila, tapi Ila tak bergerak lansung, badan pulak panas, kak dah tak tahu nak buat apa. Mujurlah lepas kak telefon doktor, dia suruh kak tunggu kat situ, dia nak datang ambil kamu kat sekolah.”

       Aku terdiam, tidak menyangka yang aku pengsan di sekolah semalam. Memang aku lansung tidak ingat akan hal yang berlaku semalam selepas aku menelan paracetamol.

     “Ila tahu, doktor tu datang kelam kabut, terus dia angkat kamu masuk dalam kereta dia, lepas tu bawak kamu ke hospital. Fuhh, gagah sungguh la doktor tu.” Salima tertawa riang.

      Aku mencubit pipi bulat Salima perlahan. Geram dengan usikannya.

    “Aduh, sakit la. Kenapa cubit pipi kak pulak?”

     Aku tersenyum. Geram melihat dia begitu seronok bercerita tentang Iman. Salima menggosok pipinya yang sakit.

     “Kak tu la, cakap yang bukan-bukan. Malu tau Ila, kenapa akak biarkan je dia angkat Ila ni?”

    “Ish akak nak buat macam mana lagi, kak sendiri nak angkat memang tak larat.”

     Aku mengangguk perlahan. Terasa begitu malu dengan Iman kerana telah menyebabkan dia bersusah-payah keranaku.

       “Kak tengok doktor tu macam ambil berat sangat pasal Ila.” Suara Salima membantutkan aku dari lamunan. Segera aku memandang wajahnya yang tersengih seperti kerang busuk.

     “Untung Ila, Safwan dah tergila-gila, sekarang doktor tu pulak dah suka.”

     “Merepeklah kak ni, Ila cubit lagi baru tahu,” aku mencebik geram. Salima tersengih lagi memandang raut wajahku yang mencuka.

      “Ala kak gurau jelah. Tapi nampak la jugak doktor tu ambil berat pasal kamu. Sudahlah, ni kak ada bawak kelengkapan kamu dari rumah kamu.” Salima menunjukkan sebuah beg dan sebuah bakul yang penuh bekalan buatku.

      Aku tersenyum padanya. “Terima kasih kak. Susahkan akak je.”

      “Sama-sama. Tak apa, jangan fikirkan soal tu ya.”

      Aku merenung wajah Salima semula. Ada persoalan yang masih ingin kuajukan padanya.

    “Siapa yang tahu saya ada kat hospital ni kak?” soalku risau.

     “Kawan-kawan serumah kamu dan beberapa orang guru kat sekolah tu. Kawan-kawan kamu, Syida dan Farah tu pesan, nanti petang mereka datang.”

     Aku mengangguk perlahan sebelum memandang wajah Salima semula.

    “Kak, Ila nak mintak tolong ni.”

     Salima mendongak.

      “Tolong apa? InsyaAllah kak mampu, kak tolong.”

      “Tolong jangan beritahu Safwan dan keluarga Ila pasal ni ya.”

       Salima kelihatan terkejut dengan pesanku itu.

      “Kenapa pulak?”

        “Safwan kan tengah berkursus, Ila tak mahu dia balik semula ke sini semata-mata kerana Ila, biar dia berkursus di sana dengan tenang. Pasal keluarga Ila pulak, mereka jauh, Ila tak mahu mereka risau dan menyusahkan mereka datang ke sini. Ila pun sakit sikit saja, kalau Ila dah sakit teruk, tak apalah nak maklumkan pada mereka. Boleh ya kak, jangan beritahu ya.” Pesanku bersungguh-sungguh.

       Salima mengangguk faham. Tanganku dielus kembali.

      “Ila berehat la puas-puas ya. Kak doakan semoga Ila cepat sembuh.”

       Aku tersenyum padanya. “Terima kasih kak...”

Suka? =)

2 comments:

  1. best la akak AK...suma cta best...

    ReplyDelete
  2. episodenya terlalu pendek. jadi ruh cerita tidak terlalu mendalam.

    ReplyDelete

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!