QISYA menepuk dadanya yang terasa
sesak, kejadian siang tadi kembali menghantui ketenangannya. Wajah Ajda dan
Doktor Ikhwan silih berganti bermain di fikirannya. Kalaulah dia tidak terduduk
lemah macam sekarang, pasti awal lagi dia sudah memberanikan dirinya untuk
meluahkan perasaan yang terbuku.
Qisya sedar keadaannya yang begini
tidak memungkinkan dia untuk mengharap pada sebuah cinta apatah lagi untuk
membina rumahtangga, Qisya pasrah selama ini tetapi apabila Doktor Ikhwan yang
dia simpan perasaan selama ini menunjukkan minatnya kepada Ajda, serba sedikit
hati Qisya terusik.
Qisya meraup wajahnya lama sebelum
dia terasa bahunya dipegang.
“Qisya, Qisya okay ke?” suara Megat
Talhah kedengaran merenggut kesunyian di dalam bilik Qisya itu.
Qisya yang terkejut, lekas
mengangkat wajahnya.
“Pak su...”
“Qisya kenapa ni, ada masalah ke?”
Qisya mengukir senyum seraya
menggeleng.
“Tak adalah, pak su. Mana ada
masalah apa-apa.” Laju Qisya menafikan, tidak mahu pak sunya fikir yang
bukan-bukan.
“Habis tu, kalau tak ada masalah,
kenapa Qisya duduk senyap je dalam bilik ni? Dari tadi pak su balik.”
“Maaf, pak su. Qisya penat sikit,
tadi kan keluar dengan kawan.”
“Oh betullah, Qisya pergi mana
tadi?” Megat Talhah teruja menyoal bersama senyuman lebar. Sudah sekian lama
dia tidak melihat Qisya keluar bergembira dengan kawan-kawannya.
Sekurang-kurangnya sekarang, Megat Talhah sedikit lega kerana Qisya sudah mahu
keluar ke dunia luar, tidak hanya berkurung di dalam rumah dan hidup dalam
dunianya sendiri.
“Tak pergi mana sangat pun,
jalan-jalan dalam shopping mall saja. Tapi seronok bercerita dan
mengimbau kenangan lalu.” Qisya ikut tersenyum.
“Tak apa. Sekurang-kurangnya Qisya
ada teman nak berborak dah sekarang, pak su gembira tengok Qisya gembira.”
Qisya menggumam. Ya dia gembira
bertemu semula dengan Ajda tetapi pada masa yang sama, dia sedih kerana perjumpaannya
dengan Ajda mengingatkan dirinya pada dirinya yang dahulu yang serba sempurna,
yang dia tidak bisa kembalikan lagi.
“Kenapa ni, Qisya? Qisya sedih ke?”
sekali lagi Megat Talhah mengajukan soalan setelah melihat Qisya kembali
berjeda.
Qisya menggelengkan kepalanya
perlahan.
“Tak ada apa-apalah, pak su. Qisya
terkenang zaman dulu, masa Qisya masih lagi boleh berjalan. Qisya gembira jumpa
kawan Qisya tu tapi Qisya juga sedih sebab teringat memori indah tu semua sebab
sekarang, semuanya dah jauh berbeza.”
“Tak apalah, Qisya. Jangan
sedih-sedih, anggap saja semua tu kenangan terindah di dalam hidup Qisya yang
bila Qisya ingat, Qisya akan senyum.”
Qisya mengangguk setuju.
“Baik, pak su.”
“Dah, Qisya tidurlah. Jangan fikir
yang bukan-bukan lagi.”
Megat Talhah menepuk bahu Qisya
sebelum dia bangun meninggalkan Qisya, tidak mahu anak saudaranya itu terus
hanyut dalam kesedihan, mengenang kisah silam yang tidak bisa diulang.
Mata Qisya mengekori langkah Megat
Talhah sehingga lelaki itu hilang dari pandangannya sebelum satu keluhan berat
kembali meniti bibir Qisya. Sengaja dia tidak bercerita tentang perkara yang
menganggu hatinya saat itu, tidak mahu Megat Talhah tahu perkara yang dia
pendam sendiri selama ini.
Bapa saudaranya itu pun punya
masalah hati yang tidak selesai-selesai, dia tidak mahu menambahkan lagi
kekusutan Megat Talhah dengan bercerita soal hatinya pula sedangkan perkara itu
sekadar cinta yang bertepuk sebelah tangan.
Qisya buntu, tidak tahu hendak
berbuat apa melainkan larut dengan perasaan sedihnya sendiri.
TERIMA
kasih untuk pavlova tadi. Sedap sangat, semua orang suka dan puji kesedapan
pavlova tu.
Ajda membelek mesej di aplikasi WhatsApp
yang baru saja dia terima itu. Tanpa sedar, bibirnya mengukir senyum.
Sama-sama,
Doktor. Terima kasih juga sebab sudi order pavlova saya tu.
Laju
Ajda menaip sebelum menekan butang send.
Janganlah
panggil saya, doktor. Doktor itu gelaran saya dekat hospital saja. Awak boleh
panggil saya Ikhwan.
Ajda
mengetap bibir. Lain macam mesra saja Doktor Ikhwan ni.
Eh tak
baiklah macam tu, saya hormat doktor sebagai doktor.
Tapi
kalau sebagai kawan, takkan awak masih nak panggil saya doktor?
Ajda terdiam. Sengaja Ikhwan
memberikannya soalan cepumas.
Saya
nak kita berkawan. Boleh kan, Ajda?
Erk! Satu lagi soalan cepumas. Ajda
menggaru kepalanya sendiri.
Boleh
saja, doktor. Eh maksud saya, Ikhwan.
Ajda menekan butang send. Tidak mahu
terlebih fikir sama ada niat Doktor Ikhwan hendak berkawan sebagai kawan biasa
sahaja atau kawan luar biasa.
Bagus,
macam tulah baru mesra. Kan?
Ajda
diam. Tidak tahu hendak membalas apa.
Saya
nak jumpa awak, Ajda. Tapi buat masa sekarang saya sibuk lagi dengan kerja,
selalu kena oncall. Nanti saya ada masa terluang saya bagitahu awak ya.
Baik,
Ikhwan. Boleh saja, Insya-Allah.
Terima
kasih, Ajda.
Sama-sama.
Ajda menamatkan perbualan itu walau
hatinya berselirat dengan pelbagai persoalan yang muncul tanpa bisa dia halang.
Kenapa doktor muda itu hendak berkawan dengan dia, malah mahu berjumpa dirinya?
Ada niat tersembunyikah? Takkanlah doktor itu ada niat jahat pulak kan? Orang
terpelajar sebegitu tak mungkinlah berfikiran yang tidak betul.
Kalau dia memang suka aku? Ah jangan
merepeklah Ajda!
Ajda mengetuk kepalanya sendiri,
enggan membiarkan fikirannya sekali lagi membawa dia ke arah itu. Betul kata
Qisya, dia harus sedar diri yang orang sepertinya tidak mungkin disukai lelaki
sempurna seperti Doktor Ikhwan.
Dah berjumpa ada pula konflix dgn qisha. Haish.... apapun txs cik writer for the update.
ReplyDeleteMore😢
ReplyDeleteTak sabar nak beli novelnya ... Suka suka suka
ReplyDelete