AJDA memandang Qisya yang sedang
menyorong kerusi rodanya saat itu, mendekati Ajda yang sedang berada di luar
rumah. Masih rasa tidak percaya yang Qisya akhirnya menyatakan persetujuan
untuk berjumpa dia hari ini setelah sekian lama dia memujuk sahabatnya itu
untuk bertemu. Tanpa sebarang alasan lagi, Qisya berkata ya dan terus hantarkan
lokasinya di aplikasi WhatsApp.
“Ada
siapa dekat rumah?” Ajda menyoal saat Qisya terhenti di hadapannya.
“Tak
ada siapa, pak su aku kerja. Mak Wan, orang gaji rumah aku ni tak datang masa
weekend.”
“Oh,
kau dah bagitahu pak su kau ke yang kau nak keluar dengan aku hari ni? Karang
tak pasal pak su kau marah.” Ajda sedikit gusar.
“Dah
bagitahu dah. Kau janganlah risau.” Qisya menarik senyum sebelum menyorong
kerusi rodanya kembali mendekati kereta Ajda yang terparkir di luar rumah.
“Kau
ni tak apa ke ikut aku pergi hospital dulu? Aku boleh je pergi hospital tu
siapkan kerja aku hantar pavlova tu sebelum datang sini ambik kau.”
“Alah
tak apa, kalau kau pergi hospital dulu, kau kena patah balik pulak ambil aku
sebab arah berlawanan. Dah alang-alang ni baik kita berdua je pergi terus ke
hospital tu, senang satu arah je. Tak adalah susahkan kau.”
“Aku
okay je. Tak susah mana pun, bukan jauh pun hospital tu dari sini.”
“Aku
pun okay je ikut kau pergi hospital tu, dah jadi rumah kedua aku dah pun
hospital tu.” Qisya ketawa kecil membuatkan gundah di hati Ajda sedikit
terubat.
“Kau
ni ada-ada ajelah. Jomlah kita gerak.” Ajda membuka pintu kereta di bahagian tempat
duduk penumpang hadapan sebelum membantu Qisya untuk masuk. Dia kemudiannya
melipat kerusi roda Qisya dan meletakkannya di dalam bonet kereta seraya menghidupkan
enjin kereta dan memecut laju meninggalkan perkarangan rumah Qisya.
AJDA mengjinjit beg plastik yang
terisi kotak-kotak mini pavlova di tangan kanan dan kirinya dengan susah payah.
Jarang ada pelanggan yang membuat pesanan sebanyak itu jadi Ajda tidak ada cara
lain untuk membawa pavlova itu selain mengangkatnya sendiri. Qisya yang berada
di sisinya sekadar mengekor Ajda dari belakang sambil menyorong kerusi rodanya.
Langkah Ajda terhenti saat dia tiba di Jabatan Ortopedik di dalam hospital itu.
“Dah
sampai!” Ajda menarik nafas lega. Naik berbirat tangannya memegang beg plastik
yang berat itu.
Qisya
terpempan. Matanya memandang ke arah papan tanda yang menunjukkan tempat mereka
tuju itu sekarang, masih tidak percaya dengan apa yang dia dengar dari mulut
Ajda.
“Jabatan
Ortopedik? Siapa yang order pavlova kau ni?” Qisya menyoal saat suara seseorang
kedengaran dari interkom di luar jabatan itu.
“Ya?”
Ajda
menoleh ke arah Qisya dan mengangkat tangannya tanda meminta Qisya menunggu
sementara dia berurusan dengan suara di interkom itu.
“Saya
Ajda dari The Jida Dessert, ada nak hantar pesanan dari Doktor Ikhwan.”
“Oh
kejap ya.”
Lock
pintu itu berbunyi tanda ia sudah boleh dibuka dan Ajda terus menolak daun
pintu itu seluasnya, memberi peluang kepada Qisya untuk masuk dahulu sebelum
dia meloloskan diri. Mereka beriringan di koridor itu saat Doktor Ikhwan keluar
dari salah satu pintu dan bergegas ke arah mereka.
