AJDA menyusun mini pavlova ke dalam
peti makanan butik Talqisya itu dengan teratur walau fikirannya melayang jauh
entah ke mana. Sejak Qisya meluahkan permintaannya untuk menjodohkan Ajda
dengan pak sunya, hati Ajda jadi tidak tenteram lagi. Dia jadi serba salah
hendak menyusun ayat yang sebaiknya untuk menolak permintaan sahabatnya itu.
“Haih!”
Ajda melepaskan keluhan yang terasa
berat menghempap dadanya, cuba membuang rasa serabut yang membelenggu jiwanya
saat itu.
“Depan
makanan pun mengeluh?” suara garau yang kedengaran itu membuatkan Ajda
tersentak dan pantas mahu bangun membuatkan dia terhantuk peti makanan itu,
menghasilkan bunyi yang agak kuat. Banyak mata yang memerhati Ajda sebaik bunyi
itu kedengaran namun mereka kembali fokus kepada produk-produk yang terpamer di
butik tersebut, kerana itu lebih menarik minat mereka.
“Aduh!
Sakitnya!” Ajda menggosok kepalanya yang terasa pedih kesan hantukan tadi.
“Awak
ni memang selalu cuai kan?”
Ajda
mengangkat wajahnya sambil memegang kepalanya yang masih sakit, mahu melihat
gerangan insan yang menegurnya tadi walaupun dia sudah dapat mengagak. Siapa
lagi yang suka muncul tiba-tiba di hadapannya begitu kalau bukan pemilik
Talqisya itu sendiri.
“Maaf,
Encik Megat.”
“Rosak
peti tu, awak ganti.” Lelaki itu dingin seperti biasa, menjeling ke arah Ajda.
Ajda mengetap bibirnya, geram tetapi dia tahankan saja perasaannya itu.
“Maaf.”
Sekali lagi perkataan itu terbit dari mulutnya sambil dia cuba mengukir senyum
walau terasa payah.
“Kepala
tu dah okay ke? Kalau tak okay, baik pergi check cepat-cepat dekat
hospital. Manalah tahu ada putus fius dekat mana-mana ke?”
“Dah.
Okay dah. Encik Megat jangan risau, saya waras lagi.” Ajda laju menjawab, tidak
mahu terus diperli lelaki itu. Sudahlah sakit di kepalanya masih belum hilang,
kena perli baik punya pulak, memang bertambahlah sakitnya.
“Hmmm...”
itu saja balasan daripada Megat Talhah sebelum dia mengatur langkah mahu
meninggalkan Ajda yang masih tegak di hadapan peti makanan butik Talqisya itu.
Tadi sengaja dia menjengah ke situ apabila melihat Ajda begitu khusyuk membuat
kerjanya tetapi fikirannya seolah menerawang ke tempat lain.
“Eh
Encik Megat!” Ajda sempat memanggil membuatkan lelaki itu kembali menoleh ke
arah Ajda.
“Apa?”
“Pasal
hal tempoh hari pun, saya nak minta maaf. Saya buatkan kekasih Encik Megat
salah faham.”
Megat
Talhah tergamam, teringatkan peristiwa yang menyimpan kepahitan di dalam
jiwanya hingga kini.
“Tak apa. Bukan salah awak pun.”
Datar Encik Megat membalas. Tangannya sudah disilang di belakang tubuhnya.
“Maaf ya Encik Megat. Saya harap
hubungan Encik Megat dengan kekasih Encik Megat tak terjejas.”
Megat Talhah mengangkat tangannya,
tanda meminta Ajda berhenti dari bersuara.
“Sudah. Tak perlu cakap apa-apa, tambah-tambah
pasal hal peribadi saya. Perkara dah lepas dah pun, saya tak nak awak sebut
lagi pasal hal tu.”
“Baik. Maaf, Encik Megat.” Ajda
dipagut rasa bersalah.
Mata Megat Talhah tajam merenung
wajah Ajda sebelum dia bersuara.
“Saya dah muaklah dengar maaf awak
tu. Sambunglah kerja awak balik.” Megat Talhah mendengus sebelum berlalu tanpa
sempat Ajda berkata apa lagi.
Ajda menghela nafasnya untuk
kesekian kalinya, cuba menanam rasa sabar dalam dirinya mendengarkan kata-kata
Megat Talhah yang jelas menjengkelkan. Orang minta maaf pun dia nak marah.
Hesy!
Masalah di dalam kepalanya belum
selesai, sekarang muncul pula manusia yang bikin kepalanya makin berserabut.
Kalau melayan karenah lelaki yang kerek itu memang boleh bikin Ajda migrain!
Megat Talhah memerhati gerak langkah
Ajda yang sedang menuju ke kaunter dari sebalik bidai yang menutupi tingkap
kaca biliknya sebaik dia masuk semula ke dalam biliknya itu. Satu keluhan berat
keluar dari bibirnya.
