Saturday, April 8, 2017

Novel Pak Cik Kerek Semanis Pavlova Bab 12


“KERETA macam mana? Dah okay?” Ajwad yang sudah siap berpakaian formal untuk ke tempat kerja, segera menyoal Ajda yang sedang sibuk di dapur pagi itu, menyiapkan tempahan pelanggannya untuk hari ini.
Semalam Ajda terlalu sibuk menguruskan hal di luar sampai tak sempat nak menyiapkan semua tempahan yang berpusu-pusu masuk. Penatnya dia semalam buatkan dia tidur awal, sampaikan Ajwad yang pulang lewat dari tempat kerja, tidak sempat hendak bersembang dengan adiknya itu.
            “Okay dah. Dah tukar bateri.” Ajda senyum, hatinya lega kerana masalahnya selesai sekejap sahaja dan dipermudahkan segala urusannya semalam dengan bantuan Pak Kahar dan Megat Talhah.
            “Bagus jugak pemilik Talqisya tu, siap tolong tukarkan bateri kereta Ajda.” Ajwad bersuara sambil mengeluarkan sebotol jus mangga yang tersimpan di dalam peti sejuk sebelum bingkas duduk di meja dalam dapur tersebut, berhadapan Ajda yang sedang khusyuk membuat kerjanya.
            “Bukan dia yang tukarkan, driver dia yang tukarkan.” Ajda pantas membetulkan kata-kata abangnya itu.
            “Lebih kuranglah tu.” Ajwad menjeling ke arah Ajda yang masih sibuk mengasingkan telur putih dan telur kuning untuk menghasilkan meringue buat pavlovanya. Jus mangga yang dingin itu Ajwad teguk rakus, sebelum dia mencedok nasi goreng yang terhidang di atas meja ke dalam pinggan di hadapannya, mahu bersarapan sebelum keluar bekerja hari itu. Entah Najah atau Ajda yang masakkan, dia sendiri tidak pasti kerana kedua mereka rajin masuk dapur.
            “Ya baik. Baikkkk sangat.” Ajda tersenyum sinis, teringatkan Megat Talhah yang menjengkelkan itu.
            “Amboi semacam saja, ada yang tak kena ke?” Ajwad mengangkat kening, pelik dengan nada Ajda yang lain macam.
            Ajda menarik sengih sebelum menggeleng laju.
            “Tak ada apalah, Along. Semua ok je.”
            “Kalau ada yang tak kena, kamu bagitahu along. Pandailah along settlekan dia untuk kamu nanti.”
            “Hesy along ni, Ajda cakap tak ada apa, tak ada apalah. Jangan fikir yang bukan-bukan. Lagipun, Ajda dah dapat pun slot dekat butik tu. Hebat tak Ajda?” Ajda menghalakan ibu jari ke arah dirinya.
            Ajwad tersenyum sebelum kepala adiknya itu diusap perlahan.
“Hebat. Adik along ni memang hebat.”
Ajda tersengih-sengih gembira apabila dipuji sedemikian.
“Dah dapat peluang macam ni, buat elok-elok tau. Jangan berhenti sekerat jalan. Bukan semua orang boleh dapat peluang macam Ajda, tembus butik yang ada standard tinggi tu.”
“Baik along, insya-Allah.”
Ajda senyum. Dia mengharapkan perniagaan onlinenya akan semakin maju dan produknya akan makin dikenali apabila menembusi butik Talqisya kelak. Amin!
Semoga dia mampulah bertahan dengan perangai Megat Talhah yang dingin dan kerek pada masa yang sama tu. Ajda menghela nafas yang terasa berat apabila memikirkan tentang lelaki berkarisma itu, risau apa lagi yang bakal dia tempuh bila berhadapan dengan lelaki itu kelak. Mintak jauhlah dari sebarang drama macam semalam. Hesy!