“Ajda,
kenapa tak bagitahu dah sampai? Kalau tahu tadi saya dah ambil sendiri dekat
luar.” Doktor Ikhwan berbicara saat dia cepat-cepat mencapai plastik-plastik
yang terisi mini pavlova itu dari tangan Ajda, tidak mahu gadis itu berlama
memegang plastik yang berat itu. Plastik itu kemudiannya dia letakkan di atas
bangku kayu yang berada di koridor tersebut.
“Tak
apa, doktor. Tak ada hal, sikit je ni.” Ajda tersengih. Segan bercampur debaran
di dadanya.
“Ajda...”
suara Qisya yang kedengaran membuatkan Ajda lekas menoleh ke arah Qisya.
“Oh
doktor, ini kawan saya, Qi...”
“Qisya,
buat apa dekat sini?” belum sempat Ajda memperkenalkan Qisya, Doktor Ikhwan
sudah memotong. Mata mereka saling bertentangan membuatkan Ajda mengangkat
keningnya, hairan dengan situasi itu.
“Saya
temankan kawan saya, doktor.” Qisya mengukir senyuman paling manis.
“Oh
ingatkan awak ada appointment hari ni. Ajda ni kawan awaklah ya.” Doktor
Ikhwan menunjuk ke arah Ajda dan dibalas dengan anggukan dari Qisya.
“Kau
kenal Doktor Ikhwan?” Ajda menyoal, tidak puas hati setelah diam sedari tadi.
Doktor
Ikhwan berpaling memandang ke arah Ajda sebelum bersuara.
“Qisya
ni patient saya.” Doktor Ikhwan menjelaskan membuatkan Ajda mengangguk
perlahan. Barulah dia mengerti duduk perkara yang sebenar.
“Tak
sangka kecil betul dunia ni kan, doktor?” Ajda bersuara seketika kemudian,
seraya melemparkan senyuman manis kepada doktor kacak itu.
Qisya merenung keduanya dengan jiwa
yang jelas bergelodak. Entah apa yang dia sedang rasa saat ini dia sendiri
tidak tahu tetapi apa yang pasti hatinya terasa begitu sakit saat melihat
senyuman manis Doktor Ikhwan yang tidak pernah dia lihat selama ini,
dilemparkan kepada Ajda, sahabat baiknya sendiri.
“Ini
duitnya. Saya beli ya.”
“Terima
kasih doktor. Saya jual.” Ajda bersuara saat menyambut beberapa not kertas yang
dihulurkan doktor itu. Bersyukur diberikan rezeki yang banyak sebegini pada
hari ini.
“Lepas ni kalau saya nak contact
awak lagi boleh ke? Walaupun bukan untuk beli pavlova?” kata-kata Doktor Ikhwan
itu begitu jelas kedengaran di telinga Qisya. Dia memandang ke arah Ajda yang
kelihatan tergamam, perlahan sahabatnya itu mengangguk dan mengukir senyum.
“Boleh
saja doktor, bila-bila masa pun boleh.”
“Alhamdulillah.
Terima kasih, Ajda.” Senyuman manis itu sekali lagi terukir, lain benar dari
senyuman yang biasa dia lihat terpamer di bibir lelaki kacak itu. Renungan
matanya pada Ajda juga kelihatan berbeza dan Qisya tahu apa ertinya semua itu.
Sepanjang hidupnya, terlalu banyak pengalaman Qisya melihat renungan itu, saat
dia menjadi gadis idaman ramai lelaki. Setiap lelaki yang memandangnya pasti
melihatnya dengan mata redup dan bersinar sebegitu, tanda mereka suka
kepadanya. Perlahan Qisya menghela nafasnya.
“Saya
balik dululah ya, doktor.”
“Okay
terima kasih Ajda. Qisya, jaga diri baik-baik ya, jumpa next appointment.”
Doktor Ikhwan berpaling dan sempat berpesan kepada Qisya yang memerhatinya
sedari tadi. Qisya mengangguk lambat-lambat tanpa bersuara.