Entah
kenapa, dia selalu terasa panas bila berada dekat dengan gadis itu. Asyik rasa
nak marah saja, mungkin sebab perangai gadis itu yang suka bercakap main serbu
tak pandang kiri kanan. Sama ada Ajda tu lurus sangat atau dia memang tak reti
nak jaga hati orang. Tapi kenapa aku nak jugak tegur dia tadi? Hesy!
Megat
Talhah mendengus untuk kesekian kalinya.
AJDA merenung Imani yang sedang
asyik bermain dengan mainannya di dalam baby walker itu. Satu keluhan
berat dia lemparkan sambil dia menongkat dagu, kembali memikirkan masalah yang
belum selesai.
“Apa
yang patut mak ngah buat, Imani?” Ajda menyoal Imani seolah anak kecil itu
faham dengan soalannya.
“Mak
ngah nak menolak tapi kesian dekat Aunty Qisya, mak ngah nak terima pulak mak
ngah tak kenal pun pak su Aunty Qisya tu. Boleh ke mak ngah hidup bahagia
dengan orang yang mak ngah tak pernah jumpa dan cinta? Aduh!”
Imani
sekadar ketawa memandang Qisya sebelum kembali bermain dengan mainannya.
“Imani
rasa macam mana?” Berkerut Ajda menyoal seolah Imani bisa memberikan
jawapannya.
“Ye
memang mak ngah rasa nak tolak tapi macam mana nak cakap dengan Aunty Qisya
supaya Aunty Qisya tak kecik hati? Kesian Aunty Qisya tau, Imani. Dia dah tak
boleh jalan, tak ada siapa dekat sisi dia kecuali pak su dia. Kalau mak ngah
kahwin dengan pak su dia, boleh jugak mak ngah jaga dia kan?”
Imani
masih buat tidak peduli, langsung tidak mengerti kata-kata mak ngahnya itu.
“Terima
pak su Qisya? Mampu ke mak ngah?” Ajda menghela nafasnya.
“Ya
memanglah boleh je cuba tapi kalau dah tahap kahwin tu memang kena jayakan
jugaklah. Kena terima saja macam mana pun lelaki tu dan sayang dia. Susah kan?
Walaupun mak ngah tak pernah ada pengalaman bercinta tapi ada je yang nak dekat
mak ngah cuma hati mak ngah tak terbuka. Hati mak ngah Imani ni kebal macam
peti besi jugak tau, susah orang nak tembus.” Ajda tersengih, seolah bangga
pula bercerita begitu.
“Doktor
tu? Yang itu berkenanlah jugak tapi tak adalah tahap jatuh cinta lagi. Tapi mak
ngah sedar diri, yang itu perfect sangat, tak layak untuk mak ngah ni.
Lagipun kacak bergaya macam tu mesti ramai peminat kan? Makan hati je nanti,
kalau mak ngah kahwin dengan dia. Cemburu tak sudah.” Ajda ketawa sendiri.
“Haih!
Apa mak ngah nak buat ni, Imani?” Ajda memuncungkan mulutnya sambil
menggoyang-goyangkan tangan Imani membuatkan anak kecil itu ketawa mengekek.
“Kamu
tu dah kenapa, Ajda? Macam serius saja bercakap dengan Imani.” Najah yang baru
selesai mandi setelah pulang dari tempat kerja dan mengambil Imani dari rumah
pengasuh segera menyoal Ajda yang nampak macam tak keruan.
Ajda
yang tersentak segera melemparkan senyuman. Malu pulak apabila kantoi bercakap
dengan anak kecil yang masih belum tahu apa-apa itu.
“Eh
tak ada apalah, kak. Saja sembang dengan Imani ni.” Ajda mencubit pipi Imani
yang gebu itu sebelum pipi itu menjadi mangsa ciumannya.
“Kak
ingat kamu dah tak betul. Berkerut-kerut sembang dengan Imani macam ada perkara
serius.”
Ajda
sengih sambil menggaru kepalanya.
“Mana
ada kak, takkanlah macam tu pulak. Ajda masuk bilik dululah ya kak, nak mandi
pulak. Dah busuk peluh ni.” Ajda meminta diri sebelum menapak ke biliknya.
Tidak mahu kak Najah berfikir yang bukan-bukan dan cuba mengorek isi hatinya.
Kantoilah nanti.
Alala, kesian Ajda. Tapi even kalau dia tahu yg paksu Qisya tu Megat Talhah, sudi ke dia utk jadi isteri pemilik butik Talqisya tu? :')
ReplyDeleteTerima ajelah ajda... buat bakti pada bestfriend... boleh jaga qisya..
ReplyDeleteBiarlah ajda bercinta dgn Dr Ikhwan...mcm jahat jew Qisha tu...
ReplyDeleteqisya manfaatin ajda gak sih..? biar ajda gak jadian sama dokter ikhwan... ;(
ReplyDelete