Saturday, April 15, 2017

Novel Pak Cik Kerek Semanis Pavlova Bab 16


AJDA memandang Qisya yang sedang menyorong kerusi rodanya saat itu, mendekati Ajda yang sedang berada di luar rumah. Masih rasa tidak percaya yang Qisya akhirnya menyatakan persetujuan untuk berjumpa dia hari ini setelah sekian lama dia memujuk sahabatnya itu untuk bertemu. Tanpa sebarang alasan lagi, Qisya berkata ya dan terus hantarkan lokasinya di aplikasi WhatsApp.
            “Ada siapa dekat rumah?” Ajda menyoal saat Qisya terhenti di hadapannya.
            “Tak ada siapa, pak su aku kerja. Mak Wan, orang gaji rumah aku ni tak datang masa weekend.”
            “Oh, kau dah bagitahu pak su kau ke yang kau nak keluar dengan aku hari ni? Karang tak pasal pak su kau marah.” Ajda sedikit gusar.
            “Dah bagitahu dah. Kau janganlah risau.” Qisya menarik senyum sebelum menyorong kerusi rodanya kembali mendekati kereta Ajda yang terparkir di luar rumah.
            “Kau ni tak apa ke ikut aku pergi hospital dulu? Aku boleh je pergi hospital tu siapkan kerja aku hantar pavlova tu sebelum datang sini ambik kau.”
            “Alah tak apa, kalau kau pergi hospital dulu, kau kena patah balik pulak ambil aku sebab arah berlawanan. Dah alang-alang ni baik kita berdua je pergi terus ke hospital tu, senang satu arah je. Tak adalah susahkan kau.”
            “Aku okay je. Tak susah mana pun, bukan jauh pun hospital tu dari sini.”
            “Aku pun okay je ikut kau pergi hospital tu, dah jadi rumah kedua aku dah pun hospital tu.” Qisya ketawa kecil membuatkan gundah di hati Ajda sedikit terubat.
            “Kau ni ada-ada ajelah. Jomlah kita gerak.” Ajda membuka pintu kereta di bahagian tempat duduk penumpang hadapan sebelum membantu Qisya untuk masuk. Dia kemudiannya melipat kerusi roda Qisya dan meletakkannya di dalam bonet kereta seraya menghidupkan enjin kereta dan memecut laju meninggalkan perkarangan rumah Qisya.