ASSALAMMUALAIKUM Qisya! Jom jumpa petang ni, aku free je hari ni. –AJDA-
MESEJ di aplikasi WhatsApp yang baru diterima itu Qisya renung lama. Sudah bertahun dia melarikan diri dari sahabatnya itu dan dunia luar hinggalah akhirnya mereka ditakdirkan bertemu semula semalam. Qisya tidak tahu adakah dia patut terus menyembunyikan dirinya atau kembali berhubungan seperti dahulu. Apa yang dia pasti, semuanya takkan sama seperti zaman dia normal dahulu. Entahlah, hatinya masih berbolak balik.
            Kelibat Megat Talhah yang menuruni anak tangga pagi itu membuatkan tumpuan Qisya lari dari skrin telefon. Dahi Qisya berkerut saat melihat pemakaian Pak sunya yang santai, sekadar berseluar tracksuit dan berbaju tshirt. Jam yang tertera di skrin telefonnya, Qisya belek pantas. Sudah pukul sepuluh pagi, selalunya masa begini Pak sunya sudah keluar ke tempat kerja.
            “Pak su tak pergi butik ke hari ni?” soalnya saat lelaki itu menghampiri Qisya yang berada di ruang tamu.
            “Tak. Pak su ambik cuti, nak rehatkan jiwa.” Megat Talhah tersenyum kelat. Matanya sudah sembab dek tidak cukup tidur memikirkan masalah yang membelenggu hatinya. Berkali-kali dia cuba menelefon Melissa semalam tetapi satu panggilannya pun tidak berjawab, mesej WhatsApp yang dihantar juga tidak berbalas walau sudah dibaca gadis itu. Megat Talhah terasa serabut sangat sampai tidak ada hati nak masuk kerja hari ini.
            “Kenapa Pak su? Ada masalah ke?” soalan Qisya membuatkan Megat Talhah terhenti dari mengingat kenangan semalam yang pahit untuk ditelan.
            “Tak. Tak adalah... tak ada apa-apa.” Tergagap juga lelaki itu hendak menjawab. Sungguh dia tidak mahu Qisya risaukan dia, apatah lagi Qisya sendiri selalu merasakan yang dirinyalah punca Melissa enggan mengahwini Megat Talhah walau Megat Talhah tidak pernah mengiyakan kenyataan itu.
            “Pak su bergaduh dengan Melissa lagi ke?” kening Qisya terangkat, cuba menebak. Megat Talhah laju menggeleng sebelum melarikan pandangannya dari memandang Qisya.
            “Tak adalah. Pak su nak keluar pergi gym kejap ni, nanti Pak su balik kita keluar makan ye. Bagitahu Mak Wan, tak payah masak hari ni.” Megat Talhah segera mematahkan cubaan Qisya untuk mengorek masalahnya sebelum pantas membawa langkahnya keluar, tidak mahu disoal siasat oleh Qisya lagi.
            Qisya menggelengkan kepalanya sebelum menghela nafas, sudah mendapat jawapan dari riak wajah bapa saudaranya itu. Kalau Pak sunya berkelakuan sebegitu, tak ada lain, mesti sebab bergaduh dengan Melissa. Tak habis-habis!
            Maaf Ajda. Pak su aku ada dekat rumah hari ini, lain kalilah kita jumpa ya.
            Qisya laju menghantar mesej itu kepada Ajda. Sekurang-kurangnya dia punya alasan kali ini untuk melarikan diri walau dia tidak pasti adakah tindakannya itu betul atau tidak. Keluhan berat keluar dari bibir merah itu sebelum Qisya menyorong kerusi rodanya ke bilik semula.

AJDA menghela nafasnya untuk kesekian kali sebaik membaca mesej balasan dari Qisya. Risau sahabatnya itu masih mahu mengasingkan diri dari dia dan masyarakat. Dia sudah kehilangan Qisya beberapa tahun ini jadi dia tak nak kehilangan sahabatnya itu kembali, dia mahu menebus kembali tiap saat yang mereka telah hilangkan dengan mengisi masanya bersama Qisya, berada di sisinya saat dia susah dan senang dan menjadi bahu untuk Qisya bersandar. Ajda tidak mahu Qisya merasakan yang dia sendirian dalam menempuh dugaan hidupnya ini.
Dia menyayangi gadis itu seperti keluarganya sendiri dan sudah menganggap Qisya sahabatnya dunia akhirat. Yang pasti, dia bersyukur kerana bertemu kembali sahabat yang dia pernah hilang itu dan Ajda tidak akan pergi lagi dari sisi Qisya setelah Allah mengaturkan kembali pertemuan mereka ini.
Tak apalah, mungkin Qisya masih perlukan masa untuk berjumpanya semula setelah terkejut dengan pertemuan mereka yang langsung tidak dirancang.  Ajda akan beri Qisya masa tetapi dia akan pastikan yang dia takkan kehilangan sahabatnya itu lagi. Takkan!

No comments:

Post a Comment

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!