AKU menyeka air mata yang mula berhamburan di
pipi saat aku duduk di sisi emak dan abah di ruang tamu itu. Ayie sedang
menyapu ubat di pipi Andra di dalam bilik.
“Kakak minta maaf sebab tak terus-terang dari
awal. Bukan niat kakak nak sembunyikan hal yang sebenar tapi kakak malu dengan
emak dan abah. Mesti emak abah harapkan kakak ke jinjang pelamin lepas lama
bercinta dengan Rizwan. Tapi...” Aku menunduk, kelu lidah hendak menyambung
bicara.
“Tak
apa, kakak pun tak jangka benda nak jadi macam ni. Tapi boleh emak tahu apa
sebab kamu putuskan hubungan dengan dia dan sampai buat dia merayu macam tu
sekali dekat kamu?”
Soalan emak itu membuatkan aku menelan liur
yang terasa pahit. Wajah gadis bernama Zarina itu kembali muncul dalam ingatan.
“Baru-baru ni, tunang Rizwan datang jumpa
kakak.”
“Tunang?” abah tiba-tiba menyoal.
Aku mengangguk sebelum menatal skrin telefon
bimbit dan membuka semula gambar yang kutunjuk pada Rizwan di luar tadi. Gambar
Zarina tersenyum manis berbaju kurung moden di atas pelamin dan lelaki yang
sangat aku kenali itu ada di sisinya. Ya, Rizwan sedang mengukir senyum
bahagia.
Bukan gambar itu saja yang aku ada, tetapi ada
beberapa keping gambar lagi kiriman Zarina yang membuktikan mereka bercinta
sejak dari zaman universiti, lima tahun yang lalu, lebih awal dari waktu Rizwan
bercinta dengan aku. Dan ini bermakna aku yang merampas Rizwan dari Zarina,
bukannya Rizwan yang curang pada aku. Perkara itu langsung aku tak boleh
terima!
“Tapi kakak tak ada niat pun nak rampas Rizwan
tu dari orang lain kan?” emak menyoal usai aku menjelaskan segalanya.
Aku menggeleng laju.
“Tak,
kakak tak tahu pun dia dah ada perempuan lain masa kakak kawan dengan dia.”
Emak
mengangguk sebelum mengelus bahuku lembut.
“Kalau
macam tu, kakak janganlah rasa bersalah ya.”
Aku mengangguk.
“Kakak masih sayangkan dia?” Aku terkedu
mendengar soalan cepu emas daripada emak, tidak tahu bagaimana hendak membalas.
Setelah membina cinta ini bertahun-tahun, takkanlah semudah itu rasa sayang aku
hilang kan? Tapi aku sedang cuba menyingkirkan segala rasa ini jauh-jauh. Aku
tak sanggup menjadi orang ketiga yang merosakan hubungan orang lain walau aku
tidak pernah tahu yang aku ini orang ketiga. Kurang asam punya jantan!
“Kakak
dah berjanji nak buang semua perasaan ni, emak. Kakak tengah cuba.” Lirih aku
bersuara, saat air mataku hampir tumpah.
“Bagus,
kakak. Lupakan semua perasaan kakak dekat dia dan bina semangat baru. Kakak
kena ingat, kami semua sayang kakak dan tak nak kakak derita, lagi-lagi sebab
lelaki yang tak reti hargai kakak dan menipu kakak. Kakak kena kuat, okay?”
Aku
mengangguk sebelum memeluk emak dengan erat. Air mata yang kutahan sedari tadi,
berderai juga di pipi. Terasa hilang sedikit beban setelah dapat meluahkan
perkara sebenar yang menghimpit hatiku selama ini.
“AWAK masih nak balik KL malam ni jugak ke?”
aku menyoal Andra dengan risau saat menghantar jejaka itu ke keretanya yang
diparkir di luar pagar rumahku. Lebam di bibir kirinya jelas kelihatan.
“Haah,
esok pagi saya ada meeting dengan klien.” Dia bersuara membuatkan helaan
nafasku terasa berat. Benar-benar rasa bersalah.
“Maafkan
saya, sebab saya awak jadi macam ni. Macam mana nak jumpa klien dengan muka
lebam macam ni?”
“Alah
tak apa, nanti saya pakai concealer, tutup lebam ni. Awak janganlah
risau.” Dia tersengih. Ceh, mesti dia lagi pandai mekap daripada aku kan?
Aku
mengangguk.
“Itulah
lain kali jangan tunjuk kuat, kan dah kena debik. Awak tu lemah gemalai
je, entah-entah lagi lemah daripada saya.” Aku mencebik membuatkan dia ketawa.
“Walaupun saya ni nampak je macam perempuan,
tapi dalaman saya lelaki tau. Fizikal saya ni kuat, setakat kena tumbuk dengan
jantan lembik tu tak jadi apalah.”
“Amboi
cakap besar nampak, tak ingat ke tadi awak sampai tergolek dekat tanah tu.” Aku
memerli.
Dia
ketawa lagi sambil menggaru kepalanya.
“Apapun
saya nak minta maaf dekat awak, dan terima kasih sebab tolong saya tadi.” Aku
bersuara kembali setelah lama berjeda, benar-benar maksudkan kata-kataku itu.
Andra
diam sambil merenung aku lama.
“Saya
tak kisah pun, cuma awak tu. Awak okay ke?” soalnya tiba-tiba.
“Saya?
Saya okay je. Jangan risau.” Aku tersengih.
“Awak
tak nak terima dia semula ke? Saya tengok dia tu macam betul-betul sayangkan
awak.” Dahi Andra berkerut memandang aku.
Aku
melepaskan keluhan berat sebelum menggeleng.
“Apapun alasan dia, saya takkan terima dia
balik. Saya tak sanggup nak bina kebahagiaan saya daripada air mata perempuan
lain.”
Andra mengangguk.
“Bagus kalau awak fikir macam tu. Jangan goyah
pulak dengan keputusan awak ni. Awak kena jauhkan diri daripada jantan macam tu
tau.”
Aku ketawa mendengar celoteh Andra.
“Ya baik! Awak janganlah risau. Saya takkan
goyah. Ini Ayesha Humairalah.”
“Sebab awak Ayesha Humairalah saya risau. Awak
tu nampak je kuat, tapi hati awak tu lembut. Cepat kasihan dekat orang. Macam
saya tak kenal awak.” Aku tergamam mendengar kata-kata Andra. Tidak menyangka
Andra masih ingat tentang perangai aku yang satu itu.
“Awak jaga diri tau. Nanti contact saya
bila awak dah balik KL. Nombor saya ada emak simpan.” Andra bersuara lagi saat
dia sudah membolos masuk ke dalam keretanya.
“Yelah. Saya pandailah jaga diri, saya bukan
budak kecik lagi.” aku mencebik.
Andra sekadar tersenyum sambil mengangkat
tangannya sebelum cermin keretanya dinaikkan dan dia memecut laju meninggalkan
perkarangan rumahku. Aku menghantar keretanya pergi dengan keluhan yang masih
tidak lekang daripada bibir.
Ya betul cakap Andra, hati aku ni memang
lembut. Sebab tu walaupun dah banyak kali aku ajak Rizwan kahwin tapi dia
mengelak, aku tetap jugak setia, tetap jugak sayang. Betapa bodohnya aku tak
nampak permainan dia selama ni. Sekarang semuanya dah berakhir dan aku takkan
sesekali terima semula lelaki yang sudah menipu aku selama dua tahun ini. Aku
takkan berlembut lagi kali ini!
No comments:
Post a Comment
Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!