AJDA menolak daun pintu butik
Talqisya itu dengan berhati-hati sebelum menjenguk ke dalam, memerhati keadaan
dalam butik yang masih belum ramai pelanggan.
“Selamat
datang ke Talqisya.” Ayat yang biasa dituturkan pekerja butik itu kedengaran
sebaik Ajda melangkah masuk.
“Eh
Cik Ajda. Nak hantar stok pavlova ya?” seorang pekerja di situ menegur
membuatkan Ajda lekas menganggukkan kepalanya. Memang mulai hari ini, masuknya
bulan baru, dia sudah bisa meletakkan pavlovanya di butik Talqisya.
“Ati
tak datang hari ni?”
“Dia
pergi hospital, ada appointment.”
“Eh
kenapa?” dahi Ajda berkerut mendengar kata-kata pekerja itu.
“Biasalah.
Tengah mengandung, memang kena selalu pergi check up.”
“Lah
ye ke. Tak tahu pulak saya yang dia tengah mengandung.” Ajda tersengih sambil
menggaru kepalanya yang tidak gatal. Nampak kecil molek saja Ati itu, tak
sangka pulak sudah berkahwin dan sedang mengandung.
“Dah
empat bulan dah pun. Cuma perutnya kecik, tak nampak sangat.”
Ajda
menganggukkan kepalanya tanda mengerti sebelum dia menjenguk pulak ke arah
bilik Megat Talhah.
“Encik
Megat?” soal Ajda separa berbisik, risau kalau lelaki itu tiba-tiba saja
muncul. Bukan boleh kira lelaki itu, selalu saja muncul di saat yang Ajda tak
jangka.
“Encik
Megat cuti. Dah seminggu dia tak masuk butik.”
“Oh
okay.” Ajda menarik nafas lega dalam diam. Selamat lelaki dingin beku itu tak
ada, kalau tidak dia pun tidak tahu bagaimana hendak berhadapan dengan pemilik
butik itu setelah apa yang terjadi tempoh hari.
“Cik
Ajda bolehlah isikan pavlova tu dekat peti makanan ya. Saya ada kerja nak buat
dekat belakang. Nanti dah siap, bagitahu saja sesiapa dekat kaunter.” Gadis itu
bersuara sebelum berlalu meninggalkan Ajda yang masih teringatkan kejadian yang
lalu.
Encik
Megat tak masuk butik seminggu? Kejadian tu pun minggu lepas, entah-entah
memang sebab dia sampai Encik Megat bergaduh besar dengan kekasih dia tu dan terus
tak datang kerja. Ok Ajda, jangan fikir yang bukan-bukan boleh tak? Yang sibuk
jaga tepi kain Encik Megat tu kenapa? Lantaklah dia tak datang kerja pun, butik
ni dia yang punya. Lagipun dah sah-sah kau tak ada kaitan dengan hal dia dan
kekasih dia tu kan? Hesy!
Ajda
laju membawa langkahnya ke peti makanan sebelum meletakkan sebiji pavlova yang
bersaiz besar ke dalam peti makanan itu sebelum meletakkan beberapa ketul mini
pavlova yang dia sudah pekkan di dalam bekas-bekas comel ke dalam peti
tersebut.
“Nampak
sedap.” Suara garau seseorang yang menerpa gegendang telinga Ajda waktu itu
membuatkan dia lekas berpaling.
“Eh
Pak Kahar!” Ajda pantas mengorak senyuman sebaik wajah tua itu menjamu matanya.
“Ajda
buat sendiri ke?”
“Haah.
Saya buat dan jual online. Pak Kahar nak rasa, ambiklah satu. Saya
belanja.” Ajda menghulurkan sebekas mini pavlova kepada Pak Kahar.
“Eh
tak payahlah. Pak Kahar bukan boleh makan manis, biasalah orang tua, ada
penyakit. Saja Pak Kahar tegur, tengok kamu khusyuk sangat buat kerja tadi.” Pak
Kahar menerangkan membuatkan Ajda kembali meletakkan mini pavlova itu ke dalam
peti makanan tadi.
“Hari
ini saya boleh mula letak pavlova dekat butik ni, tu yang saya sibuk susun
pavlova dalam peti makanan ni tadi. Pak Kahar kenapa ada dekat sini? Kan Encik
Megat cuti.”