AJDA mengjinjit beg plastik yang terisi kotak-kotak mini pavlova di tangan kanan dan kirinya dengan susah payah. Jarang ada pelanggan yang membuat pesanan sebanyak itu jadi Ajda tidak ada cara lain untuk membawa pavlova itu selain mengangkatnya sendiri. Qisya yang berada di sisinya sekadar mengekor Ajda dari belakang sambil menyorong kerusi rodanya. Langkah Ajda terhenti saat dia tiba di Jabatan Ortopedik di dalam hospital itu.
            “Dah sampai!” Ajda menarik nafas lega. Naik berbirat tangannya memegang beg plastik yang berat itu.
            Qisya terpempan. Matanya memandang ke arah papan tanda yang menunjukkan tempat mereka tuju itu sekarang, masih tidak percaya dengan apa yang dia dengar dari mulut Ajda.
            “Jabatan Ortopedik? Siapa yang order pavlova kau ni?” Qisya menyoal saat suara seseorang kedengaran dari interkom di luar jabatan itu.
            “Ya?”
            Ajda menoleh ke arah Qisya dan mengangkat tangannya tanda meminta Qisya menunggu sementara dia berurusan dengan suara di interkom itu.
            “Saya Ajda dari The Jida Dessert, ada nak hantar pesanan dari Doktor Ikhwan.”
            “Oh kejap ya.”
            Lock pintu itu berbunyi tanda ia sudah boleh dibuka dan Ajda terus menolak daun pintu itu seluasnya, memberi peluang kepada Qisya untuk masuk dahulu sebelum dia meloloskan diri. Mereka beriringan di koridor itu saat Doktor Ikhwan keluar dari salah satu pintu dan bergegas ke arah mereka.
            “Ajda, kenapa tak bagitahu dah sampai? Kalau tahu tadi saya dah ambil sendiri dekat luar.” Doktor Ikhwan berbicara saat dia cepat-cepat mencapai plastik-plastik yang terisi mini pavlova itu dari tangan Ajda, tidak mahu gadis itu berlama memegang plastik yang berat itu. Plastik itu kemudiannya dia letakkan di atas bangku kayu yang berada di koridor tersebut.
            “Tak apa, doktor. Tak ada hal, sikit je ni.” Ajda tersengih. Segan bercampur debaran di dadanya.
            “Ajda...” suara Qisya yang kedengaran membuatkan Ajda lekas menoleh ke arah Qisya.
            “Oh doktor, ini kawan saya, Qi...”
            “Qisya, buat apa dekat sini?” belum sempat Ajda memperkenalkan Qisya, Doktor Ikhwan sudah memotong. Mata mereka saling bertentangan membuatkan Ajda mengangkat keningnya, hairan dengan situasi itu.
            “Saya temankan kawan saya, doktor.” Qisya mengukir senyuman paling manis.
            “Oh ingatkan awak ada appointment hari ni. Ajda ni kawan awaklah ya.” Doktor Ikhwan menunjuk ke arah Ajda dan dibalas dengan anggukan dari Qisya.
            “Kau kenal Doktor Ikhwan?” Ajda menyoal, tidak puas hati setelah diam sedari tadi.
            Doktor Ikhwan berpaling memandang ke arah Ajda sebelum bersuara.
            “Qisya ni patient saya.” Doktor Ikhwan menjelaskan membuatkan Ajda mengangguk perlahan. Barulah dia mengerti duduk perkara yang sebenar.
            “Tak sangka kecil betul dunia ni kan, doktor?” Ajda bersuara seketika kemudian, seraya melemparkan senyuman manis kepada doktor kacak itu.
Qisya merenung keduanya dengan jiwa yang jelas bergelodak. Entah apa yang dia sedang rasa saat ini dia sendiri tidak tahu tetapi apa yang pasti hatinya terasa begitu sakit saat melihat senyuman manis Doktor Ikhwan yang tidak pernah dia lihat selama ini, dilemparkan kepada Ajda, sahabat baiknya sendiri.
            “Ini duitnya. Saya beli ya.”
            “Terima kasih doktor. Saya jual.” Ajda bersuara saat menyambut beberapa not kertas yang dihulurkan doktor itu. Bersyukur diberikan rezeki yang banyak sebegini pada hari ini.
“Lepas ni kalau saya nak contact awak lagi boleh ke? Walaupun bukan untuk beli pavlova?” kata-kata Doktor Ikhwan itu begitu jelas kedengaran di telinga Qisya. Dia memandang ke arah Ajda yang kelihatan tergamam, perlahan sahabatnya itu mengangguk dan mengukir senyum.
            “Boleh saja doktor, bila-bila masa pun boleh.”
            “Alhamdulillah. Terima kasih, Ajda.” Senyuman manis itu sekali lagi terukir, lain benar dari senyuman yang biasa dia lihat terpamer di bibir lelaki kacak itu. Renungan matanya pada Ajda juga kelihatan berbeza dan Qisya tahu apa ertinya semua itu. Sepanjang hidupnya, terlalu banyak pengalaman Qisya melihat renungan itu, saat dia menjadi gadis idaman ramai lelaki. Setiap lelaki yang memandangnya pasti melihatnya dengan mata redup dan bersinar sebegitu, tanda mereka suka kepadanya. Perlahan Qisya menghela nafasnya.
            “Saya balik dululah ya, doktor.”
            “Okay terima kasih Ajda. Qisya, jaga diri baik-baik ya, jumpa next appointment.” Doktor Ikhwan berpaling dan sempat berpesan kepada Qisya yang memerhatinya sedari tadi. Qisya mengangguk lambat-lambat tanpa bersuara.