“DOKTOR Ikhwan tu segak kan?” Ajda
tersengih menyoal saat dia menolak kerusi roda Qisya di koridor hospital itu.
Qisya
diam, fikiran jauh melayang entah ke mana.
“Qisya...”
Ajda sekali lagi bersuara seraya menghentikan kerusi roda itu, membuatkan Qisya
kembali tersedar dari lamunannya.
“Aku
cakap, Doktor Ikhwan tu segak kan?” Ajda tersengih ke arah Qisya yang sudah
menoleh memandangnya. Qisya mengangguk perlahan sebelum kembali melarikan
matanya dari pandangan Ajda.
“Segak.”
Pendek Qisya menjawab.
“Dia doktor kau kan? Takkanlah
selama ni kau tak tergoda dengan kekacakan dia? Kalau akulah, dah lama aku
jatuh hati.” Ajda ketawa kecil. Hatinya terasa gembira pula apabila
terbayangkan doktor kacak itu kembali. Hesy Ajda, biasa dia ni! Teringat anak
teruna orang ya. Ajda tersengih lagi untuk kesekian kalinya tanpa sedar akan
gelodak jiwa di hati Qisya yang sedang berperang dengan perasaannya sendiri.
“Macam mana nak jatuh hati kalau
awal-awal lagi aku dah sedar aku ni tak layak untuk lelaki macam tu, atau
sesiapapun.” Lirih suara Qisya kedengaran membuatkan sengihan di bibir Ajda
mati. Dia berdepan dengan Qisya sebelum duduk mencangkung supaya dia dapat sama
paras dengan sahabatnya itu.
“Qisya, aku minta maaf. Aku tak ada
niat nak buat kau sedih.” Ajda rasa bersalah, keterujaannya membuatkan dia jadi
kurang prihatin dengan keadaan Qisya. Tangan Qisya dia elus lembut, cuba
menghilangkan rasa sedih yang cuba menyelubungi hati sahabatnya itu.
Qisya mengorak senyuman saat matanya
dan Ajda bertentangan. Tidak mahu Ajda fikir yang bukan-bukan walau hatinya
tetap terasa walang.
“Aku okaylah. Tak perlu minta maaf.”
“Aku doakan kau jumpa jodoh yang
terbaik. Pasti ada lelaki yang boleh menerima diri kau seadanya, Qisya. Aku
yakin.”
Qisya ketawa kecil, bahu Ajda
ditepuk perlahan.
“Sudahlah, tak payahlah serius
sangat. Aku tak kisahpun pasal hal tu. Kau tu, lain macam je dengan Doktor Ikhwan
tadi. Ada apa-apa ke?” Qisya cuba menebak hati Ajda, rasa ingin tahunya
membuak.
Ajda laju saja menggeleng.
“Mana ada apa-apa. Aku pun baru
kenal Doktor Ikhwan tu. Tapi kau rasa, dia suka kat aku ke?” Ajda tersengih,
sekadar mahu bergurau.
“Perasan betullah kau ni. Kau
sendiri cakap dia segak kan? Kau tu sesuai ke dengan dia?” Qisya memerli,
enggan membiarkan fikiran Ajda memikirkan kemungkinan yang tidak sepatutnya
berlaku. Ajda terdiam sebelum perlahan dia mengangguk.
“Yelah, mana sesuai kan aku dengan
dia. Merepek betul aku ni.” Ajda ketawa macam dibuat-buat sebelum kembali
menolak kerusi roda Qisya. Enggan memikirkan soal yang mengarut itu. Betul kata
Qisya, mana mungkin gadis biasa sepertinya disukai lelaki kacak dan berkerjaya
hebat macam Doktor Ikhwan. Mustahil Ajda!
Qisya menghela nafas lega dalam
diam. Sekurang-kurangnya dia berjaya menghalau perasaan yang cuba bertamu di
hati Ajda buat masa ini.
Suka? =)
No comments:
Post a Comment
Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!