“Encik
Megat memanglah cuti tapi Pak Kahar mana boleh cuti jugak. Ni dokumen penting
ni semua Pak Kahar kena hantar dekat Encik Megat. Siapa lagi nak buat
kerja-kerja macam ni kalau bukan Pak Kahar.”
“Macam
tu pulak ya. Encik Megat tu cuti panjang pun fikir pasal kerja jugak ke?” Ajda
sekadar berbasa-basi, malas sebenarnya nak cakap pasal lelaki itu tetapi
hatinya rasa ingin tahu juga.
“Encik
Megat tu memang macam tu, selama ni pun mana pernah dia cuti panjang-panjang
macam ni. Kerja saja yang dia fikir, dua puluh empat jam. Cuma... adalah tu
masalahnya.”
Ajda
menelan liur, macam betul saja telahannya tadi.
“Masalah
ya?” Ajda bersuara datar, hilang fokusnya bila teringatkan kejadian yang lepas.
“Encik
Megat bercuti pun bukan dia pergi mana, berkurung saja dekat rumah tu. Frust
bercinta agaknya.”
Srapp! Darah terasa menyerbu muka
Ajda.
“Eh okaylah Ajda, Pak Kahar dah
lewat ni nak hantar dokumen ni dekat Encik Megat, nanti bising pulak dia.” Pak
Kahar menyambung sebaik dia menelek jam di tangannya.
“Baik
Pak Kahar. Hati-hati memandu.” Ajda tersenyum saat tubuh itu berlalu pergi
darinya.
Satu
keluhan berat terbit dari bibir Ajda. Risau kalau-kalau dia yang menjadi punca
masalah Megat Talhah walau dia langsung tidak ada kena mengena dengan lelaki
itu. Bimbang Melissa itu salah faham sampai tahap putuskan hubungan dia orang.
Hesy nauzubillah! Jangan fikir yang bukan-bukan Ajda. Tolonglah!
MEGAT Talhah membelek gambar Melissa
yang terbaharu di laman instagram. Langsung tidak ada tanda yang gadis itu
terkesan dengan perpisahan mereka. Senyuman yang terukir di bibir Melissa dari
gambar selfienya, tetap indah dan berseri seperti selalu.
Dia juga kelihatan ceria bersantai
bersama kawan-kawannya di sebuah restoran, menjamu selera dengan hidangan yang
cukup menggiurkan dalam gambar yang berikutnya, tanda dia tetap lalu makan sedangkan
sejak detik itu, Megat Talhah hendak minum air pun rasa tak ada hati.
Megat Talhah menghela nafasnya
keras, terasa seolah dia saja yang diselubungi kesedihan. Dua tahun mereka
bersama, pastilah Megat Talhah mengharapkan perhubungan itu sampai ke jinjang
pelamin, siapa yang menyangka ikatan ini akan terputus di pertengahan jalan di
saat dia sudah memasang impian untuk hidup bersama gadis itu sampai akhir
hayatnya.
Hesy! Sudahlah Tal, Melissa dah move
on. Patutnya kau pun sama! Dah seminggu kau dan dia putus, boleh tak kalau kau
terima saja kenyataan sekarang yang kau dan dia memang tak berjodoh! Megat
Talhah mengingatkan dirinya sendiri, tidak mahu perasaan kecewa bercinta ini
terus membelenggu jiwanya.
Megat Talhah meraup wajahnya,
mengumpul kekuatan sebelum bingkas bangun dari katilnya dan keluar dari bilik,
menuruni anak tangga menuju ke bawah. Enggan berkurung lagi di dalam bilik,
risau dia akan menjadi gila tak lama lagi kalau terus-terusan berkeadaan
begitu.
Qisya yang sedang menonton
televisyen, segera berpaling memandang Megat Talhah saat dia mendengar bunyi
derap kaki seseorang. Megat Talhah mengambil duduk di atas sofa berdekatan
Qisya.
“Tengok cerita apa?” soal Megat
Talhah membuatkan Qisya terpempan.
“Tak ada apalah. Program lawak.”
Jawab Qisya seketika kemudian.
Megat Talhah mengangguk tanda faham
sebelum ikut menonton rancangan itu. Sesekali terdengar tawanya walau tidak
begitu ketara. Dahi Qisya berkerut, setelah seminggu pak sunya macam zombie,
ada nyawa tapi tak ada jiwa, baru hari ni dia nampak pak sunya macam berjiwa
kembali. Kalau tidak, seharian Megat Talhah berkurung di dalam bilik dan cuma
turun untuk makan saja, itupun kalau Qisya tanya sepatah, pak sunya akan jawab
separuh patah. Macam tak ada mood langsung sebab tu Qisya tak berani nak tegur.