“DOKTOR Ikhwan tu segak kan?” Ajda tersengih menyoal saat dia menolak kerusi roda Qisya di koridor hospital itu.
            Qisya diam, fikiran jauh melayang entah ke mana.
            “Qisya...” Ajda sekali lagi bersuara seraya menghentikan kerusi roda itu, membuatkan Qisya kembali tersedar dari lamunannya.
            “Aku cakap, Doktor Ikhwan tu segak kan?” Ajda tersengih ke arah Qisya yang sudah menoleh memandangnya. Qisya mengangguk perlahan sebelum kembali melarikan matanya dari pandangan Ajda.
            “Segak.” Pendek Qisya menjawab.
“Dia doktor kau kan? Takkanlah selama ni kau tak tergoda dengan kekacakan dia? Kalau akulah, dah lama aku jatuh hati.” Ajda ketawa kecil. Hatinya terasa gembira pula apabila terbayangkan doktor kacak itu kembali. Hesy Ajda, biasa dia ni! Teringat anak teruna orang ya. Ajda tersengih lagi untuk kesekian kalinya tanpa sedar akan gelodak jiwa di hati Qisya yang sedang berperang dengan perasaannya sendiri.
“Macam mana nak jatuh hati kalau awal-awal lagi aku dah sedar aku ni tak layak untuk lelaki macam tu, atau sesiapapun.” Lirih suara Qisya kedengaran membuatkan sengihan di bibir Ajda mati. Dia berdepan dengan Qisya sebelum duduk mencangkung supaya dia dapat sama paras dengan sahabatnya itu.
“Qisya, aku minta maaf. Aku tak ada niat nak buat kau sedih.” Ajda rasa bersalah, keterujaannya membuatkan dia jadi kurang prihatin dengan keadaan Qisya. Tangan Qisya dia elus lembut, cuba menghilangkan rasa sedih yang cuba menyelubungi hati sahabatnya itu.
Qisya mengorak senyuman saat matanya dan Ajda bertentangan. Tidak mahu Ajda fikir yang bukan-bukan walau hatinya tetap terasa walang.
“Aku okaylah. Tak perlu minta maaf.”
“Aku doakan kau jumpa jodoh yang terbaik. Pasti ada lelaki yang boleh menerima diri kau seadanya, Qisya. Aku yakin.”
Qisya ketawa kecil, bahu Ajda ditepuk perlahan.
“Sudahlah, tak payahlah serius sangat. Aku tak kisahpun pasal hal tu. Kau tu, lain macam je dengan Doktor Ikhwan tadi. Ada apa-apa ke?” Qisya cuba menebak hati Ajda, rasa ingin tahunya membuak.
Ajda laju saja menggeleng.
“Mana ada apa-apa. Aku pun baru kenal Doktor Ikhwan tu. Tapi kau rasa, dia suka kat aku ke?” Ajda tersengih, sekadar mahu bergurau.
“Perasan betullah kau ni. Kau sendiri cakap dia segak kan? Kau tu sesuai ke dengan dia?” Qisya memerli, enggan membiarkan fikiran Ajda memikirkan kemungkinan yang tidak sepatutnya berlaku. Ajda terdiam sebelum perlahan dia mengangguk.
“Yelah, mana sesuai kan aku dengan dia. Merepek betul aku ni.” Ajda ketawa macam dibuat-buat sebelum kembali menolak kerusi roda Qisya. Enggan memikirkan soal yang mengarut itu. Betul kata Qisya, mana mungkin gadis biasa sepertinya disukai lelaki kacak dan berkerjaya hebat macam Doktor Ikhwan. Mustahil Ajda!

Qisya menghela nafas lega dalam diam. Sekurang-kurangnya dia berjaya menghalau perasaan yang cuba bertamu di hati Ajda buat masa ini. 

No comments:

Post a Comment

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!