“Pak su dah okay ke?” soal Qisya
setelah lama dia berjeda, mencari keberanian untuk menegur pak sunya.
“Hah?” Megat Talhah berpaling
memandang Qisya.
“Pak su tulah, okay dah ke?” Qisya
menekankan katanya sekali lagi.
“Okay. Kenapa?”
“Yelah, dah seminggu pak su tak
pergi kerja. Nampak macam ada masalah tapi bila Qisya tanya langsung tak nak
jawab.” Qisya mencebik.
Megat Talhah mengorak senyuman walau
terasa palsu.
“Pak su dah okay, janganlah risau.”
Bahu Qisya, Megat Talhah elus perlahan.
“Baguslah macam tu tapi kalau pak su
rasa nak kongsi masalah pak su tu, bagitahu sajalah dekat Qisya. Qisya sudi
dengar.”
Megat Talhah menghela nafasnya.
Sudah lama dia berselindung dari Qisya, tidak mahu anak saudaranya itu fikir yang
bukan-bukan tetapi dia tahu sejauh mana dia cuba sembunyikan pun pasti Qisya
sudah dapat mengagak. Bukan Qisya tidak tahu selalunya bila Megat Talhah susah
hati, pastinya kerana perkara berkaitan Melissa.
“Pak su dengan Melissa dah putus.”
“Apa? Macam mana boleh jadi macam
ni?” Qisya tersentak, wajahnya jelas terkejut mendengar berita tersebut.
Megat Talhah tersenyum kelat sebelum
menggelengkan kepalanya.
“Entahlah. Mungkin Melissa dah tak
sanggup nak teruskan hubungan kami.”
“Maaf pak su, mesti ini sebab Qisya.”
“Eh jangan cakap macam tu, Qisya tak
ada salah apapun.” Megat Talhah lekas menukas kata-kata Qisya itu. Tidak mahu
Qisya menyalahkan dirinya di atas perpisahan yang terjadi.
“Kalau Qisya tak ada, mesti pak su
dah bahagia kan?” Qisya menyoal dalam sayu yang sudah terasa mengigit jiwa.
Hatinya dipagut pilu melihat pak sunya menderita kerana dirinya. Sudahlah pak
sunya lama membujang kerana menjaga dia, bila dah sedia nak berkahwin, orang
pula tak sudi sebab adanya dirinya. Sungguh Qisya rasa bersalah menyebabkan pak
sunya tidak bisa bahagia.
“Ya Allah, kenapa cakap macam tu
Qisya. Sekarang pun pak su dah cukup bahagia ada Qisya dekat sisi pak su. Kalau
orang lain tak sudi, biarkanlah saja. Pak su dah tak nak fikir apa-apa dah
sekarang.”
Qisya merenung wajah Pak sunya yang
jelas serabut. Kalau benar pak sunya boleh menerima perpisahan itu, tak adalah
sampai pak sunya berkurung seminggu di dalam rumah tak pergi kerja. Mesti pak
sunya kecewa betul sebab sudah dua tahun dia bercinta dengan Melissa tu.
Tup-tup tiba-tiba saja mereka putus.
“Qisya jangan risau ya. Pak su okay.”
Megat Talhah menyambung katanya setelah melihat Qisya masih diam tidak
berkutik. Qisya sekadar mengangguk perlahan, enggan menyerabutkan lagi fikiran pak
sunya yang sedia berselirat. Biarlah pak sunya tenangkan diri buat masa
sekarang, kerana dia tahu pak sunya sudah menyimpan terlalu banyak beban selama
ini termasuk dirinya.
Megat Talhah kembali memusatkan
perhatiannya pada skrin televisyen walau hatinya masih dijentik kekecewaan yang
berpanjangan. Sekurang-kurangnya dia rasa boleh bernafas sedikit duduk di situ
dari berterusan mengurung dirinya di dalam bilik kerana mengikutkan sakit di
hati.
txs cik writer for the update. semoga megat cepat move on and qisha also move on dgn life dia.
ReplyDeleteCeritanya bagus...
ReplyDelete